Penambahan Kawasan Pilihan Raya:
Satu Lagi Penyalah-Gunaan Kuasa?
Mengikut Perlembagaan Persekutuan, pihak kerajaan memang mempunyai kuasa untuk melakukan ‘persempadanan semula’ (menyemak dan menambah kawasan pilihan raya) setiap lapan tahun sekali.

Hal ini sudah jadi pengetahuan umum, dan tidak perlulah diterangkan dengan memberi penekanan yang berlebihan, seperti yang dilakukan oleh Rais Yatim melalui TV Malaysia beberapa hari yang lalu.

Akan tetapi, apa yang dipersoalkan ialah, mengapa penyemakan dan penambahan kawasan pilihan raya itu dilakukan dengan begitu tergesa-gesa?

Di samping itu, ada dua perkara yang patut dipersoalkan, kerana ketidak-wajarannya agak menjolok mata:

a) Mengapa negeri-negeri yang dikenal-pasti sebagai negeri di mana UMNO/BN agak kuat, seperti Johor dan Sabah, diberi tambahan kerusi yang jauh lebih banyak daripada negeri lain? Sebaliknya, dua buah negeri yang diperintah oleh PAS, iaitu Kelantan dan Terengganu tidak diberi tambahan kerusi langsung?

b) Mengapa banyak kawasan yang dalam pilihan raya tahun 1999 dimenangi oleh parti pembangkang, khasnya PAS, telah ‘dihilangkan’ dengan cara memecahkannya dan mencantumkannya dengan kawasan lain?

Saya rasa tambahan kerusi yang lebih banyak kepada dua buah negeri itu memang disengajakan, supaya BN akan mendapat kerusi yang lebih banyak dalam pilihan raya yang akan datang.

Begitu juga ‘menghilangkan’ kerusi yang telah dimenangi oleh parti pembangkang itu juga telah dilakukan dengan tujuan supaya penyokong pembangkang akan terpecah dan tidak lagi terkumpul di kawasan tertentu. Ini juga tentunya dilakukan dengan tujuan untuk memberi keuntungan kepada BN.

Walaupun tambahan kerusi itu dikatakan telah dilakukan berasaskan beberapa kriteria (seperti tambahan penduduk, keadaan sosioekonomi dan kedudukan geografi), tetapi semuanya itu boleh diada-adakan dan dimanipulasi untuk memberi ‘keuntungan’ kepada BN.

Dengan melakukan kerja seperti ini, nampak sangat SPR sebenarnya tidak bebas, malah telah diperalatkan oleh parti pemerintah.

Perbuatan menambah kawasan pilihan raya di negeri yang UMNO/BN kuat dan tidak menambah kerusi langsung di negeri yang dikuasai oleh PAS, adalah satu lagi contoh penyalah-gunaan kuasa oleh parti pemerintah.

Mungkin parti pemerintah sekarang sudah begitu terdesak, sehingga sanggup melakukan tindakan yang tidak wajar itu.

Akan tetapi, rakyat kini telah semakin sedar, dan dijangka akan menolak BN dalam pilihan raya yang akan datang, termasuk di negeri yang diberi banyak tambahan kerusi itu.

Oleh Al-Jerami - 09.04.2003 (suntingan M@RHAEN)


Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!