Kempen UMNO 24 jam: Mesyuarat Jemaah Menteri atau Mesyuarat UMNO?

Kempen UMNO setiap detik
Negara Islam bukan matlamat Pas: PM
Berita Hairan Khamis, 02 Oktober 2003

Tuduhan UMNO bahawa PAS berkempen tak kira masa memang jelas tak terpakai. UMNO berkempen di akhbar harian arus perdana seperti ini dan juga media elektronik setiap hari. Hanya orang terencat akal sahaja yang percaya dan yakin dengan demokrasi Malaysia.

Petikan BH: *Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad tidak terkejut dengan percanggahan pendapat di kalangan pemimpin Pas berhubung penubuhan negara Islam kerana perkara itu bukanlah matlamat parti berkenaan*

Percanggahan pendapat bukan perkara baru, tak perlu terkejut. Yang selalu terkejut, terperanjat dan gempak hanya watak-watak filem Tamil dan Hindi. Di kalangan para pemimpin sesebuah parti mana pun ada percanggahan pendapat. Tak kira Parti Kongres India, Demokrat USA, malah dalam Politburo Parti Komunis pun pernah ada percanggahan. Yang tidak boleh bercanggah hanya dalam UMNO. Kalau bercanggah elok diam saja, jika tidak buruk padahnya. Nasib Dato Harun Idris, Aziz Ishak, Tengku Razaleigh, Musa Hitam dan Anwar Ibrahim menjelaskan kepada kita bahawa dalam UMNO tidak boleh ada percanggahan pendapat. Jika mengikut logika Mahathir, percanggahan pendapat yang berlaku dalam UMNO juga bererti perpaduan dan kemajuan Melayu bukanlah matlamat parti UMNO.

Petikan BH: "Perdana Menteri berkata, pemimpin Pas hanya memperalatkan Islam untuk memancing undi demi kepentingan politik sedangkan tindak-tanduk pemimpinnya langsung tidak mencerminkan Islam seperti memaki orang , melempar fitnah dan mendakwa Tuhan mencarut."

Lebih memancing undi sebagai calon BN jika kepentingan politik menjadi keutamaan. Jika kemenangan diutamakan lebih realistik dan praktikal jadi calon BN di mana segala gala kemudahan disediakan dan untung dari kemenangan cukup berbaloi. Isu maki orang, fitnah dan tuhan mencarut adalah isu yang menjadi tema atau agenda permainan akhbar-akhbar paria Melayu. Isu yang bertaraf amatur lagi "mediocre" ini amat digemari oleh media yang sememangnya dikendalikan oleh para pengurus media yang dangkal otak seperti Zainudin Maidin dan Dolah KL yang lapok ketinggalan zaman. Isu goblok lagi brensek ini dijadikan sebagai lapisan "smoke screen" untuk mengabui mata Melayu yang jenis melanggani zahir dan batin setiap mesej yang terkandung dalam koran (Indo: akhbar) UMNO ini. Koran-koran Umno ini dibaca dan ditelaah laksana menghafaz al Quran, lalu ditelan bulat-bulat, tanpa dikunyah kerana disangka segalanya itu kebenaran hakiki.

Petikan BH: “Sebab itu di negara lain, umat Islam tak suka nak campur aduk perkataan Islam dalam nama kerana apabila mereka buat sesuatu yang buruk, bertentangan dengan Islam, nanti orang kata itulah Islam"

Ini modal import dari Pres. Turki Recep Erdogan. Sebagai seorang manusia yang pada azalinya tiada kreativiti tersendiri, memang mudah mengajuk mana-mana rangkai kata yang sedap dan mudah melayan telinga tanpa usul periksa sejarah jatuh bangun perjuangan harakah Islam di Turki. Dalam UMNO sering timbul manusia yang pada zahirnya ditonjolkan sebagai kreatif tetapi akhirnya terbongkar betapa "bogus" nya atau bohong saja apa yang dipaparkan. Dulu Sanusi Junid diwar-warkan oleh media paria Melayu sebagai manusia Melayu kreatif. Mana dia sekarang? Apa hasil dari tanaman padi atas bumbung? Berapa belanja semua kerja goblok tu? Peranan media juga menonjolkan Mahathir sebagai manusia kreatif dengan mengaitkan beliau kepada teknologi IT, automobil, lebuh raya dan sebagainya. Bab ini akan dihuraikan pada ruangan lain, tetapi memadailah kita fahami bahawa di sebalik segala kisah sukses negara itu, ada tenaga otak insan-insan lain yang diperah. Ada pelbagai konsultan yang khidmat mereka bukan percuma, dibayar bukan dari wang saku Mahathir atau UMNO. Melayu yang cerdik faham maksud "lembu punya susu, sapi dapat nama".

Petikan BH: “Pas bukan Islam. Ia cuma parti yang memperalatkan Islam," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri di Rumah Kabinet, Gunung Raya, di sini semalam

Retorik basi selalu menghiasi ucapan pemimpin yang kehabisan modal. “Pas bukan Islam. Ia cuma parti yang memperalatkan Islam," Pembaca lebih bijak mentafsirkan sama ada wajar atau tidak beliau berkata demikian. Tetapi yang jelas tidak wajar ialah beliau membuat komentar kepartian dalam kedudukannya mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri. Tugas Menteri ialah bertanggungjawab kepada kementeriannya untuk memberi khidmat kepada rakyat. Pelbagai Kementerian diwujudkan untuk mengembalikan khidmat kepada rakyat tidak kira dari mana parti sekalipun. Bila mesyuarat Jemaah Menteri dicampur-adukkan dengan kenyataan-kenyataan berbau kempen kepartian, itu tandanya mereka telah mengabaikan tanggungjawab dan amanah. Contoh teladan buruk begini akhirnya meresap ke peringkat jabatan, sekolah dan lain lain institusi yang akhirnya rakyat juga yang rugi. Lebih wajar kalau soalan wartawan yang menjurus ke arah memaki hamun parti lain ditunda ke majlis yang lebih relevan seperti mesyuarat UMNO.

Sumber: Goblok <http://goblok.blog-city.com/index.cfm?d=2&m=10&y=2003> - 02.10.2003 (suntingan M@RHAEN).

Mulai sekarang anda mempunyai lebih pilihan untuk melayari Laman M@RHAEN:
Tapak Utama:http://marhaen.internations.net
Tapak Utama versi baru: http://marhaen1.web1000.com
Portal sokongan interaktif & mesra-pengguna: http://marhaen.portal.dk3.com/
Blog kembaran M@RHAEN (GOBLOK) 1: http://goblok.blog-city.com/
Blog kembaran M@RHAEN (BLOGKU) 2: http://blogku.dk3.com/
Selain itu, anda boleh terus melayari Laman M@RHAEN di tapak-tapak sokongan/cerminan asal. http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com - http://e-umno.tripod.com/

Click Here!