Dana Pilihan Raya Lesap, BN Kuala Selangor Kecoh!
Ketua Umno Bahagian Kuala Selangor, Encik Daud Tarihep
kini bukan sahaja dipertikaikan kewibawaannya oleh ahli-ahli Umno di bahagian tersebut, malah sanggahan terhadap corak kepimpinannya telah mula menular di kalangan parti-parti komponen dalam Barisan Nasional (BN).

Encik Daud, pernah menjawat Setiausaha Sulit Kanan kepada Bekas Menteri Penerangan Tan Seri Mohammad Rahmat, sebelum mencebur diri sepenuh masa dalam politik Setelah bekas Menteri Besar Selangor Dato Seri Abu Hassan Omar, mengosongkan kerusi Ketua Bahagian Kuala Selangor pada tahun 2000, Daud telah berjaya menduduki kerusi tersebut apabila mengalahkan dua orang pencabar lain iaitu Hj. Jahaya Ibrahim dan Dato Hanafi Sulaiman.

Sejak itu Umno Bahagian Kuala Selangor tidak pernah aman. Perpecahan di kalangan ahli terus menjadi-jadi berpunca dari sikap Daud yang tidak mempedulikan pandangan orang lain, termasuklah orang-orang kuatnya yang pernah bertungkus lumus menaikkan beliau. Akibatnya kebanyakan mereka memilih untuk tidak lagi pro-kepada Daud. Lebih dahsyat kini mereka menyebelahi kem-kem yang menentang Daud.

Kesilapan terbesar Encik Daud ialah melantik bekas Adun Sungai Tinggi Dato Yusof Hassan sebagai Setiausaha dan Encik Azim Kassim sebagai Ketua Penerangan. Kedua-duanya memang tidak disukai oleh penyokong-penyokong Dato Seri Abu Hassan yang masih ramai di bahagian Kuala Selangor.

Langkah Daud melantik beberapa orang yang tidak terpilih sebagai AJK atau yang langsung tiada sebarang jawatan dalam bahagian untuk menjadi pengerusi kepada Biro-biro dalam Umno Bahagian, juga dipertikaikan oleh sebahagian besar AJK yang bukannya orang Encik Daud.

Di samping Dato Yusof dan Encik Azim, Encik Nadmilail Kassim yang dilantik sebagai Bendahari Umno Bahagian turut dicemuh oleh kebanyakan ahli Umno di situ. Encik Nadmilail dikatakan tidak memberi sumbangan yang berkesan kepada prestasi kewangan Umno Bahagian, tetapi disebabkan dia orang yang paling rapat dengan Daud, dia dilantik untuk jawatan itu. Encik Nadmilail sekarang digelar sebagai ketua Biro Bomoh Umno Kuala Selangor, tak tahu mengapa gelaran itu diberikan kepadanya oleh ahli-ahli Umno bahagian.

Isu ke mana lesapnya Dana Pilihan Raya BN Kuala Selangor sebanyak RM100,000/ baru-baru ini, dikatakan berpunca dari kecuaian dan salah-urus Encik Nadmilail. Perkara itu dikatakan sudah lama dikesan oleh pemimpin-pemimpin MCA dan MIC, tetapi mereka tidak berpeluang untuk menyuarakannya.

Sehinggalah baru-baru ini apabila Jawatan Kuasa Dana Pilihan Raya BN Kuala Selangor bermesyuarat, wakil MCA dan MIC telah membangkitkannya. Mesyuarat yang sepatutnya di pengerusi oleh Encik Daud Tarihep selaku Pengerusi BN Kuala Selangor, terpaksa dipengerusikan oleh Tuan Haji Sulaiman Razak, Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Selangor, kerana Encik Daud dikatakan sengaja mengelak untuk hadir, begitu juga Encik Nadmilail selaku Bendahari Umno Bahagian merangkap Bendahari BN Kuala Selangor.

Tuan Haji Sulaiman Razak difahamkan gagal menjawab perkara yang dibangkitkan oleh wakil MCA dan MIC itu, kerana tidak mengetahui kedudukan sebenar. Pada mulanya Encik Daud telah mengarahkan Encik Amiruddin Sutero, selaku Naib Ketua Umno Bahagian untuk mempengerusikan mesyuarat menggantikan beliau, tetapi Encik Amiruddin agak keberatan kerana dia telah maklum akan isu tersebut. Akhirnya Encik Sulaiman yang terpaksa menjadi kuda kepang.

Isu kehilangan Dana BN Kuala Selangor itu mengakibatkan Encik Daud terus tidak popular. Dia sekarang bukan sahaja terpaksa berdepan dengan bangkangan dari ahli-ahli Umno yang terus meningkat hari demi hari, di masa yang sama terpaksa pula berdepan dengan ahli-ahli parti komponen BN lain yang mula meragui kewibawaannya.

Bolehkah Encik Daud bertahan dalam keadaan tersebut? Apa akan terjadi jika dia dicalonkan sebagai Calon BN dalam pilihan raya tetapi tidak mendapat sokongan Umno dan komponen BN yang lain ! Ketika itu adakah orang-orang seperti Dato Yusof, Encik Azim dan Encik Nadmilail menjamin kemenangan Encik Daud?

Encik Daud jangan syok sendiri, keadaan sekarang tidak lagi seperti dulu di mana dia disanjung walaupun tidak ada sebarang jawatan dalam Umno Bahagian, kerana dia ketika itu menjadi harapan ahli-ahli Umno sebagai pemimpin yang boleh merubah nasib mereka. Tetapi sekarang setelah menjadi Ketua Bahagian ( baru Ketua Bahagian. . belum lagi Wakil Rakyat) lagaknya mengalahkan Perdana Menteri.

Seperkara lagi kekuatan parti-parti pembangkang di Kuala Selangor jangan dipandang ringan, manalah tahu bila ahli-ahli Umno nanti sudah terlalu muak dengan perangai Daud dan dua tiga orang baruanya, tidak mustahil mereka akan membuat undi protes. Kalau BN kalah jangan salahkan sesiapa, salahkanlah Encik Daud yang diibaratkan sebagi Kera Mendapat Bunga!

Jika ada artikel-artikel lain yang akan menyusul, jangan terperanjat ya!

- Dolah Dagang - 27.09.2003 (suntingan M@RHAEN)


Tapak Cerminan M@RHAEN https://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!