BAHASA, PEMIKIRAN DAN SURVIVAL BANGSA MELAYU
(Bahagian 2)

Bahasa, Pemikiran Dan Survival Bangsa Melayu (Bahagian 2)
Oleh Abdullah Hasan

(Terdahulu: Bahagian 1)

BAHASA MENGEKALKAN DAN MENYATUKAN BUDAYA

Bahasa bukan hanya setakat memberikan identiti kepada bangsa dan budaya para penuturnya tetapi lebih daripada itu. Bahasa merupakan pembetung yang di dalamnya terkandung konsep-konsep, nilai-nilai dan idea-idea yang diwarisi oleh bangsanya. Bahasa merupakan kenderaan yang menjadi pemikiran suatu kebudayaan dari satu generasi kepada generasi yang akan datang. Bahasa juga menentukan pemikiran yang akan menentukan nasib serta survival sesuatu bangsa.

Malik Bennabi tokoh sejarah dan sosiologi yang terkenal pada abad ini telah banyak menulis tentang kesan penjajahan bahasa yang berlaku  selepas tamatnya penjajahan politik di negara-negara Islam. Menurut beliau, kebanyakan negara bekas tanah jajahan Eropah terus mengekalkan kehadiran bahasa penjajah masing-masing, sehingga mewujudkan gejala bilingualisme di kalangan elit intelektual, politik dan pentadbiran negara-negara itu. Di dalam bukunya, Masalah idea Dalam Dunia Islam, beliau mengatakan: “ … Bilingualisme akan mencipta kesan-kesan yang sangat bertentangan dengan kebudayaan kebangsaan.”

Secara ringkasnya Malik Bennabi mengatakan, penggunaan bahasa-bahasa bekas penjajah di kalangan masyarakat telah mencipta gejala baru yang bersifat struktural dalam pemikiran dan budaya masyarakat Islam, iaitu tercipta idea-idea yang asing kepada budaya peribumi. Menurut beliau, gejala bilingualisme mengenakan pengaruhnya kepada elit intelektual masyarakat Islam melalui bahasa pengantar universiti. Pada peringkat tersebut, idea-idea asing diimport dengan tepat seperti yang dilakukan oleh Ali Abdul Razik, bekas penuntut Al-Azhar yang kemudian melanjutkan pengajian di Universiti Oxford. Melalui karyanya, Islam dan Prinsip-prinsip Pemerintahan, Razik mengatakan Islam hanyalah suatu ajaran agama, spirituil dan moral, dan tidak ada kaitan dengan soal-soal politik dan pemerintahan. Memang demikianlah idea Barat yang sebenar, dan begitulah diterjemahkan dengan tepat oleh Razik dan diimport ke dalam dunia pemikiran Islam.

Di dalam sesetengah masyarakat Islam, bilingualisme mencipta perpecahan yang luas dan mendalam. Perpecahan itu berlaku pada semua peringkat. Di dalam masyarakat itu, terdapat  elit berbahasa kolonial dan elit berbahasa peribumi. Pada peringkat bawah, terdapat dua masyarakat yang juga menuturkan dua bahasa yang berbeza, satu bahasa kolonial dan satu bahasa peribumi, dan kedua-duanya tidak dapat hadir bersama dalam satu budaya.

Menurut Malik Bennabi, apabila seseorang itu mengucapkan pemikiran-pemikirannya dengan menggunakan bahasa asing, pemikiran itu menjadi buta budaya sendiri, malah ada kalanya boleh mengkhianatinya.

MASYARAKAT DAN IDEA

Mengikut Malik Bennabi lagi, sesuatu bangsa itu gagal membangun bukan kerana tidak memiliki sumber-sember pembangunan seperti tanah dan sumber alam, tetapi sebaliknya kerana bangsa itu tidak mempunyai banyak idea. Faktor kekurangan idea tergambar apabila bangsa itu tidak berupaya menggunakan sumber yang ada padanya dan tidak  berupaya mencipta sumber-sumber baru. Kekurangan idea juga tergambar pada cara bagaimana bangsa tersebut tidak berupaya untuk menyatakan apakah masalah yang dihadapi. Hal ini berlaku apabila bangsa tersebut hilang semangat untuk menangani masalah-masalah tersebut.

Sesuatu bangsa tidak berupaya mencipta banyak idea apabila semangat kreativitinya pupus. Idea-idea adalah untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh bangsa itu dari semasa ke semasa. Cara sesuatu bangsa itu menyatakan masalah, menentukan bagaimana masalah itu dapat atau tidak dapat  diselesaikan. Tanpa kreativiti, cara masalah itu dinyatakan pun tidak kreatif. Oleh itu, masalah tersebut tidak dapat diselesaikan  secara kreatif. Kegagalan itu menyebabkan bangsa itu hilang semangat untuk terus berdaya usaha bagi mencari penyelesaiannya. Pada hal, kemajuan sesuatu bangsa ditentukan oleh berapa banyak masalah yang berjaya diselesaikan oleh bangsa tersebut.

KREATIVITI DAN PEMIKIRAN ASLI

Pemikiran asli merupakan pemikiran yang berupaya mencipta idea-idea asli, iaitu idea-idea yang belum pernah didengar atau dicipta sebelumnya. Idea-idea itu hendaklah sesuai dengan keadaan dan berguna kepada masyarakat. Idea untuk membunuh rumput dengan cara menanam lalang di tempat rumput tumbuh, mungkin merupakan suatu idea asli, tetapi belum tentu sesuai apatah lagi berguna.

Bangsa Melayu mempunyai pemikiran asli tetapi pemikiran asli itu hilang apabila pemikiran Melayu dikuasai oleh bahasa Inggeris. Inilah yang berlaku kepada kreativiti bangsa India apabila bangsa tersebut menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengucapan intelektualnya. Bandingkan dengan kejayaan bangsa Jepun yang mengekalkan kreativiti pemikiran aslinya apabila bangsa tersebut terus menggunakan bahasanya sebagai bahasa pengucapan intelektual mereka.

Apabila sesuatu bangsa menggunakan bahasa asing sebagai alat pengucapan intelektual, maka pemikiran bangsa itu akan menjadi perluasan sahaja kepada pemikiran asal bahasa asing tersebut, iaitu sebuah pemikiran pinggiran. Pemikiran tersebut tidak menjadi sebahagian daripada pemikiran pusat bahasa yang dipinjam. Sebaliknya menjadi pemikiran sampingan sahaja. Sebagai contoh, pemikiran cerdik pandai India yang kini menggunakan bahasa Inggeris sebagai alat pengucapan intelektual mereka, maka pemikiran mereka menjadi pemikiran pinggiran kepada pemikiran Inggeris. Sebagai pemikiran pinggiran, pemikiran India tidak dapat melebihi prestasi pemikiran Inggeris. Pinggiran pemikiran tersebut sebenarnya merupakan suatu pemikiran tertawan dan tidak akan berdaya melepaskan dirinya daripada belenggu pemikiran Inggeris. Pemikiran tertawan tidak berupaya menjadi kreatif. Pemikiran tersebut, sebaliknya hanya menjadi pengguna kepada produk-produk mental dan fizikal keluaran pemikiran Inggeris.

SENARIO WILAYAH ASIA PASIFIK MENJELANG ABAD KE-21

Rantau Asia-Pasifik, merupakan rantau yang pasti menjadi pusat ekonomi dunia abad ke-21. Dari segi bangsa dan bahasa, rantau Asia-Pasifik dikongsi oleh empat bangsa, pemikiran utama: Cina, Jepun, Korea dan Melayu. Bangsa dan pemikiran Cina mempunyai dua kekuatan dari segi jumlah manusianya, dan jaringan perniagaan antara komuniti Cina diaspora di semua pusat ekonomi rantau ini iaitu Beijing, Hong Kong, Taipei, Singapura, Jakarta, Bangkok, Kuala Lumpur, Manila dan Taiwan. Bahasa dan pemikiran Jepun dan Korea mempunyai kekuatan pada bahasa Sains dan Teknologinya khusus untuk mendominasi sektor pembuatan.

Di manakah kekuatan bangsa dan pemikiran Melayu dalam masyarakat Asia-Pasifik yang bakal menjadi pusat ekonomi dunia abad depan? Kekuatan bangsa Melayu ada pada dua perkara: Pertama, pada bilangan manusianya yang berjumlah hampir 300 juta, dan kedua, pada potensi pemikiran bangsa Melayu itu sendiri. Potensi pemikiran seluruh masyarakat yang menuturkan bahasa Melayu inilah yang menjadi aspek kritikal untuk survival bangsa Melayu? Bahasa Melayu yang menjadi bahasa pengantara akan menjadi wahana membina pemikiran asli bangsa-bangsa yang menuturkan bahasa Melayu. Pemikiran asli akan menjamin kreativitinya subur, tidak tertawan oleh mana-mana budaya lain.

Menggunakan sebuah dialek bahasa Melayu akan menjadi satu pemikiran kolektif yang besar. Besar sahaja tidak cukup tetapi mesti pelbagai. Sebesar-besar pemikiran India tidak pelbagai seperti pemikiran Israel, Belanda, Sweden, Norway, Taiwan, dan lain-lain lagi. Terlalu banyak pemikiran yang bertindih atau serupa di kalangan penuturnya.  Ini tidak membantu memajukan masyarakat penuturnya. Hanya pemikiran yang pelbagai ini yang membantu membangunkan masyarakat penuturnya.

Oleh sebab itu, matlamat perancangan bahasa bukan sekadar merancangkan ejaan, sebutan, kamus, istilah dan tatabahasa sahaja. Usaha itu adalah tahap pembinaan alat semata-mata. Matlamat usaha perancangan bahasa Melayu ialah membina kepustakaan dalam bahasa Melayu, melalui penciptaan ilmu dan teknologi sendiri dan juga meminjam daripada bahasa lain. Kepustakaan inilah yang akan mengisi bahasa Melayu.

Akan bersambung ke Bahagian 3:   Belajar Daripada Pengalaman Sarjana Islam

Kiriman: Nazmatt (suntingan M@RHAEN) 19.05.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN