Perpaduan UMNO Dan PAS:
UMNO Perlu Membuktikan Keikhlasannya
Setelah agak lama tidak ada sesiapa yang menyebutnya, baru-baru ini, entah mimpi apa, Naib Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin telah bercakap tentang ‘perpaduan’ antara UMNO dengan PAS.

Kata beliau, UMNO sedia bekerjasama dan membentuk persefahaman dengan parti politik Melayu, termasuk PAS, demi kepentingan umat Islam di negara ini.

Kerjasama dan persefahaman antara UMNO dengan PAS, jika dapat dilaksanakan, saya kira memanglah baik, dan tentulah kedua-dua pihak berpendirian begitu juga.

Selama ini, kedua-dua UMNO dan PAS boleh bekerjasama dengan parti bukan-Melayu dan bukan-Islam. Jadi memang tidak wajar rasanya jika kedua-dua parti Melayu ini tidak boleh bekerjasama.

Akan tetapi, sebelum kedua-dua parti itu boleh bekerjasama, mestilah ada ‘syarat-syarat’ atau kondisi yang membolehkan kedua-dua parti menjalin kerjasama itu. Antaranya, yang terpenting, saya rasa ialah keikhlasan di pihak UMNO sebagai parti yang memerintah dan menguasai kerajaan Pusat.

Tanpa keikhlasan di pihak UMNO, saya rasa kerjasama dan persefahaman itu sukarlah tercapai sampai bila-bila.

Keikhlasan itu pula mestilah dibuktikan sehingga meyakinkan pihak PAS dan rakyat negara ini pada umumnya.

Antara bukti yang diperlukan ialah, UMNO mesti bersedia menerima ‘status quo” atau keadaan yang sedia ada seperti sekarang.

Maknanya, kalau sekarang PAS memerintah Kelantan dan Terengganu, UMNO patut memberi peluang kepada PAS memerintah kedua-dua negeri itu beberapa lama lagi, dan tidak perlulah beria-ia hendak merampas kedua-dua negeri itu daripada PAS.

Malah lebih baik lagi, kalau UMNO yang menguasai kerajaan Pusat dapat membantu PAS membangunkan kedua-dua negeri itu, supaya kedua-dua negeri itu juga maju dan membangun seperti negeri-negeri lain di Pantai Barat.

Dalam konteks negeri Terengganu pula, kerajaan Pusat patut memulangkan wang royalti minyak yang telah dirampas dan kononnya jadikan ‘wang ihsan’ oleh kerajaan Pusat.

Inilah antara ‘keikhlasan’ yang perlu dibuktikan oleh UMNO, kalau sekiranya UMNO benar-benar hendak menjalin kerjasama dan persefahaman dengan PAS.

Mungkin apa yang saya nyatakan di atas, tidak selari dengan ‘logik politik’, kerana logik politik memang menghendaki UMNO dan PAS, sentiasa bersaing dan bertanding sampai bila-bila.

Akan tetapi, kalau UMNO benar-benar hendak menjalin kerjasama dan persefahaman dengan PAS, logik politik itu mungkin perlu diketepikan untuk sementara waktu, untuk menunjukkan keikhlasan di pihak UMNO.

Sanggupkah UMNO berbuat demikian? Jika UMNO tidak sanggup berbuat demikian, berertilah UMNO tidak sungguh-sungguh mahu bekerjasama dengan PAS, dan cakap-cakap untuk bekerjasama itu hanya merupakan retorik dan ‘pemanis cakap’ yang tidak bererti apa-apa.

Oleh Al-Jerami - 13.04.2003 (suntingan M@RHAEN)


Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!