Buka Minda Untuk Siapa? (3)
Oleh Mat Teropong


Wira Dunia Ketiga Naik Martabat Lagi?

Kira-kira setahun dulu, Wira Dunia Ketiga yang kini semakin terkenal sebagai Raja Penyangak pernah menasihatkan orang Jepun cara memperbaiki ekonomi mereka. Kini, dia menaikkan taraf dan martabat dirinya dengan memberi nasihat kepada Russia agar menaikkan martabatnya semula menjadi satu kuasa besar setanding dengan Amerika Syarikat (AS).

Laungan Raja Penyangak demikian telah diulang-ulang oleh semua akhbar propaganda UMNO sehinggakan ia menjadi lidah pengarang sebuah media cetak tempatan. 'Penting Dunia Ada Imbangan Kuasa' kata akhbar itu dengan menyebut betapa: “dalam suasana masyarakat dunia sekarang ditekan oleh masalah keganasan dan ketidak-tentuan ekonomi, Malaysia dengan berani menyuarakan agar kekuasaan dunia diseimbangkan.”

“Sebagaimana ditegaskan oleh Perdana Meneri di Moscow, keseimbangan adalah penting dalam apa jua aspek kehidupan termasuk hal ehwal antarabangsa. Kita sudah lihat kesan tidak baik apabila wujud keadaan yang mana hanya sebuah negara mendominasi segala-galanya seperti mana hari ini. Dunia kini, baik dalam soal politik, ekonomi dan sains sosial semakin dikuasai dan dikawal oleh Amerika Syarikat.”

Setiap rakyat marhaen di Malaysia tentu mahu bertanya Raja Penyangak, apakah itu tujuan sebenar beliau berada di Russia? Kenapa baru sekarang ini beliau mahu melihat Russia menjadi satu kuasa besar lagi, sedangkan Russia sudah lama menjadi kuasa besar sehingga sanggup berpecah belah seperti sekarang ini?

Apakah tujuan Mahathir bersuara demikian di Russia sedangkan kenyataannya itu sudah pasti menyentuh perasaan AS dan rakan negara sekutunya seperti Britain, Peranchis, Jerman, Itali dan banyak lagi negara maju, sedangkan selama ini Amerika merupakan rakan niaga yang terbesar kepada Malaysia?

Satu ketika dahulu Russia merupakan negara komunis terbesar sehingga berbelanja besar untuk menakluki Afghanistan yang beragama Islam sepenuhnya dan menjadikan negara itu sebuah negara komunis. Kejatuhan Russia di Afghanistan merupakan titik-tolak kemusnahan Republik Besar Komunis Soviet Russia. Dengan hancurnya Republik Komunis Soviet Russia, barulah muncul beberapa negara Islam yang kini menjadi kancah sinar Islam yang baru yang semakin memberi ruang kepada negara dunia ketiga untuk menimba segala ilmu teknologi tinggi yang sepatutnya turut ditimba oleh rakyat Malaysia.

Sepatutnya Raja Penyangak membuat perkiraan menghantar lebih ramai pelajar Malaysia belajar di pusat pengajian tinggi yang terkenal di republik ini dan membuat perancangan membawa masuk lebih ramai pakar sains dan professional teknikal berkhidmat di Malaysia.

Ketika USSR berpecah, banyak negara pengeluar minyak di Timur Tengah yang berebut-rebut membawa masuk ahli sains terkenal yang beragama Islam dan gelagat ini telah ditiru oleh Singapura yang membawa masuk ramai juruterbang dan juruteknik Somalia untuk berkhidmat dengan SIA. Tetapi, apa yang dibuat oleh Mahathir dalam jurusan ini? Berapa ramaikah pakar teknologi USSR yang pernah dibawa masuk berkhidmat di Malaysia? Kalau adapun tenaga pakar yang ketara direstuinya bertugas di Malaysia ialah pemain-pemaik muzik yang mewarnai Kuala Lumpur Philharmonic Orchestra dengan gaji bulanan mereka mencecah berjuta setiap bulan? Itupun, apakah pulangan ekonominya kepada negara? Berapa juta rekod rakaman orkestra ini yang dapat dijual di dunia dan berapa juta nilai jualan rekod itu? Berapa pula tempoh kontrak perkhidmatan pemuzik-pemuzik ini sebelum rakyat Malaysia diberi peluang menggantikan tempat mereka? Berapa ramai pula pemuzik Malaysia yang menganggur disebabkan kemelesetan dunia? Berapa juta pula cukai pendapatan pemuzik Malaysia yang perlu digunakan untuk membayar gaji lumayan pemuzik-pemuzik bekas USSR?

Apa Kesannya Kepada Amerika?

Telatah Mahathir sama ada secara lahiriah boleh dianggap sebagai melatah itu sebenarnya boleh menyinggung perasaan banyak pihak. Di Eropah, NATO ditubuhkan dulu adalah untuk mempertahankan demokrasi Barat daripada gangguan USSR. Sebagai blok Komunis terbesar dunia ketika itu, Russia dilihat sebagai kuasa besar yang mesti diperangi secara bersepadu, walaupun di tahap perang dingin sahaja dulu. Perang dingin yang terjadi itu secara tidak langsung telah memperkukuhkan semangat ummat Islam USSR yang ditekan oleh regim komunis untuk bersabar dan tabah dengan pegangan Islam mereka, sehinggalah hancur USSR dan berpecah beberapa republik jajahan USSR untuk menonjol semula sebagai negara Islam yang berdaulat.

Apabila USSR berpecah, betapakah caranya Russia mahu menjadi satu kuasa besar lagi dengan fahaman komunisnya yang mengenepikan keagamaan? Mampukah Russia hari ini yang sudah mula berjinak dengan pasaran terbuka dan sistem demokrasi menjadi sebuah kuasa besar seperti dahulu untuk mengimbangi kuasa besar dunia?

Saranan Raja Penyanngak dalam hal ini boleh dilihat sebagai satu lagi lakonan di pentas politik dunia.

Pertama, kalau dia benar-benar tidak suka melihat AS mendominasi dunia secara menggila, kenapakah dia tidak mengutuk proksi Amerika (Israel) satu ketika dulu ketika mengebom projek nuklear Iraq? Betapa pula dengan keganasan Israel kini di Palestin dan Timur Tengah?

Kedua, kenapakah Raja Penyangak ini tidak pernah mengutuk penempatan bala tentera risikan Israel yang terbesar di rantau ini yang terletak hanya di seberang Tambak Johor. Setelah menyedari kewujudan markas risikan Israel di Singapura, kenapakah Raja Penyangak mengizinkan penggunaan angkasa Malaysia kepada pesawat juang tentera udara Singapura?

Ketiga, kini Amerika sedang melaksanakan pertambahan tenteranya untuk melatih tentera Filipina di kawasan yang bersempadan dengan Sabah dan Indonesia. Kenapakah Raja Penyangak tidak membantahnya? Begitu juga dengan tindakan Amerika yang terbaru mahu melatih angkatan tentera Thailand. Kenapakah Raja Penyangak pura-pura tidak tahu? Apakah kemungkinannya pelatih tentera Amerika menyusup sampai ke selatan Thailand yang didominasi oleh penganut agama Islam seperti yang sedang berlaku di Selatan Filipina? Apakah Malaysia berdiam membisu dengan perkara itu dengan harapan tentera Amerika akan terbang ke Pulau Pinang dan Langkawi untuk R&R (Rehat dan Rawat) mereka?

Keempat, tindakan Mahathir Raja Penyangak memberi andaian bahwa Amerika benar-benar suatu kuasa yang besar, sedangkan itu bukan satu keadaan yang benar. Amerika hanya kelihatan hebat dalam teknologi angkasaraya dengan lakonan penghantaran kapal angkasa ke bulan yang silih berganti dengan penghantaran ‘probe’ (kapal angkasa kecil) ke planet yang lain. Tetapi, Russia yang begitu lama ke hadapan dalam teknologi angkasaraya telah lama menonjol dengan stesen pelantar angkasa yang tidak dapat ditandingi oleh AS. Sehinggalah Russia membenarkan rahsia teknologi itu dipelajari oleh AS dan negara barat sekutunya. Apakah Mahathir sedar, sebilangan besar teknokrat angkasaraya Russia di bumi adalah mereka yang beragama Islam? Kenapakah mereka tidak dipujuk berkhidmat di Malaysia untuk bidang sains sebagai pengganti pemuzik bekas jajahan Russia yang menganggotai orkestra negara kita?

Kelima, ramai saintis Russia yang pakar dalam genetik kerana mereka sama-sama maju dalam bidang ini di Cuba dan beberapa negara blok komunis. Berapa ramaikah pakar sains yang beragama Islam yang sudah dibawa masuk ke Malaysia? Di peringkat awalan lawatan Raja Penyangak itu ke Russia, dia telah diberi penghormatan sebagai seorang tokoh besar Islam oleh Mufti Russia. Dia menyambut penghormatan itu dengan meminta umat Islam lebih bersabar dan toleran dalam hidup mereka. Tetapi apakah yang dilakukannya di Malaysia? Apakah dia bersabar dengan rakyat yang mahu mencabarnya ataupun bersikap toleran dengan pihak pembangkang? Kalau dia betul-betul bersabar dan toleran, kenapa dia tidak benarkan Anwar Ibrahim dikenakan tahanan rumah menunggu keputusan kes rayuannya di mahkamah. Malahan, kenapa dia lari daripada menyahut sapina mahkamah dalam kes yang sengaja dicetuskannya?

Dengan lain perkataan, gelagat Raja Penyangak mahukan Russia bangkit semula untuk mengimbangi kuasa besar dunia, hanya merupakan satu lakonan yang dia sendiri tidak berapa serius dengan kesannya.

 Russia sedang menjalani satu peralihan bangkit semula menandingi AS dengan cuba mempengaruhi negara demokrasi di barat. Dengan cara itu ia dapat menganggotai NATO dan akhirnya menjadikan blok NATO di Eropah menjadi satu kuasa besar yang baru menandingi AS. Amerika sudah sedar akan persekongkolan ini yang akan mengenepikan Britain. Kerana itu AS membuat perubahan menghantar tenteranya ke ASEAN dan ASIA sebagai merencana satu perisai agar semua negara yang didominasinya itu akan terus dipengaruhinya. Semua rencana itu berpusat di Singapura yang terletak hanya di hujung ekor Semenanjung Tanah Melayu.

Sepatutnya usaha mengimbangi kuasa dunia itu harus disarankan oleh Raja Penyangak kepada semua negara Islam yang kaya agar mereka bersepadu membangunkan ekonomi sesama sendiri dan meningkatkan tahap pendidikan rakyatnya. Bayangkan kalau semakin ramai warga negara (Islam) semacam ini yang bijak pandai, semakin ramai mereka yang mampu menguasai pucuk pentadbiran industri canggih di Amerika, seperti yang dilakukan oleh warga Taiwan, Thailand, Filipina, Pakistan dan India dalam bidang IT di Amerika.

Usaha negara semacam ini tidakpun bermula dengan meletakkan lima orang saintis mereka di Kutub Selatan ataupun adanya pemimpin negara mereka yang mahukan Russia menjadi satu kuasa besar lagi.

Mat Teropong - 19.3.2002


FREE - An online program to make a huge income. more info
Click Here!