BENARKAH MAHATHIR AKAN LETAK JAWATAN?
Oleh AlKundangi

Satu persoalan yang sering diperkatakan oleh rakyat Malaysia hari ini adalah tentang kebenaran pernyataan Mahathir bahawa beliau akan meletak jawatan penghujung tahun hadapan. Kenyataan mengenai peletakan jawatan itu timbul selepas sebuah drama yang penuh kontroversi dalam persidangan tahunan Umno yang terbaru pada pertengahan  tahun ini. Soalnya apakah benar beliau benar-benar berhasrat akan meletakkan jawatan, tiada siapa yang dapat memastikannya kecuali dirinya sendiri. Ia bagaikan sebuah sandiwara yang belum berakhir sampailah kepada waktunya yang dijanjikan sama ada ia akan menjelma menjadi realiti atau sebaliknya.

Melihat kepada perkembangan terbaru suasana politik tanah air, kita kadangkala sukar untuk mempercayai kenyataan Mahathir tersebut. Personalitinya sendiri menyebabkan kita tidak mempercayainya. Beliau merupakan Perdana Menteri Malaysia yang paling banyak berbohong setakat ini. Suatu waktu dulu, ia menyatakan akan meletak jawatan jika terdapat isyarat dari rakyat untuk berbuat demikian. Tetapi setelah desakan demi desakan, demonstrasi demi demonstrasi meminta beliau berundur sejak pemecatan DS Anwar Ibrahim, Mahathir tidak pernah mengotakan katanya untuk meletakkan jawatan. Ini menunjukkan beliau berbohong dengan kenyataannya dahulu. Begitulah juga dengan tuduhan mata DS Anwar lebam misalnya, Mahathir menuduh Anwar menumbuk sendiri matanya untuk menagih simpati rakyat. Tetapi apabila Rahim Noor disabitkan kesalahan kerana menumbuk mata DS Anwar, ternyata kenyataan Mahathir itu palsu belaka, namun tidak seorang pun ahli Umno mempertikaikannya.

Begitulah dalam perkembangan terbaru berikutan dengan pelantikan Zainudin Maidin sebagai Timbalan Menteri Penerangan, tengku Adnan Mansor sebagai Menteri di JPM dan Jamaludin Jarjis sebagai Menteri Kewangan Ke-2. Setahu kita Zainudin bukanlah dilantik berdasarkan karisma beliau sebagai pemimpin, tetapi adalah sebagai membalas jasa-jasanya dalam usahanya memutar-belitkan kenyataan demi kenyataan yang benar mengenai negara ini dan berusaha melindungi kesilapan-kesilapan Mahathir dengan memberikan hujah-hujah palsu serta menipu rakyat. Peranannya sebagai Awang Selamat dalam Utusan Malaysia selama lebih satu dekad memperlihatkan beliau seorang pengampu kuat kerajaan di samping memperlecehkan para ulama dan hukum-hukum Islam yang penuh kontroversi. Beliau adalah tali-barut orientalis yang cuba menimbulkan keraguan masyarakat terhadap agama Islam. Inilah peranan wartawan-wartawan kanan dalam akhbar arus perdana termasuklah misalnya Syed Akbar Ali, Rosnah Majid (bekas wartawan) dan sebagainya yang sama-sama turut berusaha menimbulkan keraguan umat Islam terhadap Islam itu sendiri.

Rancangan berita di TV1 yang kita tonton kebelakangan ini diselitkan dengan ulasan-ulasan yang bermotifkan politik adalah sesuatu yang tidak dapat disangkal lagi walau apapun alasan yang diberikan oleh Zainudin Maidin. Umpamanya malam tadi digambarkan seorang yang sangat miskin (28.11.02) yang tinggal di kawasan Parlimen Shahnon Ahmad, di mana beliau pernah mengadu kepada Shahnon, tetapi tiada sebarang tindakan yang boleh diambil oleh Ahli Parlimen itu, bahkan hendak berjumpa dengannya pun susah kerana Shahnon terlampau sibuk dengan pelbagai alasan. Begitu juga dengan kisah seorang rakyat Kelantan yang digambarkan amat miskin dan tidak mendapat pembelaan dari kerajaan Pas walau pun sudah berbelas tahun memerintah. Zaid Ibrahim, yang menjadi barua pada slot itu menjelaskan ketidak-adilan dan ketidak-upayaan kerajaan Kelantan membela kemiskinan yang terus berlarutan di negeri Serambi Mekah itu.

Slot-slot seperti itu, yang diselitkan di tengah-tengah Berita Perdana mengambarkan usaha-usaha Zainuddin Maidin untuk melemahkan pengaruh pembangkang khususnya Pas di jiwa rakyat negara ini. Sebaliknya slot seperti ini sebenarnya memperlihatkan motif-motif politik yang ditaburkan melalui media rasmi kerajaan sekaligus menjatuhkan imej dan reputasi RTM sebagai saluran rasmi kerajaan Barisan Nasional.

Begitulah juga perlantikan Jamaludin Jarjis, pengampu kuat Umno dan Mahathir yang pernah menjadi Ketua Kelab Penyokong Kerajaan bagi ahli-ahli Dewan Rakyat. Beliau adalah kroni Mahathir dan kini diberi kepercayaan oleh Mahathir untuk mengendalikan Kementerian Kewangan, meskipun sebenarnya Mahathirlah yang paling berkuasa untuk membuat sebarang keputusan. Perlantikan Tengku Adnan juga memperkukuhkan lagi kedudukan Mahathir, di mana Tengku Adnan adalah seorang yang dipercayai terlibat dalam konspirasi menjatuhkan dan mencalarkan imej DS Anwar Ibrahim.

Pelantikan ketiga-tiga tokoh yang mempunyai kaitan rapat dengan Mahathir itu memperlihatkan usaha-usaha Mahathir memperkukuhkan kedudukannya dalam politik tanahair sekaligus menafikan keinginannya untuk bersara. Bersara hanyalah satu helah politik Mahathir untuk mengurangkan kemelut dan tekanan politik dari pembangkang dan rakyat yang mahukan beliau meletakkan jawatan. Secara  automatik tekanan dari rakyat akan berkurangan atas alasan beliau akan bersara pada tahun hadapan. Namun apa yang berlaku adalah usaha-usaha Mahathir memperkukuhkan  kedudukannya sebagai pemimpin nombor satu negara ini yang paling lama berkuasa di tampuk pemerintahan.

Tidak  ada dalam sejarah dunia seorang diktator meletakkan jawatan, kecuali jika dia terpaksa, atau digulingkan oleh rakyatnya sendiri atau dia sendiri meninggal dunia. Hal ini terlihat jelas kepada diktator-diktator zaman ini seperti Ferdinand Marcos, Suharto atau Fidel Castro. Kita tidak perlu melihat terlalu jauh kepada sejarah Hitler misalnya untuk membuktikan kenyataan ini. Cukuplah dengan Suharto di Indonesia dan Marcos di Filipina. Berdasarkan kepada beberapa analisa di atas, dapatkah kita mempercayai kenyataan Mahathir bahawa beliau akan bersara dari Jawatan PM akhir tahun hadapan? Sedangkan Mahathir juga adalah salah seorang dari diktator Asia yang ulung yang masih berkuasa dewasa ini! Kempunankah Paklah kerusi PM? Atau adakah nasib Paklah akan sama seperti nasib-nasib TPM yang terdahulu? Sama-samalah kita tunggu jawapannya akhir tahun 2003!

AlKundangi - 29.11.2002.

Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com
~ Sila cetak dan sebarkan terutama di kampung-kampung di mana mereka hanya disogokkan berita-berita fitnah yang disebarkan oleh media milik umno/bn ~
Click Here!