SAR Sebagai Isu Politik

Adalah satu perkara yang amat malang bahawa kini isu Sekolah Agama Rakyat (SAR) telah menjadi isu politik atau  lebih merupakan isu politik, dan tidak lagi merupakan isu pendidikan.

Hal ini memang tidak dapat dielakkan, kerana tindakan kerajaan memberhentikan bantuan kepada SAR baru-baru ini adalah satu ‘tindakan politik’ dan lebih didorong oleh faktor politik.

Antara lain, dikatakan kerajaan memberhentikan bantuan kepada SAR kerana sesetengah SAR telah mengambil sikap menentang kerajaan.

Sehubungan dengan itu, memang boleh diduga bahawa kerajaan tidak menyenangi kewujudan SAR, kerana kebanyakan SAR kini dikendalikan oleh orang-orang PAS. Dengan itu, mengikut persepsi kerajaan, SAR adalah merupakan ‘tapak semaian’ yang akan melahirkan dan membentuk kader-kader PAS.

Kewujudan SAR sebagai tapak semaian bagi kader-kader PAS sudah tentu akan merugikan UMNO pada jangka panjang. Dan inilah agaknya yang mahu dicegah oleh UMNO dan kerajaan.

Sama ada perkara ini betul-betul akan terjadi atau tidak, tetapi saya rasa persepsi yang demikian akhirnya memang mendorong kerajaan mengambil tindakan memberhentikan bantuan kepada SAR.

Oleh kerana tindakan kerajaan memberhentikan bantuan itu merupakan tindakan politik dan lebih didorong oleh faktor politik, maka reaksi daripada orang ramai, khasnya parti pembangkang dan NGO nampaknya merupakan tindakan politik juga.

Itulah sebabnya PAS dengan serta merta melancarkan kutipan derma untuk menyelamatkan SAR dan sebuah NGO, iaitu Teras Keupayaan Melayu (Teras) akan menggembleng tenaga NGO-NGO dalam menentang rancangan kerajaan untuk menghapuskan SAR dengan menubuhkan GEGAR (Gerakan Bertindak Umat Selamatkan Sekolah Agama Rakyat).

Oleh kerana tindakan kerajaan dan reaksi rakyat merupakan tindakan politik, maka isu SAR ini nampaknya terpaksa diselesaikan di medan politik juga, khasnya melalui pilihan raya yang akan datang.

Saya kira kerajaan akan terus memberhentikan bantuan kepada SAR sekurang-kurangnya sehingga pilihan raya yang akan datang (tahun 2003 atau 2004?).

Sukar dibayangkan kerajaan, malah sangat kecil kemungkinannya, kerajaan akan memberikan bantuan semula kepada SAR sebelum tarikh itu, walaupun mendapat desakan yang kuat daripada pelbagai pihak.

Tindakan Gegar (jika ditubuhkan) untuk mendesak kerajaan supaya memberi bantuan semula kepada SAR saya kira tidak akan berhasil.

Apakah yang mungkin berlaku selepas pilihan raya?

Saya kira, sekiranya UMNO dan BN memenangi pilihan raya yang akan datang, bererti akan lebih mudahlah kerajaan terus memberhentikan bantuan, dan mengambil apa-apa langkah yang seterusnya, seperti menyerapkan murid SAR ke sekolah kebangsaan, dan mungkin juga menutup SAR.

Kerajaan boleh mengambil langkah yang demikian dengan andaian bahawa rakyat yang menyokongnya dalam pilihan raya itu tentulah bersetuju dengan langkah kerajaan yang tersebut.

Oleh yang demikian, sama ada SAR dapat diselamatkan atau tidak, barangkali memang banyak bergantung kepada keputusan pilihan raya yang akan datang.

Sekiranya pihak pembangkang dapat memenangi pilihan raya itu, tentulah mereka akan mengambil langkah yang perlu untuk mengekalkan dan memperkasakan SAR.

Sebaliknya, kegagalan pihak rakyat dan parti pembangkang memenangi pilihan raya yang akan datang, akan menyebabkan nasib SAR berada seperti telur di hujung tanduk: bila-bila masa sahaja kerajaan UMNO/BN boleh mengambil langkah untuk menghapuskannya, sama ada secara drastik atau secara beransur-ansur.

Hanya perkara yang amat memberangsangkan kini ialah memang ramai orang yang ingin SAR terus wujud dan berkembang maju beberapa lama lagi..

Dengan itu menjadi kewajipan kitalah untuk menewaskan UMNO/BN dalam pilihan raya yang akan datang.

Kiriman Banjar Hanyar - 28.12.2002 (suntingan M@RHAEN)
Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!