PM Ehsan Mengharap Ehsan
Hari ini genap 55 hari PM Ehsan menjadi PM
. Dia berjaya melepasi tempoh pantang 44 hari tanpa bentan yang boleh memecahkan bisul nanah UMNO. Mungkin bisul itu akan pecah sebelum genap 100 hari beliau memangku Presiden UMNO. Bisul yang pecah sudah tentu akan menghanyir bangkaikan seluruh UMNO dan sekutunya.

Bisul ini semakin jelas kelihatan di Kelantan. UMNO Kelantan yang semakin mengharapkan ehsan rakyatnya agar kembali mengundi UMNO hanya sekadar indah khabar dari rupa. Pengakuan terbuka Ibrahim Ali selepas beliau dipecat sebagai Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, memperakui bahawa UMNO boleh menang di dua atau tiga kerusi parlimen di Kelantan. Perakuannya ini telah bercanggah dengan keyakinan UMNO yang UMNO akan menang dengan Mustapa Mohamad akan menjadi Menteri Besar. Maksudnya jikalau dua atau tiga parlimen sahaja yang menang masakan mungkin lebih separuh DUN akan dimenangi oleh UMNO. Jikalau UMNO tidak boleh menang, bagaimana boleh Mustapa jadi MB. Secara tidak langsung Ibrahim telah mendedahkan secara terang-terang akan penipuan UMNO Kelantan ke atas rakyat Kelantan. Itulah jenis pemimpin UMNO yang ada, setelah dipecat dibuang baru nak berterus-terang. Akhirnya Ibrahim sendiri mengakui akan kesan terhadap pemecatan beliau dan tiga lagi rakannya akan menambahnyempitkan ruang UMNO untuk menang di Kelantan. Tempoh masa yang terlalu suntuk ini menyukarkan UMNO memenangi hati pengundi. Sah dan sah yang majoriti kekalahan UMNO Kelantan akan meningkat dalam pilihanraya akan datang. UMNO semakin susah hati jikalau kepulangan Ibrahim ke Kelantan hari ini akan disambut meriah dan diarak megah ke Stadium Sultan Muhammad. Tetapi sekiranya Kuli dilantik sebagai TPM, isu Ibrahim dipecat boleh dibakulsampahkan. Tetapi sanggupkah PM Ehsan ambil Kuli sebagai TPMnya?

UMNO Permatang Pauh di Pulau Pinang juga mendapat ketua baru. UMNO sendiri yakin yang mereka tidak akan menang selagi Kak Wan bertanding kerana isu Anwar Ibrahim tetap segar kepada pengundi Permatang Pauh. Silap-silap tempiasnya boleh berjangkit ke Kepala Batas. PM Ehsan cukup bimbang jikalau majoritinya merosot berbanding 1999. Jikalau sebelum ini PM Ehsan dikatakan menikam Najib dari belakang sehingga digelar Menteri 241, tidak mustahil Najib juga akan mengusahakan keaiban kepada PM Ehsan pada pilihanraya 2004 nanti. Jikalau PM Ehsan menang dengan majoriti yang merosot, jawatan Presiden UMNO tidak akan dapat dikecapi dan mahu tidak mahu terpaksalah menyerahkan PM kepada orang lain. Mungkin Kuli atau Najib atau sesiapa sahaja yang bertanding jawatan presiden.

Anwar Ibrahim telah dihebohkan akan bebas selepas pilihanraya. Hanya gimik PM Ehsan untuk mengelabui mata rakyat. Kalau nak dibebaskan kenapa kena tunggu pilihanraya dahulu? Bebaskan sekarang. Tetapi walau bagaimanapun ada juga betulnya gimik tersebut. Anwar memang akan bebas selepas pilihanraya 2004. Bebas setelah UMNO dan BN kalah. Bebas setelah BA menang dan mengotakan janji yang Anwar akan dinobatkan sebagai PM. Seperti kata sSTK, hanya ada dua cara sahaja Anwar akan bebas. Melalui kemenangan BA dalam pilihanraya atau melalui jalanraya!!.

Di Perak pula, MBnya berjaya mendahului MB-MB lain dalam menyerahkan senarai nama calon UMNO Perak yang dicadangkan untuk perhatian PM Ehsan. MB Perlispun tak sempat nak hantar. Pingat emas untuk MB Perak. Tiga calon senator disenaraikan bertanding di Perak. Musa Mohamad, Hamid Zainal Abidin dan Aziz Shamsudin ditunjukkan jalan untuk bertanding di Perak. Musa dan Hamid berasal usul dari Bagan Datoh tetapi Bagan Datoh akan kekal kepada Zahid Hamidi. Aziz pula dari Gopeng yang sememangnya kepunyaan MCA. Hanya ada tiga tempat untuk mereka bertanding iaitu Parit Buntar, Parit dan Lenggong. Parit Buntar dan Parit milik PAS. Parit Buntar memang sinonim dengan Hassan Ali. Parit pula sukar digugat oleh UMNO jikalau PAS tidak bermain emosi dalam penentuan muktamad calonnya nanti. Manakala di Lenggong, Nazri yang begitu celupar terhadap Rais hampir pasti diketepikan sebagai calon UMNO. Mungkin Hamid di Parit Buntar, Aziz di Parit dan Musa di Lenggong .. mungkin

. tetapi

Kita sentiasa bercerita tentang perpecahan dalam UMNO. Kita sentiasa berharap perpecahan itu akan berlaku. Perpecahan dalaman yang akan memberi bonus kemenangan kepada BA. Kita dilekakan dengan keyakinan akan menang mudah. Bagi kita PM Ehsan itu sama sahaja dengan PM Tun terdahulu. Tetapi sedarkah kita bahawa di pelusuk kampung, di pelusuk rumah telah ada perubahan pada pemikiran golongan tua, golongan wanita, golongan puteri atau golongan rakan-rakan kita yang mula menaruh keyakinan kepada PM Ehsan sebagaimana saya di peringkat awal dahulupun menaruh harapan agar Anwar dilantik sebagai TPM oleh PM Ehsan. Setiap hari telinga mereka didendangkan dengan laungan kehebatan PM Ehsan. Mereka mula berkongsi cerita sesama mereka yang sebelum ini amat mencemuh PM terdahulu. Semakin lewat pilihanraya, UMNO semakin gagah. Kita hanya mengharapkan perpecahan mereka. Memang UMNO akan berpecah, tetapi sekiranya PM Ehsan ini berjaya melambatkan tempoh perpecahan itu, Anwar akan terus meringkuk di penjara

Kita tidak mahu Anwar terus terpenjara, tetapi cara BA bekerja hanya memungkinkan Anwar menghabiskan sisa hidupnya di penjara. BA hanya yakin pada andaian bahawa pengundi baru akan mengundi BA. Hanya yakin pada andaian culaan tanpa bukti kukuh. Hanya bijak berkata-kata dan puas hati melihat reaksi pendengar yang hadir. Tetapi bagaimana dengan pengundi di pelusuk kampung dan di pelusuk dapur yang sememangnya tidak pernah hadir dalam majlis-majlis anjuran BA?

Kepada pimpinan BA, ingat kita bukan lagi berhadapan dengan UMNO Mahathir. Kita berhadapan dengan UMNO Pak Lah. Walaupun bagi saya, dia adalah PM Ehsan, dia juga sedang mencari ehsan di hati rakyat. Mencari ehsan untuk dia terus kekal di kerusi PM. Mencari ehsan untuk memastikan Anwar terus terpenjara. Semakin lama Anwar di penjara bermakna semakin lama dia boleh bertahan di kerusi PM.

BA fikir dan fikirkan
Saya budak baru belajar,
kalau salah tolong tunjukkan.

Cacilut - 25.12.2003 - 1.40 pagi

Sertailah:
MAKLUMAN: Sebagai langkah persediaan, sila daftarkan emel anda ke Mailing List M@RHAEN. (klik untuk membaca penerangan berkaitan Mailing List M@RHAEN)
Dapatkan maklumat terkini di Forum M@RHAEN: http://marhaen.board.dk3.com/2/



Tapak Utama: http://marhaen.internations.net
Anda mempunyai lebih pilihan untuk melayari Laman M@RHAEN.

Click Here!
Hantar artikel ini kpd sahabat: