Khatib nafi persenda Nurul dan kaji tindakan mahkamah
 - Oleh Mohd Sabri Said (Dipetik drp Harakah Daily Net)
 

PERMATANG PAUH, 6 Feb (Hrkh) - Tenaga pengajar Masjid Batu, Kampung Pertama, Permatang Pauh, Ustaz Azmi Abdullah menafikan sekeras-kerasnya khutbah di masjid berkenaan mempersendakan keluarga mangsa rogol, adik Nurul Huda Abdul Ghani.

Jelasnya, tidak timbul sama sekali dalam khutbah itu ayat yang mengatakan apa yang berlaku terhadap adik Nurul Huda merupakan balasan Allah s.w.t kerana ayahnya seorang pemimpin Umno.

"Saya menafikan apa yang menjadi perbualan hari ini kononnya khutbah yang disampaikan pada 23 Januari 2004 itu mempersendakan keluarga Allahyarham Nurul Huda. Sebaliknya, ia adalah fitnah yang sengaja direka dalam ruang forum Utusan Malaysia sahaja," ujarnya kepada Harakah.

Apa yang disebut kata Ustaz Azmi, ialah negara dikejutkan dengan kes rogol anak Ketua Umno Cawangan Pekajang, Tanjung Kupang, Johor, Abdul Ghani Juni dan sebelum ini berlaku pada adik Harirawati di Sabah.

"Mengapa perkara ini boleh berlaku di dalam sebuah negara yang didakwa aman sentosa.

"Mengapa perkara ini boleh berlaku dalam negara yang didakwa aman dan jika ditanya kepada ayahnya, apakah beliau setuju kalau sekiranya sebat 100 rotan atau rejam sampai mati dikenakan terhadap persalah. Saya yakin dan percaya beliau akan menjawab ya walaupun barangkali sebelum ini beliau turut menentang hukum Allah kerana berada dalam Umno, " tegasnya.

Menurutnya, ayat inilah yang cuba diputar belitkan oleh Saudara Halim Othman dalam tulisannya dalam ruang forum Utusan Malaysia pada 29 Januari 2004 di samping kesal dengan khatib yang sanggup menggunakan mimbar masjid untuk kepentingan politik.

Beliau berkata, berbagai pihak pula terutamanya akhbar dan Umno sengaja membesar-besarkan isu ini hanya berdasarkan surat pembaca bukannya rakaman.

"Semua pihak tidak wajar menuduh apa yang saya perkatakan berdasarkan surat pembaca sebaliknya berjumpa dan bertanya terus kerana saya mempunyai pita rakaman, " katanya.

Beliau berpendapat, isu ini tiba-tiba menjadi panas kerana ia berlaku di Masjid Batu, Kampung Pertama dalam kawasan parlimen Permatang Pauh.

Sedangkan dalam keluaran Berita Harian pada 30 Januari 2004, ayah Nurul Huda sendiri pernah meminta kerajaan membenarkan hukuman sebat dilaksanakan dan disaksikan oleh orang ramai terutamanya keluarga mangsa serta banduan.

Sambung Abdul Ghani lagi, ia baik untuk kesedaran malahan hukuman sebat boleh dipertontonkan bagi menimbulkan kesedaran orang ramai agar tidak melakukan perbuatan terkutuk.

Khutbah itu juga menyebut negeri yang paling tinggi mencatatkan kes rogol ialah Selangor, Johor, Kedah, Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak.

Sepanjang tahun 2002 Selangor mencatatkan 253 kes, Johor 235, Kedah 132 manakala Kuala Lumpur 120.

Manakala antara Januari sehingga April 2003 sahaja Selangor mencatatkan 105 kes, Johor 104 dan Kedah 39 kes.

Menurut Ustaz Azmi, bagaimana pun beliau telah berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang kepada akhbar kerana membesar-besarkan isu ini dan Halim Othman kerana sanggup memutar belitkan khutbah yang disampaikan hari itu.

"Setakat ini saya telah berjumpa peguam untuk menyaman akhbar serta Halim Othman kerana bersikap sedemikian. Lagipun, Saudara Halim Othman telah dikenal pasti di mana kediaman dan telefonnya, " ujar beliau. - zs

Petikan daripadan HarakahDaily
- http://harakahdaily.net/article.php?sid=5962 - 06.02.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN