Biar ‘Makan Sampah’ Janji Melawan
Kiriman Enot Sabah

Tabik hormat saya kepada Skinhead untuk suratnya yang bertajuk 'Bantah siaran ‘skinhead makan sampah’ di NTV7' yang berterus-terang itu.  Kerana anda adalah anak muda yang berani.  Tahniah kerana berani menyuarakan kebenaran.

Teringat saya kepada kata-kata azimat Pramoedya Ananta Toer yang ditujukan khas buat anak muda.
Keberanian! Sekali lagi keberanian! Terutama untuk Angkatan Muda keberanian adalah modal pertama. Tanpa keberanian, seperti sering saya sampaikan, kalian akan diperlakukan sebagai ternak belaka: dibohongi, digiring ke sana kemari atau bisa saja digiring ke pembantaian. Keberanian saja yang bisa membuat peribadi menjadi kokoh.” - ANGKATAN MUDA SEKARANG

Benar! Inilah masanya untuk kita semua, sebagai anak muda melakukan perlawanan terhadap pembohongan mereka.  Sampai bila anak muda mahu diperbodohkan?  Hingga sampai waktu itulah kita akan tetap menjadi binatang ternakan mereka, jika kita tidak melakukan perlawanan.

Maka, benarlah juga Peringatan Widji Thukul yang terkenal itu,
Apabila usul ditolak tanpa ditimbang
Suara dibungkam kritik dilarang tanpa alasan
Dituduh subversif dan mengganggu keamanan
Maka hanya ada satu kata: lawan!

Persoalan penting untuk kita fahami dalam isu sebegini bukanlah tentang benarkah anak muda sekarang ini makan sampah atau tidak.

Apa yang perlu kita kita fahami, NTV7 dengan Edisi Siasat serta media seangkatannya hanyalah alat propaganda penguasa dalam usaha mereka memperbodohkan rakyat. Salah satu cara mereka memperbodohkan adalah dengan memesongkan sebanyak mungkin fakta dan kebenaran.

Pemerintah Malaysia, melalui alasan moraliti dan kesopanan memang sering menggunakan konsep ‘orang lain’ (The Others) untuk menyelamatkan dirinya sendiri.

Melalui kaedah ini, orang lain yang berada di luar kelompok mereka akan dimomokkan sebagai jahat, kurang baik atau sekurang-kurangnya akan dikaitkan dengan apa saja yang negatif.  Di sini kita seharusnya dapat membaca pesanan dan niat mereka yang menjalankan konsep ‘orang lain’ ini adalah untuk memperlihatkan bahawa orang yang tergabung dengan mereka adalah baik, sempurna dan positif belaka.

Pada awal minggu lepas saja, dalam akhbar New Strait Time, berturut-turut selama dua hari disiarkan rencana dengan sengaja mengutuk tindakan anak muda yang menyembur cat ke dinding.  Tindakan itu dimomokkan sebagai tidak bermoral kerana merosakkan harta benda, menurut laporan tersebut.

Hakikatnya, anak-anak muda itu sebenarnya sedang melaksanakan tugas menyedarkan masyarakat supaya menyedari hak kemanusiaan mereka.  Selain daripada menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap pelaksanaan Program Khidmat Negara, saya dapat melihat kesan semburan cat di sekitar Jalan Telawi itu mempunyai nilai seni yang boleh dibanggakan.

Tidak kira siapa mereka ini, saya juga tabik kepada mereka atas kemampuan dan keberanian mereka melakukan apa yang saya dan kawan-kawan saya tidak mampu lakukan. Tahniah!

Samalah juga dengan isu sampah tadi.  Kalaupun benar ada di kalangan rakyat Malaysia yang terpaksa memakan makanan yang dikutip dari bakul sampah, apa masalahnya?  Salahkah bagi seorang manusia (baca: bukan malaikat) memakan lebihan makanan sisa orang-orang kaya itu?

(Hakikatnya memang ramai rakyat Malaysia di kota-kota besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bharu dan seumpamanya yang terpaksa mengambil makanan dari bakul sampah dan tidak ada rumah untuk berlindung.  Tidak percaya?  Datanglah ke belakang Muzium Telekom, Bukit Nenas, Kuala Lumpur pada setiap petang Ahad untuk melihat situasi sebenar yang berlaku.)

Saya menganggap tindakan makan sampah adalah wajar bagi mereka yang masih mahu meneruskan hidup di dunia ini.

“Biarlah kita makan sampah, jangan makan rasuah.  Biar saja kita hina kerana makan sampah, asalkan kita berani melawan perasuah itu”, kata kawan saya, seorang vegetarian yang mendapat kesedaran kerana menyertai kelompok punk.

Terima kasih buat NTV7 kerana telah berjaya memberi kefahaman mendalam kepada saya tentang dasar kerajaan Pak Lah yang lebih sayangkan sampah berbanding nyawa manusia.

Setelah perlantikan Effendi Norwawi sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dalam kabinet baru Pak Lah minggu lalu, saya pasti ada banyak majlis keraian untuk beliau nanti.  Saya cuma mahu mengingatkan menteri yang juga merangkap pemilik NTV7 itu, dalam setiap majlis keraian supaya menyelamatkan sisa makanan (yang selalunya terlalu banyak) daripada terjatuh ke tangan mereka yang tidak layak memegangnya.

Enot Sabah - 10.01.2004


Enotsabah, pelajar yang sudah tidak lagi belajar di mana-mana universiti, pernah menerima biasiswa sebuah agensi kerajaan dan berhenti pengajian kerana dia memilih untuk tidak menerima tawaran pinjaman pelajaran MARA atau PTPTN.  Dia dapat dihubungi melalui e-mel enot_sabah@hotmail.com
Hantar artikel ini kpd sahabat:
Click Here!

Sertai Maillist M@RHAEN