Manifesto Rakyat: Syarat Kami (4)
Oleh Dr. AQ

PEMIMPIN DAN CABARAN
Manusia tetap manusia walaupun ia diangkat sebagai pemimpin. Manusia mempunyai dua sifat iaitu sifat yang terpuji dan sifat yang tercela. Menurut Ibnu-al-Arabi, seorang ahli tasawuf, dalam buku “Futuhul Makkiah”, bahawa setiap sifat ‘nafsu’ manusia itu ada dua puluh lima unsur jahat ; dan dua puluh lima unsur baik. Antara unsur sifat terkeji itu ialah ajib, riak, takbur, busuk hati, kasih akan harta, kasih akan pangkat dan lain. Manakala sifat terpuji pula ialah yang setentang dengan unsur tercela : memandang diri kurang segalanya, memandang diri lemah, sidik, ikhlas, sabar, muhibah, zahid, syukur dan lain.

Ramai manusia terutama pemimpin yang berkuasa lebih cepat terpengaruh dengan unsur sifat yang terkeji itu. Sebab kasihkan kebendaan merupakan satu kecenderungan manusia. Tambahan pula pemimpin mendapat kuasa dengan gelar “YB” kebendaan sentiasa mendampingi mereka. Pemimpin didatangi ramai orang : berbagai tujuan orang menemui pemimpin. Orang kaya mahu tambah kekayaan ; rakan se-parti mahu pangkat supaya kekuasaan bertambah dan lantas “keuntungan” bertambah sama..

DARJAT KEYAKINAN RAKYAT
 Bentuk pemberian yang diistilahkan sebagai hadiah, sagu hati, upah dan rasuah hanya menurut cara penyampaian, suasana, tempat dan waktu sahaja. Sekarang sukar mendapat pemimpin dianggap oleh rakyat, yang bersih. Ukur sahaja, gaji dan elaun mereka dengan ‘kediaman’ (rumah), pakaian, kenderaan peribadi, kemewahan keluarga dengan sanak saudara sesudah dapat kuasa.

[Nota: Secara sinis dikatakan bahawa Matematik Moden mengajar 2 x 5 = 08 ; tetapi rakyat tahu bahawa jawapan se benar adalah 10. Rakyat tahu bahawa dua itu telah diketepikan untuk “hadiah”. Dan hadiah itu adalah sebagai upah “sign”, bukan kerana kepakaran dalam ‘ilmu sains’ !]

Berita penyelewengan kuasa yang melibat harta negara [harta rakyat], secara langsung dari pemimpin politik atau melalui pengarah syarikat, juru akaun syarikat, ‘proxy’ atau wakil rahsia dalam berbagai badan boleh dibaca, hampir setiap minggu, laporan dari berbagai negara. Kes bank, Tabung Haji, Wang Zakat, Majlis Agama Islam dan berbagai persatuan kebajikan dan syarikat kerjasama dalam negeri ini turut menyumbang kepada kepudaran keyakinan rakyat kepada pimpinan dan sistem kawalan.

[Nota: Pencari rezeki mewah kian bertambah dengan perangi yang tidak terduga. Macam-macam tingkah laku. Penyakit sosial ini kian parah. Jenayah seperti seakan-akan barah yang tidak boleh dirawat lagi. Di keliling kawasan perumahan sering dicerobohi oleh pencuri, penagih kian bertambah, nyamuk kian biak, ibu bapa kian bertambah bilangan yang morong, tidak kurang penganggur yang hampir putus harapan di samping di beberapa rumah diubah suai dengan kenderaan baru terdampar di halaman yang indah]

Pemimpin yang muncul pun berbagai jenis dan mempunyai berbagai perangai. Sejarah latar belakang pemimpin banyak sekali. Kisah rasul dan nabi, kisah ulama, kisah raja, kisah diktator, kisah pemimpin diktator, demokrasi terpimpin boleh jadi ukuran dan pengajaran. Kisah itu ada yang ditulis dan lebih banyak lagi yang tidak dituliskan atau “tidak boleh” atau tidak patut ditulis. Kisah “dibungakan” demikian rupa menjadi hikayat dan cerita rakyat.

DARJAT DAYA-FIKIR
Mengkaji latar belakang pemimpin, baik bagi mereka yang di anugerah kerana keturunan (ascribed status), mahu pun yang di pilih dalam pilihan raya atau melalui rampasan kuasa didapati bahawa kebanyakan daripada mereka bukan terdiri daripada orang yang ber-“geliga” atau luar biasa. Dari segi pencapaian ‘ilmu’ pula, mereka itu boleh dimasukkan dalam tingkat dua, tiga atau lebih rendah lagi ; terutama jika mereka itu diukur atas dasar pegangan atau prinsip, niatan, pelaksanaan pimpinan dan darjat kepentingan diri.

Jika makin banyak kepentingan bagi buka-rakyat maka tingkat daya berfikir pemimpin berkenaan kian menurun. Sebab pemimpin berkenaan, walaupun mempunyai ijazah tertinggi, tetapi perjuangan dia atau mereka bertujuan mencari kemegahan. Biasanya kemegahan nama sekali gus selaras dengan kepentingan diri dan keluarga. Gejala ini sering terjumpa dalam banyak kepimpinan di semua peringkat masyarakat. Bush, Balir dan sekutu mahu perang. Mereka didorong oleh kepentingan diri dan golongan, ingin mengusai minyak dan seluruh negara Arab lain. Lantas mereka tidak peduli pada bantahan 8 juta manusia di jalanan yang mewakili bilion lain di seluruh dunia. Minyak dan penjajahan ekonomi itu yang menjadi tujuan utama. Siapa kuasa minya maka mereka akan kuasai dunia.

Kejujuran dan keikhlasan jadi tercabar kerana kuasa telah bercabang begitu rupa. Keadaan wadah pemikiran yang putih telah dikotori oleh titik-titik hitam. Jadi jika keadaan itu dibiarkan maka titik hitam akan bertambah banyak dan kian membesar. Sebab, apabila tujuan bercabang maka fikiran pun turut bercabang. Lantas secara hukum semula jadi, paras pemikiran yang bersih jadi menurun. Hal ini, sama dengan proses orang cerdik atau bergeliga, apabila ia minum arak, maka akalnya menurun dan tidak dapat mengawal diri dengan wajar lagi. Pemimpin atau ketua yang gila akan kuasa dan kebendaan, juga begitu. Diri pemimpin sedang ditakluki oleh sifat terkeji, sifat mazmumah. Dia dengan kepimpinannya berada seperti orang mabuk arak. Justeru itu, negara jadi rosak dengan keadilan yang tempang.

Dengan kata lain bahawa berlaku ketidakseimbangan nilai antara dua kepentingan. Apabila kepentingan diri bertambah nilai harga maka dengan sendirinya nilai kepentingan rakyat menurun. Warna yang putih jadi pudar apabila warna lain yang dianggap cantik dan sesuai tergoda dan digodok di dalamnya. Ini adalah hukum “nature” yang bersamaan dan sebati dengan kejadian manusia .itu sendiri..

 HAKIM TAK BERTULIAH
Kembali kepada kedudukan pemimpin, rakyat lebih melihat pada gejala dan sebab musabab pemimpin yang sering ‘menyeleweng’. Lain yang dicakapkan dan lain yang dijalankan. ‘Cakap tidak serupa bikin’ sudah jadi basahan tentang perangai ketua dan pemimpin, terutama mengenai sikap Melayu.

Pimpinan yang baik ialah pimpinan yang benar-benar menumpukan berkhidmat untuk rakyat, seperti mereka yang terlibat dalam berbagai badan kebajikan. Dalam pimpinan itu terbuka peluang bagi rakyat yang berilmu mendapat tempat yang wajar. Sebab saluran dalam sistem ekonomi yang diatur secara kolektif. Teori mengenai kepimpinan cukup banyak diperkatakan dan bahan berkenaan ribuan jilid terdapat di perpustakaan.. Peranan, tugas, perkhidmatan dan etika yang terdapat pada rasul, nabi, ulama silam, guru, murid, doktor, peguam-bela, diplomat memberi teladan yang baik untuk diikuti. Malangnya sekarang pemimpin menjadi “hakim” tidak betauliah, kian bertambah. [penulisan ini ada pernah disiarkan]

PEMBOLOT
Individu tidak boleh membolot dengan empayar ekonomi masing-masing. Jadi semua syarikat dibatasi ruang jaringan. Batas itu terutama mengenai bidang yang berkaitan dengan dasar kehidupan rakyat. Seperti disebut berulang kali bahawa perihal tanah, air, api dan angin (komunikasi, ruang angkasa dan alam sekitar) hendaklah dijaga dengan undang dan peraturan yang adil bagi semua.

Begitu juga bahan utama bagi rakyat seperti beras, gula, garam, minyak, perumahan sederhana dan syarikat koperasi diawasi secara tanggung jawab bersama. Pemerintah tidak boleh membantu atas nama individu terutama mengenai tanah atau lesen perkhidmatan dan pengeluaran tertentu.

Kemudahan tanah, air, api dan angin sebagai harta, saham, lesen tertentu dan lain seumpama itu, hendaklah diberikan kepada sekolah, persatuan ibu bapa, persatuan guru, persatuan petani-peladang, nelayan, persatuan buruh, persatuan drebar, syarikat koperasi.

Sekian dahulu. Maaf. Insya Allah, “Manifesto Rakyat” (5) bersambung, AQ~ 15 –28 Februari, 2003
Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!