Sebagai tanda patriotik kami...

Ahli Kariah Kebingungan: Wakaf Masjid Pekan Kuala Selangor Lesap!
Sekeping tanah yang dipercayai telah diwakafkan puluhan tahun lalu kepada Masjid Kariah Pekan Kuala Selangor lesap begitu sahaja tanpa sebarang penjelasan yang memuaskan  daripada pihak pentadbir masjid berkenaan.

Hal yang sedang hangat diperkatakan oleh penduduk Pekan Kuala Selangor sejak kebelakangan ini memerlukan penjelasan jujur untuk mengelakkan sebarang kekeliruan yang boleh menghilangkan kepercayaan mereka kepada pihak-pihak tertentu, terutamanya AJK Masjid.

Ini berikutan dengan projek menaikkan taraf jalan ke pusat Rekreasi Taman Alam yang diselia oleh Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) membabitkan sebahagian besar daripada kawasan tanah wakaf berkenaan. Projek tersebut hampir siap ketika ini.

Kepada mereka yang tidak menyedari hal di atas, kedudukan tanah wakaf itu ialah bersebelahan dengan Bukit Malawati. Menurut orang–orang lama  pekan Kuala Selangor di kawasan itu pernah didirikan surau dan sekolah agama satu ketika dulu.

Apa yang menghairankan hampir semua AJK Masjid Pekan Kuala Selangor mendakwa tidak mengetahui langsung, sama ada pampasan dibayar oleh MDKS atau pun tidak.

Seorang dari AJK berkenaan memberitahu setakat yang sampai ke pengetahuannya,tidak pernah ada sebarang keputusan dibuat oleh AJK untuk menyerahkan tanah wakaf tersebut kepada MDKS.

Penjelasan AJK tersebut masih tidak dapat diterima oleh ahli kariah, kerana Timbalan Nazir Tuan Haji Kosnan Morawi telah memberitahu beberapa orang yang rapat dengan beliau, bahawa beliau begitu gembira kerana MDKS telah pun membayar pampasan terhadap tanah wakaf itu.

Hj. Kosnan juga seorang AJK Umno Cawangan Pekan Kuala Selangor berkata beliau turut berbangga kerana tanah wakaf berkenaan telah dimanfaatkan kegunaannya untuk orang ramai apabila projek jalan itu siap nanti.

Persoalannya,jika pampasan telah dibayar berapa jumlahnya dan dimana pula wang tersebut disimpan? Yang lebih menghairankan apakah keputusan untuk menyerahkan tanah itu dibuat oleh AJK atau Hj. Kosnan seorang. Sedangkan tanah wakaf tersebut bukanlah hak milik Hj. Kosnan dan keluarganya!

Sebelum hal-hal yang tidak diingini berlaku, adalah lebih baik JAIS Kuala Selangor campur tangan untuk menyiasat kedudukan sebenar perkara di atas. Jika dibiarkan, kemungkinan besar perpecahan akan berlaku di kalangan ahli kariah dan tidak mustahil AJK Masjid sendiri akan dicemuh kerana cuai dan gagal memikul amanah.

- Dolah Dagang - 28.08.2003 (suntingan M@RHAEN)


Tapak Cerminan M@RHAEN https://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!