Benturan Dua Budaya
Dalam Pembangunan Sains Dan Teknologi Di Malaysia (Bhgn 1)

Benturan Dua Budaya Dalam Pembangunan Sains Dan Teknologi Di Malaysia
Oleh Shaharir Mohamad Zain
Universiti Kebangsaan Malaysia

PENDAHULUAN

Tesis benturan peradaban yang diajukan oleh Samuel Huntington (1993) menerusi makalah terkenalnya The Clash of Civilization banyak menimbulkan kontroversi, terutamanya apabila beliau menekankan bahawa penciri peradaban itu ialah agama , khususnya “Islam lawan yang lain”. Jika bahasa diambil sebagai penakrif peradaban , maka teori Huntington itu nampaknya dapat juga terpakai. Kontroversi bahasa Melayu lawan bahasa lain (terutamanya Inggeris) di Malaysia dapat menjadi contohnya . kontroversi benturan ini semarak bukan kerana emosi semata mata tetapi kerana perkaitan tabii tentang bahasa dengan pembinaan negara bangsa dan kemajuan sains dan teknologi.

Benturan budaya berbahasa di Malaysia, terutamanya kini, tertumpu kepada benturan dua kelompok manusia.

Kelompok pertama ialah golongan elit yang berbudaya bahasa Inggeris, yang percaya bahawa kemajuan dalam bidang apa pun mestilah di kejar menerusi budaya berbahasa Inggeris; budaya bahasa lain , khususnya budaya berbahasa Melayu, tidak mungkin memajukan bangsa dan negara berkenaan.

Kelompok kedua ialah golongan yang percaya bahawa kemajuan patut dan dapat dicapai menerusi budaya berbahasa Melayu dengan tidak mengabaikan kemampuan berbahasa lain yang relevan dan kena pada masa dan tempatnya , terutamanya bahasa Inggeris.

Benturan dua kelompok ini sudah berlaku pada tiga gelombang yang besar, iaitu gelombang kemerdekaan 1957, gelombang pemartabatan bahasa Melayu 1967-1970, dan kini gelombang besar atas nama kesejagatan (globalisme) , persaingan, kemajuan, dan sebagainya terutama selepas Y.A.B. Perdana Menteri mengisytiharkan dasar yang mengimplikasikan perlunya pendidikan Sains dan Teknologi (S & T ) dilakukan dengan bahasa Inggeris pada 27 Disember 1993. Benturan minda dan emosi dalam gelombang ketiga ini sedang berlaku hebat sehingga isu yang sebenarnya sering melencong.

Ada sekurang-kurangnya empat isu utama yang selalu diseret ke dalam kancah persoalan tentang mauduk ini.

1. Setelah negara kita (bermula dengan tertubuhnya UKM) menjalankan kursus-kursus Sains dan Teknologi (S & T) dalam bahasa Melayu sejak tahun 1970, apakah kegagalan dan  kejayaannya?
2. Apakah untungnya , terutamanya bagi orang Melayu dan peribumi/bumiputera lainnya, jika universiti kita sekarang kembali menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar pendidikan S & T? (Sejak tahun 1982 semua universiti menggunakan bahasa Melayu).
3. Adakah sistem pendidikan dalam bahasa Inggeris mempunyai hubungan dengan pencapaian ilmu dan kemajuan sesebuah negara bangsa ?
4. Jika benar sistem pendidikan dalam bahasa Inggeris dapat memajukan sesuatu bangsa, contohnya bangsa Melayu, adakah benar bahawa kemajuan yang tercapai menerusi bahasa Inggeris itu akan menaikkan martabat bahasa Melayu.

BENARKAH PENDIDIKAN S & T DALAM BAHASA MELAYU GAGAL?

Kegagalan pendidikan S & T dalam bahasa Melayu sebenarnya satu tanggapan yang sehingga kini belum dapat dibuktikan kerana kajian yang dibuat sehingga kini menunjukkan hal yang sebaliknya. Tanggapan ini dipengaruhi oleh kehidupan seseorang dalam dunia yang tidak berbahasa Melayu atau dalam alam cita Inggerisnya. Kajian pesurih UKM tidak dapat dipergunakan untuk menunjukkan bahawa siswazah S & T dari UKM (dalam bahasa Melayu) lebih rendah mutunya daripada siswazah dari universiti lain (yang berpenghantar bahasa Inggeris), kecuali prestasi mereka, yang memang diduga, dalam daya komunikasi berbahasa Inggeris. Tetapi, adakah kelemahan dalam berkomunikasi dalam bahasa Inggeris pun sudah menyebabkan kita ketinggalan dalam S & T berbanding dengan negara-negara maju yang lain? Jika isunya adalah kelemahan berbahasa Inggeris saja, mengapa pula pendidikan S & T yang dipalitkan setelah pelajar tersebut belajar bahasa Inggeris selama 11-13 tahun di sekolah? Mengapa tidak dibangkitkan soal pengajaran bahasa Inggeris itu sendiri? Mungkinkah kelemahan generasi baru dalam bahasa Inggeris sengaja digunakan oleh golongan tertentu untuk kembali memperkukuhkan pengaruhnya dalam penyemarakan “budaya Inggeris” yang disanjungnya dan dihayatinya selama ini? Bukankah keadaan ini merupakan manifestasi benturan budaya berbahasa Inggeris dengan budaya berbahasa Melayu?

Kelemahan siswazah pernah dibangkitkan dengan hebatnya pada tahun-tahun 1986-1990 ketika siswazah menganggur. golongan pencinta bahasa Inggeris (Inggerisofil) pun mengambil kesempatan untuk meluahkan isi hatinya yang terbendung selama ini dengan mengatakan bahawa sistem pendidikan dalam bahasa Melayulah yang menjadi penyebabnya; sedangkan sebab sebenarnya ( yang lebih dominan) ialah kemelesetan ekonomi. Anehnya , sebelum dan selepas itu (hingga sekarang pun) isu pengangguran siswazah tiada berkumandang lagi , padahal pendidikan berpenghantar bahasa Melayu dalam S & T tidak berubah.

Siswazah kejuruteraan UKM yang diajar dengan bahasa Melayu , terutamanya sejak beberapa tahun ini, hampir 100% mendapat pekerjaan sebelum mereka mendapat ijazah secara resmi lagi, dan prestasi mereka dalam pekerjaan masing-masing, mengikut pihak majikan, tidak kurang daripada mereka yang memperoleh ijazah dari luar negara.

Mengikut kajian Faridah Karim dan rakan-rakannya (1992, lihat “Laporan Kajian Prestasi Siswazah UKM”), siswazah UKM (yang bersinonim dengan aliran Melayu) daripada penilaian majikan-majikan mereka berada di tahap yang memuaskan atau tahap baik atau cemerlang  dari segi sahsiah (personaliti), sikap, dan kebolehan menjalankan tugas. Hanya 7% saja yang berada di tahap  yang lemah; iaitu peratusan normal yang tidak seharusnya menggusarkan kita. Dari segi penguasaan bahasa Inggeris pula, sektor swasta tidak mendapati siswazah UKM lemah, tetapi sektor awam mendapati hal yang sebaliknya, sehingga pada keseluruhannya siswazah UKM memang dapat dianggap mempunyai taraf penyampaian yang lemah. Nampaknya, pelajar yang baik bahasa Inggerisnya bekerja di sektor swasta dan yang tidak baik bahasa Inggerisnya bekerja di sektor awam. Penyelesaian kepada masalah ini perlu dipelajari daripada negara-negara yang maju, tetapi tentunya bukan menerusi pengubahan dasar pendidikan S & T.

KEJAYAAN PENDIDIKAN S & T DALAM BAHASA MELAYU
 
Kejayaan pendidikan S & T dalam bahasa Melayu cukup membanggakan bagi mereka yang menelitinya scara objektif. Pertama, peratusan bumiputera dalam S & T telah meningkat, umpamanya ( mengikut risalah Pusat Penyelidikan Strategi Malaysia, MSRC), jurutera 35% , doktor perubatan 28% , arkitek 24%, juru ukur 45%, padahal 20 tahun dahulu peratus bumiputera dalam bidang-bidang ini kurang daripada 10 % . Khazanah karya S & T dalam bahasa Melayu dalam bentuk buku , tesis, dan makalah ilmiah pun cukup memberangsangkan, walaupun masih jauh ketinggalan berbanding dengan khazanah dalam bahasa-bahasa negara maju. Di UKM saja, khazanah S & T seperti yang tersenarai di bawah ini (Jadual 1) patut menjadi renungan bagi pihak yang sangsi akan kemampuan bahasa Melayu dan penuturnya, secara lisan dan tulisan.

Pendek kata, bahasa Melayu sebagai wahana S & T sudah agak mantap dalam dunia akademik. Tentulah tidak munasabah, malah regresif dan berdosa, jika kita menghentikan atau menyekat (walau secara tidak langsung sekalipun) perkembangan tamadun baru ini dengan penyataan-penyataan yang mengimplikasikan bahawa bahasa Melayu tidak mampu menjadi bahasa ilmu (S &T ) atau dasar pendidikan sekarang perlu dilonggarkan untuk memberikan laluan kepada pihak-pihak tertentu supaya mereka dengan mudah dapat melaksanakan pendidikan S & T dalam bahasa Inggeris.

Karya S &T dalam bahasa Melayu sekarang sudah ada yang diterjemahkan dan/atau ditelaah oleh ahli-ahli S & T luar negara. Keluwesan atau kelenturan dan kesanggupan serta kemampuan siswazah aliran Melayu menyesuaikan diri dengan alam persekitarannya telah terbukti. Mungkin bilangan tenaga pengajar dalam S & T di universiti-universiti tempatan, yang ijazah pertamanya sekurang-kurangnya dalam aliran Melayu, dapat menjadi contoh yang nyata lagi kepada hakikat ini. Misalnya , di UKM peratusan tenaga pengajar yang ijazah pertamanya sekurang kurangnya dalam aliran Melayu adalah seperti yang berikut:

Kejuruteraan                                                                  41%
Sains dan Sumber Alam                                                59%
Sains Fizik                                                                     63%
Sains Hayat                                                                     29%
Sains perubatan/ Kesihatan                                           31%
Sains Matematik dan Komputer                                      36%

JADUAL 1: KARYA S&T DALAM BAHASA MELAYU (DI UKM) HINGGA 1993

Tesis siswazah S & T dalam                     :    112 Sarjana, 12 Dr. Fal
Bahasa Melayu

Tesis kepujian S & T dalam                    : Sekitar 600 buah setahun (kini bahasa Melayu sudah puluhan ribu)

Jurnal ilmiah S & T                                 :    5 buah setahun ( yang memuatkan sekitar 40 & makalah dalam bahasa
                                                                Melayu). Sehingga kini sebanyak 320 buah makalah ilmiah ini telah
                                                                diterbitkan.

Buku (asli dan terjemahan)                     :     52 buah
S & T dalam bahasa Melayu

Seminar S & T dalam bahasa Melayu        :      Lebih daripada 10 buah
                                                                seminar S & T setahun
 

Laporan penyelidikan asli                       :     Sekitar 150 laporan  setahun.
S &T dalam bahasa Melayu                         UKM telah merakamkan semua hasil penyelidikan Intensification of Research 
                                                                on Priority Area (IRPA) dalam bahasa Melayu menerusi 3 buah pascasidangnya

                                                                yang berjumlah kira- kira 400 buah makalah.

Keluaran pemegang ijazah                     :     Sekitar 600 orang setahun
S &T dalam bahasa Melayu
 

APAKAH RUGINYA PENDIDIKAN S & T DALAM BAHASA MELAYU?

Apabila kita bercakap tentang untung rugi pendidikan kita dalam bahasa Melayu, persoalan ini dikaitkan dengan kemajuan bahasa, bangsa, dan negara.
Adakah orang bukan Melayu rugi? Adakah orang Melayu rugi? Adakah negara kita tidak maju? Adakah imej bangsa dan negara tidak lagi menonjol?

Sehingga kini tidak ada kaum mana-mana pun di negara kita yang merosot pencapaian akademiknya kerana pendidikan dalam bahasa Melayu . orang bukan Melayu tetap cemerlang dan orang Melayu rata-rata turut bertambah baik pencapaiannya.

Pada peringkat awal dahulu, orang Melayu berharap bahawa pencapaian mereka dari segi kuantiti dan mutu akan melonjak naik apabila pendidikan dijalankan dalam bahasa Melayu. Harapan ini tidak sepenuhnya tercapai kerana pencapaian akademik tidak bergantung pada bahasa penghantar sahaja. Tetapi , jika pendidikan S & T selama ini dilakukan dalam bahasa Inggeris, sudah tentu nasib orang Melayu akan lebih parah lagi, kerana pencapaian orang Melayu dalam bahasa Inggeris jauh lebih teruk daripada pencapaian keturunan lain. Sebahagian besar daripada ahli akademik dan ikhtisas yang ada sekarang tidak mungkin berpeluang memasuki pintu kejayaan yang telah dilangkahi mereka, jika pendidikan kita dahulu dalam bahasa Inggeris.

Keadaan ini memang  tabii. Kajian-kajian yang telah dibuat di negara-negara luar menunjukkan bahawa pemelajaran ilmu dalam bahasa sendiri jauh lebih mudah jika dibandingkan dengan pemelajaran ilmu dalam bahasa asing. Kajian-kajian itu menunjukkan bahawa perkembangan ilmu berlaku dengan uniknya dalam setiap perantaraan bahasa yang berbeda, kerana bahasa dan budaya mempengaruhi arah dan rupa bentuk ilmu yang dikembangkan itu. (Lihat Mulkey 1992) Sains dan Sosiologi Ilmu Pengetahuan DBP dan (Nasher, R. & Kilpatrick, J. (Ed.) 1990) Mathematics and Cognition. Sesuatu bangsa yang membangunkan S & T dalam bahasa asing belum dapat membuktikan bahawa bangsa itu menjadi pemimpin dalam ilmu S & T. Yang mungkin ada ialah negara yang agak maju dalam perdagangan. Tetapi kemajuan dalam perdagangan tidak ada hubungannya dengan kemajuan dalam S & T, walaupun ada hubungannya dengan kepenggunaan S & T.

Dasar pendidikan yang mentakhtakan bahasa kebangsaan di Malaysia sesungguhnya tidak merugikan sesiapa pun. Pertama , dasar ini telah memberikan peluang yang besar kepada segenap lapisan rakyat Malaysia untuk  mencapai tahap ilmu yang memungkinkan mereka memperoleh kejayaan dan memberi mereka tapak berpijak untuk bersaing. Kemajuan Malaysia sehingga kini, yang menjadi ikutan negara-negara Dunia Ketiga atau Negara Membangun, tidak syak lagi disebabkan oleh dasar pendidikan kebangsaan kita yang kukuh dan terancang. Pendeknya, dasar pendidikan kebangsaan kita selama ini ialah dasar pendemokrasian pendidikan yang telah terbukti kejayaan nya dan segera menuju ke tahap yang cemerlang.

DAYA SAING SISWAZAH ALIRAN MELAYU

Perkara yang selalu ditimbulkan ialah soal daya saing kita di arena antarabangsa kerana sehingga kini memang diakui bahawa pendidikan kebangsaan kita menjadikan siswazah dari universiti tempatan rata-rata tidak menguasai bahasa Inggeris sehebat yang dikuasai oleh segelintir  siswazah bumi putera S & T, atau sebilangan besar siswazah bukan bumiputera sebelum terlaksananya dasar pendidikan kebangsaan. Inilah yang dikatakan kerugian daripada sistem pendidikan kebangsaan kita yang tidak mampu melahirkan ahli S & T yang dapat bersaing pada peringkat antarabangsa.

Andaiannya, siswazah S & T yang berbahasa Inggeris, umpamanya orang Inggeris yang berijazah S & T, sebahagian besarnya dapat bersaing di arena antarabangsa dalam S & T. Andaian ini tentunya tidak benar. Siswazah S & T yang dapat bersaing di arena antarabangsa ialah siswazah yang mencetuskan inovasi atau ciptaan sains dan teknologi dalam bahasa apa sekalipun. Karya-karya yang bertaraf antarabangsa dalam bahasa-bahasa selain bahasa Inggeris tetap muncul dalam abstrak antarabangsa. Lagipun , sarjana-sarjana S & T yang tidak berbudaya bahasa Inggeris (termasuk sarjana-sarjana kita di Malaysia kini) memang mampu menghebahkan penemuan-penemuannya dalam bahasa Inggeris yang diterima oleh komunitinya.

Siswazah Inggeris dalam S & T sebenarnya kurang mampu, umpamanya, untuk bersaing dengan siswazah Jerman dan Jepun dalam S & T, walaupun daya komunikasi siswazah S &T dari Jerman dan Jepun ini dalam bahasa Inggeris kurang daripada daya komunikasi siswazah Inggeris.

Andaian kedua ialah bahawa siswazah S & T daripada sistem pendidikan kebangsaan yang mencipta atau melakukan inovasi S & T tidak mampu mencapai tahap berkomunikasi dalam bahasa Inggeris di kalangan komuniti mereka. Sekali lagi , andaian ini palsu. Mungkin tidak banyak antara mereka yang mampu menjadi jurujual untuk menampilkan hasil ciptaan atau inovasi mereka atau berbicara seperti seorang diplomat tentang hasil rekaan mereka; tetapi ini memang sesuatu yang tabii dalam bidang  S & T di negara-negara maju yang bukan berbudaya Inggeris. Namun , mereka tetap disegani di arena antarabangsa. Sebenarnya , dalam melaksanakan sistem pendidikan kita sekarang pun, banyak siswazah S & T lulusan universiti tempatan kita yang terbukti mampu menjadi juru jual  S & T (dalam bahasa Inggeris )’ yang kurang ialah siswazah yang dapat memberikan sumbangan daya ciptanya dalam S & T . soal daya cipta inilah (bukan soal petah bercakap) yang menjadi faktor penentu daya saing S & T sesuatu bangsa. Kita tak mungkin berada di pinggir persaingan dalam S &T jika kita tidak mencipta S & T , walau bagaimana sekalipun handalnya kita berbahasa Inggeris dan dapat menjadi juru jual S & T (dalam bahasa Inggeris).

Kefasihan berbahasa Inggeris di kalangan siswazah kita (yang tidak mengkhususkan dalam mata pelajaran bahasa Inggeris atau kajian antarabangsa yang ada ditawarkan di universiti-universiti tempatan kita ) memang masih patut,  perlu , dan wajar ditingkatkan, terutamanya di kalangan siswazah bumiputera. Tetapi persoalan ini jauh lebih kompleks dan tidak harus dilihat sebagai masalah satu matra (dimensi). Data yang ada pada kita sehingga kini menunjukkan bahawa masalah ini sebahagian besarnya bumiputera. Siswazah bukan bumiputera sebenarnya mendapat keuntungan besar daripada sistem pendidikan kebangsaan kerana mereka dapat menguasai tiga bahasa (bahasa ibunda, bahasa Melayu , dan bahasa Inggeris), sedangkan, kerana sikap, bukan soal S & T dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu, keturunan bumiputera tidak dapat mengatasi kaum bukan bumiputera dalam hal penguasaan bahasa Melayu, bahasanya sendiri. Berdasarkan pada keadaan ini saja, jika pendidikan S & T diubah bahasa penghantarnya kepada bahasa Inggeris, maka kedudukan keturunan bumiputera akan lebih parah lagi.

Sesungguhnya masalah kelemahan bahasa Inggeris adalah isu lain yang tiada kena mengena dengan pencapaian S & T, tetapi berpunca daripada latar belakang pelajar dan alam persekolahan. Peranan universiti dalam memperbaik prestasi bahasa Inggeris tentu ada batasnya, walaupun masih banyak lagi ruang untuk pembaikannya. Langkah mengubati penyakit “lemah bahasa Inggeris “ dengan menukar sistem Pendidikan Kebangsaan mungkin membawa kejayaan tetapi hanya bagi sebilangan kecil bumiputera saja; tidak lama nanti senario bumiputera dalam S & T akan kembali semula kepada keadaan pada tahun-tahun sebelum 1960-an. Kita tidak mungkin bercakap tentang daya saing bumiputera di peringkat antarabangsa jika tiada bumiputera yang berada di ambang pintu persaingan itu. Sebaliknya, dengan sistem pendidikan kita sekarang, kita telah mampu membawa beberapa banyak keturunan bumiputera ke ambang pintu persaingan antarabangsa, dan  banyak yang telah berjaya.

Oleh Shaharir Mohamad Zain
Universiti Kebangsaan Malaysia

Kiriman: Nazmatt (suntingan M@RHAEN) 11.05.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN