UMNO mencari DSAI atau DSAI mencari UMNO?
Oleh Ali Allah Ditta

Kelantan berada dalam genggaman PAS sejak pilihan raya 1990. Dalam tempoh waktu yang begitu panjang UMNO telah berusaha merombak kepimpinannya partinya di Kelantan beberapa kali setiap kali menjelang pilihan raya. Namun PAS tetap memberi pukulan KO kepada UMNO.

Kali ini pun UMNO telah menukar pemimpin dengan melantik beberapa tokoh baru yang dikatakan Mahathir lebih bertenaga untuk menentang PAS habis-habisan dalam pemilu nanti. Apakah perubahan pucuk pimpinan UMNO di peringkat bahagian dan negeri benar-benar akan menyuntik nafas baru kepada UMNO? Mengikut Tuan Guru Nik Aziz,Menteri Besar Kelantan menanggap perubahan ini adalah satu gimmik politik UMNO kerana menurutnya perubahan itu hanya melibatkan orang dan bukan dasar perjuangan parti UMNO.

UMNO boleh tukar ganti pemimpin-pemimpin UMNO yang ada bila-bila masa pun,tetapi selagi dasar perjuangan UMNO itu masih sama,rakyat Kelantan tetap akan menolak UMNO. Apa perbedaan Annuar Musa dengan Zaid Ibrahim? Kedua-duanya mempunyai kepentingan dan agenda tersendiri yang hendak ditonjolkan. Anuar telah diberi peluang untuk memimpin UMNO Kelantan dan juga menjadi seorang Menteri. Akhirnya apa terjadi? Kes Annuar Musa masih belum diselesaikan sedangkan rakyat miskin tetap miskin kerana penyelewengan wang PPRT oleh kementerian di bawah Annuar Musa itu.

Apa yang jelas hanya seorang tokoh UMNO di Kelantan yang masih disanjungi rakyat Kelantan iaitu Tengku Razaleigh. Tengku Razaleigh tetap menang dalam setiap pilihan raya sama ada dia seorang ahli UMNO atau pembangkang S46 dahulu. Ini bermakna populariti Tengku Razaleigh di kalangan rakyat Kelantan masih tinggi, PAS tahu dan UMNO tahu, tetapi Mahathir pura-pura buat tak tahu. Sunggupun Tengku Razaleigh telah menjadi ahli UMNO semula tapi Mahathir tetap pinggirkannya.

Hairan juga sungguhpun UMNO tahu ketokohan Tengku Razaleigh, tetapi UMNO lebih suka kepada Zaid Ibrahim. Zaid Ibrahim dihadiahkan jawatan Annuar Musa itu kerana jasanya kepada UMNO dalam menentang pelaksanaan hukum hudud kerajaan negeri Kelantan. Biasanya orang berbudi ini akan menerima habuan sewajarnya. Itulah perangai Mahathir,bukan kerana orang itu berwibawa. Lihat saja pada Aziz Shamsuddin, tengku Adnan Mansor, K.Kayevas, Zainuddin Mydin dan lain-lain. Apakah mereka ini Betul-betul berkaliber? Tanya Mahathir.

UMNO tak pernah belajar daripada kesilapan malah UMNO akan terus melakukan kesilapan demi kesilapan bukan kerana mereka ini tidak mempunyai tokoh-tokoh berkaliber tetapi kerana mentaliti kekronian yang begitu tebal maka cantas-mencantas sesama mereka adalah ‘order of the day’ Jadi PAS tak perlu khuatir akan perubahan kepimpinan UMNO Kelantan ini kerana siapa saja UMNO letak untuk memimpin UMNO,rakyat Kelantan akan tetap pangkah bulan jua.

Bagi saya perubahan kepimpinan dalam UMNO patut berlaku lama dahulu bermula dengan presiden dan ahli-ahli MKTnya. Tetapi demokrasi yang dilaungkan UMNO adalah demokrasi ala-Mahathir. Mahathir akan mencari helah untuk mengelak pertandingan setiap kali bila nak diadakan pertandingan dalam UMNO. Jadi yang menentukan sama ada pertandingan ini bukan MKTnya, bukan perlembagaan UMNOnya, tetapi keputusan Mahathir yang akan diiyakan oleh MKT tersebut.

Bagaimanakah pemulihan UMNO harus berlaku? Adakah dengan cara menukar pemimpin dari masa ke semasa seperti yang berlaku di Kelantan itu ? Dan bila pula akan berlaku pada negeri-negeri lain, walaupun Mahathir telah mengumumkan bahawa negeri-negeri Kedah, Perlis, Pahang dan Terengganu akan mengalami perubahan pemimpin sebelum pemilu akan datang.

Seperkara yang terlintas dalam pemikiran saya ialah apakah DSAI akan kembali ke UMNO atau UMNO kembali ke DSAI? Satu persoalan yang perlu UMNO dan DSAI fikir masak-masak. UMNO perlu satu strategi untuk menyatu-padukan semula orang-orang Melayu,mengambil balik Kelantan dan Terengganu daripada PAS dan mereka tahu DSAI berupaya berbuat demikian. UMNO juga tahu DSAI mempunyai ramai pengikut di negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Pahang. Berupayakah DSAI dan mahu kah DSAI menerima tawaran tersebut?

Kalau DSAI balik kepada UMNO di mana UMNO akan letakkan beliau? Dan kalau UMNO balik kepada DSAI, apakah DSAI akan dilantik Timbalan Perdana Menteri semula? Inilah persoalan sejuta RM yang sukar dicari jawapannya.

Kalau DSAI balik kepada UMNO apakah UMNO akan menerima beliau semula? Kalau UMNO terima DSAI semula adakah DSAI akan diletak mengikut status quo lama sebelum DSAI dipecat. Apa yang jelas DSAI tidak keluar daripada UMNO tetapi UMNO yang mengeluarkan DSAI dengan cara yang aib sekali. Mahukah UMNO terima DSAI semula? Kalau UMNO pula kembali kepada DSAI apakah DSAI mahu menyertai parti yang menyingkirkan beliau dahulu? UMNO dalam proses hendak mencari pemimpin yang berwibawa, pemimpin yang boleh memimpin orang-orang Melayu khususnya dalam era pasca-Mahathir.

Tengku Razaleigh dulu pernah bercerai dengan UMNO. Rais Yatim pernah mendapati jambatan ke UMNO sudah terbakar. Ibrahim Ali pula sanggup kencing di atas kubur Mahathir. Tetapi, akhirnya semua kembali menyembah Mahathir semula dan menjilat kata-kata yang telah dilemparkan terhadap Mahathir dahulu. Sanggupkah DSAI berbuat demikian?

Yang jelas faktor DSAI adalah penyakit yang besar lagi merbahaya yang sedang melanda UMNO ketika ini. Sungguhpun Mahathir,timbalan presiden dan naib-naib presidennya cuba menafikan bahawa DSAI sudah lagi tiada menjadi isu kepada UMNO dan orang Melayu. Namun demikian Mahathir, timbalan presiden dan naib-naib presiden UMNO tahu dan sedar bahawa faktor DSAI tidak boleh diketepikan. DSAI sentiasa dan akan menghantui UMNO dan Mahathir sendiri.

Mahathir boleh sekat DSAI dengan tidak membenarkan DSAI menerima rawatan seperti yang dikehendakki DSAI. Zam boleh buat tomahan tentang betapa mundurnya kawasan Parlimen Permatang Pauh (DSAI bekas MPnya) menerusi program RTM ‘Antara Dua Darjat’nya, namun masyarakat Permatang Pauh tahu nak bezakan antara kebenaran dan penipuan.

Zam gunakan ketua-ketua cawangan UMNO untuk disuruh buat ulasan fasal pembangunan di Permatang Pauh. Takkan orang UMNO ini nak kata kerajaan/UMNO tu tak bagus? Bila menghendaki pendapat orang ramai Zam fokus kepada pelajar-pelajar lepasan SPM yang mengikuti kursus tertentu untuk buat komen. Mereka ini entah daftar sebagai pemilih entah tidak! Demikianlah telatah penipuan RTM dan UMNO yang ditayangkan berulang-ulang kali kepada rakyat.

Mahathir telah menarik samannya untuk menjadikan DSAI muflis kerana DSAI tidak bayar denda yang dijatuhkan mahkamah. DSAI tidak mahu terima notis saman tersebut atas prinsip bahawa penghakiman yang tidak adil. Apakah tindakan ini akan merintis jalan kepada sesuatu agenda UMNO dan Mahathir yang tidak pernah kita duga selama ini?

Boleh jadi juga Mahathir ingat duitnya dah cukup dan DSAI tak boleh buat apa selagi dia menjadi PM. Jadi apa guna Mahathir fikir untuk mendapatkan denda yang cuma RM40 ribu sedangkan Mahathir boleh kaut 100 kali ganda amaun itu!

Sebagai permerhati poltik semasa kita tidak boleh elak daripada beberapa kemungkinan ini. UMNO dalam situasi yang genting akan sanggup buat apa-apa saja demi mempertahankan kedudukannya. Isu-isu bahasa, agama, rasuah, pecah amanah, skandal seks di kalangan pemimpin-pemimpinnya telah menggoncangkan keutuhan UMNO ke akar umbinya sebagai sebuah parti orang-orang Melayu yang mendokong slogan ‘UMNO terus martabatkan Bangsa, Agama, Negara Dulu Kini dan Selamanya’

Pendek kata UMNO sedang beradu untuk ‘survivalnya’ daripada gelombang perubahan minda di kalangan masyarakat Melayu. Kalau perubahan ini tidak dapat dibendung dan kekuatan UMNO tergugat UMNO akan buat apa saja termasuklah membawa dirinya(UMNO) kepada DSAI bagi menyelamatkannya.

Apakah UMNO mencari DSAI atau DSAI mencari UMNO? ‘Politics is the art of impossible’, kata orang. Apa saja boleh berlaku!

ALI ALLAH DITTA - 20.01.2003 (suntingan M@RHAEN)
Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!