Sebagai tanda patriotik kami...

Cabul Wakaf Masjid: YDP MDKS Tak Berhati Perut!
Belum pun reda isu rasuah dan salahguna kuasa di kalangan sebahagian daripada kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di dalam menjalankan tugasan mereka dari diperkatakan rakyat, kini isu yang pada mulanya meledak di bandar-bandar besar itu telah menjalar ke kawasan luar bandar.

Hal ini menyebabkan semua PBT di Selangor Darul Ehsan berada di dalam situasi yang amat diragui ketelusan dan kredibilitinya selaku agensi kerajaan yang dipertanggung- jawabkan memikul amanah rakyat.

Walau bukan semua kakitangan di PBT menyeleweng, tetapi lagak dan kerenah beberapa kerat pegawai atasan dan kakitangan biasa yang mendakwa punyai talian politik dengan pemimpin-pemimpin tertentu untuk menghalalkan kerakusan mereka, menyebabkan agensi itu dipandang serong oleh rakyat selaku pembayar cukai.

Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) yang selama ini berada di tahap paling sederhana di dalam melaksanakan operasinya,masih boleh diterima oleh sebahagian pembayar cukai yang inginkan pulangan sepada dari pelbagai cukai yang telah mereka bayar. Meskipun terdapat banyak rungutan terhadap prestasi MDKS, tetapi tidaklah sampai ke tahap pembayar cukai tidak mempercayai agensi itu.

Namun kepercayaan sebahagian rakyat khususnya di sekitar Pekan Kuala Selangor terhadap MDKS tiba-tiba terjejas teruk gara-gara keangkuhan Yang Di Pertuanya, Encik Mohd. Amin Jaya.

Bukan saja kalangan orang Islam yang terperanjat dengan tindakan biadabnya mencabul sekeping tanah wakaf milik masjid Kuala Selangor, malah kalangan bukan Islam pun turut menggelengkan kepala apabila diberitahu perilaku keji Amin itu.

Seorang peniaga yang dikenali sebagai Ong berkata: “Tidak patut YDD buat macam itu, kalau masjid punya tanah pun dia boleh suka-suka ambil, nanti tokong punya tanah pun dia hantam!“

Jika Ong yang bukan-Muslim pun tahu menghormati harta masjid, apakah yang mendorong Amin Jaya (pastinya Islam) tidak langsung mempedulikan sensitiviti ahli kariah Masjid Pekan Kuala Selangor yang begitu menyayangi tanah wakaf masjid mereka, meskipun sekangkang kera sahaja keluasannya.

Tidakkah Amin Jaya terfikir hanya sekeping tanah itu sajalah yang masih tertinggal di pekan Kuala Selangor milik umat Islam yang wajib dipertahankan. Jika tanah (wakaf) yang secebis itu tidak mampu dipertahankan, apakah Amin boleh diharapkan untuk mempertahankan hak umat Islam yang lebih besar dari itu?

Amin Jaya yang sering menepuk-nepuk dadanya konon dia boleh berbuat apa sahaja keputusan yang membabitkan bidang operasi MDKS, mendakwa beliau sentiasa mendapat sokongan daripada kebel besar sama ada kepimpinan politik maupun pihak pentadbiran.

Dia tidak segan silu mengaku sebagai orang kuat YB Noh Omar, SU Parlimen di Jabatan Perdana Menteri dan orang kepercayaan Datuk Munit Kasman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Amin juga difahamkan adalah salah seorang AJK Umno Bahagian Hulu Selangor.

Tanpa terikat kepada sentimen politik memihak kepada mana-mana puak, kita ingin mempersoalkan apakah dakwaan Amin itu merupakan tiket untuk dia bertindak seperti Raja di Kuala Selangor? Mungkinkah YB Noh Omar, Dato Munit dan Umno sendiri merestui kebiadaban Amin untuk menghiris perasaan umat Islam di Pekan Kuala Selangor khususnya dan di seluruh tanah air amnya?

Mungkinkah Amin didorong oleh sikap “Apa salahnya aku merembat peluang yang melintas di depanku kerana orang atas pun turut sama membalun apa saja yang boleh dibelasah.”

Andai itu jawapannya, kesemua yang tersebut di atas harus bersedia untuk menerima padah hasil keterlanjuran mereka sendiri. Jika tidak, suatu tindakan drastik harus diambil untuk menyedarkan manusia Melayu seperti Amin.

Sebenarnya kita tidak tergamak untuk membongkar salah laku Amin jika dia tidak menunjukkan kebiadabannya secara terang-terangan. Pentadbir Masjid dan ahli kariah ditunggulkannya begitu sahaja. Seolah-olah mereka semuanya kayu yang tidak bermata dan berperasaan!

Bukan kita tidak mendengar perihalnya membaham komisen (wang kopi) dari setiap projek MDKS yang dilaksanakan oleh kontraktor-kontraktor Bumiputera Klas F. Kita juga mendapat tahu Amin bersikap keras kepada kakitangan bawahan sehingga seorang pemandu yang telah berkhidmat belasan tahun dipecat kerana terlambat sedikit mengambilnya di Airport.

Kita juga dimaklumkan bahawa projek Menurap Jalan di Bukit Malawati dan Membina Jalan Ke Taman Alam bukan peruntukan MDKS sebaliknya fund kerajaan negeri. Keperluan projek itu pun bukanlah kritikal sangat sehingga membolehkan Amin mengurniakan projek berkenaan kepada Pantai Jeram Enterprise secara runding terus (negotiate).

Itu pun kita masih boleh memejamkan sebelah mata,tetapi apabila Amin dengan penuh angkuh mencabul tanah wakaf masjid untuk tujuan menjayakan projeknya,mengakibatkan kesabaran kita terhakis.

Tanpa mengira apa fahaman politik,seluruh ahli kariah Masjid Pekan Kuala Selangor membantah kebiadapan Amin Jaya. Timbalan Nazir Tn. Hj. Kosnan Morawai yang pada mulanya diyakinkan Amin akan membereskan segala urusan pengambilan dan pampasan tanah wakaf berkenaan terpaksa menanggung aib. Orang tua itu menjadi mangsa kerakusan Amin. Tidakkah Amin merasa malu jika bapanya sendiri diperlakukan sebegitu oleh orang lain! Memang benarlah kamu Amin Jaya manusia yang tidak berhati perut!

Cukup setakat ini buat sementara waktu,semoga keterlanjuran Amin Jaya ini tidak dibiarkan terlepas begitu sahaja! Pulangkan segera tanah wakaf tersebut kepada Masjid Pekan Kuala Selangor dan biarkanlah mereka yang berhak memutuskan sendiri kegunaannya masa kini dan akan datang!

- Dolah Dagang - 06.09.2003 (suntingan M@RHAEN)


Tapak Cerminan M@RHAEN https://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!