Banjir Yang Menghanyutkan UmnoBn
Sekali Air Bah, Mungkin Dua Negeri Lagi Di Bawah BN Rebah! (2)
Oleh Dr Nologareng
 

Sudah 9 hari kawasan Utara Semenanjung dilanda banjir. Kali ini katanya yang terhebat sejak 43 tahun yang lalu. Itu menurut kata seorang penduduk warga emas di satu  kampung yang teruk dilanda bencana itu di Kulim. Agak ramai dari mereka yang hanya sempat menyelamatkan diri sehelai sepinggang sahaja. Beberapa keluarga kehilangan rumah tangga yang disapu hanyut oleh air banjir yang melanda. Ramai petani kehilangan lembu kerbau dan rosak tanaman mereka kerana pantasnya arus air .

Sebahagian besar kawasan di Seberang Perai masih teruk ditenggelami air. Walaupun lebuh raya boleh dilalui, namun kita dapat melihat kawasan pertanian melaut jadinya dek banjir. Padi yang ditanam musnah kerana ia rebah oleh asakan air banjir. Manakala di kawasan Parlimen Padang Serai keadaan bertambah baik, namun airnya masih lagi belum surut sepenuhnya walau sudah ramai yang pulang ke rumah masing-masing setelah tinggal beberapa hari di penempatan sementara. Beberapa jambatan dilaporkan rosak teruk dan ada yang runtuh serta tidak lagi selamat kepada pengguna. Beberapa taman perumahan di kawasan Kulim teruk ditenggelami air dan ada pula yang dilanda banjir limpahan dari kolam oksidasi serat akibat penambakan tanah yang tidak dirancang baik. Bayangkan kerosakan harta benda yang berlaku.

Selepas tahap kecemasan banjir, maklumat yang diterima menunjukkan ramai penduduk kecewa dengan bantuan bencana alam yang diterima. Mangsa banjir terkilan melihat gelagat JKKK yang bagai ayam berak kapur tanpa melakukan sesuatu kerana wang lambat disalurkan. Malah mereka juga meluat melihatkan agensi bantuan yang hanya berada di gigi air tanpa peralatan secukupnya. Nasib baiklah ada ikhtiar dari ahli Pemuda PAS yang sanggup berhabis-habisan wang ringgit dan masa membantu sesama bangsa. Apa yang lebih menyakitkan mata mangsa dan marhaen ialah melihatkan anggota polis 2-3 orang yang terselit di kalangan orang awam tanpa berusaha membantu.

Ramai daripada kalangan marhaen yang hadir membantu terus sahaja menyindir anggota polis terbabit- ‘Oh! Kalau keadaan bencana dan huru-hara yang menimpa rakyat macam ni, hampa hantaq mai 6 biji telor saja no. Kalau dalam ceramah hampa hantaq mai berlori lengkap dengan senjata api atas alasan boleh mencetuskan huru-hara dan mengganggu ketenteraman. Maka 6 biji telor itu pun secara senyap-senyap menghilangkan diri.’

Sumber maklumat mengatakan yang sepatutnya anggota polis terbabit menghubungi unit PGA dan agensi berkaitan yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti bot dan bantuan makanan pakaian kepada mangsa banjir. Ini tidak, dikatakan yang anak-anak kecil menggigil kesejukan dengan pakaian yang basah tanpa gantian mahupun kain selimut. Ada kalangan pemuda Pas yang melondehkan jaket yang dipakai mereka untuk memanaskan badan kanak-kanak dan orang tua yang kesejukan itu. Nasib baiklah kemudiannya atas ihsan dan usaha pemimpin PAS kawasan itu, mereka telah menganjurkan kutipan baju-baju terpakai bagi membantu mangsa banjir. Timbul persoalan, di manakah bantuan dari peruntukan DUN dan Parlimen kawasan terbabit?

Apa yang dilihat rakyat, pemimpin parti memerintah dan juga JKKK lebih gemar untuk berpolitik atas bencana yang menimpa rakyat. Malah ramai juga dari mereka yang menyalurkan bantuan kecemasan banjir ke ruang dapur rumah mereka sendiri! Ini dibuktikan dua hari lepas di kawasan Sungai Lalang apabila mangsa banjir dipaksa JKKK Umno menanti kehadiran Datok V Saravan dalam Dewan Umno sehingga tengah malam untuk menerima bantuan banjir. Akhirnya majlis ditunda dengan mangsa balik begitu sahaja. Tidak pula dimaklumkan apakah mangsa menerima bantuan yang disediakan itu atau sebaliknya!

Begitulah perangai buruk pemimpin Umno bawahan yang sanggup menangguk keuntungan politik dari mangsa banjir dengan mempermainkan bangsa sendiri. Kenapa perlu majlis-majlis sebegitu sedangkan mereka boleh sahaja terus menyalurkannya kepada mangsa? Ini sekali gus menjawab tohmahan pemimpin rejim ini yang sering menuding kepada pembangkang sebagai suka mempolitikkan isu.

Menurut tinjauan yang dibuat oleh pemberi maklumat, berlaku unsur-unsur penipuan oleh JKKK yang diberi tanggungjawab dalam mengedarkan bantuan kepada mangsa banjir. Ada sebuah kedai di satu tempat bernama Padang Serai, hampir RM10,000 bahan makanan yang dibeli termasuk berguni-guni beras, gula, sardin dan sebagainya. Apa yang pelik ialah bukan di situ sahaja bahkan pembelian dibuat di kedai lain juga termasuk milik towkey China. Menurut pemerhati, bahan yang dibeli itu sungguh banyak sekali sehingga menimbulkan curiga apakah ianya sampai ke tangan mangsa banjir atau akan ditukar kembali kepada wang tunai dengan nilai yang rendah untuk disauk oleh JKKK. Ini bukanlah suatu yang pelik atau sekadar fitnah.

Semasa pilihan raya kecil DUN Lunas yang Mahathir sKT anggap sebagai bukti keganasan Barisan Alternatif, ramai pemimpin kecil Umno yang membuat untung dengan menjual semual beras sogokan rasuah pilihan raya kepada towkey China dengan harga yang murah. Sagu hati diberi kepada pemandu lori dan kelindannya manakala pemimpin Umno tadi berlalu dengan senyuman yang menguntum. Manakala ada juak atau pengiring pemimpin Umno yang ditugas membawa beg bimbit berisi wang rasuah pilihan raya mampu membeli kereta baru atau bini baru dengan wang yang disonglapnya. Begitu juga tatkala projek segera yang dibuat sebagai umpan pilihanraya, ramai dari pemimpin Umno pelbagai peringkat yang ligat menyambar apa saja yang terhidang. Itulah pengamalan mereka di setiap pilihanraya.

Pengamalan pemimpin peringkat atasan lebih dahsyat lagi. Setiap kali pembelian peralatan tentera, Najib dan Mahathir akan menerima habuan yang lumayan melalui syarikat proksi yang berlagak sebagai Jururunding. Itu adalah kaedah canggih sebagai penyangak dalam negara. Kita katakan demikian kerana kebanyakan dari mereka tidak pun tahu menahu tentang apa yang mereka dakwa sebagai Pakar Perunding! Setelah habis zaman Allahyarham TS Yahya, Tajudin Ramli serta Halim Saad, seorang bintang baru pula mengambil tempat. Orang yang bertuah itu tidak lain tak bukan TS Mokhtar Al Bukhary. Inilah orang yang menjadi ‘blue-eyed boy’ terbaru dalam stable Mahathir sKT.

Kini beliau menguasai BERNAS, Bank Muamalat dan juga pembekalan Kereta kebal PT91.

Manusia merancang akan tetapi Allah yang menentukan

Setelah persidangan NAM dan acara LIMA ’03 dijalankan, rejim ini amat berharap dapat menyauk sesuatu darinya sebagai modal dan azimat dalam Pilihan Raya Umum yang katanya akan berlangsung pada bulan Disember ini. Begitu jugalah dengan OIC yang sedang berlangsung sekarang. Mahathir sKT dan konco-konconya amat berharap kata puji dan pandangan pemimpin luar tentang Mahathir dan kemajuan negara akan memulihkan imej mereka di mata rakyat terutamanya orang Melayu. Mereka mahu dilihat sebagai pembela orang Melayu dan juga pewaris sebenar kepada pemerintahan negara. Sekali gus mereka mahu Mahathir dan rejimnya dikagumi dan mendatangkan iri hati kepada kerajaan dan rakyat luar negara sambil memperlekehkan kenyataan yang ramai orang Melayu membencinya.

Selepas persidangan NAM yang menghanguskan ratusan juta wang rakyat itu hanya berupaya memenuhi ego seorang pemimpin yang bakal berambus pergi. Ia langsung tidak menguntungkan rakyat kecil seperti penoreh getah, nelayan mahupun kakitangan kerajaan. Bahkan dari sumber yang dipercayai, rejim ini telah meminta puluhan juta RM Bajet tambahan bagi sidang NAM yang lalu. Golongan yang mengecapi keuntungan ialah para kroni dan suku sakat yang mendapat nikmat dari tender dan perkhidmatan yang mereka bekalkan. Apakah NAM berjaya menaikkan nama Mahathir sKT? Jawabnya TIDAK! Kejayaan Mahathir sKT yang pertama sebagai Pengerusi NAM ialah letupan ‘bunga api’ yang menghujani bumi Iraq sekali gus meranapkan maruah NAM dan Islam. Sekiranya peperangan itu tidak berjaya dielak dengan suara Mahathir sKT, ertinya Pertubuhan itu sendiri tidak mempunyai kuasa dan tidak membawa sebarang makna!! NAM gagal menaikkan martabat Mahathir si Kepala Taik yang terhenyak teruk oleh sikapnya yang hipokrit dalam kes Anwar Ibrahim dan juga survival bangsa Melayu.

Dalam LIMA ’03 yang lalu, rakyat telah dipertontonkan akan kehebatan peralatan canggih pertahanan dan ketenteraan. Selain dari jet pejuang FA-18D Hornet dan MIG29N, negara turut mempamerkan helikopter Mi-17 buatan Rusia milik Bomba dan Penyelamat. Malah pelbagai bot gentian (fiber) ringan buatan tempatan telah dipamerkan dengan harapan akan mendapat kontrak pembekalan. Kita juga dihidangkan dengan kehebatan pasukan pertahanan dan bantuan dalam negara. Manakala ribuan anggota polis bersenjata lengkap siap-siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Dalam menghadapi OIC pula, satu Pusat Konvensyen baru PCC telah pun siap dengan sepenuhnya untuk disogok kepada rakyat dan dunia betapa hebatnya PM kita dalam memajukan negara. Memang indah sungguh bangunan monumental itu dan persekitarannya yang siap dengan Jambatan Isfahannya.

Jalan Boulevard di mana Perbarisan sambutan Hari Kemerdekaan yang lalu dijalankan telah dilaporkan teruk rosaknya oleh lenyekan kenderaan angkatan bersenjata. Kita tidak tahu di mana silapnya, apakah kesilapan kontraktor atau subkon yang membinanya. Sekitar RM50 juta telah dibelanjakan untuk memperbaiki jalan itu bagi menghadapi Sidang OIC! Manakala berpuluh kereta mewah BMW dan Mercedes telah pun disediakan untuk kegunaan ketua-ketua negara OIC dengan harga puluhan juta RM. Bayangkan sebanyak mana pula perbelanjaan menginap percutian kesemua Ketua Negara yang hadir berserta rombongan di hotel-hotel seluruh negara? Apakah kesemuanya tidak mungkin menghampiri RM1 billion seperti dalam Sidang NAM yang lalu? Malaysia Boleh! Mahathir Hebat. Arkitek moden negara. Bapa Pembangunan Global. Malah imej Kepala Taik telah dipacu sehinggakan mempunyai koleksi EnShitklopedia tersendiri. Itu belum termasuk buku-buku yang berebutan pengkagumnya mengarang.

Untungkah Orang Melayu?

Takdirnya bermula 9 hari lalu tiga buah negeri di Utara telah dilanda banjir- Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak. Kedah dan Seberang Perai adalah kawasan yang paling teruk ditimpa bencana itu. Secara simbolis juga ia berlaku menjelang Persidangan OIC yang kononnya bertemakan ‘kesejahteraan Ummah’.

Sehingga hari ini, walau ramai yang telah pulang ke kediaman masing-masing namun keadaan banjir belum reda sepenuhnya dengan Perak pula mengalami saat-saat gentingnya. Masih ada mereka yang tersadai di penempatan sementara. Semakin hari banjir berlalu, semakin terserlah kehaprakan rejim pemerintah. Gossip dan sembang-sembang di kedai kopi telah menyiat saki baki maruah yang cuba dipertahankan pemimpin Umno.

Pertamanya mereka menyoal apa sudah kena dengan sistem awal pemberitahuan banjir? Kedua, apakah yang telah Jabatan Kajicuaca buat dalam menyebar maklumat sebelum kejadian banjir yang dahsyat ini? Ketiganya, di manakah dianya Jabatan Pertahanan Awam dan agensi berkaitan perkhidmatan bencana seperti banjir? Keempat, mana dia peruntukan DUN dan Parlimen yang diberi kepada pemimpin rejim UmnoBn? Kelimanya, mana dia muka pemimpin UmnoBn dalam menangani bencana ini. Takkanlah harap Abdullah Badawi seorang terkonteng-konteng menjaja mukanya!

Majoriti mangsa banjir ini ialah orang Melayu. Mereka bukan setakat kehilangan rumah tangga, harta benda, lembu kerbau dan tanaman. Malah ramai dari mereka yang kehilangan dokumen penting peribadi dan sebagainya. Akan terbelakah nasib mereka ini selepas ini. Apakah mereka akan dibantu dari segi pembinaan semula rumah, bantuan sara diri dan mata pencarian? Bagaimana pula dengan bantuan agensi kerajaan untuk mendapatkan semula dokumen penting? Apakah JKKK sudah memikirkannya?

Memang kita tahu yang Mahathir si Kepala Taik begitu sibuk dengan urusan Persidangan OIC, akan tetapi rakyat marhaen begitu terkilan kerana Bapa Pembangunan Global itu tidak langsung menunjukkan batang hidungnya ke kawasan bencana! Kenapa agaknya? Apakah jadual nya terlalu ketat atau takut untuk muncul di khalayak kerana kehaprakannya yang sudah terbongkar itu? Jika alasan sibuk diberi, bagaimana pula ia saban waktu terluang masa melawat Pulau Langkawi dan Pulau Tioman?

Ramai mangsa banjir yang berterima kasih kepada tenaga sukarela yang disediakan oleh parti PAS yang begitu tersusun gerak kerjanya. Mereka kelihatan lebih tangkas dan pantas berbanding agensi kerajaan dan JKKK Umno. YB Taib Azzamudin telah menghantar satu lori bantuan makanan ke kawasan Merbau Pulas. Manakala sumbangan simpatisan Barisan Alternatif telah mengongkosi sebahagian besar bantuan kepada mangsa banjir. Kawasan YB Saifudin juga telah dibantu oleh simpatisan yang terdiri dari pelbagai kaum.

Tidak dapat tidak, kita sebagai warga prihatin tertanya-tanya apa sudah jadi dengan pemimpin dalam negara? Berpijak di bumi nyatakah mereka? Kenapa mereka lebih sibuk dengan pelbagai acara yang merugikan rakyat semata-mata? Bukankah lebih baik peruntukan memulihkan semula Jalan Boulevard itu dilencongkan kepada mangsa banjir yang ramai terdiri dari orang Melayu? Untuk apakah segala kehebatan pesawat bomba yang ditayangkan di LIMA ’03 jika rakyat kecil tidak dapat merasa nikmatnya sehinggakan ada beberapa keluarga terpaksa berlapar kerana terputus hubungan?

Entah sistem amaran apa yang negara kita guna-pakai apabila tidak boleh meramal secara tepat akan bencana dan keterukannya. Mereka hanya kalut dan berlagak mengulas dan mengomen setelah keadaan menjadi teruk. Kenapakah mereka tidak proaktif sebagaimana rakan sejawat mereka di luar negara dalam memberi amaran ribut taufan? Perhatikan kecanggihan media dan Pusat amaran bencana di Amerika semasa taufan melanda.

Kita juga merasa hairan dengan fungsi Jabatan Pertahanan Awam dan Bomba dalam menangani banjir. Kenapa tiada bot-bot untuk membantu mencari mangsa terutamanya yang tak boleh lagi dihubungi dengan jalan darat? Mana dia pasukan pertolongan cemas yang diwar-warkan dahulu?

Apa yang menyakitkan hati ialah kelewatan bantuan yang disalurkan. Kadang-kadang jumlah bantuan yang dihulurkan tidak sepadan seolah-olah mempermainkan mangsa. Menurut pemberi maklumat, di satu kawasan bernama Kampung Jernang yang mengandungi 15 buah rumah, JKKK hanya memberi beras 10 kg sebanyak tiga kampit untuk dikongsi, dua tin susu serta dua tin sardin  bagi setiap rumah mangsa. Kata empunya cerita, mangsa banjir kelihatan terpinga-pinga dengan jumlah bantuan yang diterima.

Bayangkan dengan peruntukan yang diterima oleh AMAN Malaysia yang kini sedang galak bergerak dengan motor besar ke seluruh negara. Bayangkan juga dengan habuan yang dihimbau Datok Malik Mydin kerana berjaya melampiaskan hobi renangnya setelah gagal dalam acara sukan berbasikal. Kegeraman dan kebencian kita mendadak apabila melihat kepada kos penganjuran Sidang OIC yang kini Mahathir sedang bermegah dengannya. Kemudian kita bandingkan dengan nasib rakyat marhaen yang ditimpa bencana banjir itu. Apakah terbela mereka ini nanti yang ramai darinya adalah ahli Umno?!!

Setelah banjir hampir berlalu barulah kedengaran Puteri Umno mahu melancarkan kempen mengumpul baju-baju terpakai untuk mangsa banjir. Manakala PBSM pula akan menjalankan latihan kecemasan bencana alam. Yang lebih aneh apabila berita mengumumkan Yayasan Al Bukhary akan menderma pakaian sukan bernilai RM1.2 juta kepada kanak-kanak sekolah sedangkan tidak kedengaran bantuan segera untuk mangsa banjir. Ini mengingatkan kita kisah anak kembar siam di Permatang Pauh yang meninggal tanpa pembelaan sewajarnya tatkala Yayasan itu membelanjakan  RM1.6 juta untuk Malik Mydin merenangi Selat Inggeris sambil meninggalkan solatnya.

Semakin ramai orang yang kita jumpa dan berbincang mengenainya, semakin kuat luahan kemarahan dan kebencian kepada rejim Umno yang memerintah. Rakyat melihat mereka sebagai ketua keluarga yang serba gila- anak kera di hutan disusui sedangkan anak sendiri mati kelaparan! Gelojak arus di bawah permukaan semakin membuak dan hampir memecahkan bentengnya.

Lalu hanyutlah Umno dan pemimpinnya bersama sampah sarap yang dibawa arus banjir.

Salah siapa agaknya? Tst…..

Sekali air bah, mungkin dua negeri lagi di bawah BN rebah!

Dr. Nologareng - 12.10.2003 (suntingan M@RHAEN)


Mulai sekarang anda mempunyai lebih pilihan untuk melayari Laman M@RHAEN:
Tapak Utama:http://marhaen.internations.net
Tapak Utama versi baru: http://marhaen1.web1000.com
Portal sokongan interaktif & mesra-pengguna: http://marhaen.portal.dk3.com/
Blog kembaran M@RHAEN (GOBLOK) 1: http://goblok.blog-city.com/
Blog kembaran M@RHAEN (BLOGKU) 2: http://blogku.dk3.com/
Selain itu, anda boleh terus melayari Laman M@RHAEN di tapak-tapak sokongan/cerminan asal.
~ Sila cetak dan sebarkan terutama di kampung-kampung di mana mereka hanya disogokkan berita-berita fitnah yang disebarkan oleh media milik umno/bn ~ .
Click Here!