http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/
http://marhaen3.tripod.com/

BELANJAWAN BA
Oleh AlKundangi


Apabila Tuan Guru Menteri  Besar Terengganu menyatakan bahawa ada pegawai-pegawai kanan kerajaan terlibat dalam penyediaan belanjawan BA maka timbullah berbagai respond dari kalangan rakyat,khususnya mereka yang ada kepentingan dalam parti pemerintah.Datuk Rais Yatim misalnya menyarankan supaya tindakan diambil ke atas pegawai-pegawai berkenaan.Timbalan Menteri Kewangan pula menafikan kakitangannya terlibat dalam isu ini.Katanya kakitangan yang menyediakan belanjawan dikawal rapi,dan maklumat tidak mungkin terlepas ke pihak lain.Jika berlaku pembocoran maklumat tindakan haruslah diambil sebagaimana biasa mengikut peraturan dan perintah-perintah Am Kerajaan serta mengambilkira surat Akujanji yang ditandatangani tidak berapa lama dahulu.

Soalnya mengapa BN takut sangat kepada bayang-bayang Belanjawan BA ini, sehingga sesetengah dari mereka mahu mengambil tindakan di bawah Akta Rahsia Rasmi terhadap para pembocor maklumat.Bahkan di satu pihak TG Abdul Hadi sendiri boleh disoal siasat oleh pihak polis (PDRM) berhubung dengan kenyataanya bahawa terdapat segelintir pegawai kanan kerajaan dan para pensyarah universiti membantu menyediakan belanjawan BA itu.Ia samalah seperti isu Tuhan Samseng yang didakwa diucapkan oleh TG Nik Abd.Aziz yang telah pun diambil keterangan oleh pihak PDRM.Apa signifikannya isu samseng dengan tugas polis hanya pihak polislah yang lebih mengetahuinya.Setahu kita polis adalah untuk menjaga keamanan dan keselamatan dan bukannya mengambil tindakan terhadap hal-hal yang berhubungan dengan sifat-sifat Tuhan yang menjadi kajian dalam disiplin pengajian Usuluddin.

Berbalik kepada topik asal,kita mempersoalkan kenapa BN begitu takut kepada bayang-bayang sendiri,seolah-olah belanjawan BA itu akan memakan kewujudan mereka dan melenyapkan mereka dari muka bumi ini? Sebenarnya belanjawan BA itu adalah satu strategi Barisan Alternatif  untuk mewujudkan keyakinan di kalangan rakyat massa bahawa BA juga mempunyai perancangannya sendiri terhadap satu aspek penting pemerintahan iaitu belanjawan. Selama ini kerajaan BN menuduh yang bukan-bukan dan melemparkan kenyataan bahawa BA adalah pakatan yang rapuh,tidak mampu memerintah negara,bahkan tidak mempunyai sebarang agenda terhadap sistem pemerintahan.Bahkan mereka menuduh PAS umpamanya hanya mahu bercakap soal Hudud tanpa konsep pelaksanaan yang jelas.Inilah tanggapan umum BN terhadap kemampuan Barisan Alternatif.

Namun, apabila pakatan BA ingin mengemukakan belanjawan mereka sendiri,sebenarnya usaha ini telah mencabar kedudukan Barisan Nasional itu sendiri. BA yang selama ini dituduh tidak berperancangan dan amat rapuh pakatannya, telah mampu mengemukakan satu belanjawan alternatif yang mungkin lebih prihatin terhadap masalah rakyat marhaen yang menggugat keupayaan BN,kerana tumpuan utama belanjawan BN adalah kepada tokoh-tooh korporat tertentu di samping kepentingan peribadi dan mengaut keuntungan negara sehabis-habisnya. Inilah yang menakutkan BN. BA yang selama ini dilihat tidak berperancangan,tiba-tiba mengemukakan perancangan dengan mengemukakan belanjawannya sendiri. Tentulah parti yang sentiasa mendabik dada "akulah yang lebih tahu tentang pemerintahan" merasa terpukul dengan usaha-usaha BA ini.

Usaha BA menyediakan belanjawannya sendiri memperlihatkan kemampuan BA untuk mentadbir negara ini tanpa kerajaan BN.Ertinya bila BN kecundang dalam pilihanraya atau kecundang di atas kesalahan sendiri seperti berlakunya perpecahan,tidak wujudnya kepercayaan dan saling menghormati antara satu sama lain,Barisan Alternatif sebenarnya dari persediaan belanjawan BA ini sudah bersedia untuk mengambil alih tampuk pemerintahan yang dikosongkan oleh BN itu. Inilah asas ketakutan BN. Strategi BA menyediakan belanjawan sendiri adalah satu strategi yang selaras dengan kabinet bayangan (Shadow Cabinet) yang diamalkan di England. Dalam Kabinet Bayangan,para pembangkang mempunyai satu susunan kementerian dan kerajaan yang terancang untuk bila-bila masa sahaja mengambil alih tampuk pemerintahan jika berlaku sesuatu yang tidak baik terhadap parti pemerintah. Kabinet Bayangan ini mampu meambah keyakinan rakyat kepada program Barisan Alternatif untuk mengambil alih tampuk pemerintahan pada pilihanraya akan datang.Inilah sebenarnya bayang-bayang yang ditakuti oleh BN.

Sebelum ini mereka menuduh BA tidak ada agenda. Tetapi belanjawan BA menampakkan adanya agenda dalam Barisan Alternatif itu.Tentunya BN tidak senang duduk dalam hal ini dan mereka merasa tercabar dengan usaha BA ini.Sebab itu kerajaan BN berusaha untuk mengagalkan tindakan BA untuk membentangkan belanjawannya sendiri.Namun amalan demokrasi menuntut kebebasan bersuara,dan pembentangan belanjawan BA adalah satu daripada kebebasan bersuara yang diterima dalam sistem demokrasi.BN sebenarnya tidak harus menafikan demokrasi untuk membunuh demokrasi itu sendiri.

AlKundangi - 20.09.2002.
~ Sila cetak dan sebarkan terutama di kampung-kampung ~


FREE - An online program to make a huge income. more info
Click Here!