Pembahagian Kerusi Untuk Pilihan Raya Harus Dibincang Secara Terbuka
– Rakyat berhak menentukan siapa yang bertanding dan ia bukan satu hak istimewa parti politik.
Oleh CKChew
Bukan hak mutlak ataupun istimewa parti politik memilih kerusi mana mereka hendak bertanding

Pembahagian kerusi Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri (DUN) antara parti-parti politik terutamanya parti pembangkang harus dibincangkan secara terbuka. Parti mana yang bertanding dalam pilihan raya yang akan datang sepatutnya ditentukan oleh Rakyat sendiri dan bukannya percaturan oleh mana-mana parti politik. Secara umumnya, Rakyat yang mahukan keadilan dan perubahan dalam politik tanah air ingin melihat satu lawan satu di antara BA serta pembangkang yang lain dengan BN, tetapi mereka juga perlu sekurang-kurangnya diberitahu perkembangan dalam pembahagian kerusi antara parti-parti pembangkang supaya mereka dapat menyuarakan pandangan mereka. Hak Rakyat untuk memilih dan menyuarakan pandangan harus dihormati dan dijadikan agenda utama parti yang ingin bertanding dalam pilihan raya. Dalam sistem demokrasi, Rakyat akan menjadi penentu dan bukannya individu yang berkepentingan dalam sesebuah parti yang tidak mahu perbincangan berkaitan dengan hak Rakyat diumumkan.

Perbincangan terbuka, apakah salahnya?

Apakah salahnya jikalau perbincangan tentang pembahagian kerusi ini dijalankan secara terbuka? Jika semua perbincangan berjalan secara telus atau dengan perkataan yang lain, tidak ada penyelewengan fakta, adakah perlu parti yang terlibat merasa risau tentang maklumat perbincangan tersebut diumumkan? Parti yang terlibat dalam isu pembahagian kerusi ini sering kali melaung slogan “Justice, Freedom, Democracy, and Good Governance” serta menuntut ketelusan atau “transparency” dalam hal pentadbiran negara daripada pihak pemerintah, oleh yang demikian mereka juga perlu memperlihatkan keterbukaan mereka dalam hal-hal yang melibatkan kepentingan Rakyat. Tidak salah jika apa yang diberitakan dan disiarkan dalam MalaysiaKini adalah perkara yang benar-benar berlaku.

Umumnya, Rakyat tahu bahawa DAP adalah parti pembangkang Cina yang terulung dan mereka sudah tentu hendak bertanding kesemua kerusi dengan majoriti pengundi Cina. Jadi, jika hakikat ini diumumkan, ia adalah tidak salah dan tidak juga bercanggah dengan pendirian DAP sendiri. Dengan menutup perbincangan ini, apakah DAP hanya melontar batu dan menyembunyikan tangan? DAP tidak perlu bersembunyi di belakang tabir parti pelbagai kaum atau “multi racial” hanya untuk memancing undi masyarakat bukan-Cina, sebaliknya mereka harus memperkotakan pendirian mereka sebagai parti pelbagai kaum dengan menampilkan “rekod”nya yang lebih daripada 30 tahun. Mereka tidak seharusnya merasa diancam oleh sebuah parti pelbagai kaum yang baru berusia 4 tahun. Bukankah Parti KeADIlan Nasional (keADILan) sebuah parti nyamuk dan parti Melayu seperti yang selalu didakwa mereka?

Parti Nyamuk dan Parti Melayu

Pada pilihan raya yang lepas, pimpinan DAP Pulau Pinang pernah menyebut bahawa keADILan adalah parti nyamuk berbanding dengan DAP yang mempunyai “rekod perkhidmatan” lebih daripada 30 tahun. Malah kebelakangan ini, DAP melalui media Cina selalu mendakwa bahawa keADILan adalah parti Melayu. Akan tetapi, parti nyamuk yang berdasarkan pimpinan Melayu pula kini meminta kerusi dengan majoriti pengundi Cina daripada DAP. Apakah parti nyamuk dan parti Melayu ini telah berkembang maju sementara DAP pula masih berada di takuk yang lama? DAP tidak harus berasa terancam sekiranya dakwaan mereka selama ini adalah benar dan tidak ada apa yang perlu dirisaukan oleh DAP dalam pembahagian kerusi kali ini. Mereka sepatutnya mengemukakan “rekod” mereka serta prestasi mereka di Pulau Pinang untuk melemahkan hujah keADILan yang hanya berusia setahun jagung. Kekuatan DAP di Pulau Pinang jika ada harus diketengahkan, ini termasuk bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri yang mereka menangi pada pilihan raya 1995 dan 1999. Kekuatan ini boleh dijadikan kayu-pengukur (yardstick) untuk perbincangan. Kerusi yang DAP menang pasti dikembalikan kepada mereka dan selainnya harus dibincangkan mengikut kriteria kehadiran sokongan rakyat, jentera, serta bilangan ahli dalam kedua-dua parti. Jentera dan ahli dalam parti akan memainkan peranan yang penting dalam pilihan raya yang semakin memerlukan bantuan petugas dan kewangan.

Kita perlu belajar daripada pihak lawan; mereka menggunakan segala jentera sama ada kerajaan ataupun ahli parti untuk memenangi pilihan raya. MCA contohnya, selepas kekalahan teruk pada tahun 1990, telah mengambil langkah memperkemaskan jentera mereka di setiap kawasan yang mereka tandingi dan kebanyakan kawasan ini adalah kubu kuat DAP. Dengan jentera yang mantap, Rakyat dapat lihat bahawa tidak ada lagi kubu kuat DAP terutamanya di Pulau Pinang, sungguhpun kawasan tersebut mungkin dimenangi DAP selama beberapa penggal yang lalu. Contoh yang paling baik ialah Parlimen Jelutong yang mana kawasan tersebut adalah kubu kuat Karpal Singh suatu ketika dahulu tetapi kini, kemungkinan beliau kalah sekali lagi adalah sangat tinggi. Begitu juga dengan kawasan Parlimen Bukit Bendera, di mana Pengerusi DAP Lim Kit Siang bertanding. Ada ura-ura menyatakan bahawa kawasan tersebut tidak lagi selamat bagi Kit Siang dan beliau berkemungkinan akan melompat ke Parlimen Batu Gajah, Perak yang dianggap lebih selamat. Keadaan ini disebabkan bukan kerana tindakan parti lain tetapi ketiadaan ahli, jentera dan komitmen DAP di kawasan tersebut.

Bertanding tanpa jentera dan ahli parti, apa gunanya?

Sebaik sebelum pilihan raya 1999, seorang pemimpin DAP yang berhasrat untuk bertanding di Parlimen Bayan Baru mendakwa bahawa beliau dan DAP mempunyai kekuatan jentera dengan 500 orang di kawasan tersebut. Akan tetapi, setelah beliau dicalonkan dan pada hari penamaan calon, beliau hanya datang dengan seorang penyokong sahaja. Pencalonan beliau tidak lengkap kerana beliau hanya mempunyai seorang pencadang dan tidak ada penyokong untuk pencalonan beliau. Jika tiada BA pada ketika itu, pencalonan pemimpin tersebut sudah tentu ditolak. Apa yang paling menyedihkan ialah calon DAP ini terpaksa  memasang posternya sendiri pada jauh lewat malam. Akhirnya, beliau tewas dengan majoriti 9481 undi di kawasan yang pernah dimenangi oleh Ahmad Nor dari DAP juga. Ini bukan hanya satu contoh eksklusif sahaja, tetapi ia berlaku di kebanyakan kawasan yang ditandingi oleh DAP baik di kawasan majoriti Cina ataupun sebaliknya. Oleh yang demikian, ia mesti dijadikan satu teladan.

Adalah penting bagi parti politik yang terlibat dalam pembahagian kerusi supaya bertindak secara rasional dan waras demi masa depan Rakyat, dan pembahagian kerusi harus berpandukan kepada sokongan Rakyat serta kekuatan jentera parti dalam sesebuah kawasan pilihan raya. Tidak gunanya jikalau kita bertanding semua kerusi dan setiap kali hanya menang satu sahaja. Ia sudah tentu tidak akan membantu aspirasi Rakyat untuk melihat perwakilan dalam DUN ataupun Parlimen yang sama rata antara pembangkang dan BN.

CK Chew, LUNAS - 08.08.2003 (suntingan M@RHAEN)


Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/ - http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com
~ Sila cetak dan sebarkan terutama di kampung-kampung di mana mereka hanya disogokkan berita-berita fitnah yang disebarkan oleh media milik umno/bn ~ .
Click Here!