Manifesto Rakyat: Syarat Kami (5)
Oleh Dr. AQ

UNTUK NEGARA DAN RAKYAT
Biasa terdapat dua tujuan besar dikemukakan dalam pilihan raya. Pertama, perihal pembangunan negara; dan kedua, membina rakyat. Parti politik dan calon bebas membuat janji dan memberi harapan kepada rakyat untuk mendapat nikmat dalam kehidupan sepanjang masa.

Dua hal tersebut di atas merupakan isu utama dalam masyarakat segala bangsa. Sudah begitu lama diperkatakan oleh manusia yang bilangannya kian ramai dan kian pandai. Perbahasan tentang cara dan pendekatan, terus menerus berlaku antara beberapa pihak. Bagi parti politik pula perbahasan sengit berlaku di antara pihak parti yang menang dengan parti yang ‘kalah’ atau pembangkang. Pihak ketiga pula, terdiri daripada berbagai persatuan, kesatuan dan badan turut serta memberikan pendapat. Hasil sekarang bilangan manusia yang susah hidup dan tertindas kian meningkat! Makanan, minuman dan perumahan kian payah Manakala senapang, pistol dan peluru seperti “goreng pisang” mudah dibeli orang!

DIKTATOR DALAM DEMOKRASI
Dalam banyak masyarakat demokrasi, tidak kurang bangkangan yang diketengahkan. Sebab tidak semua yang dijanjikan oleh parti yang menang dapat melaksanakan. Malahan, seperti yang sering terjumpa ialah perbuatan yang tidak pernah dijanjikan dalam pilihan raya. Lihat sahaja isu perubahan yang mendapat tentangan dari parti lawan dan rakyat. Puluhan perihal yang dibuat dan berlawanan dengan janji kontak sosial dan tidak kurang yang merugikan rakyat secara umum. Arkib negara, perpustakaan besar negara dan perpustakaan universiti mempunyai berbagai bahan memperkatakan perihal tersebut.

Jika di Amerika dan Britain umpamanya perihal perang Iraq tidak pernah disebut dalam pilihan raya oleh Gorge W. Bush dan Tony Blair. Begitu ramai rakyat berkelulusan tinggi di antara jutaan manusia memberikan bangkangan tetapi mereka tidak peduli. Diktator dalam demokrasi juga wujud, bukan?

Dalam siri keempat dan sebelumnya telah disentuh tentang pembolotan kuasa yang berlaku akibat dari ketiadaan pembahagian kuasa yang jelas antara tiga badan (trias politica) iaitu legislatif, eksekutif dan kehakiman. Ketidak-adilan lebih banyak berlaku dalam negara demokrasi di Afro-Asia dan Amerika Latin.

SIAPA SI PENGARAH AJAIB?
Menurut pemerhati dan pemantau kuasa politik bahawa ada tiga kumpulan yang kuat di dalam se sebuah negara demokrasi liberal. Pertama ialah orang politik; kedua, orang beruniform iaitu polis dan tentera dan ketiga, peniaga besar atau dikenal sebagai korporat atau “tauke” besar. Pihak ketiga sangat bergantung pada pihak pertama. Jalinan “kemesraan” dibina sejak pemimpin politik bersangkutan memegang jawatan tinggi dalam cawangan parti lagi. Banyak sumber kewangan dan kemudahan peribadi dan parti, baik secara langsung dan tidak langsung, bergantung pada “peniaga”, kecil, sederhana dan besar. Menurut saiz kuasa dan kemampuan seseorang. Ikatan kepentingan ini dijalin begitu rupa sehingga satu dengan lain tidak boleh memisahkan diri.

Rakyat dan terutama anggota parti, seperti manusia biasa, mahu kemudahan. Pemberian dan hadiah se pinggan nasi di hotel, se buah basikal, melancong ke luar daerah dan keluar negeri, sebuah motokar dan se buah rumah merupakan taburan budi. Hutang budi dikenangi juga atau dibawa mati.

Bagi orang kaya dan berkuasa yang melakukan “kaedah” mudah ini sama dengan nafsu kebendaan yang mengajar bahawa usaha sedikit mungkin dan buatlah keuntungan sebanyak mungkin. “Minimum effort ; maximum gain” Jadi tanpa usaha dan kepandaian mendalam orang mudah dapat “sesuatu”. Justeru itu, perlu diulang sebut, bahawa “ilmu sign” lebih mudah dipelajari dan diamalkan daripada “ilmu sains/science” yang menciptakan barangan dengan mengambil masa bertahun tahun.

Dalam hal ini pihak kedua iaitu orang beruniform hanya menjadi alat kepada dua golongan berkuasa tersebut. Lihat sahaja di Amerika dan di Eropah sekarang, berita pasaran (market) sepanjang dua puluh empat jam disiarkan melalui media massa terkenal seperti CNN, CNBC dan BBC. Berita orang politik dan tentera menentukan suasana panas atau dingin. Inilah “politik-ekonomi” yang hampir semua orang terjebak dengan keinginan nafsu yang “digula-gulakan” dan dibimbangkan begitu rupa di hadapan kita.

Teori perang dan ekonomi persenjataan oleh golongan usahawan (industri senjata) menggambarkan bahawa “perang merupakan penyelamat kekayaan dan kehidupan negara dan “mereka”. Begitu juga gergasi yang menguasai bahan asas rakyat yang tidak terkawal meluaskan empayar barangan mereka melalui kuasa politik menutup pintu rakyat yang dikotakan usaha mereka.

Kurungan dan batas siling ekonomi rakyat menyebabkan banyak pengangguran dan gejala penyakit sosial dalam masyarakat.

Menginsafi unsur dan gejala yang demikian maka “manifesto” atau janji kontrak sosial maka faktor ekonomi hendaklah diasaskan pada kepentingan kolektif rakyat, bukan individu dan kelompok kecil. Berikut, insya-Allah kami akan rumus semua tuntutan rakyat dan hak mereka demi kebaikan kehidupan yang diredai Allah.
 
AQ~ 15-28 Februari, 2003.
Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!