KENYATAAN AKHBAR GABUNGAN PELAJAR MALAYSIA ANTI-PEPERANGAN (GEMPAR)
Tolak Pusat Anti-Keganasan, 
Mansuhkan Perjanjian Pertahanan 5 Negara
Menyedari betapa keamanan dunia tergugat lagi akibat serangan Amerika Syarikat ke atas Iraq, mahasiswa dan anak-anak muda Malaysia selaku golongan yang prihatin dan cintakan keamanan, bersatu hati dan bergabung tenaga menubuhkan Gabungan Pelajar Malaysia Anti-Peperangan (GEMPAR) sebagai manifestasi bantahan kami terhadap serangan ke atas Iraq yang didalangi oleh Amerika dan sekutunya.

GEMPAR merupakan gabungan 7 pertubuhan mahasiswa dan anak muda di peringkat nasional iaitu Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN), Majlis Persidangan Mahasiswa Islam (MPMI) Malaysian Youth And Student Democratic Movement (DEMA), Kelab Siswa Islah Islam (KARISMA), Independent Student Resource & Legal Training Centre (ISREC), Universiti Bangsar Utama (UBU), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan New Era College Anti-War Committee.

GEMPAR menentang sekeras-kerasnya serangan ke atas Iraq oleh Amerika dan mendesak agar Amerika menghentikan serangan tersebut serta-merta. Peperangan bukan jawapan kepada permasalahan keamanan dunia. Tiada apa yang demokratik tentang peperangan ini bahkan serangan ke atas Iraq adalah satu bentuk pencerobohan kepada kedaulatan negara Iraq dan hak asasi rakyatnya. GEMPAR juga melihat dasar 'regime-change' yang menjadi asas kepada serangan itu hanyalah bertujuan untuk mewujudkan sebuah kerajaan boneka di Iraq sebagai kesinambungan usaha Amerika untuk meluaskan hegemoni kuasa politik dan ekonominya di Timur Tengah dan seterusnya ke seluruh dunia.

GEMPAR juga mengutuk sikap 'unilateris' Amerika yang menjadikan 'pre-emptive defence' sebagai alasan serangan ke atas Iraq dan keengganannya untuk patuh kepada Artikel 2 (4) Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, keputusan Majlis Keselamatan dan suara masyarakat antarabangsa yang turut memprotes serangan tersebut.

Justeru itu, dengan penuh kesedaran, GEMPAR menyeru kerajaan Malaysia agar mengambil langkah-langkah berikut:-

1. Menggantung dan mengkaji semula hubungan diplomatik dengan Amerika-Britain dan sekutunya sebagai satu bentuk protes dan tekanan politik terhadap negara-negara ini.

2. Menarik diri daripada Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) 1971 kerana 2 daripada anggotanya iaitu Australia, Britain terlibat secara langsung di dalam operasi pencerobohan dan pembunuhan ke atas rakyat Iraq manakala 1 anggota lagi iaitu Singapura pula telah menyatakan sokongan ke atas pencerobohan tersebut. Oleh kerana itu, tentera Britain dan Australia wajib diharamkan dari menjejakkan kaki mereka di bumi Malaysia ini.

3. Menolak dan melarang pengwujudan Pusat Anti Keganasan di Kuala Lumpur yang merupakan sebahagian daripada agenda Amerika untuk menempatkan pengaruhnya di rantau ini. Pusat ini pastinya akan menjadi tapak yang kukuh untuk kegiatan perisikan dan ketenteraan Amerika dan dikhuatiri memangkin campur tangan Amerika dalam masalah politik dan ekonomi rantau ini. Malaysia harus mengambil iktibar daripada pengalaman Amerika Latin seperti Columbia, Nicaragua dan Panama yang mana pengwujudan Pusat sebegini memberi peluang kepada Amerika untuk melatih talibarut Amerika dari kalangan masyarakat tempatan.

4. Membenarkan rakyat Malaysia berhimpun secara aman atau menyatakan pendirian berhubung isu ini tanpa sebarang sekatan dari pihak berkuasa sejajar dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan kebebasan rakyat Malaysia untuk berhimpun.

5. Menyeru seluruh rakyat Malaysia memboikot barangan keluaran syarikat multinasional Amerika-Britain seperti Coca-cola, Marks & Spencer, McDonalds, KFC dan BP yang menyumbang kepada ekonomi Amerika-Britain dan mencari alternatif lain kepada barangan konsumer tersebut.

Kerajaan Malaysia berkeupayaan untuk mengotakan tuntutan-tuntutan di atas. Sekiranya Kerajaan Malaysia gagal untuk memenuhi tuntutan-tuntutan tersebut, maka jelaslah bahawa kerajaan Malaysia turut mengamalkan 'double standard' dan hipokrasi sepertimana juga sandiwara bermuka-muka yang dimainkan oleh Bush dan Blair sekarang ini. Respon positif pihak kerajaan terhadap tuntutan-tuntutan kami ini akan membuktikan sokongan tulin kerajaan kepada dasar anti-peperangan serta pendirian sebenar kerajaan terhadap tindakan Amerika-Britain dan sekutunya.

Kegagalan pihak kerajaan untuk mengotakan tuntutan-tuntutan tersebut akan menunjukkan bahawa bantahan kerajaan terhadap peperangan di Iraq, sebagaimana yang dipaparkan di media massa, hanyalah suatu sandiwara politik dan yang lebih menyedihkan, membuktikan pengiktirafan Kerajaan terhadap dasar dan tindakan Amerika-Britain ke atas rakyat Iraq yang tidak berdosa! Oleh kerana itu kami menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk menilai yang mana satu retorika sandiwara politik dan yang mana satu sokongan tulin.

Justeru itu, GEMPAR akan tetap terus bersama-sama dengan semua pertubuhan-pertubuhan lain untuk turut membantah peperangan di Iraq atas dasar kemanusiaan dan keamanan sejagat!

HENTIKAN PEPERANGAN, KEMBALIKAN KEAMANAN!

Disokong oleh:

Majlis Persidangan Mahasiswa Islam (MPMI)
Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN)
Malaysian Youth and Democratic Movement (DEMA)
Kelab Siswa Islah Malaysia (KARISMA)
Independent Student Resource And Legal Training Centre (ISREC)
Universiti Bangsar Untama (UBU)
Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
New Era College Anti-War Committee.
____________________________________________________________
Nota: Untuk pandangan, kritikan atau sokongan, sila hubungi UBU. Untuk maklumat terkini berkaitan pertubuhan- pertubuhan yang menyokong kenyataan ini, sila rujuk di laman UBU. - 29.03.2003


Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!