Rocket Launcher...
Melihatkan peralatan ketenteraan yang dilengkapkan ke atas tentera Amerika maupun Iraq melalui media cetak atau media elektronik, rasa gerun akan sentiasa bersarang di dalam dada orang orang waras. Rasa gerun akan bertukar dengan persoalan demi persoalan bahawa dalam dunia yang semakin bertamadun ini akan ada manusia yang sentiasa berusaha untuk mencipta secanggih-canggih senjata untuk membunuh manusia yang lain.

Bagi diri yang tak pernah pun melihat apa yang dikatakan rocket launcher yang dipikul di atas bahu askar Amerika atau askar Iraq, akan segera teringat akan pertuduhan yang dikenakan ke atas lima aktivis reformasi yang merengkok di bawah akta zalim ISA sejak lebih dua tahun lalu.. Antara tuduhan itu ialah menyimpan rocket launcher dan sejumlah bahan letupan untuk membuat huru-hara bagi menjatuhkan kerajaan secara militan (melawan Yang DiPertuan Agong sebagaimana tuduhan terhadap kumpulan al Maunah?). Mampukah Tian Chua yang mengidap asthma itu memikul rocket launcher? Laratkah En. Hisham Jemapoh yang mengidap diebetes menyangga rocket launcher itu?

Namun bagi seorang yang waras pula, pertuduhan yang dihempokkan di atas batu jemala lima orang aktivis reformasi itu (asalnya sepuluh orang) menjadi satu lawak jenaka dan lelucon yang tak berkesudahan. Mengikut kata YB Mat Sabu boleh jadi rocket launcher yang dimaksudkan itu telah bertukar menjadi tongkat Dr. Chandra Muzzaffar. Bagi manusia yang cintakan keadilan dan keamanan, inilah rupa hodoh wajah sebenar kerajaan di mana-mana belahan dunia, yang hilang kredibiliti dan akauntabilitinya; terkial-kial bila diajukan soalan. Pembohongan demi pembohongan ditutup dengan satu lagi pembohongan.

Sebagaimana sebelum itu P.M Mahataik terkial-kial mencari jawaban kepada persoalan mengapa timbalan nya DSAI di pecat. Masalah moral? Bukankah PM Mahataik inilah yang pernah mengatakan “Ia tak salah dari segi undang-undang, cuma salah dari segi moral.” Bila mengulas akan individu-individu yang disiasat dalam kes BMF hampir dua puluh tahun lalu. Boleh jadi di sinilah bermulanya masalah moral diberi perhatian sungguh-sungguh. Dan terbaru, situkang ampu Rais Tongkosong membelatukkan ayat yang sama bila mempertahankan Timbalan Menteri Ng Yen Yen yang mempunyai taraf penduduk tetap Australia (Di Sebalik Pengenalan Berganda Ng Yen Yen). DSAI agen negara asing? PM Mahataik ini kan yang biasa mendapat pelukcium Fidel Castro, Pope John Paul, Robert Mugabe dan jangan lupa bawah dagu PM Mahataik, Rashid Gouse sendiri agen KGB. DSAI rasuah? Kira sendirilah setiap dengus hela nafas PM Mahataik ini, busuk kohong berbau rasuah.

Kebenarannya ialah kerajaan ini telah hilang akhlaknya; sebagai sebuah kerajaan yang sedia takut kehilangan cengkaman kuasa ditakut-takukan dengan sebuah rocket launcher dan sejumlah bahan letupan, menakut-nakutkan rakyat pula untuk menghalalkan ISA. Persis Amerika yang penakut, ditakut-takutkan oleh Weapon of Mass Destruction dan menakut-nakutkan pula warga dunia dengan senjata hebat yang kononnya dimiliki oleh Iraq, untuk menghalalkan penaklukan ke atas Iraq. (Ketepikan sebentar soal minyak)

Terhadap PM Mahataik yang masih mahu percaya akan hari akhirat, ingin diperingatkan sabdaan Junjungan Besar Nabi SAW:-

1. ”Manusia yang paling berat siksanya pada hari kiamat ialah pemimpin yang zalim.” (HR. At-Tabroni dari Abdullah bin Mas’ud)

2. ”Orang yg paling dicintai oleh Allah di hari kiamat dan paling dekat tempat duduknya di sisi Allah ialah pemimpin yang adil. Dan orang yang paling dibenci oleh Allah dan paling jauh tempat duduknya di sisi Allah ialah pemimpin yang zalim.” (HR. Tirmizi)

3. ”Sebaik-baik pemimpin di antara kamu ialah kamu mencintai mereka dan mereka mencintai kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan untuk kamu. Dan seburuk-buruk pemimpin di kalangan kamu ialah kamu membenci mereka dan mereka membenci kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknati kamu.” (HR.Muslim)

4. ”Siapa saja pemimpin yang menipu rakyatnya, maka akan masuk neraka.” (HR.Tabroni dari  Anas)

5. ”Siapa yang dijadikan oleh Allah sebagai pemimpin rakyat, kemudian dia tidak jujur dengan nasihatnya, tidak ada lain Allah akan mengharamkannya syurga. (HR.Bukhari)

6. ”Celaka bagi pemimpin dan celaka bagi penguasa urusan rakyat dan celaka bagi mereka yang diberi amanah. Pada hari kiamat nanti, ada kaum yang berangan-angan berbuat curang bergantung di atas bintang suraya. Mereka akan di siksa oleh Allah kerana tidak melakukan amanah yang dipercayakan.” (HR.Ahmad dari Abu Hurairah).

Terhadap pengampu-pengampu PM Mahataik beserta hamblau-hamblaunya, Mat Yeh-Mat Yeh, balaci-balacinya di peringatkan:-

“Sesudahku nanti akan ada pemimpim-pemimpin yang berdusta dan berlaku zalim. Siapa yang membenarkan pendustaannya dan membantu perbuatan zalimnya, maka dia tidak akan termasuk dalam umatku dan aku juga tidak termasuk darinya dan dia tidak akan datang ke telaga ku disyurga.” (HR. An-Nasa’i dan Tirmizi)

Terhadap seluruh tahanan ISA, aktivis reformasi yang dizalimi mereka, insyallah, Allah akan menyukat airmata seluruh keluarga anda dan memberi balasan yang setimpal ke atas si zalim ini.

“Kamu akan di kuasai oleh pemimpin pemimpin yang suka berbuat kerosakan dan Allah tidak banyak memberikan kebaikan kepada mereka. Siapa di antara mereka beramal kerana taat kepada Allah, maka baginya pahala dan kamu hendaklah bersyukur. Dan sekiranya di antara mereka melakukan maksiat kepada Allah, maka baginya dosa dan kamu hendaklah bersabar.” (HR. At-Tabroni)

Ya Allah Ya Zaljalaliwalikram, saksikanlah hamba mu ini telah memberi ingatan.

- Biduando Lintau
Markas Tarbiyyah Sg. Ramal Dalam - 15.04.2003


Tapak Cerminan M@RHAEN https://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!