Skandal Balak Pahang
RM320,000 Dibayar Kepada Pemimpin Umno

Syarikat pembalakan, Seruan Gemilang Makmur (SGM) Sdn Bhd, telah membuat laporan polis kedua terhadap Menteri Besar Pahang, yang juga pengerusi Umno negeri itu, Datuk Seri Adnan Yaakob, yang didakwanya telah "melanggar undang-undang dan menipu" syarikat berkenaan.

SGM turut melampirkan beberapa resit pembayaran berjumlah RM320,000, yang didakwanya telah dibayar kepada dua orang kanan Adnan.

Laporan kedua itu dibuat oleh pengarah SGM, Lee Sin di ibu pejabat polis Kuala Lumpur baru-baru ini, serta melampirkan dokumen-dokumen berkaitan untuk siasatan.

Salinan laporan polis telah diedarkan sewaktu sidang akhbar oleh Ahli Parlimen PAS dari Kubang Krian, Husam Musa di lobi parlimen.

Dalam laporannya, Lee mendakwa yang beliau telah diminta membuat beberapa bayaran "tidak rasmi", semuanya berjumlah RM173,000 kepada setiausaha Umno Bentong, Shamsudin Ibrahim dan seorang lagi ahli Umno, Mohd Ros Chik, bagi mendapatkan konsesi balak.

Adnan adalah ketua Umno bahagian Bentong.

Lee juga mendakwa bahawa dia membuat satu lagi bayaran "tidak rasmi" sebanyak RM150,000 kepada pemimpin-pemimpin Umno berkenaan, selain daripada bayaran RM50,000 yang disetujui mengikut dokumen rasmi yang menurutnya, telah ditandatangani dengan Umno Pahang pada tahun 2000.

"(Bagaimanapun), ketika kami hendak bermula pembalakan, Pejabat Tanah daerah Pekan memaklumkan kepada kami bahawa kawasan tersebut bukan milik Umno. Katanya, kawasan tersebut adalah milik kerajaan negeri, walaupun kelulusan telah diberikan untuk menganugerahkannya kepada Umno.

"(Oleh itu), saya mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa kelulusan oleh Menteri Besar Pahang itu tidak mematuhi undang-undang, dan terdapat niat untuk menipu kami (dengan meminta) bayaran tersebut," tambah laporan itu.

Sementara itu, Husam berkata,tindakan harus diambil terhadap mereka terbabit secepat mungkin kerana ini merupakan laporan susulan terhadap laporan polis sebelum ini, serta dua laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Beliau juga menggesa supaya pihak polis memberitahu hasil siasatannya terhadap kes berkenaan.

Beliau juga mempersoalkan mengapa kawasan seluas itu diberikan kepada Umno, sedangkan Perdana Menteri, yang juga presiden Umno sebelum ini menyatakan parti politik tidak dibenarkan memilik tanah negeri.

Turut hadir di sidang akhbar tersebut ialah dua lagi pengarah SGM, Syed Ali Badarudin dan Sheik Mohd Zurid Tok Muda Syeikh Hassan.

Malaysiakini telah melaporkan mengenai skandal pembalakan tersebut pada bulan Julai dan Ogos lalu yang membabitkan kawasan seluas 10,000 ekar atau kira-kira 40 km persegi,dekat Pekan.

Ia dianugerahkan oleh kerajaan negeri kepada Umno Pahang pada tahun 1998 sewaktu setiausaha agung Umno, Tan Sri Khalil Yaacob menjadi menteri besar, kononnya untuk diusahakan sebagai ladang kelapa sawit.

Berikutan itu, parti berkenaan telah diminta membayar premium berjumlah RM4.8 juta bagi kawasan berkenaan, sebelum aktiviti pembalakan boleh dimulakan. Walaupun hampir semua kawasan tersebut telah hampir habis dibalak, Umno berulangkali gagal membuat bayaran berkenaan.

Pada tahun 2000, Umno Pahang memberi hak eksklusif kepada SGM untuk membalak di kawasan tersebut. Sebagai balasannya, syarikat berkenaan telah membayar RM50,000 kepada parti itu, walaupun nilai sebenarnya dipercayai berjuta-juta ringgit.

Pakar industri juga bingung mengenai kadar bayaran yang begitu rendah dan mempersoalkan sama ada wujud "agenda tersembunyi" antara kedua-dua pihak terbabit.

Dokumen-dokumen yang ada pada malaysiakini mendedahkan perjanjian itu turut disokong oleh beberapa pegawai tinggi Umno Pahang.

Adnan sebelum ini pernah berkata beliau tidak tahu menahu mengenai kelulusan yang diberikan oleh menteri besar sebelumnya pada 1998, tetapi menegaskanh SGM telah berurusan dengan 'satu dua individu" yang didakwa telah menipu syarikat berkenaan dengan memberikan maklumat salah dan pemalsuan.

Umno Pahang dan SGM telah terbabit dalam pertikaian undang-undang sejak tahun lalu selepas syarikat berkenaan gagal mendapat lesen membalak daripada pejabat perhutanan negeri untuk membalak di kawasan seluas 3,000 ekar. SGM menuntut pampasan berjumlah RM31 juta daripada Umno Pahang.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuantan, dalam keputusannya pada 15 Ogos lalu, telah membenarkan permohonan Umno Pahang untuk mengetepikan perintah awal yang mengarahkan parti itu membayar pampasan RM70,000 kepada SGM.

Sehingga ini, tarikh untuk mendengar kes itu belum ditetapkan lagi.

BADRUL HISHAM SHAHARIN
KETUA PENERANGAN
ANGKATAN MUDA MALAYSIA
PARTI KEADILAN RAKYAT
chegubard@freeanwar.com
Kiriman: ANGKATAN MUDA REFORMASI MALAYSIA - 20.10.2003
Sertailah Forum M@RHAEN: http://marhaen.board.dk3.com/2/


Mulai sekarang anda mempunyai lebih pilihan untuk melayari Laman M@RHAEN:
Tapak Utama:http://marhaen.internations.net
Tapak Utama versi baru: http://marhaen1.web1000.com
Portal sokongan interaktif & mesra-pengguna: http://marhaen.portal.dk3.com/
Blog kembaran M@RHAEN (GOBLOK) 1: http://goblok.blog-city.com/
Blog kembaran M@RHAEN (BLOGKU) 2: http://blogku.dk3.com/
Selain itu, anda boleh terus melayari Laman M@RHAEN di tapak-tapak sokongan/cerminan asal. http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com - http://e-umno.tripod.com/

Click Here!