Jackie Chan: KDN dipengaruhi pertimbangan politik?
 - Oleh Salahudin Ayub, Ketua Pemuda PAS (Dipetik drp Harakah Daily Net)
 

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) membantah keras tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang membebaskan seorang bekas pemimpin MCA yang juga penjenayah yang paling dikehendaki, Jackie Chan daripada tahanan di bawah Ordinan Darurat di Simpang Renggam.

DPP Pusat melihat pembebasan ini mempunyai kiatan yang rapat dengan pertimbangan politik kerana Jackie Chan bukan sahaja seorang bekas pemimpin MCA, tetapi juga turut mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Presiden MCA, Datuk Ong Ka Ting.

Sebelum ini Pemuda MCA sendiri mendakwa Jackie Chan telah memainkan peranan penting dalam menentukan kepemimpinan tertinggi MCA.

Jackie Chan, seperti yang dimaklumkan oleh polis kepada media adalah seorang ketua kumpulan pengganas yang terlibat dalam pelbagai kes bunuh, culik, rompakan dan pengedaran dadah, dan beliu sendiri adalah orang yang paling dikehendaki oleh polis.

Walau bagaimanapun, Jackie Chan telah dipilih sebagai ketua MCA Jalan Gurney dan menggunakan pengaruhnya sebagai ketua kumpulan penjenayah untuk menentukan kepemimpinan MCA.

Tetapi tidak sampai setahun dia ditahan dibawah Ordinan Darurat, KDN yang dipimpin oleh Perdana Menteri yang juga Pemangku Presiden Umno telah membebaskan penjenayah itu.

Tindakan KDN ini seolah-olah kegiatan jenayah yang dilakukan oleh Jackie Chan jauh lebih ringan berbanding kejadian bunuh dan rogol yang menimpa Nurul Huda Ghani pada Januari lepas.

DPP Pusat sebelum ini telah membantah tindakan KDN kerana menahan penjenayah itu tanpa bicara di bawah Ordinan Darurat sedangkan polis mempunyai banyak bukti keterlibatannya dengan pelbagai jenayah berat.

DPP Pusat menolak sebarang tindakan menahan tanpa bicara, lebih-lebih lagi bagi seorang penjenayah yang kesalahannya boleh membawa hukuman mati mandatori.

Tindakan menahannya di bawah Ordinan Darurat dahulupun dipengaruhi oleh sentimen politik kerana penjenayah yang menjadi rakan karib Presiden MCA itu mungkin hanya ditahan sekitar dua tahun sahaja, sedangkan jika didakwa, dia akan menerima hukuman yang amat berat.

DPP Pusat mendesak supaya Jackie Chan ditahan semula dan didakwa di mahkamah terbuka terhadap semua kegiatan jenayahnya tanpa mengambil kira pertimbangan politik.

DPP Pusat sangat bimbang sekiranya pertimbangan politik ini terus berlaku dalam menguruskan keselamatan negara sehingga ‘jerung-jerung’ yang menjadi kroni BN terus terlepas daripada tindakan undang-undang, sedangkan ‘bilis-bilis’ yang melakukan kesalahan kecil dihukum.

DPP Pusat sebenarnya amat hairan bagaimana KDN boleh membebskan seorang penjenayah yang sangat berbahaya ketika negara sedang heboh membincangkan masalah kegawatan sosial ekoran berlakunya siri-siri pembunuhan dan perogolan yang semakin mendadak.

Jika seorang perogol atau pembunuh yang membunuh seorang mangsa, telah dibincangkan di seluruh negara untuk dikenakan hukuman yang berat, apakah wajar seorang penjenayah yang terlibat dalam pelbagai kes bunuh, culik, rompak dan pengedaran dadah tiba-tiba dibebaskan begitu sahaja.

Adakah Kerajaan BN sudah hilang akal dan pertimbangan terhadap jenayah seorang bekas pemimpin mereka? Kerajaan BN sepatutnya membebaskan Jackie Chan daripada tahanan tanpa bicara dan mendakwanya di mahkamah.

Adakah Kerajaan BN kini telah memperalatkan Ordinan Darurat untuk menyelamatkan kroni-kroni mereka, sebalikya mereka menggunakan ISA untuk membunuh masa depan politik musuh-musuh mereka.

DPP Pusat menyesali tindaka KDN khususnya Perdana Menteri yang telah membebaskan seorang penjenayah seperti Jackie Chan semata-mata dipengaruhi oleh pertimbangan politik yang sempit sehingga mengabaikan keselamatan rakyat.

Mungkin Pemangku Presiden Umno mengambil kira soal pilihan raya yang hampir menjelang tiba, dan pemimpin tertinggi menggunakan isu pembebasan Jackie Chan sebagai tebusan politik untuk memastikan sokongan MCA dan orang-orang Cina terus padu kepada BN.

Atau Datuk Seri Ong Ka Ting sedang terdesak dan memerlukan bantuan Jackie Chan bagi menghadapi pemilihan parti yang bakal berlangsung selepas pilihan raya umum ini.

Bagi DPP Pusat, pertimbangan-pertimbangan politik yang sempit seperti ini tidak patut menjadi alasan untuk mengetepikan kepentingan rakyat, sebaliknya para penjenayah mesti dihukum dengan adil tanpa mengira siapa mereka. - zs

Petikan daripadan HarakahDaily
- http://harakahdaily.net/article.php?sid=5931&mode=thread&order=0&thold=0 - 05.02.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN