BAHASA, PEMIKIRAN DAN SURVIVAL BANGSA MELAYU
(Bahagian 3)

Bahasa, Pemikiran Dan Survival Bangsa Melayu (Bahagian 3)
Oleh Abdullah Hasan

(Terdahulu: Bahagian 1 - Bahagian 2 )

BELAJAR DARIPADA PENGALAMAN SARJANA ISLAM

Para ilmuwan Islam melakukan suatu perkara yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana bangsa lain sebelumnya, iaitu pendemokrasian ilmu pengetahuan. Ilmuwan Islam menggalakkan semangat mencari kepada sesiapa yang berminat. Ilmuwan Islam mempamerkan dan menerangkan alat-alat yang dicipta dan digunakan untuk kajian dan penyelidikan. Ilmuwan Islam membuka perpustakaan-perpustakaan awam. Mereka yang memiliki perpustakaan peribadi juga membenarkan orang awam menggunakannya. Malah perpustakaan-perpustakaan itu dibuka kepada para ilmuwan daripada negara-negara bukan Islam, dengan demikian perpustakaan-perpustakaan itu menjadi perpustakaan antarabangsa. Mereka sangat menghormati orang berilmu, dan sangat menyanjung ilmu pengetahuan. Mereka mendirikan ratusan pusat pengajian tinggi kerana sangat mahukan masyarakat mendapat peluang belajar pelbagai ilmu. Dalam abad ke-9 dan ke-10, hartawan-hartawan Islam mewakafkan sekolah dan perpustakaan untuk orang awam.

Raja-raja Islam mendirikan sekolah di setiap bandar dan  kampung kecil, sehingga tidak ada kanak-kanak Islam yang tidak boleh membaca dan mengira. Kurikulum sekolah rendah meliputi  mata pelajaran membaca, menulis, mengira, sains, geografi, sejarah dan lain-lain.

Orang Islam merupakan bangsa yang pertama yang mencipta konsep pendidikan universal. Sekolah dibina dalam satu kawasan dengan masjid. Setiap sekolah disediakan perpustakaannya sendiri.

Para ilmuwan Islam menggunakan ilmu yang diimport dari laur, terutamanya dari Yunani, untuk tujuan-tujuan praktikal, suatu hal yang tidak dilakukan oleh bangsa lain. Oleh sebab para ilmuwan Islam cuba menyelesaikan masalah praktikal, usaha itu menyebabkan mereka mencipta kaedah penyelidikan yang bersifat empirikal dan eksperimental. Sebelumnya, bangsa-bangsa lain mengembangkan ilmu pengetahuan untuk mengembangkan lagi ilmu pengetahuan. Mereka tidak menganggap ilmu pengetahuan perlu digunakan untuk memperbaiki kehidupan manusia. Orang Islamlah yang mula-mula menjadikan manusia sebagai matlamat ilmu pengetahuan. Dengan demikian, mahu tidak mahu, para ilmuwan Islam perlu menggabungkan tradisi ilmu Yunani yang bersifat spekulatif dengan aktiviti eksperimental dan empirikal yang mereka cipta.

Dalam menjalankan kegiatan eksperimen, para ilmuwan Islam membebaskan diri daripada kongkongan dogma dan kepercayaan. Hal ini berlainan dengan sikap yang diamalkan di Eropah. Di sana, para bijak pandainya berfikir untuk membuktikan ajaran-ajaran dan dogma-dogma waktu itu adalah benar. Para ilmuwan Islam memasuki setiap bidang ilmu untuk mencari pengetahuan. Mereka mengembangkan ilmu-ilmu yang ada dan mencipta cabang ilmu baru yang belum ada sebelumnya. Mereka bergiat dalam bidang-bidang filologi, sejarah, historiografi, undang-undang, sosiologi, kesusasteraan, etika falsafah, teologi, perubatan, matematik, logik, seni, astronomi, botani, fizik, seni bena, seramik dan pelbagai bidang ilmu yang lain.

Zaman kegemilangan ilmu sains dalam Islam berlaku antara 750 M, hingga 1350 M. pada kala itu, dunia Eropah masih berada dalam zaman kegelapan yang disebut Middle Ages. Eropah hanya bangun dan mencipta Renaissance antara 1400 M, hingga 1600 M.

Orang Islam mengimport ilmu terbaik yang diciptakan oleh bangsa lain sebelum mereka. Ini mereka lakukan melalui aktiviti terjemahan, kemudian mereka mengembangkan lagi ilmu-ilmu itu. Antara ilmu asing yang mereka import ialah falsafah, perubatan, matematik dan teknologi daripada tradisi Yunani; matematik, perubatan dan kesusasteraan dari India; sains, kesusasteraan dan agama dari Parsi; dan ulasan terhadap sains dan falsafah Yunani oleh orang-orang Syria.

Tradisi membuat penyelidikan yang penuh kesabaran adalah ciptaan ahli-ahli sains Islam. Mereka mencipta teknik penyelidikan secara teliti dan lama. Mereka merakamkan hasil-hasil pemerhatian daripada uji kaji yang dilakukan. Mereka mengembara untuk mengumpulkan data-data yang besar supaya dapat dilakukan kerja-kerja klasifikasi dan kategorisasi.

Ahli sains Islam lebih praktikal apabila berfikir. Mereka tidak menolak kegunaan spekulasi, tetapi mereka juga tahu batas-batas kegunaan spekulasi. Mereka menguji kebenaran melalui uji kaji. Teknik berfikir dengan cara menggunakan uji kaji diistilahkan sebagai berfikir secara induktif.

Ahli sains Islam merupakan pencipta kaedah penyelidikan sains dengan menggunakan pengamatan dan uji kaji, suatu kaedah yang tidak pernah diketahui sebelumnya. Mereka mencipta kaedah eksperimen objektif kerana mahu memperbaiki teknik-teknik spekulatif Yunani yang tidak tepat.

Mulai abad ke-10, di kalangan orang Islam muncul golongan yang disebut as-Salaf. Golongan as-Salaf menyerang dan akhirnya mereka berjaya menamatkan tradisi pemikiran saintifik yang telah mencipta kemajuan sains luar biasa pada waktu itu. Kepada golongan as-Salaf, sumber segala ilmu pengetahuan adalah al-Quran dan Sunah. Tidak ada sumber lain selain daripada itu. Segala persoalan hanya dapat diselesaikan dengan kembali kepada kedua-dua sumber tersebut. Golongan ini menolak sama sekali penggunaan akal dan logik sebagai sumber ilmu pengetahuan. Mereka menolak taklid dan ijmak. Mereka memusuhi pengaruh pemikiran asing dan mereka secara terang-terangan memusuhi para ilmuwan Islam yang mengembangkan pemikiran falsafah Yunani.

Selepas kebangkitan golongan as-Salaf, jumlah sekolah dan madrasah naik tetapi kemajuan sains turun menjunam-junam. Ini kerana sekolah-sekolah dan madrasah-madrasah itu didirikan oleh para pemimpin mazhab-mazhab waktu itu dan digunakan untuk tujuan mengembangkan ajaran mazhab masing-masing. Sekolah-sekolah itu mengajarkan kurikulum yang ditumpukan pada pengajian ilmu-ilmu agama dan bahasa  Arab. Para pengasas sekolah-sekolah ini menolak sebarang inovasi. Mereka menentang pendidikan sekular dan memulaukan para ilmuwan yang kreatif. Mata pelajaran sains, ilmu-ilmu sosial dan falsafah tidak dimasukkan ke dalam kurikulum sekolah mereka. Dengan demikian, putuslah sejarah perkembangan tradisi pemikiran saintifik yang telah dibina selama lebih 400 tahun. Ini terjadi dalam abad ke-11 hingga abad ke-13.

Pada waktu peristiwa itu berlaku, dunia Barat sedang terburu-buru menterjemahkan hasil-hasil karya saintifik para ilmuwan Islam ke dalam bahasa Latin. Semasa sekolah Islam membuang kurikulum universal, Eropah mula membina universiti-universiti yang mengajarkan hasil-hasil kreatif Saintis Islam itu. Berkat manfaat ilmu-ilmu itu, Eropah berjaya mencipta Renaissance pada abad ke-14 dan abad ke-15.

Tentera Mongol di bawah pimpinan Halaku Khan berjaya menakluki kota Baghdad pada tahun 1258, dan itulah pukulan maut kepada perkembangan sains Islam. Bangsa Mongol membakar beratus-ratus perpustakaan yang terdapat di kota itu, termasuk Baitul Hikmah, perpustakaan terbesar yang didirikan oleh Khalifah al-Makmun. Mereka menggunakan buku-buku di dalam perpustakaan-perpustakaan itu sebagai kayu api untuk membakar bangunan-bangunan perpustakaan tersebut. Nasib yang serupa dialami oleh semua perpustakaan di seluruh dunia Islam, dari Samarkand ke Bukhara, ke Baghdad. Perpustakaan-perpustakaan di Sepanyol di bakar jadi abu, apabila raja-raja Kristian berjaya menjatuhkan kerajaan Islam pada tahun 1492.

Suatu tamadun yang berjaya melahirkan ahli-ahli sains yang lebih besar daripada  ahli sains Yunani seperti Aristotle, Ptolemy, Euclid, Galen dan lain-lain, ternyata tidak berdaya menyelamatkan perpustakaan-perpustakaannya daripada serangan bangsa-bangsa yang otaknya tidak berisi banyak ilmu. Ahli-ahli sains Islam hanya berjaya menjadi ahli sains, dan kejayaan mereka itu berhenti di situ. Mereka tidak menjadi pakar teknologi. Mereka tidak memanfaatkan ilmu-ilmu sains yang mereka temui. Maknanya, tamadun Islam tidak melahirkan ahli-ahli jurutera dan ahli-ahli seni bina.

Ahli-ahli sains Islam berjaya mencipta kaedah-kaedah dan teknik-teknik berfikir yang berguna untuk menemui pelbagai ilmu pengetahuan sains, tetapi mereka tidak mencipta kaedah-kaedah dan teknik-teknik berfikir yang berguna untuk memanipulasi pengetahuan dan maklumat sains menjadi teknologi. Tanpa teknologi, apakan daya mereka untuk menentang serangan bala tentera bangsa-bangsa yang lebih besar dan berani, meskipun lebih bodoh daripada orang Islam sendiri. Ahli-ahli sains Islam memiliki ilmu kimia, matematik dan fizik yang termaju, tetapi mereka tidak mencipta senjata baru. Tentera Islam terus menggunakan senjata tradisional pedang dan anak panah. Pada zaman kegemilangan Islam, ilmu sains maju jauh ke depan, tetapi teknologi terus tidur. Entah mengapa, tamadun intelektual Islam tidak berfikir untuk memanfaatkan pengetahuan yang begitu kaya untuk mencipta alat-alat baru, biarpun yang mudah-mudah.

Kegiatan ahli-ahli sains Islam terbatas pada penyelidikan asasi yang tujuan penyelidikan sains adalah demi kemajuan sains itu sendiri. Ahli-ahli sains Islam tidak pernah mencipta penyelidikan pembangunan. Penyelidikan sains asasi tidak mempunyai matlamat untuk menghasilkan output yang konkrit. Matlamat akhir penyelidikan sains asasi ialah untuk memahami alam semula jadi, bukan mencipta benda-benda yang berguna kepada manusia. Ahli-ahli sains Islam membuat penyelidikan kerana mereka didorong oleh perasaan ingin tahu yang amat sangat. Mereka tidak berminat mencari ilmu pengetahuan  yang boleh digunakan bagi menyelesaikan bermacam macam-masalah praktikal kehidupan sehari-hari.

Pemikiran teknikal ialah pemikiran yang digunakan untuk menukar sains menjadi teknologi. Pada satu pihak, pemikiran saintifik menghasilkan huraian-huraian tentang alam semula jadi, pada satu pihak yang lain, pemikiran teknikal menghasilkan ciptaan-ciptaan baru yang belum pernah dibuat sebelumnya. Pemikiran sains pada asasnya pemikiran deskriptif; manakala pemikiran teknikal pada asasnya pemikiran kreatif.

Pemikiran teknikal tidak pernah dikembangkan oleh tamadun Yunani mahupun tamadun Islam. Tamadun Yunani mengembangkan pemikiran logikal dan spekulatif. Tamadun Islam mengembangkan pemikiran saintifik yang menggunakan spekulasi dan pembuktian melalui eksperimen. Oleh itu, ahli sains Islam mendirikan observatorium dan makmal-makmal sains.

Pemikiran eksperimental merupakan komponen penting dalam pemikiran teknikal. Meskipun ahli-ahli sains Islam telah mendirikan pemikiran eksperimental, tetapi pemikiran itu ditujukan kepada matlamat membuktikan bahawa spekulasi-spekulasi saintifik mereka adalah benar. Tradisi intelektual Islam tidak menggunakan pemikiran eksperimental untuk tujuan kreatif. Mereka tidak menyedari bahawa pemikiran eksperimental adalah umpama pisau dua mata, yang boleh menghasilkan penemuan-penemuan sains dan pada waktu yang sama boleh digunakan untuk menghasilkan ciptaan-ciptaan teknikal. Dengan hal yang demikian, ahli-ahli sains Islam hanya berjaya mencipta inovasi-inovasi dalam ilmu sains tetapi tidak mencipta inovasi-inovasi dalam ilmu teknologi. Pisau dua mata itu hanya digunakan sebelah sahaja oleh ahli-ahli sains Islam. Sisi yang satu lagi tidak pernah diketahui, apatah lagi disedari manfaatnya oleh mereka. Oleh yang demikian, ahli-ahli sains Islam tidak mencipta penyelidikan pembangunan iaitu jenis-jenis penyelidikan eksperimental yang bertujuan mencari aplikasi ilmu-ilmu sains tulen. Teknik-teknik berfikir yang digunakan dalam penyelidikan adalah berlainan daripada teknik-teknik berfikir yang digunakan di dalam penyelidikan asasi. Teknik-teknik berfikir pembangunan itulah yang mencipta kepakaran teknologi. Kepakaran itulah yang  berguna bagi mencipta pelbagai rekaan. Tanpa mencipta tradisi penyelidikan pembangunan, ahli-ahli sains Islam tidak berupaya menghasilkan inovasi-inovasi teknikal.

Zaman kegemilangan sains Islam berlaku dalam masa lebih 400 tahun. Jumlah ilmu yang terkumpul sepanjang zaman itu bukan kepalang banyaknya. Perpustakaan Khalifah Al-Hakim di Kordova menyimpan 600 000 buah-buku. Perpustakaan Khalifah Al-Aziz dikatakan menyimpan 6 000 000 buah-buku dengan ilmu pengetahuan yang begitu banyak. Walaupun demikian ahli-ahli sains Islam masih tidak dapat mencipta budaya teknologi kerana mereka tidak mencipta dan mengembangkan teknik-teknik pemikiran teknikal dan kreatif. Selama lebih 400 tahun, ratusan pemikir genius Islam gagal menghasilkan ciptaan-ciptaan teknikal, bukan kerana otak mereka tidak cukup tajam, tetapi kerana otak-otak yang tajam itu tidak mencipta alat-alat berfikir yang diperlukan untuk penghasilan teknologi.

Teknologi ialah alat-alat dan teknik-teknik yang berfungsi untuk mengembangkan keupayaan manusia. Termasuk di dalam definisi ini ialah semua konsep dan ilmu pengetahuan yang digunakan pada alat-alat dan teknik-teknik tersebut. Definisi ini mengutamakan aspek kepakaran. Sains merupakan sumber kepakaran yang paling utama.

Proses penciptaan kreatif menghasilkan inovasi. Invensi ialah hasil praktikal daripada proses inovasi. Invensi dihasilkan melalui gabungan ilmu pengetahuan dan kreativiti. Inovasi ialah proses yang membolehkan hasil-hasil invensi dihantar ke pasaran.

Keagungan sains dalam zaman keagungan Islam lampau tidak dilanjutkan kepada tahap penciptaan teknologi. Ahli-ahli sains Barat pernah mengatakan zaman kegemilangan sains orang-orang Islam, sekali terpukul tidak akan bangkit lagi. Rasional yang mereka kemukakan ialah setelah perpustakaan-perpustakaan mereka habis dibakar oleh musuh, orang-orang Islam melakukan kesilapan yang lebih besar iaitu mereka tidak membina kembali perpustakaan-perpustakaan mereka. Orang Islam lupa kepustakaan merupakan asas kebangkitan mana-mana peradaban ilmu. Tanpa kepustakaan milik sendiri, tidak ada generasi yang dapat mendirikan peradabannya sendiri

Akan bersambung ke Bahagian 4 Universiti Sebagai Pencipta Ilmu Dan Teknologi Peribumi

Kiriman: Nazmatt (suntingan M@RHAEN) 20.05.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN