Benarkah Mahathir berundur selepas berjaya memulihkan Umno?
 - Oleh Ahmad Lutfi Othman (Dipetik drp Harakah Daily Net)
 

Jumaat lalu, saya tidak sempat mengikuti dari awal siaran langsung melalui tv proses peralihan kuasa di Istana Negara. Sebaik saja siri drama Filipina “Pangako Sa Yo” yang memaku tumpuan isteri saya berakhir di TV2, barulah saya dapat menukar siaran.

TV3 rupanya mengundang tiga penalis khas membicarakan detik penting persaraan Tun Dr Mahathir Mohamad dan perlantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri kelima. Pandangan bekas(?) seteru ketat Mahathir, Shahrir Samad menarik perhatian saya.

Bekas menteri yang dipecat Mahathir selepas pemilihan bersejarah Umno, April 1987 itu (bersama-sama pimpinan Team B, seperti Pak Lah dan Ajib Ahmad, selepas Ku Li dan Rais Yatim berundur secara terhormat) menyifatkan, biar betapa marahnya orang Melayu terhadap ketua mereka, proses pertukaran kepimpinan tetap dilakukan secara tertib dan sopan, tidak menyimpang dari tradisi.

Beliau merujuk kes Almarhum Tunku Abdul Rahman yang terpaksa meletakkan jawatan ekoran desakan orang Melayu dan sebahagian pemimpin Umno sendiri, lanjutan tragedi 13 Mei. Katanya, Tunku hanya berundur dan menyerahkan tampuk pemerintahan kepada timbalannya, Tun Razak, selepas keadaan kembali tenang, bukannya semasa tuntutan agar beliau menarik diri lantang disuarakan.

“Undur, undur Mahathir!”

Tidak dapat dipastikan motif Shahrir mengimbau peristiwa lama itu (sambil menekankan beliau turut sama dalam demonstrasi pelajar menentang Tunku); apakah ia mahu menyampaikan mesej bahawa persaraan Mahathir itu ada hubungkait dengan tuntutan reformasi 1998, “undur, undur Mahathir!”

Selain dikenali sebagai “budak Musa”, Shahrir diingati kerana tindakan nekadnya meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen Johor Bahru, dan bertanding semula dalam pilihanraya kecil, Ogos 1988, bersimbolkan ‘tiga kunci’ seterusnya menang besar (63.57 peratus undi; majoriti 12,595 sedangkan pada 1986 hanya 2,235 undi)) mengalahkan calon BN, Mas’ud Abdul Rahman.

Tindakan kontroversinya tidak berakhir di situ. Oktober 1988, Parlimen kecoh bila Shahrir melakukan protes seterusnya. Beliau menolak untuk mengangkat sumpah di depan Speaker Zahir Ismail kerana pembabitannya sebagai ahli tribunal yang mengusulkan supaya Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dipecat Yang di-Pertuan Agong.

Tentunya tidak terlintas pada pemikiran ramai bahawa persaraan Mahathir mengulangi perletakan jawatan Tunku 33 tahun dulu. Tunku dilihat tidak popular, dalam dan luar parti, juga termasuk di kalangan kakitangan awam, manakala perisytiharan Mahathir untuk berhenti 16 bulan lalu disambut dengan jerit-tangis, malah ada yang seperti disampuk histeria.

Dunia Islam perlukan Mahathir?

Manakala suara Mahathir di pentas antarabangsa terus lantang. Kritikannya terhadap Yahudi semasa merasmikan sidang kemuncak OIC mengundang kemarahan Barat. Digambarkan bukan saja negara memerlukan kepemimpinan Mahathir, malah dunia Islam bagai tidak rela dengan kehilangannya.

Memang tiada kayu pengukur sahih untuk menyukat apakah rasa marah orang Melayu terhadap Mahathir - yang memuncak selepas bekas timbalannya, Anwar Ibrahim dipecat - kini telah kembali reda. Umum menerima, termasuk ahli-ahli dan pimpinan Umno sendiri, hakikat kemerosotan undi Umno dalam pilihanraya 1999 banyak difaktorkan oleh kemarahan pengundi Melayu kepada tindak-tanduk Mahathir.

Ketua Pengarang Kumpulan NST, Abdullah Ahmad pernah mendedahkan bahawa bekas menteri, Anuar Musa, yang juga ahli MKT Umno, secara terbuka meminta Mahathir berundur sebagai memikul tanggungjawab di atas ‘kekalahan’ Umno. Di peringkat bahagian, agak ramai juga yang membuat desakan serupa di peringkat awal tetapi kemudiannya menyepi bila melihat tindak-balas Mahathir.

Jika Anwar tidak ditahan ISA

Saya suka membayangkan, jika Anwar tidak dikurung ISA selepas ditangkap oleh sepasukan polis bersenjata berat di rumahnya, juga tidak ditumbuk separuh mati oleh bekas Ketua Polis Negara di Bukit Aman, dan tiada operasi KDN untuk menahan borong penyokong bekas TPM itu, mungkin keadaan yang dideritai Mahathir jauh lebih buruk berbanding Tunku dahulu.

Masakan tidak, tanpa kehadiran Anwar berkempen di khalayak, apatah lagi untuk mengetuai barisan pembangkang dan merencana strategi terbaik berdepan BN, statistik yang tidak pernah disanggah ialah, dalam setiap sepuluh orang Melayu, hampir tujuh darinya menolak Mahathir.

Dalam surat terbuka Mahathir kepada Tunku, bertarikh 17 Jun 1969, yang disebarkan di seluruh negara, beliau mencatatkan (dengan mengekalkan tulisan asalnya): “Orang2 Melayu dalam Civil Service, dari Perm. Sec. ka-bawah, pegawai2 tentera dan polis Melayu tidak lagi ada kepercayaan dan respect kepada Tunku. Patek tahu kebanyakan mereka sokong PAS dalam undi pos.

"Pegawai Melayu dari Polis, tentera dan askar biasa maseh patoh kepada Kerajaan oleh kerana arahan sekarang sesuai dengan kehendak mereka sendiri. Kalau Tunku membuat apa2 yang tidak diingini oleh mereka saya perchaya mereka tidak akan menurut parentah Tunku.

“… Patek berharap Y.T.M. Tunku jangan-lah menipu diri dengan berkata “satu hari mereka akan bershukor dengan perbuatan saya.” Ta’akan yang sa-orang itu selalu betul dan yang banyak selalu salah. Patek ingin sampaikan kepada Tunku fikiran ra’ayat yang sa-benar iaitu masa telah lampau untuk Tunku bersara dari menjadi Perdana Menteri dan ketua Umno.”

Orang Melayu tolak Mahathir

Cuba kita teliti kenyataan tersebut; apakah ia tidak mengulangi senario yang dihadapi Mahathir, khususnya selepas September 1998? Bukankah sebilangan besar kakitangan awam menolak Mahathir sehingga pelbagai langkah dibuat, termasuk memaksa mereka menandatangani ‘surat aku janji’, membatalkan kuliah-kuliah agama dan tidak membenarkan akses kepada laman-laman reformasi semasa di pejabat?

Malah, demonstrasi hujung minggu di Jalan Tunku Abdul Rahman jauh lebih hebat berbanding protes mahasiswa terhadap pemerintahan Tunku dulu. Jika pelajar tidak diikat dengan Akta Universiti, sudah pasti Mahathir tidak dapat melelapkan mata walaupun sedetik!

Soal sokongan dan kecenderungan anggota tentera kepada tuntutan reformasi dan Barisan Alternatif bukan rahsia lagi. Ada di antara mereka turut ditahan kerana terbabit dengan tunjuk perasaan. Difahamkan pihak kerajaan pernah berbincang serius dengan para jeneral di Kementah mengenai fenomena itu. Khabarnya, antara tindakan awal ketika itu ialah tidak membenarkan anggota tentera keluar ke Kuala Lumpur, khususnya sekitar Chow Kit dan Jalan TAR!

Mahathir patut bersyukur, walaupun ada nasihat yang diberikan kepada Tunku supaya beliau ditahan ISA selepas dipecat dari Umno, namun Tunku masih dapat bersikap terbuka. Tetapi, perhatikanlah bagaimana Mahathir melayani seteru politiknya dalam Umno, bermula cabaran Ku Li dan Team B, sehinggalah kepada Anwar. Saya tidak jemu-jemu untuk mengulangi: “Kalau parti sendiri pun sanggup diharamkannya, apa lagi tindakan represif yang lain …”

Langkah pencegahan Mahathir dalam Umno

Mahathir sebenarnya tidak sanggup menunggu lebih lama untuk bertindak ‘ganas’ jika Anwar mencabarnya dalam pemilihan Umno berikutnya. Bukankah sebagai bekas Menteri Dalam Negeri, Mahathir cukup arif dengan langkah-langkah pencegahan awal?

Satu ketika beliau membayangkan: “Kalau Anwar mencabar saya dan saya kalah, tidak mengapa. Saya telah menjadi PM berbelas tahun. Tapi bagaimana kalau Anwar pula yang kalah?”

Dalam pada itu, ada pihak mempersoalkan hujah Mahathir bahawa persaraannya dibuat selepas beliau dapat mengembalikan Umno ke landasan asalnya. “Selagi pilihanraya belum diadakan, apa yang dikatakan Umno telah pulih itu tidak dapat dipastikan lagi. Jika keputusan pilihanraya kecil dijadikan sandaran, tiada petunjuk jelas darinya, malah sokongan terhadap pembangkang seperti tidak berubah. Di Lunas, pembangkang mencetuskan kejutan,” kata seorang aktivis keADILan.

“Yang lebih mudah diterima akal, Umno mungkin cepat pulih selepas Mahathir tidak lagi memimpinnya. Sekurang-kurangnya punching bag pembangkang tak ada lagi,” tambahnya. “Kawan-kawan dalam Umno sendiri mengakui hakikat itu. Tanpa Mahathir mereka berasa lebih selesa untuk mendapatkan semula sokongan orang Melayu.”

Justeru, ada berpendapat jika benar Mahathir akan terus aktif berkempen untuk BN dalam pilihanraya akan datang, ia dianggap bonus buat pembangkang, khususnya PAS dan keADILan!

“Tapi aku percaya Pak Lah pasti akan membataskan pergerakan Mahathir nanti, terutama di kawasan majoriti Melayu,” sambut seorang teman bila ditanyakan kemungkinan Mahathir dilantik penasihat kempen BN Kedah.

Spesis diktator terakhir

Apa pun, semuanya kini menjadi sejarah. Mahathir, sama ada dibenci atau dirindui, telah pergi dan berjanji untuk tidak menganggu penggantinya. Mungkin ramai tidak bersetuju dengan tanggapan media asing yang mengalu-alukan persaraan Mahathir sambil menyifatkan beliau spesis terakhir diktator rantau ini, selepas Marcos, Suharto dan Lee Kuan Yew berundur.

Tetapi ramai yang lega apabila pemerintahan one-man show ini berakhir. Dari satu segi, mungkin dapat diterima pandangan bahawa “Malaysia telah dikembalikan kepada rakyatnya” selepas hanya ditentukan oleh Mahathir. Dulu Mahathir pernah dikritik Musa kerana meninggalkan pandangan Kabinet, sebaliknya hanya merujuk kepada ‘kitchen cabinet’ AIDS (Anwar Ibrahim, Daim dan Sanusi).

Selepas Sanusi tersisih ke Kedah, Anwar dipecat, Daim dikembalikan sebagai Menteri Kewangan, maka Mahathir-Daim saja yang menentukan segalanya. Tidak lama selepas itu, krisis Mahathir-Daim tercetus dan Daim (bersama-sama para kroninya) terpelanting pada 2001.

Maka kembalilah Mahathir keseorangan, dengan merangkul jawatan Menteri Kewangan dan Bendahari Umno, sesuai dengan hobinya, bertukang kayu dan memandu pesawat, yang menjelaskan minatnya untuk melakukan sesuatu secara solo.

Terasingnya mahligai Putrajaya bukan semata-mata disebabkan gah binaannya, tetapi lebih berpunca dari perwatakan penghuninya. Kehadiran Pak Lah diharap dapat mengubah ‘ketandusan’ itu.

Insya-Allah, dalam tulisan berikutnya, saya akan cuba 'membayangkan' bagaimana rupabentuk Malaysia selepas dikembalikan kepada rakyatnya.

- Ahmad Lutfi Othman - 03.11.2003



Tapak Utama: http://marhaen.internations.net
Anda mempunyai lebih pilihan untuk melayari Laman M@RHAEN.

Click Here!