http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/
http://marhaen3.tripod.com/

ISU BAHASA INGGERIS: 
APAKAH KITA KEHILANGAN KEMERDEKAAN?

Oleh AlKundangi


Kedudukan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan kini digugat lagi. Kali ini yang menggugatnya bukan dari kalangan etnik lain dalam masyarakat majmuk Malaysia ini. Sewaktu Bahasa Malaysia ingin didaulatkan sebagai bahasa pengantar  bagi Sistem Pendidikan Negara, kaum bukan Melayu memberikan tentangan terbuka terhadap pelaksanaan dasar berkenaan. Pada fasa pertama penguatkuasaan itu, kaum Cina menentang dengan hebat sekali. Mereka menganggap dasar ini menyekat kebebasan mereka serta menggugat hak asasi kaum mereka sendiri.

Pada masa Ordinan Pelajaran 1952 dibuat, prestasi Bahasa Melayu diletakkan pada tahap yang lebih tinggi, iaitu muncul sebagai bahasa pengantar yang kedua pentingnya. Apabila Ordinan Pelajaran 1957 dan Akta Pelajaran 1961 digubal, Bahasa Melayu akhirnya diterima sebagai bahasa pengantar pendidikan yang rasmi di negara ini. Semua parti yang bergabung dalam Perikatan menerima dengan terbuka dasar ini. Hal ini mengingatkan kepada kita kedudukan yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan 1957 dan Perlembagaan Malaysia 1963 terhadap Bahasa Melayu, iaitu sebagai Bahasa Kebangsaan di bawah perkara 152 dengan menyebutkan bahawa Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang  oleh Parlimen.

Namun setelah berbagai usaha dibuat untuk memantapkan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan, kini timbul dari mulut Perdana Menteri sendiri bahawa Bahasa Inggeris akan dijadikan bahasa pengantar bagi subjek matematik dan sains di sekolah-sekolah dan akhirnya akan dilaksanakan di peringkat pengajian tinggi walaupun secara beransur-ansur. Sekiranya dasar tersebut dilaksanakan, Bahasa Inggeris akhirnya akan mengambil tempat lebih dari 70% bagi keseluruhan pengajian tinggi di peringkat IPTA. Hanya beberapa subjek sastera dan sains kemasyarakatan serta pengajian Islam sahaja yang tidak menerima pakai arahan ini. Ertinya dalam hal ini kita akan berbalik ke zaman sebelum merdeka, zaman sebelum Ordinan Pelajaran 1952, di mana bahasa pengantar di sekolah-sekolah dan pusat pengajian tinggi adalah Bahasa Inggeris.

Satu pertanyaan yang timbul di kepala kita ialah apakah Bahasa Malaysia tidak layak dijadikan bahasa pengantar di sekolah-sekolah dan pusat-pusat pengajian tinggi? Apakah usaha-usaha yang telah dijalankan oleh para pejuang bahasa untuk memartabatkan Bahasa Malaysia sehingga diterima-pakai di peringakat IPTA akan terbiar begitu sahaja? Apakah usaha-usaha yang memakan masa lebih empat puluh tahun itu akan menjadi sia-sia belaka? Satu pertanyaan lain yang mungkin berlegar di kepala kita ialah siapakah sebenarnya yang sedang memerintah kita? Melayukah? Inggeriskah? Umnokah? Atau siapakah sebenarnya petualang dalam hal ini? Mahathirkah? Bushkah? Atau dasar anti-keganasan Amerika selepas 11 Septemberkah? Bertalu-talu pertanyaan yang tanpa jawaban itu melanda pemikiran kita, untuk mencari jawaban siapakah sebenarnya di sebalik penguatkuasaan B.Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi subjek sains dan matematik ini?

Apa yang dapat kita rasakan kini ialah kita tidak merdeka lagi. Sekiranya dasar tersebut terus dilaksanakan tahun hadapan, tentunya kita adalah rakyat sebuah negara yang merdeka pada lahirnya sahaja, tetapi sebenarnya masih dijajah dan menggunakan bahasa penjajah dalam sistem pendidikan kita. Apakah negara-negara lain sedemikian? Apakah Indonesia memartabatkan kembali Bahasa Belanda setelah merdeka sekian lama. Apakah yang Jepun laksanakan dalam sistem pendidikan mereka. Bagaimana  dengan Korea dan Taiwan? Seandainya Dasar Pandang Ke Timur masih relevan, mengapakah tidak mencontohi Jepun dalam perkara ini? Mengapakah penuntut-penuntut kita yang ingin belajar di Jepun terpaksa belajar Bahasa Jepun, tetapi tidak Bahasa Inggeris? Di manakah logiknya Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Ilmu?

Dalam satu rancangan TV beberapa hari yang lepas, Mahadzir Mohd Khir menyatakan ini adalah satu perkara biasa terjadi apabila satu-satu ketamadunan itu dikuasai oleh sesuatu bangsa. Suatu waktu dulu di abad pertengahan katanya yang ketika itu menjadi tetamu Bicara Siswa yang dipengerusikan oleh Datuk Nordin Kardi, Mahadzir mengingatkan orang-orang Inggeris terpaksa belajar Bahasa Arab, kerana tamadun Islam yang tinggi ketika itu. Mereka menguasai Bahasa Arab untuk menguasai ilmu yang dikuasai oleh orang Arab yang Islam itu. Sebab itu kita perlu mempelajari Bahasa Inggeris, bahasa ilmu pada zaman IT ini. Itu logik Mahadzir Mohd Khir yang menjadi wakil kerajaan dalam rancangan itu.

Kalau kita boleh mengusulkan pertanyaan, kenapakah orang-orang Inggeris yang mempelajari Bahasa Arab itu tidak menjadikan Bahasa Arab sebagai bahasa pengantar bagi sekolah-sekolah mereka, tentu soalan itu akan ditepis oleh beliau. Namun itulah kenyataannya. Mereka hanya mempelajari ilmunya sahaja, tetapi tidak mengambil bahasanya sebagai bahasa utama bagi pendidikan. Jadi mengapakah atau apakah sebab sebenarnya Bahasa Inggeris tiba-tiba ingin dijadikan bahasa pengantar bagi subjek sains dan matematik di negara ini, di mana suatu hari bahasa itu akan menjadi lebih dominan daripada Bahasa Malaysia sendiri? Mengapakah orang-orang Cina melalui persatuan mereka Dong Jiao Zong membantah cadangan kerajaan ini? Di mana orang Melayu dalam Umno? Sedangkan anak-anak mereka juga turut terlibat dengan perubahan dasar ini?

Kita masih kurang jelas apakah agenda di sebalik penguatkuasaan Bahasa Inggeris ini. Sama ada terdapat arahan daripada Amerika sewaktu Mahathir bertemu Bush dahulu tidaklah kita ketahui. Atau apakah ia turut dibincangkan dalam pertemuan Mahathir dengan Ketua Paderi di Vatican tidak berapa lama dahulu?

Apa yang jelas Mahathir telah membuang satu persatu hak-hak dan keistimewaan orang-orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan. Perlembagaan seperti yang kita ketahui telah diterima oleh semua kaum di negara ini sebagai sumber undang-undang negara. Jika Perlembagaan ditolak ke belakang apakah yang menjadi sumber kepada undang-undang di negara ini? Kalau YDP Agong sendiri sudah kehilangan sebahagian imunitinya, siapakah yang paling layak untuk menentukan perjalanan undang-undang di negara ini? Kalau Kanun Jenayah Syariah Kelantan II ditolak sebagai sumber perundangan, begitu juga dengan Hudud Terengganu 2002, apakah lagi sumber undang-undang kita kalau bukan hawa nafsu seorang Perdana Menteri yang sudah hampir mati, yang hanya membilang hari menanti hari-hari terakhirnya. Agaknya itulah kesimpulan yang dapat kita buat setakat ini berhubung dengan pelaksanaan B.Inggeris ini di sekolah-sekolah di negara kita. Kalau bukan begitu, apa lagi?

AlKundangi - 04.08.2002.
~ Sila cetak dan sebarkan terutama di kampung-kampung ~


FREE - An online program to make a huge income. more info
Click Here!