Juruterbang TUDM Dedah Pelbagai Penyelewengan: 
Najib Wajib Baca Surat Ini! 
 - Oleh War Rust (Dipetik drp Harakah Daily Net)
 


BARU-BARU ini kita menerima lawatan beberapa pemimpin dunia yang rata-rata mahu melihat kemajuan Malaysia secara lebih dekat

Di samping itu mereka juga dapat menambahkan rakan perniagaan di kalangan warga korporat negara kita. Tahniah di atas kemajuan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri kita yang terdahulu dan mungkin yang akan datang.

Pemimpin dunia yang terbaru diraikan oleh pemimpin kita ialah ketua-ketua negara Islam dan Presiden Russia. Dalam rangka lawatan tersebut juga kita semua mendapat berita gembira. Negara kita akan mendapat pesawat pejuang baru Su30MK atau Su30MKM.

Menteri Pertahanan telah menjelaskan perihal kecanggihan dah kelebihan pesawat pejuang tersebut. Pesawat tersebut merupakan “One of the best in the World”. Bersemangat benar Menteri Pertahanan kita menjelaskan kepada “dunia luar” tentang pembelian yang akan dibuat tersebut.

Mudah-mudahan dengan kenyataan tersebut ramailah muda-mudi yang akan meyertai kerjaya ketenteraan di masa-masa akan datang.

Sebagai seorang juruterbang di dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kami menumpang gembira dengan pengumuman tersebut walaupun ia tidak ada kena mengena dengan pesawat yang diterbangkan oleh kami.

Sepanjang penglibatan kami lebih kurang 15 tahun di dalam dunia penerbangan TUDM, secara sepintas lalu kami inginkan semua pembayar cukai negara ini mengetahui bahawa sebenarnya TUDM sedang menuju ke arah kemerosotan walaupun kita dikuatkan dengan pembelian pesawat pejuang tersebut.

Kekuatan bukan hanya bergantung dengan kecanggihan sejenis pesawat sahaja tetapi merangkumi kesemua jenis pesawat termasuk helikopter dan pesawat pengangkutan.

Adakah kedua-dua pesawat tersebut canggih buat masa kini? Konsep penswastaan yang telah diperkenalkan kepada TUDM beberapa tahun lepas menyebabkan penghijrahan beramai-ramai atau pemberhentian anggota yang berpengalaman.

Kami amat sedih dengan keadaan keanggotaan TUDM sekarang. Pergi beribu datang cuma beberapa kerat sahaja.

Semenjak akhir tahun 80-an kerajaan kita sering meningkatkan keupayaan pesawat pejuang TUDM, daripada pembelian pesawat pelatih PC7 dan PC7 Mk II yang berupaya melakukan “light attack”. Pesawat Hawk, F18D dan MiG 29N Fulcrum dan terbaru Su 30MKM merupakan pesawat pejuang pelbagai kegunaan.

Begitu juga peningkatan yang telah dilakukan terhadap pesawat pengangkut sayap kaku daripada pesawat DH4 Carribou kepada CN235 dan C130 “extended version” dan yang terbaru adalah pesawat AWACs (mungkin). Ini merupakan peningkatan yang begitu drastik di dalam TUDM.

Tahniah, tetapi kerajaan mungkin juga terlupa pada “support fleet” yang satu lagi iaitu helikopter.

Pada hakikatnya Helicopter Sikorsky 61A-4 atau lebih dikenali dengan Helikopter NURI merupakan helicopter “tercanggih” kepunyaan negara kita masa kini. Mungkin kecanggihan NURI adalah disebabkan dengan kerja-kerja “upgrading’ dari masa ke semasa.

Apa yang saya tahu “upgrading” program untuk NURI akan dilakukan sehingga tahun 2015 tetapi alangkah sedihnya kerana jangkahayat NURI akan tamat pada 2018.

Alhamdulillah kebanyakan program “upgrading” NURI telah berjaya dengan kelengapan “Weather Radar”, “Doppler dan Doppler GPS”, “Instrument Landing System”. “Night Vision Capabilities” dan bermacam-macam lagi “upgrading” yang akan dilakukan terhadap “kakak tua” tersebut.

Peningkatan program ini amatlah tidak bermakna dan merugikan pembayar cukai negara sekiranya helikopter yang hendak diterbangkan itu tinggal “satu atau dua” sahaja bagi setiap skuadron TUDM di Malaysia.

Sebelum penswastaan bermula, paling lama helikopter dalam keadaan “aircraft on ground” tidak sampai sebulan.

“Check One” bagi setiap pesawat mengambil masa sekitar 2 atau 3 hari manakala “Check Two” lebih kurang dua minggu dan seterusnya “Check 4” dan “Check 5” yang memakan masa di bawah enam bulan sahaja. Ini adalah hasil kecekapan anggota-anggota teknikal yang terlatih dalam TUDM pada masa tersebut.

Mungkin pembayar cukai negara akan terperanjat apabila keadaan sebaliknya terjadi apabila diserahkan kepada AIROD Sdn Bhd untuk kerja rektifikasi.

“Check 3’ dan “Check 4” melebihi masa enam bulan ke setahun manakala Check 5 mengambil masa lebih kurang lapan belas bulan.

Kejadian ini berlaku kerana AIROD Sdn Bhd mempunyai bebanan hutang yang bertambun dengan syarikat pembekal alatan gantian menyebabkan pengeluar terpaksa menangguhkan penghantaran kepada AIROD Sdn Bhd. TUDM terpaksa menghadapi bebanan kerja yang merbahaya.

Seharusnya alatan gantian ketenteraan hendaklah diuruskan dengan serta merta. Ini dapat dibuktikan dengan keupayaan Malaysian Helicopter Service mendapatkan alatan gantian untuk pesawat mereka dalam masa 24 jam sahaja.

Untuk itu helikopter yang berada di skuadron terpaksa “dibelasah” bagi memenuhi jam penerbangan latihan anak kapal dan kegunaan menjalankan operasi yang diarahkan oleh pihak atasan yang bertali arus.

Anak-anak kapal terpaksa menghabiskan jumlah jam penerbangan latihan mereka dengan menerbangkan helicopter NURI yang merekodkan lebih dari sebelah tangan “Blue Line Entry” dan ada yang terpaksa terbang dengan “Red Line Entry” yang berbaris-baris.

Tidak mustahil insiden seperti “Super Puma” akan berlaku sekiranya ini dibiarkan berterusan dan tentunya akan mengorbankan sekurang-kurangnya tiga anakkapal. Bayar pampasan kepada waris si mati memang senang dilakukan kerajaan.

Persoalannya, apakah nyawa seorang Juruterbang, Pembantu Juruterbang dan Kuatermaster Udara sekitar RM 200,000 sahaja. Fikirlah sejenak dilema yang dihadapi oleh juruterbang TUDM dewasa ini.

Masalah kedua yang sentiasa menjadi bebanan semua Pegawai Memerintah Skuadron penerbangan masa kini ialah ketiadaan alatganti. Komponen pesawat tidak boleh sama sekali “overdue” dan wajib ditukarkan apabila tiba masanya.

Terdapat lebih separuh jumlah helikopter NURI kepunyaan TUDM mengalami masalah ini. Apabila diajukan soalan kepada Markas Logistik Udara jawapan yang diberikan adalah “MASIH DALAM PROSES PEMBELIAN DAN PEMBAIKAN”.

Adakan proses pembelian dan pembaikan alatganti memerlukan masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun.

Bagaimana pula dengan NURI yang berstatuskan “Aircraft On Ground” dan “Aircraft On Jack”. Sepatutnya alatganti tersebut akan sampai selewat-lewatnya 72 jam dari tarikh ianya berstatuskan “Aircraft On Ground”. Apa sudah jadi gamaknya.

Bilakah pula “kakak yang dah tua” tersebut akan memulakan penerbangan setelah sekian lama berstatuskan “aircraft on jack’ di dalam hanger. Kalau keperluan “locking wire” pun memakan masa berminggu-minggu untuk tiba ke skuadron. Bayangkanlah apa akan terjadi dengan komponen alatganti helicopter yang lebih besar dan mahal.

Masakan tiada langsung alatganti di dalam dunia ini untuk memenuhi keperluan pertahanan negara kita. Masalah ini bukan sahaja menjadi duri dalam daging bagi setiap Pegawai Memerintah skuadron helikopter malah keseluruhan skuadron penerbangan TUDM dewasa ini.

Markas Operasi Udara amat-amat mengetahui keperluan mendesak ini, kerana setiap keperluan alatganti dan status helikopter dihantar ke Markas setiap hari. Adakah mereka mempunyai mata tapi tidak melihat atau punyai telinga tapi tidak mendengar?

“Upgrading program” pesawat nuri juga telah bertukar menjadi “downgrading program” kerana semua peralatan tersebut tidak boleh digunakan lagi. Juruterbang generasi baru tidak ada peluang untuk mempelajari semua peralatan yang telah “diupgrade”. (“Weather Radar”, “Doppler dan Doppler GPS”, “Instrument Landing Syatem”, “Night Vision Capabilities”).

Apabila terdapat juruterbang skuadron mengajukan perkara ini kepada pihak atasan, mereka menjawab dengan angkuh bahawa pada zaman mereka dahulu mereka cuma terbang menggunakan “mark two eye balls” saja (penerbangan tampa bantuan peralatan canggih).

Kami juruterbang “baru” juga boleh lakukan sepertimana mereka lakukan jika pihak atasan mahu kami berbuat sedemikian. Sedarlah bahawa “Ulu lain parang lain”. Berdirilah di bumi yang nyata.

Zaman dulu nenek kami pun anak dara. Kami juruterbang baru terpaksa mendapatkan nota-nota peralatan terbang masa kini dengan membeli sendiri kerana ini menunjukkan bahawa kami tidak mahu ketinggalan dengan juruterbang negara lain. Setakat mana kita dapat mengingati semua sistem canggih masa kini jika kita tidak praktikkan semasa di dalam penerbangan.

Peralatan yang tidak sesuai digunakan juga telah dibeli tanpa menjalankan kajian yang terperinci terlebih dahulu. Tiada perbincangan atau pendapat diambil daripada “operational pilot” dari skuadron-skuadron helikopter.

Peralatan terbaru yang menjadi isu ialah “rescue hoist”. Alatan mengangkat yang terdapat pada Nuri pada masa kini amat tahan lasak di mana ianya boleh membuat “winching up” seberat 600lbs berpuluh-puluh kali tanpa ada masalah tetapi “rescue hoist” yang baru dibeli dan akan dipasang pada NURI menghadapi masalah “overheat” selepas beroperasi dua atau tiga kali mengangkat bebanan. Selain daripada kemampuan mengangkatnya rendah. Ia tetap akan dipasang dengan alasan “rescue hoist” yang lama telah rosak.

Siapakah yang merancang untuk membeli peralatan ini? Alangkah baiknya perbincangan dengan juruterbang dan teknisyen dilakukan terlebih dahulu sebelum membuat pembelian, supaya pembelian yang akan dibuat tidak merugikan kerajaan dan pembayar cukai negara.

Ini adalah salah satu daripada kes yang sedang berlaku dewasa ini. Tidak ada manusia yang membeli kemudian mencuba. Kalau kita membeli baju sekalipun kita pasti mencuba dahulu inikan pula peralatan yang beratus ribu harganya. Hanya MLU sahaja yang mampu lakukan demikian agaknya. Cuba-cubalah siasat di mana silapnya.

Kami tidak boleh nyatakan di sini berapakah helikopter Nuri yang berstatuskan “aircraft on ground” kerana ia rahsia pertahanan negara kita yang dicintai. Cukup dengan kenyataan di atas dan kami sangat-sangat berharap bahawa orang-orang yang berada di kerusi empuk Kementerian Pertahanan, Markas ATM, Markas Operasi Udara, Markas Logistik Udara dan lain-lain jabatan TUDM supaya turun padang dan melihat sendiri masalah dan cuba selesaikan sebaik mungkin.

Jangan menuding jari kepada sesiapa untuk menyelesaikan masalah ini kerana ia akan menyulitkan keadaan. Kami membuat kenyataan ini di atas sifat kemanusian dan sayangkan kawan seperjuangan terutama juruterbang helikopter NURI.

Kami amat sayangkan pesawat NURI kerana pesawat tersebut sangat berjasa kepada negara selepas merdeka. Jika ada pesawat helokopter baru yang akan dibeli oleh kerajaan kami rela bersama “kakak tua” ini sehinggalah akhir perkhidmatan kami.

Saya rela “Berkorban Untuk Negara” tetapi saya tak sekali-kali rela “Terkorban Untuk Negara” seperti kawan-kawan yang mendahului kami. Banyak lagi pesawat yang sesuai berada di pasaran dan boleh dibeli oleh negara kita.

Insya-Allah kalau pesawat baru dibeli dan rekod “servicing” yang dilakukan oleh teknisyen TUDM ia akan bertahan untuk jangamasa 30 hingga 40 tahun akan datang. Buktinya ialah “ kakak yang dah tua” yang mampu terbang hingga kini.

Kami sangat-sangat berharap agar artikel ini dapat disiarkan di dada akhbar tuan kerana ia sangat penting untuk ketelusan bekalan alatganti pesawat TUDM masa kini. Besar kemungkinan juga ianya dapat menyelamatkan nyawa juruterbang TUDM kita.

Saya amat berterima kasih kepada jika masalah ini dapat disampaikan kepada pihak bertanggungjawab kerana saya juga merupakan seorang juruterbang yang masih aktif di masa kini. - um

Petikan daripadan HarakahDaily - http://harakahdaily.net/article.php?sid=4598 - 12.11.2003

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN