http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/
http://marhaen3.tripod.com/

MEMAHAMI  KABINET BAYANGAN
Oleh AlKundangi


Salah-satu daripada ciri penting dalam sistem demokrasi ialah Kabinet Bayangan. Namun ciri ini tidak ketara dalam amalan demokrasi di negara kita, disebabkan barisan parti pembangkang tidaklah sekuat mana. Walau bagaimanapun, akhir-akhir ini barisan pembangkang khususnya Pas sudahpun menguasai dua buah negeri Pantai Timur Semenanjung selepas pilihanraya 1999. Wakil-wakil rakyat Pas juga kini hadir dalam DUN Selangor, Kedah, Perak dan sebuah dua negeri lain. Keadaan ini memungkinkan Barisan Alternatif yang didominasi oleh Pas mewujudkan sebuah kabinet bayangannya sendiri walaupun sebelum ini jarang orang memperkatakannya. Kabinet bayangan adalah sesuatu yang lumrah dalam sistem demokrasi di Britain, malah ia memainkan peranan yang penting sebagai penyemak tindak-tanduk kerajaan. Ertinya kabinet bayangan adalah suatu sistem yang boleh mengimbangi kuasa kerajaan (check and balance) dan sekiranya kerajaan menyeleweng kabinet bayangan berhak menggantikannya dengan syarat barisan pembangkang adalah kuat dan mampu memenangi pilihanraya pada kali berikutnya.

Di Britain, Ketua Pembangkang memainkan peranan politik sebagai Perdana Menteri Bayangan. Bagaimanapun jawatan ini bukanlah sesuatu yang rasmi dan ia tidak memerlukan kepada sebarang pelantikan formal. Walau bagaimanapun jawatan Ketua Pembangkang itu adalah rasmi di Britain dan ia juga rasmi di Malaysia. Jawatan ini biasanya disandang  oleh parti pembangkang yang paling banyak memenangi kerusi Parlimen dalam sesuatu pilihanraya, dan di Malaysia nampaknya Pas adalah lebih berhak untuk memonopoli jawatan berkenaan kerana parti-parti pembangkang yang lain tidak berjaya memperolehi kerusi yang banyak kecuali sebuah dua berbanding dengan Pas.

Biasanya Perdana Menteri Bayangan akan menamakan ahli-ahli Parlimen dan ahli-ahli partinya untuk menjaga dan memegang portfolio-portfolio tertentu. Amalan ini jelas dalam sistem politik di Britain. Proses penamaan ini bermakna jika seseorang seperti YB Muhammad Sabu diberikan jawatan Menteri Bayangan bagi Hal Ehwal Dalam Negeri,maka YB Muhammad Sabu adalah Menteri Dalam Negeri bagi kabinet bayangan tersebut. YB Muhammad Sabu pula haruslah bertindak sebagai menteri bayangan bagi portfolio yang dipegangnya,dan dia haruslah menjaga kementeriannya mengikut polisi-polisi yang diamanahkan oleh kabinet bayangan itu. Dalam konteks ini, YB Muhammad Sabu haruslah bertindak seperti Menteri Dalam Negeri bagi Kerajaan Alternatif, sekalipun Barisan Alternatif belum lagi memenangi pilihanraya umum. Begitupun, bergantung kepada bilangan ahlinya, jumlah menteri bayangan ini bolehlah menyamai jumlah menteri yang ada dalam kerajaan yang sedang memerintah. Namun jika jumlah ahli-ahli Parlimen dari barisan pembangkang adalah kecil, seseorang menteri bayangan haruslah menyandang dua atau lebih jawatan menteri bayangan untuk mengimbangi jumlah menteri sebenar yang wujud pada satu-satu ketika. Ertinya seseorang menteri bayangan bolehlah memegang dua portfolio atau pun lebih dari itu.

Jawatan Perdana Menteri Bayangan dan Menteri Bayangan ini walaupun tidak rasmi sifatnya, namun ia memberi satu tugas yang besar kepada penyandangnya. Umpamanya bila ada sesuatu hal yang sedang dibicarakan di Parlimen, seseorang Perdana Menteri Bayangan tidaklah perlu berucap dalam semua hal yang bersangkutan dengan pemerintahan. Oleh kerana ia juga mempunyai jemaah menterinya sendiri,maka memadailah menteri bayangan yang mewakili sesuatu portfolio itu mengambil alih tugas dengan menyertai perdebatan atau perbahasan yang sedang berjalan, jika hal yang sedang dibicarakan itu di bawah kawalannya. Dengan demikian, dapatlah dikatakan sistem kabinet bayangan ini mempastikan bahawa sekiranya barisan pembangkang memenangi sesuatu pilihanraya, ia sudah pun mempunyai jentera yang boleh digerakkan pada bila-bila masa sahaja tanpa perlu menunggu suatu saat pun. Hal sebegini  menjamin pemindahan kuasa kepada parti pemerintah yang baru tidak akan menjejaskan perjalanan jentera kerajaan. Sebab itu sistem ini penting kepada negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi, khususnya sistem yang berlandaskan dua parti seperti di Britain.

Adapun di negara kita Malaysia, sistem kabinet bayangan ini tidak begitu menonjol samada diamalkan atau tidak, khususnya disebabkan barisan pembangkang tidak begitu kuat untuk mengimbangi kuasa parti pemerintah. Begitupun kemungkinannya masih tetap ada, istimewa sejak kebelakangan ini kesedaran politik rakyat negara ini kian meningkat. Pola pengundian di Lunas misalnya,memperlihatkan kesediaan rakyat untuk mengundi pihak pembangkang andainya mereka tidak berpuas hati dengan parti pemerintah. Begitu juga dengan kemenangan tipis Barisan Nasional di Pendang, di mana ia memperlihatkan rakyat semakin matang dalam proses politik. Pada pandangan sarjana-sarjana sains politik, perkembangan tersebut merupakan satu proses peningkatan di kalangan rakyat terhadap proses politik di negara ini. Ini lebih memungkinkan keadilan politik wujud jika terdapatnya perimbangan kuasa yang jelas di kalangan parti-parti politik khususnya di antara kerajaan dan pembangkang.

Oleh kerana jumlah pembangkang di negara kita dalam Parlimen tidak begitu besar, maka sistem kabinet bayangan ini kelihatan kurang penting dan tidak begitu relevan, kerana ia tidak dapat diamalkan dengan berkesan. Lagipun harapan bagi pembangkang untuk menggantikan kerajaan masih tidak dapat diramalkan. Keadaan ini mungkin mengurangkan tarikan kepada sistem menteri bayangan dan kabinet bayangan ini. Tambahan pula faedahnya tidak begitu ketara bila sistem seperti itu diamalkan, kecuali ia menambahkan beban ahli-ahli parlimen. Di Britain, tarikannya adalah kepada kemungkinan pertukaran kerajaan dari semasa ke semasa adalah besar. Dan biasanya pelantikan jemaah menteri seandainya terjadi pertukaran kerajaan, adalah menepati apa yang sudah ditetapkan dalam kabinet bayangan itu sendiri.

Walau bagaimanapun, perkembangan politik di Malaysia semakin menjanjikan proses kematangan berpolitik, sesuai dengan anggapan sarjana-sarjana sains politik bahawa manusia itu adalah makhluk politik. Dengan demikian, dengan bertambahnya bilangan pembangkang di Parlimen, tidak mustahil sistem kabinet bayangan ini diamalkan. Namun ia terpulanglah kepada kesediaan parti-parti pembangkang untuk berkerjasama dalam membentuk satu gabungan pembangkang yang kuat yang dapat menyaingi kekuatan parti pemerintah. Barisan pembangkang yang kuat di Parlimen memungkinkan sistem kabinet bayangan ini dapat direalisasikan di negara kita ini.

AlKundangi - 30.09.2002.
~ Sila cetak dan sebarkan terutama di kampung-kampung ~


FREE - An online program to make a huge income. more info
Click Here!