Budaya USRAH Kembali Aktif
Oleh: HC (Honda Civic)
Sebaik sahaja kami keluar dari surau taman kami ini selepas solat Isyak dua tiga malam yang lepas, seorang ahli jemaah taman menerpa ke arah ambo dan tetiba sahaja beliau bertanya sambil memberi cadangan 'kita kena buat usrah sheikh, kena start balik'. Hairan juga ambo pada mulanya, dari mana dan sejak bila beliau dapat idea tersebut. Dan kenapa tiba-tiba sahaja soalan itu yang boleh terkeluar daripadanya ketika itu?

Sebenarnya beliau tidak menyedari bahawa sebelum itu pun ambo telah berkira-kira dengan beberapa wakil daripada beberapa taman berdekatan untuk mula menyemarakkan aktiviti yang telah lama pupus ini, dan yang pernah merupakan salah satu kekuatan jemaah Islam, tidak kira PAS, ABIM, Al-Arqam, Tabligh dan sebagainya sebelum ini.

Usrah ialah 'pertemuan keluarga' dari segi linguistiknya yang ambo faham. Sementara maksudnya dari segi pengistilahan lebih dalam lagi, merangkumi di dalamnya pengajian ilmu, ibadat khususiah, perancangan strategi jemaah dan jikalau di peringkat yang lebih tinggi lagi mungkin perlu kepada sistem kerahsiaan atau apa yang dinamakan sirriyyatu-tanzim, khususnya dalam negara demokrasi jakun seperti Malaysia ini.

Dari sudut linguistiknya sahaja sudah cukup untuk membayangkan kepentingan keperluan kewujudannya. Sebuah keluarga yang sentiasa bertemu, sentiasa berjumpa, sentiasa saling berinteraksi, sentiasa bertukar-fikiran, sentiasa brain-storming, sentiasa saling ingat-mengingati dengan perkara amar makruf dan nahi mungkar...adalah sebuah keluarga yang kuat dan utuh dari segi kesatuan dan motivasi kerjanya. 'Usrah FGR' ini sahaja, secara sedar atau tidak, merupakan sebuah usrah maya yang mampu menguatkan motivasi sesama mereka yang sama pandangannya.

Dari sudut linguistiknya sahaja sudah cukup untuk memberikan kekuatan rohani dan roh kepada jemaah PAS dan apa saja jemaah untuk terus wujud selama ini dalam bentuk massa walaupun terpaksa menghadapi kekalahan demi kekalahan dalam pilihan raya, walaupun penuh dengan penipuan. Itu belum diambil kira jikalau sesuatu usrah itu menekankan aspek kerohanian dan ilmu.

Lalu apabila diterangkan kepada rakan setaman asal orang Kelantan ini, beliau terus sahaja bersetuju untuk join sama. Boleh dikatakan hampir kesemua mereka yang diajak untuk bersama dalam usrah ini telah bersetuju. Terasa dalam perbualan kami itu semacam satu 'urgency' untuk melakukannya terutamanya dalam suasana budaya 'sure heboh' dan hedonisme yang jelas semakin disuburkan oleh BN hasil kemenangan tipu mereka yang hampir total itu, seolah-olah 'mandat besar' tersebut memberikan lesen untuk mereka melakukan apa sahaja.

Dalam kerancakan menyuburkan aktiviti anti-virus terhadap budaya kuning yang cuba disuburkan BN ini, kita juga harus sedar tentang prioriti kita menghidupkan semula program usrah ini. Sesuai dengan perintah Allah SWT untuk kita menyelamatkan diri kita sendiri dahulu, dan kemudian kaum keluarga kita daripada api neraka, maka dua perkara ini wajib kita selamatkan dahulu. Selepas diri sendiri dan keluarga, barulah datang perkara lain seperti menyelamatkan jemaah kita daripada kehancuran.

Bagi mereka yang telah biasa dan berpengalaman bersama usrah sebelum ini mungkin tidak menghadapi masalah untuk menghidupkannya semula. Tetapi bagi mereka yang baru, mungkin terpaksa memohon bantuan daripada pihak jemaah dan orang lama yang lain, dari sudut untuk menentukan apakah yang boleh dijadikan bahan untuk pengisian di dalam usrah tersebut.

Ambo boleh mengesyorkan beberapa perkara yang mungkin boleh dijadikan pengisian usrah kita. Antaranya kita boleh mendapatkan bantuan orang alim yang boleh mengajar tauhid atau sirah, boleh memasukkan slot zikir beramai-ramai seperti yang dilakukan Al-Arqam walaupun bukan zikir Arqam yang digunakan, slot membincangkan isu-isu semasa dan melihatnya dari sudut Islam, slot membincangkan permasalahan yang dihadapi anggota usrah untuk diberi pandangan bagaimana untuk saling bantu menyelesaikannya, mengadakan tabung untuk bantuan kecemasan para anggota, bincang tentang apakah program yang boleh dilaksanakan untuk mencari ahli usrah baru, pergi 'rehlah' atau outing berkeluarga sesama anggota usrah dan sebagainya.

Ambo melihat usrah kini satu keperluan bukan sahaja untuk memastikan kesinambungan hayat jemaah kita, tetapi juga untuk menjamin bahawa kita terus tetap di atas jalan yang lurus. Aktiviti lain yang menjadi rutin seperti pergi bersolat di masjid dan surau sebenarnya tidaklah mencukupi untuk tujuan tersebut. Kerana tanpa usrah, rutin solat berjemaah di surau pun kemungkinan tidak dapat kekal lama.

Ayuh kita suburkan budaya usrah sekarang juga dan jangan bertangguh lagi. Cari empat lima orang dahulu dalam taman yang sama atau taman jiran kita sebagai permulaan, dan perlahan-lahan tambah bilangan ahli kita. Ini perlu dilakukan nationwide. InsyaAllah Allah SWT pasti membantu jikalau kita benar-benar serius dalam perkara agama ini. Tetapi kena berhati-hati juga siapa orangnya yang kita ajak itu. Dan sila dalami kaedah-kaedah kerahsiaan di dalam berusrah, khususnya jika kita tinggal di kawasan 'black area' atau kubu kuat BN.

Semoga berjaya.

Salam,
- HC (Honda Civic)
honciv@yahoo.com - 07.04.2004
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN