ISA: Siapakah Pelakon Paling Hebat?
Dua tahun lalu, alasan penahanan aktivis reformasi di bawah akta zalim ISA adalah kerana memiliki roket launcher dan sejumlah bahan letupan serta Molotov koktel untuk menumbangkan kerajaan B End secara ketenteraan, dan mendapat bantuan dari guru-guru silat. Seluruh media cetak dan media elektronik menyiarkan sebagai berita utama lengkap dengan gambar KPN Norian Mai dengan lakonannya yang semacam real membuat kenyataan. Sekarang selepas dua tahun mendekam dalam tahanan mereka pun terpaksa dibebaskan. Peliknya tiada pula lakonan Norian Mai yang hebat itu, mungkin juga KPN Norian Mai sedang sibuk menyiapkan pelan A, B dan C, merangka-rangka syarikat judi mana yang bakal disertainya bila menjadi ahli lembaga pengarah selepas tiba gilirannya dibersarakan nanti buat menyambung tradisi bekas ketua-ketuanya yang terdahulu. Tambah pelik pula alasan penahanan aktivis reformasi tadi telah ditukar iaitu menyertai perhimpunan haram (participating in an illegal assembly). Kali ini pelakon utamanya ialah KSU Aseh Che Mat sebagai pelakon bisu dengan kenyataan sehelai kertas. Kini seluruh media massa senyap dan sunyi, menyiarkannya sebagai berita kecil. Masa yang berlalu selama dua tahun seolah-olah dipandang remeh. Tahniah kepada seluruh media TV 1,2,3 suku dan NtvTiara serta seluruh editorial surat khabar hamblau, lakonan engkorang semua sungguh berkesan dan berbaloi untuk menunggu hukuman dari langit!

Imam Al Ghazali pernah bertanya kepada murid muridnya apakah yang paling jauh dengan kita. Dijawab oleh mereka bulan, bintang dan matahari. Kesemua jawaban itu dibenarkan oleh Imam Al Ghazali dan beliau memberikan jawaban yang paling tepat iaitu masa yang berlalu; dengan alasan biar apapun kenderaan yang kita gunakan kita takkan dapat kembali kepada masa lalu kita. Dua tahun masa dilalui oleh tahanan ISA tadi takkan dapat diganti lagi. Barang di ingat ini adalah kerugian dan kehilangan yang amat besar kepada negara memandangkan kalau di ambil kira dari segi umur, mereka termasuk dalam kelompok yang paling produktif iaitu tiga puluhan dan empat puluhan. Apatah lagi kalau mengambil kira taraf pendidikan, pengalaman kerja serta akhlak, mereka berkali kali ganda produktif dibandingkan dengan pimpinan Umno dan BN terutama Pak Lah Blackdevil dan Madey SKT.

Akta gila ISA ternyata telah memakan korban yang tak terkira ramainya, tak terkira lagi kerugiannya di mana-mana belahan dunia. Bermula di zaman Firaun lagi akta ini di gunakan menangkap dan membunuh kanak-kanak lelaki Bani Israel, Gamal Abdul Nasser menggunakannya untuk melumpuhkan Ikhwanul Muslimin, padahal Ikhwanul Musliminlah benteng paling ampuh untuk menghalang kemaraan negara haram Israel. Di Indonesia akta ISA ini pernah di gunakan oleh Sukarno untuk menangkap dan memenjarakan Hamka selama hampir tiga tahun dengan tuduhan menjuarai "Koup de etat" atau Kudeta iaitu membuat perancangan untuk menumbangkan kerajaan Sukarno dengan kekerasan / ketenteraan. Padahal Sukarno pernah mengakui menganggotai Muhammadiyah. Rupa rupanya Ezam dan rakan-rakannya pernah berguru dengan Professor Filasuf  Pujangga Hamka. Nampaknya KDN terpaksalah mencari satu terowong masa untuk kembali ke masa lalu buat menyiasat perkara ini setelah gagal mencari rocket launcher, bahan letupan dan Molotov koktel yang dikatakan dimiliki oleh EZAM dan rakan-rakannya.

Di dalam peristiwa Isra' Mikraj yang dilalui oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW., telah di gambarkan kepada Baginda siri kerakusan, kebejatan dan kebobrokan manusia serta akibatnya hanya dalam satu malam. Juga di gambarkan dunia ini sebagai perempuan yang terlalu tua. Tidakkah hati nurani atau conscience kita terjentik oleh peristiwa yang di gambarkan dengan begitu jelas? Di dalam peristiwa penghinaan terhadap DSAI dan keluarganya juga tergambar serentetan kisah manusia yang kehilangan manusiawinya. Betapa tidaknya di sana ada saksi dan hakim yang telah dibeli, tilam bertompok susu dan bulu bisu yang cuba diberi suara, pakar DNA yang tidaklah sepakar mana (dan diangkat sebagai Tokoh Maulidur Rasul) serta peguam negara yang penuh berkuasa laksana Tuhan.

Dan kini kezaliman ISA beroperasi di depan mata kita dengan watak jahat yang benar-benar tipikal dan stereotaip. Tahniah kepada Lembaga Penasihat ISA dengan lakonan yang bersahaja dan meyakinkan. Tahniah kepada mahkamah yang membuat keputusan Mala Fide walaupun anda tahu badan kehakiman tidak bergigi lagi serta telah dilacuri. Tahniah kepada SUHAKAM terutamanya Prof Hamdan yang melakonkan watak Abu Nawas walaupun Prof tahu SUHAKAM hanyalah rubber stamp dan sangat arif bahawa hukum adat dan adab sebenarnya telah dilunyah dan lunyai oleh Madey SKT yang dinasihati oleh Si Kitol dan Raja Mendeliar. Tahniah kepada Norian Mai yang berjaya berlakon sebagai Hang Tuah bila mendengar perintah "Pergilah engkau membuang segera Jebat derhaka itu”. Tak lupa juga tahniah kepada seluruh pasukan polis yang bersedia berlakon sebagai kuda dan anjing bila-bila masa dan di mana sahaja sambil buat-buat lupa kalimah Allah dan Muhammad di kepala. Tahniah buat Aseh (orang kampun den) yang berlakon sebagai bendahari (tukang masak) dan Labu Labi.

Benarlah sabdaan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW sebagai mukjizat kenabian Baginda yang mafhumnya "Akan datang di akhir zaman nanti pemerintah atau penguasanya seperti singa, menterinya laksana serigala, hakimnya umpama anjing dan rakyat marhaennya seolah-olah kambing".

Justeru itu, sama-samalah kita tunggukan hukuman dari langit tinggi setelah kita sama-sama bermubahalah dan mengetahui siapa pelakon paling hebat.

Bebaskan seluruh tahanan ISA dan hapuskan akta yang juga diguna-pakai oleh rejim haram Israel untuk menjajah bumi Palestin.

- Biduando Lintau
Markas Tarbiyyah Sg. Ramal Dalam - 05.06.2003 (suntingan M@RHAEN)

Artikel Terdahulu:- Rocket Launcher


Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!