MAHATHIR, SAR, LING dan AH LEK
Oleh Ali Allah Ditta

Mahathir dan Dr.Ling Liong Sik (Dr.Ling) sememang tahu bahawa pengunduran salah seorang daripada mereka akan membawa padah pada parti masing-masing malah BN akan berada dalam keadaan nazak. Jadi sebagai jalan keluar,kedua-dua pemimpin UMNO dan MCA ini amat berhati-hati bila membangkitkan isu ‘letak jawatan’

Rata-rata orang tahu bahawa Mahathir akan ‘letak jawatan’ pada bulan Oktober 2003 nanti. Itupun kalau dia benar-benar berbuat demikian. Jadi bagi Dr.Ling bilakah tarikh sebenar peletakkan jawatannya? Tarikhnya adalah dari sekarang hinggalah bulan Oktober 2003 nanti.

Dr.Ling pandai kerana dia yang ungkit kes perletakan jawatannya itu adalah hasil daripada surat yang tak bertarikh yang dihantar kepada Mahathir tahun lalu. Jadi kalau Dr.Ling diberhentikan Dr.Ling akan berkata bahawa dia bukan dipecat Mahathir tapi Mahathir bertindak atas suratnya yang dihantar kepada Mahathir itu. Tengoklah macam mana Dr.Ling memperbodohkan Mahathir!

Dr.Ling memang sedar bahawa dia tidak lagi disukai oleh UMNO di bawah pimpinan Abdullah Badawi nanti. Dr.Ling juga sedar bahawa UMNO sudah meragui kepimpinannya. Dr.Ling tak mahu MCA dipimpin oleh Lim Ah Lek, tapi UMNO lebih suka Lim Ah Lek walaupun UMNO tahu bahawa Lim Ah Lek adalah lebih bahaya daripada Dr.Ling sebagai presiden MCA.

UMNO meragui MCA kerana sikap berbelah bahagi mereka terhadap isu penggunaan bahasa Inggeris bagi mata pelajaran Sains dan Matematik, hinggakan kerajaan dan UMNO terpaksa bertolak-ansur dalam beberapa hal berkaitan dengan pelaksanaan program menginggeriskan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik itu.

UMNO juga geram dengan Dr.Ling kerana kes ADUN MCA dari Pulau Pinang yang enggan mengundi menentang usul DAP berkaitan dengan penangguhan projek PORR. Walaupun UMNO mahu kedua-dua ADUN itu dipecat daripada BN tetapi melalui putar-belit Dr.Ling, kedua-dua ADUN itu hanya digantung keahlian mereka buat suatu tempoh yang tak dipastikan.

Antara Dr.Ling dan Lim Ah Lek, kalau dihitung populariti mereka dalam MCA, Dr.Ling tetap lebih popular, tetapi di kalangan komuniti orang Cina pula Lim Ah Lek jauh lebih popular daripada Dr.Ling. Dr.Ling bergayut sebagai presiden MCA kerana sebahagian besar AJK MCA itu adalah terdiri daripada orang-orangnya. Dr.Ling tahu sekiranya dia letak jawatan sebagai presiden; jawatan presiden akan secara automatik diambil alih oleh timbalannya iaitu Lim Ah Lek. Ini yang Dr.Ling tak mahu dan MCA pura-pura buat tak tahu. Mahathir tidak mahu Lim Ah Lek jadi presiden MCA kerana bagi Mahathir, Lim Ah Lek adalah lebih bahaya daripada Dr.Ling.

Antara Mahathir dan Dr.Ling ada banyak persamaan ibarat kembar siam daripada aspek perangai dan tingkah-laku. Kedua-dua mereka ini adalah doktor perubatan dan banyak terlibat dengan skandal wang. Kedua-dua mereka mempunyai kroni tertentu dan kedua-dua telah menggunakan wang rakyat secara haram untuk membantu anak-anak mereka. Kedua-dua mereka telah menyalah-gunakan kuasa masing-masing untuk memperolehi wang bagi menyelesaikan masalah-masalah yang mereka hadapi. Sebaliknya Lim Ah Lek, macam Abdullah Badawi dianggap ’Mr.Clean’. Abdullah Badawi sungguhpun dikatakan ‘Mr.Clean’ tapi tak sebersih macam mana yang disangkakan kerana Abdullah Badawi juga penuh diselubungi kontroversi yang dilindungi dari pengetahuan umum oleh UMNO, kecualilah kalau kita dapat buka fail peribadinya yang disimpan Mahathir di Putrajaya. Tanyalah askar-askar kita apa yang dia buat semasa menjadi Menteri Pertahanan dulu?
 
Lim Ah Lek sememangnya seorang tokoh politik yang gigih, berwiba dan seorang jutawan. Baginya wang tak jadi masalah. Lim Ah Lek disayangi oleh rakyat Pahang baik orang-orang Cina, Melayu atau India. Di mana saja dia bertanding di Pahang, Lim Ah Lek tetap akan menang. Dr.Ling tahu, Mahathir tahu dan Najib pun tahu. Inilah yang buat Mahathir pening. Mahathir juga khuatir tentang Lim Ah Lek ini kerana Lim Ah Lek amat bersimpati dengan DSAI dan apa yang terjadi terhadap beliau. Hakikat inilah yang membuat Mahathir tak suka Lim Ah Lek.

Mahathir tahu yang Dr.Ling kerap main ‘wayang Cina’ dan Mahathir merestui ‘wayang Cina’ tersebut kerana Mahathir juga pandai bersandiwara. Mahathir sedar lagi lama ‘wayang Cina’ ini dipertontonkan lagi baik bagi Mahathir dan Dr.Ling, inilah ‘win-win situation’ kata orang putih!

Mahathir tak mahu Lim Ah Lek, UMNO tahu dan MCA tahu. Tapi UMNO marah kerana Dr.Ling suka main kayu tiga, UMNO tak dapat buat apa-apa kerana UMNO kena kowtow kat Mahathir. Mahathir sayangkan Dr.Ling walaupun Mahathir sedar Dr.Ling akan merosakkan BN jika kesnya berlarutan. Mahathir juga terpaksa kowtow kat Dr.Ling kerana mahu sokongan orang Cina kerana Dr.Ling mempunyai kenalan ramai di kalangan tauke-tauke Cina.

Apa Dr.Ling minta Mahathir kasi. Dr.Ling minta lengah-lengahkan pelaksanaan program menginggeriskan Sains dan Matematik, Mahathir kasi. Dr.Ling minta launching grant untuk Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Mahathir kasi. Dr.Ling minta tanah untuk bina UTAR, Mahathir kasi. Dr.Ling minta buka MARA untuk pelajar-pelajar Cina, Mahathir kasi.

Dr.Ling minta agar kedua-dua ADUN di Pulau Pinang tidak dipecat daripada BN, Mahathir kasi. Malah apa saja Dr.Ling minta, Mahathir tetap kasi punya! Kerana Mahathir tahu betapa pentingnya undi orang Cina bagi BN dalam pemilu yang akan datang.

Sebaliknya orang-orang Melayu cuba dipinggirkannya. Salah satu usaha yang dijalankan Mahathir untuk menyekat kemajuan masyarakat Melayu ialah dengan membunuh pengajaran dan pembelajaran agama. Target utamanya ialah sekolah agama rakyat (SAR).

Tiga orang Perdana Menteri sebelum Mahathir tidak pernah usik SAR ini. Malah kerajaan British sebelum merdeka pun tak pernah kacau SAR. Tiba-tiba Mahathir nak tutup SAR, Mahathir tak mahu bagi bantuan kepada SAR.

Kualiti pengajian di SAR memangnya cemerlang walaupun ianya ‘dihandicapped’ dengan kekurangan peralatan- peralatan, guru-guru terlatih, bangunan dan bahan-bahan pengajaran. SAR telah menghasilkan keputusan yang cemerlang sama ada di peringkat UPSR, PMR, SPM dan STPM. Malah keputusan sesetengah SAR ini adalah lebih baik daripada keputusan MRSM dan sekolah-sekolah berasrama penuh kerajaan.

Namun itu Mahathir dan UMNO menuduh SAR sebagai sarang latihan pengganas dan kader-kader PAS. Walau bagaimanapun tuduhan-tuduhan ini tidak disokong dengan bukti-bukti yang konkrit. Apakah kerana seekor nyamuk habis kelambu hendak dibakar. Janganlah menganak-tirikan bangsa sendiri kerana nak raih beberapa kerat undi!!

Mahathir tahu orang-orang Melayu dah bencikan dia. Orang Melayu tak setuju dengan program menginggeriskan Sains dan Matematik. Tetapi Mahathir tetap kata orang Melayu setuju dengan program itu. Mereka yang cuba membangkang ditutup mulut masing dengan ugutan menggunakan ISA. Akhbar-akhbar tempatan dipaksa melaporkan sokongan orang-orang Melayu 100 peratus. Orang Melayu bukan bodoh dan tak mudah lupa! Selama mana pembohongan ini akan berterusan?

Mahathir sanggup buat apa saja untuk selamatkan Dr.Ling. Mahathir akan buat apa saja untuk raih undi orang Cina. Mahathir sanggup buat apa saja untuk mematikan SAR. Mahathir akan lakukan apa saja untuk nak meyakinkan supaya orang Melayu kembali kepada UMNO.

Kalau Mahathir dan Dr.Ling boleh buat macam-macam untuk menghalang Lim Lek jadi presiden MCA, Mahathir juga boleh lakukan macam-macam untuk menghalang orang-orang Melayu memilih SAR. Sedar atau tidak, hidup orang-orang Melayu hari ini ibarat sebagai pendatang di dalam negerinya sendiri. Nak buat itu tak boleh. Nak buat ini tak boleh Nak belajar agama tak boleh. Nak pilih sekolah agama pun tak boleh! Apa yang boleh dalam Malaysia boleh? Tanyalah Mahathir sendiri!

ALI ALLAH DITTA - 16.01.2003 (suntingan M@RHAEN)
Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!