Tindakan Politik Bebankan AirAsia ke Phuket
Langkah kerajaan untuk memajukan pulau peranginan Langkawi adalah amat digalakkan. Berbagai langkah yang telah diambil, dan yang akhir sekali ialah mengadakan penerbangan dari Langkawi ke Phuket, yang akan dikendalikan oleh syarikat penerbangan AirAsia.

Walau bagaimanapun, langkah AirAsia memulakan penerbangan Langkawi-Phuket adalah dilihat untuk memenuhi agenda politik dan bukannya berdasarkan matlamat keuntungan.

Adalah lebih menguntungkan bagi AirAsia jika mereka mengadakan penerbangan dari KL terus ke Phuket, daripada mengadakan penerbangan dari Langkawi ke Phuket. Penduduk tetap Langkawi tidaklah seramai penduduk di Kuala Lumpur. Jika seseorang yang menetap di Kuala Lumpur dan hendak pergi ke Phuket, adalah lebih ekonomik dan menjimatkan masa jika dia mengambil penerbangan terus MAS dari KL ke Phuket, daripada menggunakan penerbangan AirAsia dari KL ke Langkawi, untuk transit, dan kemudian terbang dari Langkawi ke Phuket. Pelancong dari Kuala Lumpur biasanya akan bercuti di satu pulau dalam satu masa, misalnya Langkawi, dan tidak ramai yang ingin bercuti di dua pulau (Langkawi dan Phuket) dalam satu masa.

Begitu juga dengan penduduk Phuket, mereka sudah ada kecantikan pantai dan pulau di Phuket dan Krabi serta pulau-pulau berhampiran yang lain, mengapa mereka ingin pergi ke Langkawi? Yang ada pasarannya ialah mungkin pelancong-pelancong asing yang singgah di Phuket, dan kemudian meneruskan destinasi ke Langkawi. Tetapi bilangannya adalah sedikit, kerana kebanyakan pelancong asing di Phuket, sudah pasti tidak akan melepaskan peluang untuk ke destinasi seterusnya di Hatyai dengan menikmati suasana masyarakat dan pantai yang indah di Songkhla. Seperti kata pepatah, tidak sah bagi pelancong jika ke Thailand tetapi tidak melawat ke Hatyai.

Menteri Pengangkutan berkata MAS belum bersedia untuk terbang dari Langkawi ke Phuket. Alasan ini tidak boleh diterima akal, sebab MAS sudah mengendalikan penerbangan dari KL ke Phuket, dan sudah tentu mereka mempunyai pengalaman mengenai logistik di Phuket. Bagi AirAsia pula, penerbangan dari Langkawi ke Phuket adalah pengalaman penerbangan ke luar negara yang pertama bagi mereka. Lagi pun kenapa pengumuman mengenai penerbangan AirAsia dari Langkawi ke Phuket dibuat oleh Menteri Pengangkutan, dan bukan oleh Pengerusi AirAsia sendiri?

Jika AirAsia ingin mengembangkan sayapnya ke ASEAN, untuk penerbangan perintis, AirAsia sepatutnya menumpukan kepada laluan yang sedia diketahui menguntungkan seperti laluan KL ke Bangkok, KL ke Hatyai, KL ke Medan, KL ke Padang atau KL ke Surabaya. Malah jika dibandingkan dengan laluan Langkawi ke Phuket, adalah lebih menguntungkan jika AirAsia membuat penerbangan dari Pulau Pinang ke Phuket, kerana penduduk tetap di Pulau Pinang mempunyai pendapatan yang lebih tinggi dari penduduk di Langkawi.

Adalah disyaki kerajaan ‘memaksa’ AirAsia untuk terbang dari Langkawi – Phuket atas alasan diplomatik dan politik kerana ramai yang sedia tahu bahawa Dr Mahathir ingin mempopularkan pulau kesayangannya, Langkawi. Jika AirAsia meneruskan rancangannya untuk terbang dari Langkawi ke Phuket, adalah dijangkakan, kerugian laluan ini akan terpaksa ditampung oleh AirAsia dengan menaikkan tambang tiket untuk laluan domestik lain yang ramai penumpang.

Yang menanggung kerugian ialah rakyat Malaysia keseluruhannya, yang selama ini berjaya menikmati tambang murah AirAsia ke destinasi domestik di Malaysia. Adalah diharapkan AirAsia akan bebas daripada pengaruh politik, yang akan menyebabkan kerugian yang akhirnya akan ditanggung juga oleh pengguna. Jadikanlah kerugian MAS kerana diperkudakan untuk tujuan politik dan kepentingan pemerintah, sebagai pengajaran agar ia tidak diulangi oleh AirAsia.

Oleh Ahmad Musaddik
Kuala Lumpur - 15.08.2003

Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!