Alahai, Lagi Kisah Anak Buah Raja Pasembor!
Assalamualaikum wbt Tuan Editor,

Saya sangat bersetuju dengan komen-komen yang dibuat oleh Dr. Nologareng dan Jingoza mengenai isu di atas. Kalau nak cerita mengenai keburukan polis di Malaysia ni memang tak habis.
 
Saya sendiri melihat kebiadaban polis di tempat saya di Kuala Langat. Saya paparkan enam daripadanya di sini;
 
1)    Pada pertengahan 90-an, ketika saya memancing di muara sebuah sungai di Kuala Langat. Lebih kurang pukul 1.00 pagi, sebuah bot peronda marin lalu, diikuti dua buah bot pancong (negara jiran) 10 minit kemudian. Dua jam selepas itu bot peronda polis keluar dengan 2 bot pancong tersebut. Kawasan tersebut memang kawasan hitam penyeludupan rokok keretek.

2)    Anak Ketua Polis Kuala Langat minta duit daripada ayahnya. Ayahnya menyuruh dia ambil wang daripada kepala samseng di Kuala Langat (mendiang Tan Hock Lau yang mati dibunuh di Jalan Imbi, KL). Bila sampai di pejabat mendiang, diminta RM1000.00. Anak ketua polis ini dimarahi oleh mendiang kerana ayah dia telefon suruh bagi RM500.00 sahaja. Ini diceritakan sendiri oleh teman anak polis tersebut yang ikut sama.

3)    Saya bertengkar dengan seorang jiran kerana meletak 2 buah lori 10 tayar di kawasan perumahan saya pada satu petang tahun 2000. Malam itu, ketua samseng, mendiang Tan Hock Lau, 2 bodyguard dan jiran tersebut menyerbu rumah saya dan memberi amaran tidak memanjangkan kes ini ke pihak berwajib. Dengan angkuh dia kata "Awak tak guna komplen pada majlis tempatan, JPJ atau polis. Semua sudah masuk dalam saya punya kocek". Tergamam saya masa itu. Saya dapat tahu, semua lori di Kuala Langat membayar wang perlindungan kepada mendiang yang kemudiannya diagih pada jabatan kerajaan tertentu. Sebab itu lori-lori di sini tidak takut disaman walaupun melanggar undang-undang lebih muatan, tidak ada road tax, tanpa lesen dan sebagainya.

4)    Pada awal tahun 2001, saya sedang berehat di tingkat atas verandah rumah saya, lebih kurang jam 10.00 malam. 4 orang Indon lalu dan ditahan oleh 2 anggota polis bermotosikal. Saya lihat, anggota polis ini menyeluk poket Indon tersebut, mengeluarkan sesuatu, simpan dalam poket mereka dan melepaskan Indon tersebut. Tidak dapat saya pastikan apa yang diambil ($?) kerana cahaya lampu jalan samar-samar. Alangkah bahayanya jika Indon ini benar-benar pendatang haram dan dalam perancangan melakukan jenayah?

5)    Ketua Polis Kuala Langat hidup melebihi kemampuan dengan 5 buah kereta dan sebuah motor berkuasa tinggi, termasuk dua buah kereta milik anaknya yang tidak bekerja.

6)    Seorang konstabel (mungkin baru) menyaman sebuah kereta Honda Accord kerana parking di pili bomba. Tiba-tiba seorang lelaki Cina meluru dan memaki konstabel tersebut dengan berkata "Celaka lu!, saya sudah bayar sama lu punya bos lagi mau saman saya!" Peristiwa ini berlaku tahun 1994 di hadapan khalayak ramai. Kesian konstabel tersebut terkebil-kebil saja.
 
Saya tahu banyak lagi cerita-cerita begini di tempat lain. Oleh itu saya cadangkan diadakan satu laman khas menyiarkan fakta-fakta keburukan polis di seluruh negara.

- Ashraf - 06.08.2003 (suntingan M@RHAEN)
Jingoza: Alahai Anak Buah Raja Pasembor!
Dr. Nologareng: Kes Jackie Chan: Penyelesaiannya ala-Hollywood


Tapak Cerminan M@RHAEN https://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!