PENDIDIKAN DAN PATRIOTISME MALAYSIA (Bahagian 1)

Pendidikan Dan Patriotisme Malaysia (Bahagian 1)
Oleh Abdullah Hasan

Bahasa Indigenus Berkesan Menyampaikan Ilmu

Oleh sebab rakyat terdidik dalam bahasa indigenus (asli), mereka dapat menerima ilmu dan teknologi dengan berkesan. Ini memang menguntungkan kaum Melayu di samping tidak pula merugikan kaum bukan-Melayu. Kajian di Ireland menunjukkan bahawa bahasa indigenus sendiri dapat menyampaikan ilmu dengan lebih berkesan. Pelajar-pelajar penutur bahasa Gaelik di sekolah rendah di Ireland mengalami kesukaran mempelajari matematik dalam bahasa Inggeris. Suatu kajian dijalankan dengan menukarkan bahasa penghantarnya. Apabila bahasa penghantarnya ditukar daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Gaelik, pemahaman pelajar meningkat. Begitu juga bukti yang diamati di Brunei Darussalam. Brunei menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar matematik dan sains di sekolah rendah. Beberapa tahun lalu, bahasa penghantar itu ditukar daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris. Akibatnya, prestasi pelajar dalam matematik dan sains menurun. Ini menunjukkan bahawa bahasa indigenus dapat menyampaikan ilmu dengan lebih berkesan daripada bahasa pinjaman.

Mengapakah bahasa indigenus perlu digunakan sebagai bahasa penghantar? Kita perlu menggunakan bahasa indigenus supaya dapat menurunkan tembok bahasa yang mewujudkan kepungan ilmu. Hanya apabila tembok bahasa ini runtuh, maka barulah kepungan ilmu roboh dan ilmu merebak. Fenomena ini dapat kita lihat di Eropah dalam Zaman Pertengahan. Apabila Romawi menaklukkan Eropah, kuasa gereja Kristiannya pun turut menguasai Eropah. Pada zaman itu kaum gereja adalah kaum terpelajar, dan mereka menggunakan bahasa Latin. Oleh sebab itu bahasa Latin menjadi bahasa ilmu di seluruh Eropah.

Bagaimanakah bahasa Latin itu mengepung ilmu? Kita dapat melihat gejala ini berlaku di Eropah pada Zaman Pertengahan. Hanbury Brown, dalam bukunya, The Wisdom of Science: Its Relevance to Culture and Religion (1986) menunjukkan bagaimana ilmu terkepung dalam bahasa Latin dan tidak dapat membantu menyelesaikan masalah dalam kehidupan masyarakat Eropah pada Zaman Pertengahan. Sejak kurun ke-16 lagi, pengetahuan mengenai bakteria dan kitaran darah telah diketahui. Walau bagaimanapun, pengetahuan ini terkepung di dalam bahasa Latin. Oleh sebab bahasa Latin tidak difahami oleh rakyat, maka ilmu itu tidak sampai kepada mereka. Ilmu terkepung dalam bahasa Latin di kalangan ilmuwan. Mereka menganggap ilmu itu untuk pengetahuan peribadi saja dan tidak perlu dikongsi dengan rakyat yang tidak mengetahui bahasa Latin. Akibatnya, ilmu tersebut tidak dapat dimanfaatkan untuk memajukan bidang ilmu perubatan.

Contoh kedua dapat dilihat daripada apa-apa yang berlaku kepada ilmu yang ditemukan oleh Isaac Newton. Newton telah menulis buku Philosophiae Naturalis Principia Mathematica dalam bahasa Latin pada tahun 1686. Buku itu telah dibahaskan di Royal Science Society of London, dan dapatan yang terkandung di dalamnya amat dikagumi. Selepas itu buku itu ditutup dan ilmu di dalamnya terpendam selama 200 tahun. Hanya 200 tahun selepas Newton meninggal, barulah buku itu diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Selepas itu barulah ilmu dalam Principia Mathematica ini dipelajari oleh rakyat. Ilmu itu banyak membantu kehidupan kita pada hari ini kerana mengandung asas kejuruteraan moden yang digunakan dalam beberapa banyak barangan yang kita gunakan hari ini, daripada pembinaan bangunan pencakar langit kepada pembinaan kapal angkasa.

Hanya apabila disampaikan dalam bahasa rakyatnya, barulah ilmu itu dapat difahami dan dimanfaatkan.

Proses penyampaian ilmu yang berkesan melalui Bahasa Kebangsaan terbukti berjaya di Jepun, Korea, Cina, Taiwan, Thailand, dan Indonesia. Malaysia termasuk ke dalam golongan ini juga. Dalam dekad ini, negara-negara di rantau Pasifik mengalami perkembangan ekonomi yang pesat. Malah Malaysia mengalami perkembangan ekonomi yang melebihi 7% setahun selama tujuh tahun berturut-turut. Satu faktor yang sama wujud di semua negara ini. Semuanya menyampaikan pendidikan melalui Bahasa Kebangsaan masing-masing.

Ada teori yang mengatakan bahawa kita perlu meminjamkan bahasa asing yang maju untuk membangun. Sejarah membuktikan bahawa dakwaan itu tidak betul. Negara-negara yang menggunakan bahasa pinjaman seperti Filipina, India, Pakistan, Bangladesh, Nigeria, Kenya, dan Ghana masih belum dapat membangun. Begitu jugalah nasib yang dialami oleh negara-negara Amerika Latin yang menggunakan bahasa pinjaman untuk menyampaikan ilmu dan teknologi kepada rakyatnya. Rupa-rupanya, apabila negara menggunakan bahasa pinjaman, hanya segelintir ilmuwan saja yang akan fasih dalam bahasa itu dan menerima ilmu tersebut. Tetapi mereka tidak dapat menyampaikan ilmu dan teknologi itu kepada rakyat kerana mereka tidak menuturkan bahasa yang sama. Negara tidak mampu mengajarkan bahasa pinjaman itu kepada seluruh rakyat. Fenomena kepungan bahasa timbul, dan kepungan bahasa itu menafikan ilmu daripada sampai kepada rakyat. Akhirnya, bilangan ilmuwan yang kecil yang berilmu, dan rakyat yang banyak yang tidak berilmu tidak dapat membangunkan negaranya.

Membentuk Ciri-ciri Bangsa Malaysia di Kalangan Kaum bukan-Melayu

Masyarakat bukan-Melayu yang berpegang pada jati diri negara asal mereka (Cina dan India) menunjukkan ciri-ciri masyarakat Malaysia yang dirancang oleh Razak. Ada beberapa bukti yang dapat kita lihat.

Dalam politik, kita dapat melihat generasi muda bukan-Melayu semakin menerima jati diri Malaysia. Hal ini terbukti apabila mereka berasa senang untuk mengundi calon UMNO dalam pilihan raya umum. Lebih-lebih lagi dalam pilihan raya yang lalu. Rasa perkauman mereka sudah mula menipis. Dalam berkempen, kita dapat melihat kaum berbilang bangsa berusaha bersama-sama untuk memenangkan calon mereka.

Isu perbezaan kaum tidak timbul. Ada beberapa faktor yang menimbulkan keadaan ini. Menerima pendidikan melalui bahasa penghantar yang sama, iaitu Bahasa Kebangsaan, telah memungkinkan mereka membina sikap dan nilai yang tidak berbeza. Kemampuan orang Melayu mendapat pendidikan melalui Bahasa Kebangsaan sehingga peringkat pengajian tinggi telah memberi mereka mobiliti ekonomi dan daerah. Mereka tidak lagi menganggap diri mereka sebagai kaum yang berada dalam keadaan yang merugikan. Keadaan ini telah membuat kaum-kaum di Malaysia menjadi rapat.

Mengekalkan Minda Asli dan Kekreatifan Indigenus

Apabila kita menggunakan bahasa pinjaman untuk menyampaikan pendidikan, kita tidak dapat mengisi minda Melayu itu dengan ilmu yang bebas daripada budaya minda bahasa pinjaman tersebut. Bahasa pinjaman akan membina minda menurut kerangka bahasa pinjaman itu. Keaslian minda Melayu pun hilang. Orang Melayu yang belajar melalui bahasa pinjaman itu, walau tidak sepandai mana sekalipun, akan mampu membina minda seasli penutur asli bahasa pinjaman itu. Minda masyarakat yang dididik melalui bahasa pinjaman akan menjadi minda pinggiran kepada minda masyarakat bahasa pinjaman. Keperibadian dan kecendekiawanannya tidak asli lagi. Minda pinggiran ini menjadi pinggiran kepada minda bangsanya sendiri juga. Minda pinggiran itu akan sentiasa memandang rendah akan minda bangsanya, tetapi tidak pula tergolong kepada minda pusat bahasa pinjaman itu. Dia akan menjadi hanya minda yang tercabut daripada minda bangsanya, tetapi tidak pula diterima sepenuhnya ke dalam minda bahasa pinjaman.

Minda pinggiran ini akan kehilangan keaslian dan kekreatifannya. Kita dapat melihat bahawa negara-negara yang menggunakan bahasa indigenus sebagai bahasa penghantar pendidikan dapat mengekalkan keaslian dan kekreatifan mindanya. Lihatlah negara Jepun. Jepun menerima pendidikan Barat. Jepun meniru Barat tetapi Jepun masih Jepun. Dari segi budaya, Jepun masih Jepun. Pentadbirannya, perdagangannya, sains dan teknologinya antara yang terbaik di dunia. Keaslian mindanya jelas. Orang Jepun mungkin bercelana dan berkemeja tetapi mereka tetap Jepun. Para remajanya seperti remaja Barat juga, memakai celana jeans, tetapi kenakalan remaja seperti di Barat hampir tiada. Inilah jati diri Jepun yang timbul daripada keaslian mindanya; minda asli yang dikekalkan melalui pendidikan dalam bahasa indigenus.

Jepun telah mencuba beberapa cara untuk menyampaikan pendidikan kepada rakyatnya. Hingga 500 tahun dulu, bahasa Jepun tidak mempunyai kesusasteraan. Yang ada hanya lagu-lagu rakyat. Ilmu terkepung dalam bahasa Cina. Rakyat terasing daripada ilmu kerana tidak memahami bahasa Cina.

Pada tahun 1856, Commodore Perry datang dan memaksa Jepun membuka pintunya kepada dunia. Jepun perlu membuat perubahan. Jepun yang diancam oleh Barat mesti belajar dari Barat, menandingi Barat, dan mengalahkan Barat dalam permainannya sendiri. Bagaimanakah pemimpin Jepun membina generasi Jepun moden yang berminda Jepun asli? Pemimpin Jepun yang memulakan pembaharuan pada Zaman Meiji, Yukichi Fuzukawa, berkata bahawa Jepun hendaklah belajar daripada Barat untuk maju. Count Omare dalam laporannya mengenai perkembangan pendidikan Jepun dalam Japan by Japanese mengatakan bahawa Jepun mesti kekal sebagai sebuah negara Jepun untuk Jepun. Jepun mahu belajar dari Barat, tetapi mahu mengekalkan kebebasan mempelajari ilmu pengetahuan. Mereka mementingkan kemandirian ilmu, bebas menurut kerangka minda Jepun. Dengan demikian Jepun mengekalkan keaslian minda mereka.

Untuk menyampaikan ilmu kepada rakyatnya, Meiji memilih bahasa yang paling luas digunakan. Jepun mempunyai empat peringkat bahasa: Bahasa diraja, bahasa samurai, bahasa pedagang, dan bahasa petani dan wanita. Meiji memilih bahasa petani dan wanita untuk menyampaikan ilmu, kerana bahasa itulah yang paling luas penyebarannya.

Jepun pun menghadapi masalah guru, bahasa penghantar, dan istilah. Pengalaman Jepun sama saja dengan pengalaman Malaysia sekarang. Kita boleh belajar daripada Jepun. Selepas Jepun menerima dan melaksanakan pendidikan Barat, banyak pelajar yang dihantar ke Eropah dan Amerika untuk belajar dan membawa balik ilmu. Oleh sebab kekurangan tenaga pengajar, pada mulanya banyak pensyarah Amerika dan Eropah yang diambil bertugas di universiti-universiti Jepun. Tetapi, sedikit demi sedikit mereka digantikan dengan pensyarah Jepun yang pulang dari Eropah dan Amerika tadi. Pada mulanya 80% pensyarahnya terdiri daripada ekspatriat, tetapi pada tahun 1904 bilangannya menjadi hanya sekitar 30% dan sekarang hampir tiada.

Dari segi bahasa penghantar pula, mereka menggunakan bahasa Jepun yang dituturkan oleh petani dan wanita, iaitu bahasa yang paling rendah. Bahasa Jepun ketika itu tidak mempunyai sistem ejaan sendiri, hanya menggunakan ejaan huruf kanji, iaitu sistem ejaan Cina. Oleh sebab itu Jepun membentuk sistem ejaannya sendiri, huruf hiragana untuk perkataan-perkataan Jepun dan katakana untuk perkataan-perkataan pinjaman daripada bahasa asing. Huruf kanji (Cina) masih dikekalkan. Apabila timbul masalah sebutan, Jepun memutuskan supaya sebutan menurut sebutan penutur bahasa petani dan wanita itu digunakan. Oleh sebab itu, tidak timbul kesukaran belajar dan menggunakan bahasa Jepun dalam bidang ilmu.

Mereka pun pernah mencuba menggunakan bahasa pinjaman sebagai bahasa penghantar. Mereka mengajarkan ilmu medan perang dalam bahasa Rusia, undang-undang dan falsafah dalam bahasa Perancis, kejuruteraan dan sains dalam bahasa Jerman, dan kemanusiaan dalam bahasa Inggeris. Amalan ini dihentikan kerana pendidikan tidak sampai dengan sempurna.

Jepun mementingkan penguasaan ilmu dengan bebas menurut kerangkanya sendiri. Jepun menggunakan bahasanya sendiri untuk menyampaikan ilmu supaya dikuasai oleh semua rakyat.

Pada hari ini kita dapat lihat bagaimana Jepun telah menyerap pendidikan Barat sepenuhnya, tetapi keaslian mindanya masih kekal. Kita melihat kekreatifannya meningkat. Mereka menyerap ilmu Barat, tetapi berhasil mencipta barangan Jepun - televisyen Jepun, kamera Jepun, kereta Jepun, jam Jepun, dan lain-lain. Kita dapat melihat betapa mereka menjadi kreatif kerana tidak terkepung dalam minda budaya lain. Minda Jepun menjadi dominan. Minda Jepun dapat menggunakan ilmu sains untuk membina barangan yang diperlukan. Misalnya, dengan menggunakan ilmu dan teknologi Barat, iaitu logam dan haba, Jepun mencipta periuk nasi automatik, Jepun membina traktor kecil untuk sawahnya, dan banyak lagi. Mereka mendapat kekayaan daripada ciptaan mereka. Bangsa Asia lain yang makan nasi besar jumlahnya, misalnya India, Bangladesh, Pakistan, dan Sri Lanka. Oleh sebab mereka tidak menerima pendidikan dalam bahasa indigenus, kekreatifan minda mereka tidak timbul walaupun negara-negara ini banyak mempunyai ilmuwan yang bijak. Barangan yang dicipta oleh Jepun itu tidak menggunakan ilmu dan teknologi tinggi. Tetapi mereka mempelajari ilmu dengan bebas, tidak mengikut kerangka minda bahasa pinjaman. Dengan itu mereka mengekalkan keaslian dan kekreatifan mindanya.

Mari kita lihat contoh yang berlaku di negara kita. Ramly Mokti berjaya membina perusahaan burgernya sehingga menjadi perusahaan burger yang terbesar dalam negara pada hari ini. Perusahaannya menjadi maju kerana dia menjual burger melalui sistem gerai. Sekiranya Ramly terdidik dalam bahasa Inggeris daripada sebuah universiti Inggeris, dia tidak akan pernah berfikir tentang gerai. Dia akan mencuba meneruskan budaya McDonald’s, KFC, dan A&W untuk menjual burger. Keaslian minda dan kekreatifan Ramly kekal. Oleh sebab itu dia menjual burger seperti menjual nasi lemak. Di situlah keaslian kekreatifan minda Melayu yang dikekalkan oleh pendidikan melalui bahasa indigenus, iaitu bahasa Melayu. Itulah yang membawa kejayaannya.

Thailand pun menyampaikan pendidikannya dalam bahasa indigenus juga dan minda orang Thai kekal asli dan kreatif. Begitu juga Indonesia, Korea, Cina, Taiwan, dan Hong Kong. Malah seluruh rantau Asia-Pasifik mengalami perkembangan ekonomi. Inilah juga kawasan yang menggunakan bahasa indigenus dalam pendidikan. Negara-negara yang menggunakan bahasa pinjaman untuk menyampaikan pendidikan tidak dapat menyaingi kepesatan perkembangan ekonomi bangsa-bangsa yang mindanya asli.

Sekiranya kita menggunakan bahasa pinjaman, kita akan kehilangan keaslian minda kita. Kita akan melahirkan minda pinggiran yang tidak akan menandingi minda penutur asli bahasa itu. Kita akan hanya membina budaya pinggiran, pinggiran kepada budaya bahasa pinjaman. Orang yang mempunyai minda pinggiran ini akan menentang dan mencurigai bahasa dan budayanya sendiri.

Hubungan antara pendidikan yang disampaikan melalui bahasa indigenus dengan kejayaan ekonomi adalah suatu bukti yang nyata. Hubungan ini adalah hubungan sebab akibat.

Akan bersambung ke Bahagian 2: Keajaiban Ekonomi Asia-Pasifik

- Abdullah Hasan
Kiriman: Nazmatt (suntingan M@RHAEN) 14.05.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN