Tidak berbangkit gugurkan matlamat negara Islam - Ustaz Hadi
 - Drp Harakah Daily Net (Kiriman Wan Johari)

Sebagai tanda patriotik kami...

Pemangku Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan, PAS tidak bercadang menggugurkan pelaksanaan negara Islam sebaliknya PAS akan melaksanakannya secara realistik dengan kehendak demokrasi dan menjadikan negeri yang diperintah PAS sebagai model negara Islam yang PAS perjuangkan.

Beliau berkata, tidak berbangkit untuk menggugurkan pelaksanaan negara Islam kerana ia sudah menjadi perjuangan PAS selama ini.

Beliau menjelaskan, rakyat bukan Islam umumnya menyedari bahawa Malaysia bukan negara Islam sebaliknya masih melaksanakan pemerintahan sekular.

Katanya, bagi merealisasikan negara Islam, PAS mengambil pendekatan dengan menerangkan kepada orang ramai secara praktikal melalui pelaksanaan hukum Islam di negeri yang diperintah.

"Sehingga hari ini dua buah negeri yang kita perintah mendapat respons yang baik daripada orang bukan Islam. Mereka melihat keadilan, ketelusan dan pembahagian hak yang wajar kepada semua," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, di bilik mesyuarat Markas Tarbiyah PAS Taman Melewar, di sini semalam.

Selain itu, beliau melahirkan rasa kesal kerana media massa telah dikongkong untuk membuat liputan sepenuhnya mengenai kejayaan PAS di Kelantan dan Terengganu.

Sebagai contoh, katanya, Terengganu telah berjaya menyelesaikan masalah tanah di mana dalam masa setahun PAS dapat menyelesaikan 50 ribu permohonan tanah yang tidak dapat dilakukan oleh negeri lain.

"Kita perlu buktikan kepada orang bukan Islam bahawa negeri yang PAS perintah boleh memberi keadilan kepada semua pihak," tegasnya.

Apa yang membimbangkan, beliau menambah, penghapusan demokratik yang sedang berlaku dalam negara kita dan sebagai contoh kemudahan media massa hanya dijalankan sebelah pihak sahaja.

Begitu juga. katanya, dalam menentukan kerusi-kerusi dalam pilihan raya hanya mengikut selera atau kepentingan Barisan Nasional (BN) bukan berdasarkan prinsip yang mereka nyatakan iaitu mengikut jumlah penduduk dan luas kawasan.

Menurutnya, sebagai contoh kawasan Baling merupakan kawasan yang besar dan penduduk ramai tetapi tidak ditambah kerusi, begitu juga Kelantan dan Terengganu.

Ini kerana beliau menjelaskan, kawasan itu dikuasai oleh Barisan Alternatif (BA).

"BN hanya menambah kerusi di negeri-negeri yang lebih terjamin kepada kemenangan mereka dan perkara yang mereka lakukan itu tidak demokratik.

Beliau menegaskan, hak mengundi sebaik-baiknya bersifat terbuka dan apa yang penting pemimpin memberi kefahaman kepada rakyat untuk menunaikan tanggungjawab mereka.  - 19.08.2003


Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!