1001 SEBAB UNTUK KITA TINGGALKAN UMNO
Oleh Ali Allah Ditta

Beberapa rakan saya bertanya saya, kalaulah kita sebagai pejuang dan penyokong UMNO, apa yang perlu kita lakukan, bila kita tahu pelbagai kepincangan yang sedang berlaku dalam UMNO pada masa kini? Jawapan saya mudah saja, sebagai penyokong UMNO kita mestilah berani mempertahankan kebenaran dan keadilan, jangan jadi tukang hanggok saja. Dalam UMNO ciri tegur-menegur pemimpin sememangnya tidak wujud lagi. Kalau Mahathir kata “taik aku ini wangi”, saya yakin semua ahli UMNO  akan juga berkata YA!!  Kalau itu lah budaya UMNO sudah sampai waktunya ahli-ahli UMNO keluar UMNO beramai-ramai!!

Rakan-rakan saya bertanya saya sama kes Anwar ini masih relevan pada UMNO dalam situasi perkembangan politik kini? Bagi saya soal sama ada kes Anwar ini relevan atau tidak, tidak perlu dipersoalkan. Kerana kes Anwar ini relevenlah menyebabkan UMNO gelabah setiap kali isu Anwar ini dibangkitkan. Saya teringat Mahathir dan beberapa tokoh UMNO lain pernah mengatakan bahawa Anwar sudah tak releven lagi dan tidak perlu takut. Tapi, setiap kali bila kes Anwar ini dibincang, akhbar-akhbar tempatan seolah-olah memadam langsung berita-berita kes Anwar ini. Kenapa media-media ini berbuat demikian kerana mereka takut berita Anwar ini disensasikan atas arahan orang-orang atasan. Baru-baru ini bila berita meniup bahawa Anwar dikatakan akan dibebaskan, Mahathir terpaksa batal cutinya untuk mengadakan mesyuarat tergempar MKT membincang isu Anwar secara tergesa-gesa. Kenapa ya? Saya rasa rakan-rakan saya tahu jawapannya tapi segan nak cerita pada saya.

Mahathir dan UMNO sememangnya mahu Anwar dipenjarakan walaupun mereka tahu kes rayuan Anwar itu akan berjaya. Mahathir dari awal telah merancang dengan meletakkan peguam negara, ketua hakim negara dan memilih hakim-hakim mahkamah rayuan yang akan melutut kepada kemahuannya. Jadi tak heranlah kenapa rayuan Anwar ditolak walaupun daripada segi perundangan ada banyak sebab kenapa rayuan itu patut diterima dan Anwar dibebaskan. Mahkamah Rayuan terpaksa bertindak mengikut skrip yang telah disediakan oleh Mahathir demi menyelamatkan maruah Mahathir dan konspirator-konspiratornya.

Bagi saya, Mahathirlah orangnya yang menuduh dan mengaibkan Anwar secara terbuka dan Mahathirlah orangnya yang menjatuhkan hukuman terhadap Anwar serta memecat Anwar daripada UMNO sebelum sempat mahkamah membuat apa-apa keputusan! Bila Anwar didakwa, kenapa tiada tindakan diambil bila Rahim Thamby Chik, Shahidan Kassim, Tok Mat dan lain-lain pemimpin membawa wanita menggunakan pesawat peribadi melalui saluran VIP Subang? Apakah nilai moral yang ada pada pemimpin2 UMNO, seperti Rahim Tamby Chik yang kes rogolnya masih belum selesai hingga hari ini? Megat Junid dengan kes Mustakizah yang terbunuh itu?

Amalan berjudi, perempuan dan arak sering menjadi hobi masa lapang bagi pemimpin-pemimpin UMNO yang berpengaruh ini. Di mana letaknya moral UMNO? Bagaimana pula moral Rafidah Aziz, Najib, Ghafar Baba, Ahmad Razali Ali, Tok Mat, Sabaruddin Chik, Annuar Musa, Mohammed Taib dll. Mohamad Taib ditangkap dengan membawa wang berjuta-juta dolar dalam beg di Australia. Kalau undang-undang Australia membolehkan orang yang membawa wang secara haram dan melanggar tatacara peraturan memasukkan wang di negara itu boleh didakwa dan diambil tindakan undang-undang, tetapi kenapa di Malaysia orang yang memiliki wang berjuta-juta itu tidak diambil tindakan undang-undang? Mungkin kerana dia itu orang besar UMNO! Rakyat Malaysia ingin tahu daripada punca mana Mohamad Taib memperolehi wang berjuta-juta dolar itu? Heran juga para ahli UMNO masih mahu memilih orang seperti ini untuk menjadi Naib Presidennya !

Apakah pula nilai moral dan kesetiaan pada kerajaan yang ada pada Mahathir bila Mahathir mengutuk dan mencerca Tunku Abdul Rahman selepas disingkir daripada UMNO? Mahathir mengutuk Tunku di London dan Australia. Inilah budaya UMNO, kuman diseberang lautan nampak sedangkan gajah di depan mata tidak kelihatan. Sebab itulah orang berkata ahli UMNO ini bukan setakat buta perut tetapi buta mata!

Mahathir tidak mahu menangani kes-kes rasuah, salahguna kuasa, penyelewengan, skandal seks para menterinya, sebaliknya sanggup melakukan apa saja untuk menghapuskan Anwar daripada muka bumi ini. Kenapa? Adakah kerana betul Anwar itu korup dan bersifat sodomist? Jawapannya,TIDAK. Mahathir sebenarnya takut akan kekuatan dan pengaruh Anwar. Mahathir takut memikirkan apa Anwar akan buat bila Anwar berkuasa nanti. Mahathir terpaksa menyelamatkan anak-anaknya,kroni-kroninya yang rata-rata terlibat dengan rasuah, penyelewengan, kezaliman dan salahguna kuasa secara terbuka dan secara besar-besaran. Jadi, Mahathir terpaksa buat apa saja untuk menjatuhkan Anwar. Bukan kerana Anwar itu korup atau seorang sodomist!!

Seandainya UMNO itu adalah bersih dan masih bermoral tinggi sudah tentu ramai orang Melayu akan sokong UMNO tak kira siapa pemimpinnya. Tetapi, kalau UMNO itu penuh dilumuri dengan najis dan sering dikaitkan dengan korupsi, skandal seks, penyelewengan, kezaliman serta salah guna kuasa buat apa orang-orang Melayu sokong UMNO lagi? Kalau pemimpin yang akan menggantikan Mahathir itu adalah replika Mahathir dan masih mengamalkan dan mempertahankan dasar-dasar Mahathir maka parti UMNO akan tetap UMNO ala Mahathir sudah pasti rakyat akan menolaknya.

Bagi saya UMNO sedang  sakit tenat akibat pemimpin-pemimpin UMNO sendiri yang tamak dan mabuk kepada kuasa, wang dan harta. Bolehkah pemimpin-pemimpin genarasi baru UMNO ini akan mengubah nasib UMNO akan datang?  Saya ingin bertanya sanggupkah Abdullah Badawi atau Najib Tun Razak  yang bakal menggantikan Mahathir nanti boleh membersihkan amalan-amalan buruk peninggalan Mahathir seperti yang tersenarai di bawah ini dengan cara….?

1.Selesaikan masalah menipu duit rakyat – KWSP, KWAP, Tabung Haji, PPRT dsbnya.

2. Selesaikan Skandal Perwaja yang kerugian terkumpul berbillion-billion ringgit. Mengapa tiada apa-apa tindakan diambil terhadap Eric Chia yang menyebabkan kerugian Perwaja sebanyak RM2.985 bilion yang ada melibatkan kelulusan dan kepentingan Mahathir? Pernahkah pimpinan UMNO/BN memberi perhatian serius dengan fakta dan analisis yang dibuat juruaudit Price Waterhouse?

3. Kembalikan wang royalti minyak yang disamun dan dirompak daripada kerajaan Terengganu.

4. Jangan memperkudakan Jabatan Peguam Negara, Badan Kehakiman, PDRM, Jabatan Penyiaran RTM, TV 1, 2, 3 & 7, SPR dan Jabatan-jabatan lain sebagai alat untuk mencapai cita-cita politik UMNO

5. Menjamin hak asasi manusia yang disekat begitu rupa di Malaysia dengan terdapatnya 12 akta yang bertentangan dengan hak asasi rakyat, termasuk ISA.

6. Mengadakan siasatan terhadap Ling Liong Sik, bila diketahui umum, anaknya yang berumur 27 tahun punyai asset bernilai 1.5 bilion ringgit?

7. Mengadakan siasatan terhadap Samy Vellu, mengawinkan anaknya S.Vell Paari saja belanja lebih 1 juta ringgit.

8. Mendakwa Daim Zainuddin kerana menerima ratusan juta ringgit hasil agihan saham Resort World sepertimana laporan polis oleh DSAI pada Julai 99. Anwar melaporkan Daim melarikan sejumlah RM700 juta ke luar negara. Laporan polis Anwar yang mendedahkan 3 surat dari tiga tokoh korporat (Tajuddin, Wan Azmi, Halim Saad) membuktikan Daim terlibat dalam rasuah berbentuk wang dan saham. Mereka dilaporkan sebagai pemegang amanah wang bagi pihak Daim sebanyak RM120 juta dan sejumlah saham yang bernilai berjuta ringgit. Menurut Anwar, Daim merupakan satu-satunya menteri kewangan yang mempunyai bank sendiri, International Bank of Malaysia.

9. Mendakwa Rafidah Aziz dan Rahim Thamby Chik kerana rasuah, penyelewengan, dan salah guna kuasa.

10. Kembalikan bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR).

11. Sebagai negara Islam,laksanakan hukum Hudud & Qisas.

12. Selesaikan masalah murtad seperti yang dimaklumkan oleh bekas Mufti WP Datuk Hashim Yahya, yang  mendedahkan terdapat 3,000 orang memohon untuk keluar dari Islam di KL.

13. Menghapuskan amalan kronisme dan nepotisme secara berleluasa dan berterusan dalam pemerintahan BN serta mengheret semua kroni-kroni Mahathir serta anak-anak Mahathir yang dikatakan memiliki sebanyak 218 buah syarikat sendirian berhad di antara Mirzan, Mokhzani dan Mukhriz yang diperolehi dengan menggunakan nama dan pengaruh bapa mereka.

14. Menarik balik konsessi yang dihadiakan kepada Renong Group yang diberi keuntungan secara mudah/percuma bila dianugerahkan tanah seluas 27,000 ekar di Gelang Patah, Johor serta kepada beberapa buah syarikat kroni lain yang terlibat dengan cara mendapatkan tanah dengan harga murah dan dijual dengan harga yang teramat tinggi.

15. Mendengar semula kes Anwar mengikut hukum Syariah, kerana Malaysia telah diisytiharkan negara Islam dan menghukum semua konspirator termasuk Mahathir sekiranya Anwar didapati tidak bersalah dan bebas.

Ada berpuluh-puluh lagi kes “bailout” oleh kerajaan Mahathir ke atas kroni-kroninya yang terlalu panjang untuk dicatat di atas tetapi memadai menyebut beberapa untuk memulihkan ingatan para pembaca. Di antaranya, IWK (Indah Water Konsortium) yang mana kerajaan membayar RM 925 juta bagi menyelamatkan IWK, walaupun pada ketika itu IWK kerugian lebih daripada RM 700 juta.

Sistem Transit Aliran Ringan (STAR)dan Projek Usahasama Transit Aliran Ringan(PUTRA) dimana kerajaan Mahathir mengeluarkan RM 6 juta dalam bentuk bond 5 hingga 15 tahun. Pemilik STAR adalah EPF, LUTH, LTAT, KWAP, Shell and Sabah Retirement Fund sedangkan pemilik PUTRA ialah RENONG!

KL Monorail System,milik kepunyaan Berjaya Group  juga menerima bantuan daripada kerajaan Mahathir,iaitu selain daripada pinjaman RM 300 juta, kerajaan Mahathir telah memanjangkan konsensi daripada 30 kepada 40 tahun.

Express Rail Link (ERL) menelan belanja sebanyak RM2.5 bilion di mana kerajaan Mahathir menyumbang RM 1 bilion (wang rakyat), RM500 juta diperolehi daripada pemengang saham dan bakinya daripada pinjaman. Tabung Haji memiliki 60% dan YTL 40% ekuiti.

MAS, sebanyak RM 1.79 bilion digunakan untuk membeli 20.09% saham MAS daripada Tajuddin Ramli pada kadar RM8.00 sesaham walaupun pada ketika itu harga saham MAS di pasaran saham KLSE baru bernilai RM 3.60 saja. Dengan pembelian itu Tajuddin berjaya membayar hutang syarikatnya,TRI yang  berjumlah RM 3.7 bilion. Yang untung daripada bailout ini ialah Naluri, yang memiliki MAS. Naluri beruntung RM865 juta setelah melangsaikan hutang-hutangnya.

DRB-HICOM, milik UMNO adalah juga penerima kemudahan-kemudahan kerajaan Mahathir. Dengan hutang terkumpul RM 5.06 bilion, Petronas telah membeli 25.8% saham Proton daripada DRB-Hicom dengan harga RM981.02 juta.

Banyak lagi kisah-kisah bailout kroni yang tak dapat disenaraikan, rata-rata melibatkan wang ringgit daripada  EPF, LUTH, LTAT, KWAP, PETRONAS dan wang rakyat. Fikirkan, seandainya bailout-bailout ini gagal apa yang akan berlaku? Pokoknya rakyatlah yang akan dibeban dengan hutang piutang ini dan tak hairan pada masa-masa terdekat harga barangan harian akan melambung naik. Apakah kita sebagai rakyat sanggup menanggung hutang-hutang ini?

Kalau UMNO sanggup memperbaikki dan memperbetulkan  kesalahan-kesalahannya seperti tersebut di atas mungkin rakyat akan mula  menyokong UMNO. Tapi kalau pemimpin-pemimpin baru UMNO tidak berani berbuat demikian, maka ternyatalah itulah tradisi penipuan UMNO, DULU, KINI DAN SELAMA-LAMANYA!!

ALI ALLAH DITTA - 30.04.2003 (suntingan M@RHAEN)


Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!