Tiada Daya Lagi Buat Iraq
Adakah benar Iraq merupakan ancaman kepada keamanan dunia? Betulkah negeri Babylon itu memiliki kekuatan ketenteraan yang maha hebat? Fakta-fakta berikut mungkin dapat memberi peluang untuk kita menilai secara jernih terhadap propaganda yang di rencanakan oleh Amerika Syarikat.

Setelah diembargo (dikenakan sekatan) selama lebih daripada sepuluh tahun, negeri yang sangat kaya dengan hasil minyak terbesar di dunia setelah Arab Saudi itu kini telah menjadi negeri miskin yang terpuruk. Tentera Iraq sekarang sudah runtuh moral untuk berperang lagi dan miskin infratruktur ketenteraan, tepatnya mereka tidak lagi mampu untuk memulakan satu babak perperangan baru menghadapi pula satu kekuatan ketenteraan yang sofistikated.

Selain diembargo, Iraq juga di arahkan untuk mematuhi Zon Larangan Terbang (No-Fly Zone), yang digariskan mulai 36° garis lintang ke Utara dan 32° garis lintang ke Selatan. Realitinya, wilayah udara yang masih tersisa hanya tinggal sepertiga dari keseluruhan tanah airnya sendiri iaitu di antara lingkungan Baghdad, Hadithah, Bayji dan Kirkuk.

Dua pertiga wilayah udara, mulai Kirkuk ke Utara sampai perbatasan Turki dan mulai Ar Rutbah sampai perbatasan Arab Saudi dan Kuwait telah didominasi oleh pesawat-pesawat Amerika Syarikat dan Britain atas nama kawalan keselamatan. Semua ini telah menyudutkan lagi kemampuan angkatan tentera udara Iraq.

Dengan kekurangan pembiayaan, peralatan perang yang ketinggalan zaman di samping tak berupaya untuk menganti peralatan ketenteraan akibat kesan embargo. Maka, adakah dapat diterima oleh akal bilamana sebuah negeri yang sudah 'keropos' ini merupakan ancaman bagi dunia? Sedangkan untuk bertahan hidup saja, rakyat Iraq sangat bergantung kepada skim tajaan PBB iaitu Oil for Food, yang hanya sekadar mengurangkan kelaparan rakyat Iraq - bukannya menyelesaikan!

Sebelum ini, rombongan doktor daripada Belanda yang aktif menyalurkan bantuan kemanusiaan di Iraq melalui Medecin du Monde (MM), mengatakan bahawa situasi kesihatan rakyat Iraq sangat mencemaskan. Manakala infrastruktur kesihatan telah lumpuh akibat ketidaupayaan kerajaan untuk menyediakan dana. "Peralatan hospital semuanya sudah berkarat, bahkan tidak dapat digunakan lagi. Justeru, wajarkah mereka kembali lagi disergah dengan peperangan? Perasaan saya ketika ini sungguh tidak menentu," kata salah satu anggota MM sebelum meninggalkan Iraq.

Maklumat seperti ini telah menyentuh dhamir setiap insan yang cintakan keamanan yang akhirnya tergerak untuk bersikap menentang rancangan Amerika Syarikat menyerang Iraq. Di mana yang berbahayanya sebuah negara yang telah dihancurkan di dalam perang teluk 1991 dan dibuat melarat dengan embargo yang tidak berkesudahan?

Data yang dilaporkan oleh International Institute of Strategic Studies (IISS) menyatakan, pada saat ini Iraq hanya memiliki 2 200 tank, 1 900 artileri, 310 pesawat tempur dan beberapa ribu senjata anti serangan udara dan 375 000 angkatan tentera sahaja.

Namun sebahagian besar peralatan ketenteraan tersebut sudah lapuk dan tidak terurus. Contohnya Tank T-72 dan pesawat tempur MiG, semuanya keluaran tahun 1970 dan 1980 hasil sisa perang melawan Iran. Pesawat MiG itupun tidak mempunyai apa-apa erti lagi memandangkan ianya kehilangan beberapa peralatan elektronik dan tidak lagi dilengkapi dengan peluru berpandu yang diperlukan untuk berasak di udara.

Iraq sekarang bukan lagi Iraq di era 80-an. Ketika itu negeri yang menyimpan peradaban silam ini memang memiliki armada tentera yang terkuat di kalangan negara Arab. Dua sayapnya yang terkenal, Hammurabi dan Nebucednezar dengan gagah diperkuatkan oleh 5 500 kereta kebal tercanggih masa itu (T-72).

Manakala armada udara pula dilengkapi dengan kekuatan 600 pesawat tempur, di antaranya MiG (Rusia) dan Mirage F-1 (Perancis). Angkatan daratnya didukung oleh 1 000 000 tentera yang dipecahkan dalam 50 bahagian. Keseluruhan peruntukan perbelanjaan ketenteraan Iraq pada masa itu mencapai USD3 Billion setiap tahun.

Kini semua itu telah menjadi sebahagian dari sejarah. Iraq sekarang adalah Iraq yang sangat lemah. Kebesaran Iraq dan tingkat ancamannya bagi 'perdamaian dunia' barangkali hanyalah perspektif sepihak - Amerika Syarikat dan sekutunya.

Perang kini telah terlanjur dimulai. Masyarakat dunia kini sedang menyaksikan proses kejatuhan Iraq ke tangan Amerika Syarikat. Ia hampir pasti berlaku! Yang tidak pasti adalah apa yang berlaku sesudah kejatuhan Iraq? Dan siapa mangsa seterusnya? Benarlah, dunia memang telah tua!

Abu Faqieh Aktivis PMA -  url: www.memokampus.cjb.net
email: abufaqieh@yahoo.com - 20.03.2003 (suntingan M@RHAEN)


Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!