Paklah Dan Polis Tiada Pilihan - Bebaskan ISA13
Oleh Dr Nologareng
Ramadan semakin menghampiri penghujungnya. Umat Islam semakin galak menggandakan ibadat mereka terutamanya mencari kelebihan malam lailatul-qadr  yang seumpama 1000 bulan. Ibu-ibu sedang kalut menyediakan kuih raya dan anak-anak muda menghitung hari sambil menjeling baju raya yang baru dibeli. Pagi 1 Syawal menjanjikan detik kesyahduan dan ikrar saling memaafkan sesama insan. Anak dengan ibu bapanya, suami dengan isterinya. Begitulah adat dari dahulu sehinggalah kiamat menjelang. Semoga kita memperolehi karunia keampunan dari Yang Maha Esa.

Selain dari takbir, lagu raya yang berkumandang juga berjaya menitisikan air mata kerdil manusia yang jelas memerlukan kehadiran orang lain untuk sama-sama meraikan hari yang mulia itu. Apatah lagi jika lagu ‘Dendang Perantau’ Allahyarham P Ramlee dimainkan di corong-corong radio. Bukan setakat air mata, air hingus pun turut datang menerpa.

Selepas berbuka puasa pada hari terakhir Ramadan, takbir pun berkumandang sambil kanak-kanak kecil turut mendendangkannya. Manakala mereka yang lebih wang sakunya akan mula memasang bunga api dan meletupkan mercun yang disimpan sekian lama. (ada yang curi-curi beli, penjualnya pula anggota polis!). manakala di dapur keriuhan lebih ketara kerana ibu-ibu bergegas menyediakan masakan untuk esok harinya. Ketupat, lemang, nasi himpit, rendang, gulai dan beberapa hidangan lagi sudah mula dinaikkan atas api supaya esok harinya sedia untuk disantapi.

Manakala golongan gadis ada yang turut membantu ibu di dapur, ada pula yang mengambil tugas ibu menggosok pakaian raya mahupun baju kurung atau teluk belanga untuk esok harinya. Sesekali mereka terkejut dek dentuman bunga api sambil tersengih gembira. Ada juga yang terkenangkan buah hatinya ketika itu. Yang baru pulang ke kampong akan beriuh-riuhan bergurau senda bertanya khabar dan bercerita pengalaman masing-masing. Sambil mereka menjeling melalui tingkap atau pintu melihat kalau-kalau abang Long atau kak Ngah sampai dari perjalanan yang jauh dari Bandar.

Logiknya itulah gambaran serba sedikit menjelang raya dalam masyarakat kita. Akan tetapi sedarkah kita betapa ramai dari bangsa kita yang beragama Islam yang dicabut haknya semata-mata kerana mereka bukan ahli Umno dan tidak memilih parti itu dalam pilihan raya? Rejim yang memerintah dalam negara bermula dari TKT sehingga PakLah telah menganiaya ramai keluarga orang Melayu semata-mata untuk meneruskan cengkaman kuasa mereka. Mereka lebih gemar memuaskan hati pemimpin Barat dari memuaskan hati bangsa Melayu. Mereka seolah-olah tidak mempelajari dari sejarah silam rantau ini dan juga pergolakan politik dunia. Slogan ‘war on terrorism’ adalah bikinan AS atas desakan Israel untuk membungkus orang Islam. Ia adalah satu fitnah bahaya yang terhasil selepas sabotaj ekonomi dan keselamatan yang dibuat oleh pakatan yahudi- Kristian Zionisma dalam peristiwa 911 New York.

Sejarah negara jiran kita Indonesia wajar PM hari ini ambil iktibar. PakLah mesti melihat dari sudut yang luas dan bebas. Sekali kita menjadi anjing suruhan selamanya kita akan terpalit bahananya. PakLah perlu membebaskan diri dan merdeka dari bentuk kepimpinan anjing suruhan dan menjadi bidak catur kuasa luar. Sukarno telah dijatuhkan oleh peristiwa Lubuk Buaya G30S yang telah dilancarkan anasir dalaman dengan dokongan kuasa besar AS dan Britain. Soeharto yang menjadi Ketua Tentera ketika itu telah melaksanakan hasrat Barat dengan menganiaya bangsa sendiri. Ianya bukan sekadar menjatuhkan Sukarno, tetapi turut juga merosakkan negara dan sekali gus menjadikan pemerintah sebagai khadam yang seterusnya menzalimi rakyat sendiri. Sungguh malang apa yang telah dilalui oleh rakyat Indonesia sehinggakan hampir 500,000 hingga sejuta orang ahli dan simpatisan Parti Komunis Indonesia PKI diburu dan dibunuh dengan kerjasama Tentera TNI. Kemudiannya ia menjadi sebuah negara yang mudah diperkotak-katikkan dengan nasib rakyatnya terbiar sedangkan negara kepulauan itu kaya serta mempunyai segala-galanya!!

Sebenarnya belum terlambat bagi PakLah untuk memperbetulkan keadaan sambil membuang najis yang terlekat di mukanya itu. Kes ISA13 ini hanyalah awalan daripada apa yang akan mengeruhkan lagi keadaan politik dan keamanan negara jika PakLah masih membiarkan segala penyangak berada di Bukit Aman dan kabinetnya. Sekiranya PakLah segera membersihkan institusi polis dengan mencampakkan segala pegawai bedebah itu seperti lagak Presiden Argentina, mungkin masa depan politiknya lebih gemilang dan dapat menyambung nyawa parti UmnoBn. Takkanlah seorang cucu ulamak besar mahu meniru lagak TKT menjadi seekor hawar?! (Malaysia memerlukan PM seperti ini!! Musim Bunga Argentina Kirchner)

Lagak kerajaan PakLah yang masih cuba menegakkan benang basah dengan cerita pandir dan khianat berkenaan 13 orang remaja Melayu dan Islam itu akan menyebabkan rajuk orang Melayu bertambah parah. Sekali gus Umno juga akan mendapat musibahnya. Jika mengambil jumlah tahanan ISA yang melibatkan cerita fitnah seperti KMM, JI dan al Maunah, sudah ratusan angka keluarga yang teraniaya. Ibu ditinggalkan suami, manakala anak kehilangan bapa. Siapakah agaknya yang menyara anak bini mereka? Mungkin ada yang isterinya boleh berlagak sebagai suami mencari rezeki, bagaimana pula yang anak-anaknya kecil belaka dan tiada masa yang terluang? Apakah kerajaan ketuanan Melayu ini ada memikirkan perihal keluarga Melayu tadi?? Bagaimana mahu mereka menyambut raya? Apakah rasa hati mereka mengenang 1 Syawal yang bakal tiba? Apakah mereka memohon balasan ke atas orang yang menzalimi mereka tatkala Ramadan yang mulia ini? (mesti punya!!). Bagaimana pula dengan 13 anak muda tadi? Apakah puasa dan ibadah mereka berlangsung dengan baik? Apakah tidak mereka diugut, diganyang dan diperlakukan bagai binatang? Apakah mereka dijentik dan dikejutkan elektrik pada kerandutnya untuk memaksa mengaitkan tokoh-tokoh tertentu dalam PAS?

Sekiranya Amrozi di Indonesia sanggup mengaku apa sahaja setelah dikenakan kejutan 220 volt pada kerandutnya serta dipaksa menelan ubatan Scopolamine bagi mengkhayalkannya, apakah anak-anak mentah harapan bangsa menuntut ilmu Agama dapat bertahan? Apakah mereka menjadi mangsa ejek-ejekan oleh anggota penyiasat yang sanggup menggadaikan imannya itu? PakLah wajar menghentikan kejahatan ini dengan mengarahkan pembebasan mereka sekali gus membuktikan kelainan seorang PM yang dinanti-nantikan oleh rakyat. Lagi pun PakLah tidak mempunyai sebarang pilihan kerana semua orang Melayu sudah tahu!

Dr. Nologareng - 23.11.2003

Sertailah Forum M@RHAEN: http://marhaen.board.dk3.com/2/
Dapatkan maklumat terkini di Forum M@RHAEN.



Tapak Utama: http://marhaen.internations.net
Anda mempunyai lebih pilihan untuk melayari Laman M@RHAEN.

Click Here!
Hantar artikel ini kpd sahabat: