MENGAPA PERLU MENGUNDI BA?
Assalamulaikom wrt.wbh

Saudara-saudara  pembaca budiman,

Menjelang pilihan raya ke-11 bila-bila masa sahaja dari  sekarang, nampaknya UMNO semakin resah dengan kekuatan parti pembangkang  terutama PAS yang berkerjasama dengan parti Keadilan yang telah bergabung dengan  PRM menjadi Parti Keadilan Rakyat Malaysia [ atau Keadilan ], yang mana gabungan  ini tidak diluluskan oleh Pejabat Pendaftaran Pertubuhan adalah lambang  ketakutan UMNO menghadapi pilihan raya itu.

Sebagaimana biasa, UMNO akan menggunakan sepenuhnya media massa baik akhbar cetak dan elektronik untuk melancarkan perang propaganda dan memburukkan reputasi parti pembangkang terutamanya PAS. Akan muncul nanti pelbagai tektik digunakan untuk mencapai matlamat tersebut sehingga media-media ini membelakangkan kebenaran dan memutarbelitkan fakta. Media-media ini juga akan membesar-besarkan isu kecil, memberat-beratkan isu ringan dan memperlekehkan perjuangan PAS dan Keadilan.

Tujuan utama UMNO ialah pertama untuk memusnahkan pakatan di antara PAS  dan Keadilan dan keduanya mahu mengkikis kepercayaan rakyat terhadap peranan kedua-dua parti ini supaya pada pilihan raya itu, rakyat menolak PAS dan Keadilan dan menerima UMNO untuk mengekalkan kuasanya memerintah Malaysia.

Oleh itu, sebelum dan semasa kempen pilihan raya ke 11, kedua-dua parti  ini mesti bijak merencana dengan pantas, cekap dan berkesan dalam menangani  setiap propaganda dan momokan politik UMNO. Pemimpin kedua-dua parti ini perlu  sedar bahawa semua saluran untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat telah ditutup awal-awal lagi dan mereka harus bijak mencari peluang menyampaikan maklumat ini kepada rakyat.

Dalam kontek ini, PAS merupakan parti yang menjadi tunjang kepada pakatan di antara Keadilan, di samping PAS mempunyai  pengaruh yang luas di akar umbi di seluruh ceruk kampong dan desa di Negara ini dan berkuasa memerintah dua buah negeri, Kelantan dan Terangganu, maka dalam  tulisan ini saya mengajak rakyat memilih PAS [ bersama dengan Keadilan ] dan  menolak UMNO kerana beberapa factor yang akan dibincangkan di bawah.

PENUBUHAN DAN DASAR

UMNO ditubuhkan pada tahun 1946 untuk  menjaga kepentingan Melayu di Tanah Melayu serta menuntut kemerdekaan dari British secara lembut dan bertolak ansur bersama-sama kaum-kaum lain[ Cina dan  India ] yang mendiami di sini. PAS pula ditubuhkan pada tahun 1951 untuk mendaulatkan ISLAM setelah UMNO enggan menjadikan ISLAM sebagai dasar perjuangan.

Kelahiran PAS tidak disenangi oleh penjajah British kerana perjuangan PAS adalah untuk menubuhkan sebuah Negara Islam di Tanah Melayu. Hal  ini sangat bertentangan dengan kehendak British yang mahu mengekalkan Tanah  Melayu sebagai Negara secular seperti British. Oleh itu, British melambat-lambatkan proses pendaftaran parti ini sehinggala ia diluluskan pada  tahun 1955, iaitu ketika beberapa bulan lagi pilihan raya Majlis Perundangan  Persekutuan 1955 akan diadakan. Tujuan British melambat-lambatkan pengesahan  pendaftaran PAS ini adalah kerana pertama, British mahu menyekat pergerakan PAS,  kedua, British mahu mengekang pengaruh PAS dan ketiga, British tidak mahu PAS menjadi pesaing kuat terhadap UMNO dalam pilihan raya 1955. Sikap ini menjadi  lebih nyata apabila Pesuruhanjaya Tinggi British, Edward Gent menegaskan bahawa  British tidak akan memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu, sekiranya golongan ISLAM [PAS] memenangi pilihan raya tahun 1955 itu. Parti induk PAS, Hizbul  Muslimin diharamkan dan beberapa pemimpin utamanya ditangkap dan dipenjarakan oleh British. British menganggap pemimpin PAS sama bahayanya dengan komunis. Tektik ini juga digunapakai oleh UMNO kini, di mana ramai pemimpin, ahli dan penyokong PAS dan Keadilan disumbat dalam penjara dan ditahan di bawah ISA.

Sebaliknya penubuhan UMNO mendapat restu dari penjajah British. Pemimpin UMNO mendapat belaian mesra dan mendapat tempat yang baik di sisi British seperti Dato' Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra dan Dato' Abdul Razak Hussein, malah mereka diberi jawatan kerajaan sebelum merdeka lagi. British  merestui UMNO dan rakan-rakannya [ MCA dan MIC ] kerana meraka bukan parti agama. Apabila British berundur, pemerintahan Tanah Melayu diserahkan kepada  UMNO dan rakan-rakannya untuk meneruskan dasar sekularnya.

Sebenarnya,  kita hanya merdeka dari segi fizikal sahaja, bertukar kulit, warga sendiri yang memerintah mengantikan penjajah British. Kita sebenarnya masih dijajah oleh UMNO melalui pelbagai akta dan undang-undang yang diwujudkan oleh British dulu masih  digunapakai sehingga sekarang untuk menyekat kebebasan rakyat sepertimana yang pernah dilaksanakan oleh British bagi menghalang rakyat menuntut kemerdekaan.  Oleh itu sekiranya kita mahu kemerdekaan kedua, yang bebas dari belenggu UMNO  dari segi fizikal dan mental, maka kita hendaklah mengundi PAS dalam pilihan raya ke 11 nanti.

DASAR PERJUANGAN

UMNO memperjuangan semangat  kebangsaan yang sempit untuk menjaga kepentingan Melayu atau Bumiputra. UMNO  menjadikan Islam diperintah bukan Islam yang memerintah. Islam mesti tunduk dengan kehendak dasar kebangsaan yang dilaksanakan oleh UMNO. Mana-mana hukum  yang bertentangan dengan kehendak UMNO atau yang tidak mendatangkan keuntungan kepada UMNO akan ditolak. UMNO akan menerima perkara agama sekiranya ia membawa keuntungan kepadanya seperti pungutan zakat, bank Islam, Tabung Haji, Universiti  Islam dan sebagainya. Politik dan agama tidak boleh disatukan menjadi pegangan UMNO. Politik lain, agama lain. UMNO boleh menghalalkan dan mengeluarkan  lesen-lesen perjudian, arak, kelab malam kerana kegiatan itu ada nilai ekonomi  dan politik bagi UMNO.

PAS ditubuhkan dengan semangat keIslaman. PAS  menggunakan politik untuk agama [ tidak seperti UMNO mengunakan agama untuk  kepentingan politik ] sebagaimana kehendak ALLAH SWT menjadikan manusia yang hidup di muka bumi ini mesti menurut kaedah yang ditetapkanNya. PAS mencuba dan berusaha untuk melaksanakan ISLAM sebagai dasar pemerintahan di Negara ini di  semua aspek kehidupan seperti dalam ekonomi, social, politik , pendidikan, pembangunan, undang-undang dan sebagainya, tetapi dihalang oleh UMNO dengan pelbagai cara dan ugutan. Terbaru Zaid Ibrahim, Timbalan Ketua Perhubungan UMNO  Kelantan menggunakan mahkamah untuk menghalang perlaksanaan undang-undang Islam  untuk orang Islam [ kononnya ini adalah undang-undang PAS, mana undang-undang HUDUD UMNO yang telah memerintah lebih 46 tahun ]. Amat malang, orang Islam yang mengaku ia seorang Islam tergamak menghalang orang Islam yang lain yang hendak  melaksanakan ajaran Islam yang sebenar.

Islam tidak akan dijadikan asas  pemerintahan Negara sekiranya UMNO masih berkuasa. Islam hanya untuk ritual semata-mata. Oleh itu, sekiranya kita hendakkan Islam dimertabatkan di muka bumi Malaysia ini, Islam memerintah bukan Islam diperintah, maka kita hendaklah  memilih PAS dalam pilihan raya nanti

RUJUKAN TERTINGGI

UMNO meletakkan " Keluhuran dan Kedaulatan Undang-undang " kepada Perlembagaan Negara Malaysia yang dihasilkan oleh Lord Reid dengan kerjasama penjajah British. Perlembagaan Negara memberi peruntukan yang tertinggi kepada undang-undang di  Negara ini seperti yang diperuntukan di perkara 4 (1), yang mana sebarang  undang-undang digubal, pindaan, enakment, akta,yang bercanggah dengannya akan  terbatal setakat mana ianya bertentangan. Ini bermakna undang-undang syariah yang dipetik dari Al-Quran akan terbatal dengan sendirinya kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Negara. Ini bermaksud Al-Quran yang menjadi pegangan umat Islam menjadi lebih rendah taraf kedudukannya dari undang-undang Negara. UMNO  terus mengekalkan undang-undang ini setelah 46 tahun merdeka.

PAS pula meletakkan Al-Quran sebagai Undang-undang dan rujukan tertinggi. Sebarang undang-undang yang digubal dan dipinda yang bercanggah dengan Al-Quran dengan tersendirinya akan terbatal. Inilah dasar pemerintahan Islam. Hukum hudud  dipetik dari Al-Quran. Dalam amalan demokrasi, parlimen menggubal akta yang  bertaraf undang-undang, tetapi dalam Islam pemimpin tidak boleh menggubal undang-undang yang bertentangan dengan Al-Quran. Pemimpin dibenarkan mengubal  undang-undang yang belum termaktub dalam Al-Quran dan pemimpin juga dibenarkan membincangkan bagaimana undang-undang Al-Quran itu hendak dilaksanakan.

Bagi menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk dan pedoman dalam menjalani  kehidupan harian supaya kita semua diberkati oleh ALLAH SWT, maka kita hendaklah memilih PAS sebagai wadahnya bukan UMNO. UMNO hanya untuk dunia sahaja.

PERLAKSANAAN ISLAM

UMNO hanya melaksanakan " Penerapan Nilai  Islam " dalam kehidupan masyarakat dengan menubuhkan bank, universiti,  mempertingkatkan syiar bukan syariat dan badan-badan lain yang berbau Islam.  Perkara-perkara seumpama ini ada di Negara-negara bukan Islam seperti di Thailand, Britain, Amereka malah di Switzerland terdapat sebuah bank Islam terbesar lagi canggih berbanding Malaysia. UMNO menghalang perlaksanaan Islam  secara menyeluruh dalam semua aspek kehidupan muslim dengan memberi pelbagai alasan seperti masyarakat majmuk, masyarakat Islam masih lagi ketinggalan dalam semua bidang, sekatan melalui undang-undang dan sebagainya. Hanya dibenarkan melaksanakan rukun Islam sahaja.

PAS mahukan perlaksanaan Islam secara  menyeluruh dalam semua aspek kehidupan masyarakat kerana bagi PAS Negara Islam  ialah melaksanakan Islam secara keseluruhan dan pemimpinnya melakukannya dengan  penuh keimanan dan ketakwaan Beriman dengan Al-Quran. Firman Allah bermaksud,: "  Barang siapa yang tidak menghukum dengan hukuman yang Allah SWT turunkan, mereka itu adalah orang-orang kafir "- Al-Maidah, 5:44 ...Zalim, Al-Maidah, 5:45.

Sekiranya kita hendak melihat Islam dapat berfungsi dengan sebenarnya  dalam semua aspek kehiduapan kita, maka kita tidak boleh lari dari memilih PAS yang menjadikan ISLAM sebagai perjuangannya semenjak ia ditubuhkan sehingga ke hari ini. Masih lagi konsisten, tidak seperti UMNO yang mengamalkan prinsip pragmatic dalam pemerintahan Negara.

SYARAT KEPIMPINAN

Dalam  UMNO, pemimpin dipilih berdasarkan ketokohan seseorang dalam masyarakat.  Pemimpinnya sering terdiri daripada mereka yang paling berpengaruh dalam masyarakat dan berkemampuan dari segi kewangan. Nilai-nilai akhlak dan ketakwaan tidak menjadi pra syarat untuk menjadi pemimpin UMNO. Di kalangan mereka,  fenomena rasuah, menyalahgunaan kuasa, pecah amanah, arak, perempuan dan mencari  kedudukan dan kekayaan tanpa menghiraukan haram dan halal menjadi perkara biasa. UMNO menganggap ketakwaan dan kemuliaan akhlak bersifat personal. Dalam  mesyuarat agung mereka tidak menitikberatkan soal sembahyang dan ini boleh  disaksikan secara langsung melalui tv yang mereka boleh bersorak ketika presiden sedang mengulung perbahasan sehingga melepasi waktu maghrib, malah membentangan budget 2004 soal sembanyang yang menjadi tiang agama tidak dipedulikan.

PAS meletakkan syarat ketakwaan sebagai syarat utama menjadi pemimpin. Mereka yang melanggar etika Islam dengan sendirinya terlucut keahlian PAS dan mereka yang melakukan rasuah, pecah amanah dan sebagainya hilang kelayakan sebagai pemimpin jemaah. Dalam Muktakmar, sembahyang fardhu harian dijadikan  agenda rasmi. Dalam PAS, kepimpinan adalah amanah dan tanggungjawab, tidak dalam UMNO, kepimpinan mencari kedudukan dan kekayaan.

Memilih pemimpin yang  beriman dan bertakwa, apabila mendapat kuasa ia merasa takut untuk melakukan  sebarang penyelewengan dan menyalahgunaan kuasa apalagi untuk melakukan pecah  amanah. Kuasa yang diberikan itu merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang amat berat yang akan dipersoalkan dihadapan ALLAH SWT kelak apa yang ia lakukan  dengan amanah dan tanggungjawab yang diberikan.

Berbeza dengan UMNO, mereka terlalu sangat hendakkan kuasa kerana dengan kuasa mereka boleh melakukan apa sahaja yang dikehendaki hati dan nafsu serakah yang tidak puas-puas merompak harta rakyat yang diamanahkan dan diberi tanggungjawab untuk menguruskan  harta-harta tersebut untuk kemaslahan rakyat keseluruhannya.

Kalau  hendakkan rasuah tidak wujud, tidak berlakunya pembolotan kekayaan Negara untuk  memperkayakan diri dan keluarga, tidak menyalahgunaan kuasa untuk mencari kedudukan, kuasa dan kekayaan dan untuk menegakkan keadilan dan kebenaran kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, bangsa, agama, perbezaan fahaman politik dan  sebagainaya, kita tidak boleh lagi mengharapkan kepada UMNO. Cuba kita beralih  dengan memilih PAS sebagai alternatifnya.

KEPIMPINAN

Model  kepimpinan UMNO ialah " Kepimpinan Melalui teladan ". Model ini sangat longgar  kerana tidak ada seorang pun pemimpin UMNO yang boleh dibuat teladan oleh  rakyat. Dari matan PM ke 4, PM sekarang, TPM, Menteri-menteri, MB-MB dan Ketua Menteri yang mana satu boleh dijadikan teladan. Tidak ada dalam sejarah  Malaysia, seorang PM yang bersara dibenci oleh rakyat dan dibuat laporan polis mengenai salahlaku dalam masa 22 tahun memerintah. Media sering melaporkan  pemimpin UMNO dituduh dengan pelbagai tuduhan rasuah, pecah amanah, pilih kasih  dan gejala maksiat.

Model kepimpinan PAS ialah " Kepimpinan Ulamak " adalah penerus kepimpinan para anbia sebab ulamak ialah pewaris anbiya. Kepimpinan ulamak adalah sinonim dengan kepimpinan Rasulullah SAW dan Khulafa  Ar-Rasyidin. Para ulamak mempunyai sifat takwa yang boleh mengelakkan melakukan perkara-perkara maksiat yang boleh menjadi contoh teladan yang baik untuk diikuti oelh rakyat. Jadi, pada pilihan raya ke 11 nanti, cuba tinggalkan UMNO dan memilih PAS pula.

WAWASAAN

UMNO mencipta " Wawasan 2020 " sebagai matlamat pada tahun 2020 nanti Negara ini akan maju dengan pembangunan industri. UMNO menekankan pembangunan berbentuk fizikal, tetapi pembangunan jiwa rakyat yang akan menikmati pembangunan fizikal itu tidak diutamakan. Muda-mudi  berhibur secara melampau dalam menyambut tahun baru, industri hiburan dikembangbiakkan, pusat-pusat hiburan dan tempat perjudian diberi lesen dan banyak berlakunya penyakit social.

PAS membawa " Wawasan Dunia dan  Wawasan Akhirat " kerana selepas hidup di dunia, kita akan dihidupkan pula di  akhirat. Di sana nanti akan dihitung dosa pahala yang kita lakukan di dunia ini.  Pembangunan dalam Islam ialah pembangunan Negara yang tidak mengorbankan akhlak.  Pembangunan fizikal dan rohani yang dinikmati secara adil oleh seluruh rakyat.

PARTI ALTERNATIF UTAMA ORANG MELAYU

PAS merupakan parti politik  dominant Melayu kedua terbesar selepas UMNO. Ia merupakan parti alternatif bagi  orang Melayu untuk bernaung di bawahnya. Banyak parti-parti dominan Melayu tidak bertahan lama seperti PAS, kebanyakan parti-parti tersebut seperti Parti Negara  pimpinan Dato' Onn Jaafar, Parti Rakyat Malaya pimpinan Ahmad Boestamam, Parti Nasma pimpinanan Raja Nong Chik dan Parti SM46 terkubur satu demi satu tanpa batu nisan, tetapi PAS tetap unggul di sepanjang sejarah perkembangan politik Negara.

Ada lima sebab mengapa PAS boleh menjadi parti alternative kepada orang Melayu. Pertama, kebanyakan ahli-ahlinya terdiri daripada  orang-orang Melayu beragama Islam, yang mudah menarik sokongan, simpati dan  kepercayaan dari orang Melayu Islam, tidak seperti UMNO yang mana ahli-ahlinya ada orang Melayu dan bumiputra bukan beragama Islam. Kedua, perjuangan Islam  yang dibawa oleh PAS mendapat sokongan padu daripada orang-orang Melayu beragama Islam yang mempunyai cita-cita dan harapan yang sama dengan PAS. Ketiga,  kelantangan PAS membela hak, nasib dan kepentingan orang Melayu menaikkan imej  PAS sebagai kubu terakhir pertahanan orang Melayu. Keempat, kewibawaan akhlak  pemimpin PAS menjadikan PAS sebagai parti yang dihormati dan dikagumi oleh segenap lapisan masyarakat, tidak seperti UMNO yamg mana pemimpinnya yang banyak tidak berakhlak dan terlibat dengan pelbagai skandal yang mengaibkan. Kelima, keupayaan PAS mentadbir Terangganu dan Kelantan walaupun ditekan dan ditindas  oleh kerajaan persekutuan boleh terus mentadbir dengan jayanya berdasarkan kemampuan yang ada.

Dalam pada itu, PAS juga tidak lagi bergantung kepada sokongan golongan agama sahaja dan orang kampong semata-mata, malah kini banyak golongan professional dan orang Bandar menganggotai PAS. Ini merupakan satu perubahan yang nyata dalam sejarah PAS sejak penubuhannya tahun 1951.

PENUTUP

Pada pilihan raya akan datang, pasti kita akan menyaksikan satu pertempuran yang hebat akan berlaku di antara kedua parti yang  berpengaruh ini untuk mendekati dan mempengaruhi pemikiran orang Melayu supaya memberi undi kepada parti masing-masing. Dalam system yang kita amalkan, walaupun satu undi lebih dari pihak lawan, dikira parti itu menang.

UMNO seperti biasalah akan memperkudakan segala jenis jentera, media massa dan  berjenis manusia akan digunakan untuk berkempen, berhujah, berdrama dan  sebagainya bagi membentok propaganda perang saraf memikat hati pengundi untuk  mengundi UMNO sekali lagi.

Dalam pada itu, para strategis PAS dan Keadilan perlu merangka pelan tindakan bagi menghadapi perang saraf UMNO ini mulai dari sekarang. Perkara-perkara yang boleh dilakukan sebagai persediaan adalah seperti berikut:

i. Pada kebiasaannya, pilihan raya yang diadakan itu berat sebelah. Semua agensi yang terlibat dalam pilihan raya memihak kepada  UMNO sebagai parti pemerintah. Pada pilihan raya pada tahun 1999 telah  ditubuhkan sebuah badan pemantau yang diberi nama BUDI yang membuat pemantauan pengurusan pilihan raya pada tahun itu. Pada tahun ini dicadangan ditubuhkan satu pasukan pemantauan pilihan raya yang ahli-ahlinya terdiri dari kalangan professional tempatan yang berkecuali dan amat perlu dari pertubuhan  antarabangsa membuat pemantauan bersama. Di akhir pilihan raya mesti dikeluarkan  laporan dan dibincamgkan di forum atau persidangan di peringkat antarabangsa.

ii. Pada masa kempen, masa membuang undi dan masa pengiraan undi, semua  petugas perlu membawa bersama kamera atau kamera video untuk merakam peristewa-peristewa yang tidak diingini akan berlaku. Gambar-gambar ini akan dijadikan bahan buktisebagai persediaan untuk perkembangan selanjutnya.

iii. Mulai sekarang, perlu dicetak bahan-bahan untuk penjelasan kepada rakyat mengenai salahlaku, rasuah, penyelewengan, menyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan sebagainya yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin dan kerajaan  pimpinan UMNO untuk disebarkan kepada rakyat sebagai tindakbalas perang saraf  UMNO.

iv. Mulai sekarang kita mesti melatih petugas parti yang cekap mengesan tipu muslihat UMNO kerana kita tidak ada agensi yang boleh membantu  termasuk SPR, maka kita sendirilah perlu bertindak dengan pantas, cepat dan  berkesan.

Akhir kata, marilah bersama-sama kita memberi undi kepada PAS  supaya keadilan dalam Negara kita yang tercinta ini dapat ditegakkan semula. Keadilan hakiki dapat diwujudkan dengan hanya perlaksanaan Islam secara  menyeluruh dalam semua aspek kehidupan manusia di muka bumi ini seperti yang  ditentukan oleh ALLAH SWT, selain dari ISLAM semuanya akan musnah bila sampai  masanya.
 
petikan dari :Pas Bukit Bendera website.

Kiriman: GuagStation
PAS tawan Kedah 2004
guaqstation@al-islam.com - 16.02.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN