Sebagai tanda patriotik kami...

Angkara Orang Kuat Noh Omar, Wakaf Masjid Lesap!
Misteri lesapnya sekeping tanah yang telah di wakafkan kepada Masjid Pekan Kuala Selangor (Wakaf Masjid Pekan Kuala Selangor Lesap!) hampir-hampir terjawab apabila Timbalan Nazir masjid tersebut Tn. Hj. Kosnan Morawi mengakui beliau diberi jaminan oleh orang kuat YB Noh Omar, SU Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, bahawa pengambilan tanah berkenaan untuk pembinaan sebatang jalan menuju ke Pusat Rekreasi Taman Alam adalah atas tanggungjawab si musibat itu.

Ketika membincangkan pengambilan tanah tersebut, Hj. Kosnan telah diyakinkan oleh Encik Amin Jaya, Yang DiPertua Majlis Daerah Kuala Selangor supaya menyerahkan urusan itu kepada beliau (Amin Jaya) sahaja.

Hj. Kosnan memberitahu Amin Jaya dengan penuh angkuh sambil menepuk dadanya berkata: “Wak, jangan takut, serahkan saja kepada saya soal pampasannya, semuanya ditanggung beres.”

Bagaimanapun penjelasan Hj. Kosnan itu masih dipertikaikan oleh sebahagian besar daripada AJK Masjid berkenaan. Salah seorang daripadanya membangkitkan apakah kuasa Hj. Kosnan untuk mengizinkan Amin Jaya berbuat sesuka hatinya tanpa dirujuk terlebih dahulu kepada pentadbir Masjid.

AJK Masjid tersebut menambah: “Apakah kerana Amin Jaya merupakan bos kepada anak Wak Kosnan, dia terpaksa akur kepada kehendak Amin atau pun Wak Kosnan memang bodoh sehingga begitu mudah diperdaya?“

Difahamkan projek yang menelan belanja lebih RM2 juta itu dibuat secara runding terus di antara MDKS dengan sebuah syarikat milik Encik Zainal Tofan. Ramai kalangan kontraktor-kontraktor kecil setempat turut meragui sejauh mana ketelusan MDKS di dalam membelanjakan wang yang dikutip dari pembayar cukai jika pemberian kerja hanya tertumpu di sekitar kontraktor-kontraktor tertentu sahaja.

Isu pengambilan tanah wakaf berkenaan sebenarnya masih jauh dari penyelesaiannya. Pihak pentadbir masjid sendiri dikesan cuba menyembunyikan sesuatu,mungkin untuk menyelamatkan maruah pihak-pihak tertentu. Tindakan AJK mempamerkan surat bantahan dipapan notis Masjid, yang bertarikh 26 Ogos 2003 kepada MDKS berhubung dengan isu itu, sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja.

Seorang jemaah kariah masjid, yang juga merupakan AJK Umno Cawangan Pekan Kuala Selangor ketika diminta membuat komen terhadap surat bantahan itu berkata: “Mengapa AJK hanya mempamerkan surat bantahan, setelah pendedahan dibuat melalui internet oleh Dolah Dagang pada 29 Ogos? Sepatutnya bantahan itu dibuat sebelum pembinaan jalan berkenaan dilaksanakan! Adakah AJK masjid berkhidmat untuk menjaga amanah masyarakat atau mengikut telunjuk orang-orang tertentu sahaja? “

Sementara itu kalangan yang mengenali latar belakang Amin Jaya tidak terperanjat dengan tindakan YDP MDKS tersebut. Ujar mereka “Kita tak peduli dia orang kuat YB Noh Omar! Soalnya, harta masjid bukan hak milik bapak dia yang boleh dibuat sesuka hatinya sahaja. Ini soal hukum, soal halal-haram! Kalau dia nak isi poket dengan duit haram sekalipun, carilah jalan lain……..”

Kesimpulannya, ahli-ahli kariah Masjid Pekan Kuala Selangor mendesak agar penjelasan dibuat secara telus oleh AJK, bukan setakat menampal surat bantahan sahaja. Jika semua pihak masih mengambil sikap acuh tak acuh sahaja, mereka tiada pilihan lain kecuali membuat aduan kepada pihak berkuasa khususnya Badan Pencegah Rasuah (BPR).

“Sebelum kami pergi lebih jauh, ada baiknya pihak yang bertanggung jawab tampil untuk membuat penjelasan terhadap isu yang kami kira amat mengaibkan ini“ demikian ingatan diberi oleh seorang lagi ahli kariah yang meminta namanya dirahsiakan.

- Dolah Dagang - 01.09.2003 (suntingan M@RHAEN)


Tapak Cerminan M@RHAEN https://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!