http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/
http://marhaen3.tripod.com/ - http://e-umno.tripod.com/(digantung sementara)

MERITOKRASI DAN ORANG MELAYU
Oleh Al-Kundangi


Saya tertarik dengan isu meritokrasi, namun belum ada masa nak buat ulasan. Semalam ada wawancara dengan Pak Ungku Aziz dalam Mingguan Malaysia (9.6.2002),bagus juga. Pak Ungku tidak setuju pun dengan meritokrasi. Saya rasa apa yang Pak Ungku cakap itu betul. Katanya kita kena lihat Melayu di kampung. Mereka masih lemah, kekurangan zat makanan, miskin dan persekitaran yang tidak menggalakkan untuk pelajaran. Sebab itu tidak sesuai untuk pelaksanaan sistem meritokrasi.

Pada pandangannya isu meritokrasi sebenarnya bukan isu persaingan seperti yang disebut-sebut oleh para pemimpin UMNO. Ia adalah satu kompromi politik. Tuntutan Suqiu 17 perkara itu kini sudah sunyi sepi, tetapi mereka dapat satu demi satu melalui meritokrasi, kemudian peruntukan 10% bagi program matrikulasi dan MRSM. Jadi soalnya siapa yang untung dalam isu meritokrasi ini? Dan yang rugi adalah anak Melayu juga. Mahathir tidak peduli anak Melayu rugi, asalkan dia dapat mengekalkan kuasanya pada pilihanraya akan datang. Inilah sebenarnya isu di sebalik kuota kemasukan pelajar ke IPTA ini.

Sepatutnya kita kembali kepada kontrak sosial menjelang kemerdekaan, di mana hak-hak orang Melayu dijamin oleh perlembagaan di bawah perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Hak-hak untuk belajar, hak untuk ekonomi, dan sebagainya akan hilang satu demi satu jika perkara 153 ini diabaikan. Sepatutnya sesuatu yang sudah dilembagakan tidak perlu dipinda. Tetapi itulah Mahathir, itulah juga UMNO. Mereka meminda sewenang-wenangnya Perlembagaan Persekutuan tanpa membincangkannya di Parlimen. Apabila Umno lemah, mereka perlukan sokongan. Sementara itu parti-parti bukan Melayu terus mendesak meminta itu dan ini di saat-saat Umno lemah dan pilihanraya menjelang tiba. Mahu tidak mahu hak-hak Melayu digadaikannya demi untuk mempertahankan kuasa dan kedudukan.

Kepimpinan Umno sebenarnya sudah tiada pegangan. Hendak berpegang kepada konsep Melayu, bangsa Melayu dan hak-hak Melayu, orang Melayu sendiri sudah tidak menyokong mereka kecuali ahli-ahli Umno yang seperti kerbau dicucuk hidung itu. Lalu mereka cuba mendapatkan sokongan dari kaum Cina dan India dengan menggadaikan hak-hak Melayu.

Begitulah Umno yang sudah tiada sokongan dan pegangan itu. Jika mereka betul-betul berpegang kepada Islam, tidak timbul masalah ini. Islam menjamin bukan sahaja hak-hak Melayu, tetapi hak semua bangsa yang menjadi warga negara di Tanah Melayu ini akan terjaga, akan selamat. Sebab sebagaimana yang kita tahu, Islam tidak akan berlaku tidak adil kepada rakyatnya, walau pun rakyat yang bukan beragama Islam, kerana bagi mereka ada hak-hak lain yang diperuntukkan di bawah hak ahli zimmah dan sebagainya.

Hanya dengan Islam sahaja kita akan selamat. Kita tidak akan selamat jika bergantung dengan konsep bangsa, iaitu Melayu. Dan sekarang hak Melayu itu dihapuskan, tiada siapa pun yang berusaha menyelamatkannya. Tetapi jika hak Islam diusik, umat ini akan bangun apabila had kesabarannya hilang dan sanggup mati syahid demi mempertahankan agama dan akidah Islam ini. Dengan demikian bagi kita yang berada dalam gerakan Islam, kita tidak perlu risau bila Umno memperlekehkan hak Melayu mahu pun menghapuskannya sama sekali. Jika mereka memansuhkan hak Melayu demi survival politik mereka, mereka sendirilah yang akan menanggung padahnya, sebab merekalah (Umno) orang-orang Melayu yang berjuang atas nama dan bangsa Melayu. Jadi siapakah yang bodoh dan bahlul dalam isu meritokrasi ini?

AlKundangi - 10.06.2002.
~ Sila cetak dan sebarkan terutama di kampung-kampung ~

 

FREE - An online program to make a huge income. more info
Click Here!