PENDANG DAN ANAK BUKIT UJI
KEKUATAN PEMBANGKANG

Oleh Ali Allah Ditta

Al-Fatihah kepada Allahyarham Datuk Fadil Noor.
 
Pemergian Allahyarham telah membuka laluan kepada 2 pilihanraya kecil yang bakal diadakan untuk kawasan DUN Anak Bukit dan kawasan Parlimen Pendang. Apa yang menarik kali ini  ialah pilihanraya kecil ini meletakan PAS sebagai incumbent dan akan berusaha sedaya upayanya untuk mempertahankan kedua-dua kerusi tersebut.

Bagi BN/UMNO ini adalah peluang terbaik bagi mereka untuk menebus kembali maruahnya setelah tewas di Lunas dahulu.  Seperti pilihanraya-pilihanraya kecil di Sanggang,Telok Kemang, Lunas, Ketari dan Indera Kayangan BN/UMNO terpaksa berhempas pulas memenangi kerusi-kerusi tersebut. Kali ini BN/UMNO akan cuba merampas kembali kerusi-kerusi tersebut yang terlepas ke tangan PAS pada pemilu 1999 lalu.

Kalau di Sanggang,Telok Kemang, Lunas, Ketari dan Indera Kayangan BN/UMNO menabur berbilion-bilion ringgit atas nama pembangunan dan kemajuan, maka tak hairanlah berapa bilion wang ringgit lagi yang akan dicurahkan untuk menawan kerusi-kerusi tersebut. Kalau rakyat di Sanggang,Telok Kemang, Lunas, Ketari dan Indera Kayangan telah menerima kain pelaikat, pakaian, beg sekolah, basikal, beras gula dan sebagainya sebagai hadiah untuk mendapatkan undi mereka, kali ini scenarionya yang sama atau mungkin lebih hebat dari itu akan kita saksikan bersama-sama.

Lazimnya dalam pilihanraya kecil sebegini, pihak BN/UMNO akan menuduh parti-parti pembangkang menggunakan taktik-taktik kotor seperti samseng, ugutan bagi memaksa pengundi-pengundi memilih calonnya. Tetapi dalam pilihanraya kecil Indera Kayangan dan Ketari, yang jelas bermain kotor adalah BN/UMNO sendiri yang menggunakan ugutan, samseng-samseng upahan untuk “gempaq” pengundi-pengundi untuk mengundi mereka. Taktik yang sama akan digunakan oleh BN/UMNO dalam pilihanraya kecil ini. Jangan lupa pula dengan pengundi-pengundi pos dan hantu yang akan muncul secara tiba-tiba.

Apa yang menarik bagi pilihanraya kecil ini, ia berlaku ketika BN/UMNO sedang menghadapi krisis kepimpinan akibat daripada “sandiwara” yang dimainkan oleh Mahathir ketika Perhimpunan Agong UMNO baru-baru ini. Mahathir yang sekejap meletakkan semua jawatan dan selepas sejam menarik-balik telah menimbulkan masalah besar kepada ahli-ahli UMNO yang begitu taksub akan kepimpinannya, hinggakan ramai perwakilan yang sanggup menangis sehingga berhingus macam budak-budak kecil yang tak dapat aiskrim!

Ramai tokoh UMNO termasuk Menteri Besar Kedah menyatakan bahawa dalam pilihanraya kecil ini BA/PAS tidak ada isu yang boleh dimainkan kerana isu-isu semuanya mengikut MB telah dapat di atasi. Mungkin BN/UMNO dan MBnya telah lupa kot bahawa isu terbesar yang melanda masyarakat orang Melayu ialah isu bahasa, isu hak-hak orang Melayu, terutamanya pemberian 10% tempat kepada bangsa asing di MRSM, Kolej Matrikulasi dan Kolej Melayu Kuala Kangsar.

Dalam soal bahasa, apakah dengan mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris akan membolehkan murid-murid menguasai Bahasa Inggeris? Kalau nak baiki Bahasa Inggeris, maka tindakan drastik perlu diambil untuk menambahkan guru-guru Bahasa Inggeris serta memberi peluang yang lebih kepada guru-guru Bahasa Inggeris untuk meningkatkan kemahiran mereka melalui kursus-kursus jangka pendek dan panjang. Tetapi, perkara ini diabaikan, sebaliknya Kementerian Pendidikan cuba mengagung-agungkan projek sekolah wawasannya, yang terang-terang ditolak bulat-bulat oleh orang-orang Cina.

Disamping itu ada banyak isu-isu lain yang kerajaan BN/UMNO BELUM lagi dapat menjelaskannya .Antara isu besar ialah isu rasuah yang begitu ketara dalam kerajaan masa kini. Kontrak-kontrak dan tender-tendar mega kerajaan tidak
diagaihkan mengikut prosedur yang betul. Kontrak dan tender ini diberi terus kepada kroni-kroni BN/UMNO tanpa soal siasat seperti kontrak pembinaan jalan PORR di Pulau Pinang yang menjadi isu hangat masa kini.

Selain daripada rasuah, beberapa kes kehilangan wang berbilion-bilion ringgit seperti kehilangan duit Perwaja, KWSP, Tabung Haji dan lain yang masih tidak dijawab oleh kerajaan BN/UMNO. Mahathir cuba menipu rakyat dengan mengatakan bahawa pihak bank di Switzerland tidak mahu bekerjasama sedangkan pihak bank tersebut telah menafikannya. Beberapa siasatan BPR berkaitan dengan rasuah golongan atasan telah ditutup oleh kerajaan BN/UMNO atas arahan Mahathir.

Bagi pengundi-pengundi di Pendang dan Anak Bukit janganlah mudah tertipu dengan janji-janji manis oleh juak-juak BN/UMNO ini. BN/UMNO begitu terdesak atau desparate sekali hendak merampas kembali,terutamanya,DUN Anak Bukit kerana kemenangannya akan mengembalikan kuasa 2/3 kerajaan BN/UMNO di Kedah. Dengan kuasa majoriti 2/3
kerajaan Kedah boleh ubah sempadan pilhanraya ikut sesuka hati mereka.

Tidak lupa juga,Kedah adalah negeri lahir Mahathir.Setelah Mahathir mengumumkan bahawa Abdullah Badawi sebagai penggantinya selepas bulan Oktober 2003, maka Abdullah Badawi perlu bukti bahawa dia mampu memimpin BN/UMNO bagi merampas semula kerusi-kerusi ini. Bagi Abdullah Badawi ini adalah ujian yang paling sengit baginya. Disamping itu, ramai juga juak-juak UMNO yang mahu melihat Abdullah Badawi gagal, kerana masing-masing mahu merebut jawatan Presiden UMNO yang menjamikan jawatan Perdana Menteri.

Bagi BA/PAS mereka mempunyai reputasi yang perlu dijaga.Pendang dan Anak Bukit adalah domain mereka dan merupakan bekas kerusi Presiden PAS, Ketua Pembangkang yang telah meninggalkan kita. Pilihanraya kecil di Pendang dan Anak Bukit kali ini akan menguji sejauh manakah simpati pengundi terhadap kehilangan Ketua Pembangkang, Allahyarham Datuk Fadil Noor dan tindakan Mahathir yang ingin bersara daripada politik tanah air dengan tiba-tiba.

Kita berharap pengundi di Pendang dan Anak Bukit akan menghantar 'isyarat' yang jelas kepada BN/UMNO dan Mahathir bahawa pengundi akan pilih seorang wakil rakyat Pembangkang yang baru serta melakukan hapuskira terhadap Mahathir dan BN/UMNO dengan serta-merta.

BA/PAS hendak “berjihad” sehabis-habisnya bagi mempertahankannya kerusi-kerusi tersebut agar tidak terlepas kepada BN/UMNO. Moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham. Al-Fatihah.

ALI ALLAH DITTA - 05.07.2002 (suntingan M@R)


FREE - An online program to make a huge income. more info
Click Here!