Info Media & Aktiviti Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat
KEJAYAAN SEPET DAN PENGGIAT TERPINGGIR: 
SERUAN TUNTUT REFORMASI INDUSTRI FILEM
Oleh : Zarerah Hanem Hj Md Zaki


Kejayaan pembikin filem dari Malaysia sudah lama kedengaran di beberapa festival antarabangsa. Namum kejayaan mereka ini dianggap kejayaan pembikin filem kecil atau terpinggir dari industri filem negara. 

Kita seolah tertanya tanya di mana mereka ini ? Seharusnya mereka inilah yang kita tampilkan khususnya untuk menghangatkan industri filem yang kelihatan semakin suam suam kuku. Adakah mereka tidak berminat untuk beraksi dalam negara atau ruang untuk mereka tidak ada.

Namum keputusan Festival Filem Malaysia ke 18 (FFM 18) memberikan sedikit sinar pada persoalan itu.

Selepas kejayaan  filem Sanctuary bikinan Ho Yu Hang dan beberapa siri kejayaan filem ‘terpinggir’ di luar negara maka akhirnya dunia filem seakan gempar dalam negara apabila Sepet telah berjaya menjadi filem terbaik PFM ke 18. 

Angkatan Muda Malaysia ingin merakamkan ucapan setinggi - tinggi penghargaan ke atas kejayaan filem yang sebelum itu turut dilihat sebagai filem ‘kecil’ dan ‘terpinggir’.

Perbagai reaksi dibangkitkan sebagai respon terkejut terhadap pemilihanjuri kali ini.

Pengarah Raja Azmi adalah antara yang lantang mengkritik Sepet kerana merasakan filem bajet besar seperti Puteri Gunung Ledang (PGL) lebih berhak mendapat anugerah berkenaan.

Apapun juga kontroversi yang timbul atau sengaja ditimbulkan, Sepet perlu dilihat sememangnya layak di angkat sebagai filem terbaik antara 25 filem yang dipertandingkan dalam FFM 18.

Jika diiteliti hampir kesemua komen negative yang tersiar majalah dan artikel hiburan tempatan semenjak kemenangan Sepet boleh dirumuskan sebagai dangkal dan bersifat peribadi. Selain hanya untukmenghentak pengarahnya Yasmin Ahmad, aktivis perfileman perdana seolah tidak boleh menerima sesuatu yang baru dalam filem.

Keberanian Yasmin boleh disifatkan mewakili karyawan ganerasi baru yang mampu mencetuskan gelombang baru dunia filem tempatan.

Kekuatan Sepet adalah olahan cerita, lakonan hebat dan arahan berkesan. Ia mampu menampilkan wajah Malaysia. Ia merupakan filem kecil yang bersemangat besar.

Dr Hatta Azad Khan ketika mengulas kemenangan tersebut menyifatkan Sepet membawa pendekatan baru yang menarik. Memang itu yang sepatutnya ada bagi sebuah filem, mengenai kehidupan dan masalah hari hari yang dialami oleh semua orang supaya khalayak boleh menjiwai filem dengan mudah.

Bekas ketua Pengarah Istana Budaya itu juga menambah kejayaan Sepet sekurang kurangnya telah menyedarkan kita bahawa filem boleh dibuat dari kisah yang ringkas dan realiti.

Kenyataan Dr Hatta ini perlu diteliti kerana filem seharusnya menjadi medium penyampai yang sarat maksud bukan sekadar membawa penonton berkayal dan seronok sementara.

Sepet di luar kebiasaan filem yang menjadikan tempoh tontonan di panggung wayang seolah masa untuk penontotn dibawa keluar dari dunia mereka dan selepas keluar panggung penonton akan tersentak dengan rialiti kehidupan semula.

Angkatan Muda melihat kemenangan Sepet dari aspek yang berbeza. Kejayaan ini dilihat dari aspek pembaharuan dan semangat reformasi itu telah mula terhidu dalam industri perfileman. Tahniah kepada juri yang berani melakukan sesuatu kerana bukan mudah untuk mengenepikan filem berbaget besar dan bersandarkan dunia atau nama nama glamour arus perdana.

Kepada pengkritik atau penggiat dalam industri ini yang masih berlegar dengan mempertikaikan keputusan juri FFM 18 harus sedar adakah PGL harus diangkat juga sebagai filem terbaik kerana semata – mata telah menelan buget lebih 23 juta ?

Pengkritik filem A.Wahab Hamzah menegaskan kos dan saiz filem tidak dijadikan ukuran kemenangan. Ia di nilai dari hasil filem bukan bagaimana filem itu dihasilkan dan seiapa terlibat.

“Kerana itulah banyak filem kecil menang dalam banyak festivel filem antarabangsa” komennya yang tersiar dalam Ruangan Hiburan, Mingguan Malaysia.

Apabila Sepet diangkat sebagai filem terbaik ia bukan luar biasa. Kejayaan Yasmin ini dilihat mewakili pembikin pembikin filem kecil yang terpinggir dalam negara. Malaysia bukan ketandusan orang filem yang hebat. Buktinya 5 tahun kebelakangan ini nama Malaysia sering diangkat dengan kemenangan filem kecil di festival dunia. Cuma mereka ini agak terpinggir kerana perbagai alas an tapi yang pasti pembaharuan yang mereka bawa tidak diterima.  Seharusnya kelompok tertentu yang menguasai industri mesti bersikap terbuka dan berlapang dada kearah membangunkan industri

Contohnya filem Sanctuary bikinan Ho Yu Hang. Filem yang menggunakan format kamera digital ini telah berjaya meraih Kepujian Istemewa Juri dan Anugerah Rangkaian Penggalakkan Cinema Asia (NetPAC) di Festival Filem Antarabangsa Rotterdan ke 34 di Belanda.

Ketika mengulas filem ini juri telah menyatakan filem ini layak keranan stailnya yang berani dan tidak mengikut kebiasaan seni filem.

Kejayaan ini dilihat penting untuk direnungi semua kerana filem ini pernah ditolak permohonannya untuk mendapatkan bantuan kewangan dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS). Ketika rakyat seharusnya berbangga dengan kejayaan filem anak Malaysia ini FINAS seharusnya malu dan mengakui kesilapan mereka ketika menolak permohonan bantuan kewangan untuk filem ini.

Ho Yang telah membuktikan bahawa FINAS telah benar benar melakukan kesilapan kerana anugerah di Belanda itu bukan pengiktirafan pertama, filem ini juga telah mendapat Penghargaan Istemewa Juri di Pesta Filem Antarabangsa di Pusan, Korea tahun lalu.

Kejayan -  kejayaan ini perlu membuka mata seniman negara untuk menuntut pembebasan industri dari pengaruh politik yang tidak memberansangkan perkembangan industri itu sendiri. 

Sebenarnya banyak penggiat filem kita yang berjaya mencuri pengiktirafan di peringkat antarabangsa tetapi dipandang sepi oleh pihak berkenaan dalam negara sendiri.

Terbukti James Lee telah memenangi anugerah Filem Asian Terbaik di Bangkok di mana turut disertai oleh PGL yang pulang dengan tangan kosong. Manakala Projek filem khas Fireword yang bakal diarahkan oleh lima pengarah islam berbakat termasuk U Wei Hj Saari terpilih untuk menerima anugerah Arte France Cinema di CineMart 2005 dengan mendapat bantuan kewangan penerbitan filem.

Kelompok yang mengusai industri harus melihat perkembangan ini sebagai satu satu seruan jelas untuk mereformasikan FINAS atau agensi terbabit . Badan-badan ini perlu bebas dan dikendalikan sendiri oleh mereka yang benar layak dari kalangan mereka yang terlibat dengan industri ini sendiri.

Ini bukan sekadar tuduhan tetapi jelas sesuatu perlu dinilai semula apabila filem - filem yang diberikan ruang melalui geran tajaan yang dikeluarkan oleh kerajaan kelihatan seperti ditewaskan oleh satu golongan aktivis seni yang lebih menonjol sedangkan mereka seolah dikesampingkan dari kemewahan dunia seni negara. 

Contohnya filem yang menelan belanja jutaan ringgit PGL yang diberi liputan meluas oleh media telah ditewaskan oleh The Washing Machine yang dihasilkan oleh sekumpulan penerbit filem bebas Malaysia. Ini telah membuktikan buget yang besar bukanlah jaminan kejayaan filem tersebut tetapi jalan cerita yang mantap, olahan, mesej dan bakat merupakan elemen yang lebih penting.

Contoh ini belum mengambil kira jutaan ringgit yang telah dihabiskan oleh sebuah filem yang masil gagal disiapkan Pasir Salak di bawah YB Sanator Jins Samsudin. Banyak wang telah dihabiskan namun filem ini masih gagal diselesaikan kerana alasan tidak cukup buget. (Diharap selepas YB Jins Samsudin menjawab jawatan senator yang kononnya mewakili kelompok seniman beliau dapat menyelesaikan perjuanganya yang belum selesai menyiapkan projek filem Pasir Salak).

Perkembangan -  perkembangan ini telah menimbulkan bisikan adakah perlu untuk mendapat endosment politik atau hanya boleh menghasilkan idea yang jumud dan bekul tetapi syaratnya perlu sealiran dengan pemegang tampuk untuk mendapat layanan wajar dalam industri ini ?

Kejayaan Sepet dalam negara sendiri dilihat sebagai perkembangan positif. Industri filem telah melangkah setapak lagi kerana selepas suatu festival dianjurkan kena ada peningkatan dari sudut pemikiran dan Sepet berjaya melakukannya.

Isu yang diangkat dalam Sepet  bagus untuk industri walaupun subjeknya bukan perkara baru, tetapi dengan pendekatan yang baik mewajarkan Sepet menang ia bakal mencetus budaya filem baru.

Amat diharapkan selepas kemenangan sepet maka akan lahir banyak lagi filem yang mengangkat realiti masyarakat dari sudut keperbagaiannya.

Akhir sekali, setinggi tahniah kepada aktivis seni bebas dan berani, baik dalam industri filem atau cabang - cabang yang lain di mana tanpa bantuan sewajarnya mereka terus dapat menghasilkan karya seni yang mantap.

Masanya mungkin telah tiba masyarakat seniman bangkit untuk mereformasikan badan - badan yang bertanggungjawab ke atas mereka dan yang paling penting bebaskan industri ini dari pengaruh politik.

- Zarerah Hanem Hj Md Zaki


Penulis merupakan exco Angkatan Muda Malaysia, Parti Keadilan Rakyat dan boleh dihubungi dengan email erahanim_angkatanmuda@yahoo.com 

Membelek keratan akhbar lama telah menemukan saya dengan keratan berita muka depan Berita Harian Sabtu 19 Ogos 2000.

Hampir semua akhbar pada hari tersebut menyiarkan berita mengenai peristiwa penting pelancaran fasa 1A e-vllage. Digambarkan dengan pelancaran projek tersebut maka Malaysia akan menjadi kuasa besar industri perfileman dunia.

Mahathir ketika melancarkan projek itu berkata telah diperuntukkan RM 400 juta untuk menyiapkan projek fasa satu ini (semua ada tiga fasa). Beliau menangkis kritikan yang menyatakan ia satu pembaziran dengan menyatakan kewujudan kompleks ini penting bagi meningkatkan pembangunan msc kerana ia menandakan kemasukan negara ke gerbang industri hiburan serta IT terbaik dunia.

Pelancaran ini juga bersempena dengan mesyuarat IAP bagi msc di kuala Lumpur. 

Melihat pentingnya majlis dikendali oleh yang pakar maka penganjur telah melantik Polland Production dari Australia untuk mengendalikan majlis pelancaran yang gilang gemilang itu.

Dalam berita itu juga melaporkan jurucakap e Village (M) Sdn Bhd selaku pengendali perkampungan seni pintar yang dirancang untuk dibangunkan di dengkil (berhampiran cyberjaya) itu mengatakan ketiga tiga fasa itu akan siap dalam masa tujuh tahun.

Hari ini genap 5 tahun lebih, apakah status projek ini ? Ke mana peruntukan 400 juta yang dibanggkan oleh Perdana Menteri pada ketika itu ? Berapa juta pula telah dibazirkan hanya untuk sebuah majlis pelancaran gilang gemilang untuk projek tanpa nisan ini ?

Bagimanapun tiba tiba penantian karyawan filem disentak sekali lagi. Pengerusi Finas, Datuk Aziz Abdul Rahman dalam malam penghargaan Finas ke 24 jun lalu mengumumkan pembinaan kompleks perfileman atas tapak 50 ekar di Nilai, N.Sembilan yang akan menelan belanja RM100 juta.

Nampaknya orang kita bukan sahaja jarang memikirkan filem serius untuk mengangkat wajah Malaysia malah mereka juga sering tidak serius dalam menguruskan industri seperti kebanyakkan yang hanya membuat filem glamour dan buget besar.

Semoga 5 tahun lagi kompleks perfileman tersebut mampu melahirkan filem besar Malaysia bukan sekadar sembang besar semata mata.

31.07.2005 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)

Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN CARA MUDAH melakukan sumbangan.