Akuan Berkanun Zool Hilmi bin Yahya
Saya Zool Hilmi bin Yahya, (No. K.P.780116-08-5537), beralamat di 364 Jalan Meranti, Taman Seri Setia, 36000 Teluk Intan, Perak dengan ini sesungguhnya dan sebenarnya mengatakan bahawa :

1.       Pada 10hb Februari 2004, saya telah diberitahu oleh Hamdan Taha bekas Naib Ketua Pemuda Parti KeAdilan Nasional untuk menunggu beliau di Kedutaan India.

2.       Kemudian dia menelefon untuk memberitahu sebuah teksi akan mengambil saya berdekatan Kedutaan India tersebut. Kira-kira jam 9 malam saya dibawa oleh teksi dari berdekatan Kedutaan India ke rumah Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di No 15 Jalan Langgak Duta. Saya tidak kenal pemandu teksi tersebut.

3.       Sampai di rumah tersebut, saya diperiksa oleh beberapa anggota polis dan dicatatkan nama saya. Saya kemudiannya disambut oleh 2 orang yang dipanggil Datuk (selepas ini saya merujuk sebagai "Datuk-Datuk") dan dipelawa masuk. Saya tahu mereka dipanggil Datuk kerana sesama mereka memanggil masing-masing Datuk.

4.       Saya kemudian dibawa ke bilik mesyuarat dan disambut oleh Datuk Seri Najib. Saya diperkenalkan oleh Hamdan Taha kepada beliau sebagai "Ketua Pemuda Parti KeAdilan Nasional Negeri Perak". Datuk Seri Najib kelihatan gembira ketika menyambut saya.

5.       Saya menyertai perbincangan di dalam bilik mesyuarat tersebut. Ketika itu sudah ada beberapa pemimpin keADILan di dalam bilik tersebut. Antaranya ialah, Hamdan Taha, Hanafiah Man, Zahid Md Arip, Rosli Joha, Shamsul Bahari, Ruslan Kassim dan Fakhrul Azman.

6.       Datuk Seri Najib memaklumkan bahawa proses perundingan masih diteruskan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi belum bersedia menerima kemasukan mereka ke dalam UMNO. Bagaimanapun, beliau (Najib) sedang berusaha meyakinkan Abdullah bahawa kemasukan bekas ahli keADILan ini perlu disegerakan. Beliau memaklumkan bahawa keputusan akhir akan dibuat selepas mesyuarat Kabinet pada 11hb Februari.

7.       Datuk Seri Najib meminta yang hadir menjelaskan kenapa mereka ingin menyertai UMNO.

8.       Ruslan Kassim menjawab bahawa beliau tidak yakin keADILan akan mampu bertahan lama.

9.       Hamdan menyatakan bahawa beliau tidak lagi yakin dengan kepimpinan keADILan.

10.   Zahid pula menyatakan bahawa beliau yakin keADILan tidak akan kekal. Beliau yakin dengan kepimpinan Datuk Seri Abdullah.

11.   Fakhrul Azman menyerahkan laporan "Bagaimana UMNO dapat menawan Terengganu" kepada Datuk Seri Najib.

12.   Keseluruhan pimpinan keADILan yang hadir meminta kemasukan ke dalam UMNO disegerakan. Tidak ada sesiapa yang membangkitkan kebebasan Anwar Ibrahim. Ruslan menimbulkan mengenai masaalah kes mahkamah yang dihadapi mereka. Beliau meminta penjamin dan wang jaminan baru disediakan memandangkan jaminan sebelum ini ialah oleh penyokong keADILan dan berkemungkinan besar selepas ini akan ditarik balik.

13.   Tidak ada mana-mana pemimpin UMNO lain, selain Datuk Seri Najib bercakap dalam mesyuarat itu.

14.   Mesyuarat tamat sekitar 10.30 hingga 11.00 malam.

15.   Mereka kemudian menikmati jamuan dan bergambar dengan Datuk Seri Najib.

16.   Di perkarangan rumah Datuk Seri Najib, 2 orang yang dikenali antara satu sama lain sebagai "Datuk" tersebut memberikan saya sejumlah wang. Saya tidak mengira jumlah sebenar, tetapi saya percaya lebih kurang seribu ringgit.

17.   Saya kemudiannya naik kereta bersama Ruslan Kassim ke Hotel Quality di Jalan Raja Laut. Semua yang hadir di rumah Datuk Seri Najib ditempatkan di bilik 601 hotel tersebut. Kami diminta memesan apa sahaja makanan yang dikehendaki sementara berbincang mengenai surat yang akan dikirim kepada Datin Seri Wan Azizah Ismail memaklumkan mengenai keluarnya kami daripada keADILan dan menyertai UMNO.

18.   Ketika di bilik itu, saya diserahkan sebungkus wang kertas RM100 yang diikat dalam jumlah seribu ringgit seikat. Saya tidak mengira jumlahnya tetapi dimaklumkan oleh Hamdan bahawa jumlahnya RM 25 ribu untuk saya belanjakan. Saya masukkan semua wang yang diterima ke dalam peti keselamatan yang terdapat di dalam bilik tersebut. Hamdan juga memberi jaminan bahawa saya tidak perlu kembali ke Perak. Mereka akan menyediakan pekerjaan kepada saya dan isteri. Mereka juga akan memastikan segala keperluan kami terjaga.

19.   Terdapat tiga beg sandang dan satu beg kecil berisi wang dibawa oleh 2 orang "Datuk-Datuk" tersebut bersama 2 orang pengawal peribadi ke bilik 601 Hotel Quality. Wang ini kemudiannya diagihkan kepada mereka yang hadir.

20.   Memandangkan isteri saya telah tiba dari Perak, bilik lain perlu diuruskan untuk saya. Bagaimanapun bilik di Hotal Quality sudah penuh dan saya akan ditempatkan di Hotel Plaza. Ketika di lobi Hotel Quality, saya sekali lagi diberikan sejumlah wang tunai lebih kurang RM500 oleh "Datuk-Datuk" tersebut.

21.   Saya kemudiannya dibawa ke Hotel Plaza dan ditempatkan di bilik 820. Wang tunai, beg tangan dan telefon bimbit isteri saya tertinggal di Hotel Quality. Sepanjang di Hotel Plaza terdapat beberapa orang berpakaian awam mengawal saya dan isteri.

22.   Saya kemudiannya dihubungi oleh beberapa orang rakan dan Pengerusi Perhubungan keADILan Perak, Haji Osman Abdul Rahman, Dr. Lee Boon Chye, S.D. Johari dan Zamil Ibrahim. Mereka menyatakan kesediaan untuk membawa saya keluar dari hotel jika saya mahu.

23.   Zulkaply daripada PRM kemudiannya menelefon saya, dan saya menyatakan kesediaan untuk dibawa keluar. Ng Lum Yong dan beberapa orang tiba dan membawa saya keluar lebih kurang pukul 2 pagi. Saya ditempatkan di Hotel Grand Central. Saya berada di sana kira-kira selama 2 jam.

24.   S.D. Johari kemudiannya membawa saya kembali ke Hotel Quality untuk mendapatkan beg tangan isteri saya tertinggal disana. Fakhrul Azman menyerahkan di pintu bilik 601.

25.   Saya kemudiannya dibawa ke Shah Alam.

26.   Pada pagi 11 Februari 2004, saya menerima SMS "Zul tergamak ko khianat duit dlm peti dah di ambil berapa? Ezam bayar kau budak ngang mana balance duit dato haramkan ko makan" daripada 016-2720343 dan "Ingat ini melibatkan tpm lari la selagi boleh kerana ezam jgn salahkan org lain" dari nombor yang sama.

Dan saya membuat akuan berkanun ini dengan kepercayaan bahawa apa-apa yang tersebut di dalamnya adalah benar serta menurut Akta Akuan Berkanun 1960.

Dipetik drp Laman DUN Hulu Kelang (Kiriman GuagStation)

Hantar artikel ini kpd sahabat:

.

Sertai Maillist M@RHAEN