Jangan Marah.... Nanti Kena Jual!
Wahai para pejuang Islam dan pejuang kebenaran sekelian,

Assalamualaikum wr wb.

Hadis 16
Hadis 16 dari 40 Hadis Imam Nawawi:
 
Dari Abu Hurairah r.a :
"Bahawasanya ada seorang telah meminta kepada Rasulullah SAW:
" Nasihatilah aku . "
Jawab Rasulullah SAW: " Jangan Marah ! "
Orang itu mengulangi beberapa kali minta supaya dirinya dinasihati, maka tetap  Baginda SAW menyatakan : " Jangan marah ! "
                                                               - (Riwayat Bukhari)
 
1. Jangan marah
-----------------------
 
Kita semua jangan selalu suka marah,
sebab marah itu adalah salah satu sifat tercela yang dibenci ALLAH dan RasulNYA.
Orang tua dahulu kata; " jangan marah.. nanti cepat tua ",
3 Abdul ingat-mengingati, " jangan marah.. nanti kena jual ".
 

Menurut Imam Ghazali hujjatul Islam, marah itu secebis api yang bernyala-nyala,
daripada marah terpancar sifat gah dalam hati yang bongkak,
oleh itu memang wajarlah kita memelihara diri dari sifat tercela itu,
kerana sifat tercela itu tentu sekali dicetuskan oleh syaitan yang sering memasang perangkapnya,
 

2. Marah-marah
---------------------
 
marah juga merupakan salah satu sifat semula jadi manusia,
ia merupakan satu tabiat yang sukar untuk dihindarkan oleh manusia,
bukan manusia namanya, jika orang itu tidak tahu marah,
malah dalam sesetengah perkara marah itu ada faedahnya,
 
seperti marah kerana ALLAH,
marah kerana mengingatkan orang yang melanggar perintah ALLAH SWT,
marah yang dituntut oleh agama Islam untuk menyedarkan orang,
marah atas keterlanjuran rakan kita,
marah untuk menyelamatkan suasana yang memudaratkan perjuangan,
 
marah atas perbuatan maksiat,
marah atas perbuatan penipuan,
marah atas perbuatan rasuah dan penyelewengan,
marah atas perbuatan penganiayaan,
marah atas perbuatan menekan dan berlaku zalim,
marah atas perbuatan salah guna kuasa,
marah atas perbuatan tidak amanah dan tidak adil,
marah atas perbuatan berdusta dan tidak berkata benar,
marah atas perbuatan tidak jujur dan mengkhianati rakyat,
marah atas perbuatan salah dan jahat,
 
tetapi semua itu hendaklah dengan berhemah dan tidak "over",
malah lebih elok jika dilakukan secara nasihat dan berhikmah.
 
Untuk yang tidak tetap pendirian, hendaklah ingat pesanan Imam Ghazali:
"Jangan kamu bergaul dengan pemimpin yang zalim, malah jika boleh jangan berjumpa dengan mereka kerana lebih banyak padahnya daripada faedahnya."
 

3. Banyak Bersabar
--------------------------
 
Peristiwa pilihanraya 2004 memang sangat terasa dihati kita, setelah mendapat sukses pilihanraya sebelumnya,
kita merasa hancur harapan untuk membaiki keadaan negara dan umat,
kita rasa sedih dan pilu dengan perkara songsang yang mereka lakukan,
kita rasa terpukul dan terhina dengan apa yang mereka telah buat,
ada sebahagian dari mereka yang menyindir dan mentertawakan kita,
ada sebahagian dari mereka yang merendahkan kewibawaan kita,
 
Hendaklah kita jangan rasa sedih,
Hendaklah kita jangan rasa terhina,
Hendaklah kita jangan rasa rendah diri,
Sesungguhnya para pejuang Islam dan para pejuang kebaikan adalah tinggi di sisi ALLAH dan lebih mulia dari mereka,
 
Bersabarlah, banyak-banyak bersabarlah kita dengan mengukuhkan lagi sebarang posisi kita yang goyah,
bersabarlah, banyak-banyak bersabarlah kita dengan memperbaiki lagi segala kelemahan yang ada,
bersabarlah, banyak-banyak bersabarlah kita dengan terus berusaha bersungguh-sungguh tanpa jemu dan tidak berputus asa,
 
Marilah kita berfikir dan berpandangan jauh,
marilah kita bertindak cermat dan sentiasa berhemah,
marilah kita menyusun semula saf dan strategi perjuangan Islam kita,
 
Marilah kita terus berdoa setiap siang dan malam agar ALLAH membela kita pula,
marilah kita terus berdoa setiap siang dan malam agar ALLAH memelihara pasukan kita,
marilah kita terus berdoa setiap siang dan malam agar ALLAH melindungi semua rakan kita dari perpecahan,
 
Marilah kita terus berdoa setiap siang dan malam agar ALLAH melindungi wadah kita dan sekelian umat dari segala ancaman,
marilah kita terus berdoa setiap siang dan malam agar ALLAH memudahkan perjuangan kita mulai saat ini,
 
Marilah kita terus berdoa setiap siang dan malam agar ALLAH memberikan hidayahNYA kepada sekelian umat untuk memperjuangkan syariat Islam,
marilah kita terus berdoa setiap siang dan malam agar ALLAH memenangkan perjuangan ISLAM di Malaysia dan di seluruh dunia, Amiin Ya RAFI'.
 

4. Kira sampai 10
-----------------------
 
Manusia memang bersifat lemah dan dibelengu oleh kehendak hawa nafsu,
ini memberatkan diri untuk menahan sifat marah,
malah perkara penipuan,
tewas dalam pilihanraya,
kepenatan dan ketegangan,
kurangnya usaha dan bantuan susulan,
perkara silap yang berlaku dihadapan mata,
kelemahan dan ketakutan rakan seperjuangan,
kerapkali menimbulkan perasaan jengkel dan ingin marah,
 
Bersabarlah, jangan cepat menyalahi rakan seperjuangan kita,
bersabarlah, jangan cepat memperkecilkan rakan seperjuangan kita,
 
seandainya kita tidak bisa juga menahan marah,
seandainya kita tidak sanggup menahan diri dari sifat marah,
seandainya nak marah juga, maka
buatlah kiraan perlahan sampai 10, kemudian marahlah,
jika ada resanya lagi untuk marah.
 
Hendaklah kita mencuba sedaya-upaya menjauhi sifat kecewa dan suka marah,
hendaklah kita berlatih bercakap dengan berhemah dan kasih sayang,
hendaklah kita anggap orang yang tidak tahu itu lebih mulia dari kita kerana mereka belum mengerti lagi,
 
Hendaklah kita mengingatkan diri tentang tercelanya sifat marah itu,
Hendaklah kita ingat akan bahaya-bahaya dan kerugian yang banyak dari marah itu,
Semoga ALLAH SWT melindungi kita dari bencana dan bahaya sifat marah itu, Amiin Ya RAHMAAN.
 

5. Hikmah menjauhi marah:
-----------------------------------
 
Baginda Rasulullah SAW ada bersabda lagi: "Jangan marah! nescaya kamu akan masuk syurga."
                                                       -(Hadis Riwayat At-Tabarani)
 
Menjauhi marah dapat mengelakkan sifat yang lebih merbahaya seperti dengki,
menjauhi marah dapat mengelakkan sifat yang lebih merbahaya seperti memendam rasa,
menjauhi marah dapat mengelakkan sifat yang lebih merbahaya seperti ingin membalas secara lebih lagi,
 
jika ada pihak yang terlanjur/tersilap berbuat sesuatu perkara,
hendaklah pihak itu selidiki dan fahami akan kesilapan itu,
hendaklah sanggup menerima teguran dan pembetulan,
hendaklah jujur dalam menginsafi kesilapan itu,
hendaklah bersungguh-sungguh menyesali akan kesilapan itu,
 
Hendaklah dijauhi perkara yang boleh merenggangkan rakan seperjuangan,
hendaklah menganggap insiden itu sebagai teladan dan sempadan dimasa akan datang,
hendaklah ingat sungguh-sungguh supaya perkara yang sama tidak diulangi di masa akan datang,
 
Ingatlah pesanan Imam Ghazali lagi:
"Manusia yang lemah ialah orang yang tak sanggup cari teman dan yang lebih lemah dari itu ialah orang yang mensia-siakan teman yang telah diperolehinya."
 
Hendaklah kita merapatkan kembali ikatan rakan seperjuangan,
hendaklah kita iringi perangai baik terhadap rakan dengan akhlak yang bagus.
hendaklah kita saling membela rakan seperjuangan yang telah tewas di jalan ALLAH,
hendaklah kita taat dan tetap bersama para saf pimpinan yang benar, yang lurus, yang jujur, yang ikhlas, yang baik dan amanah.
 

6. Mohonlah bantuan ALLAH
-------------------------------------
Sesungguhnya ALLAH melindungi orang yang berbuat kebaikan dan bertakwa dijalan ALLAH.
 
Ikutilah contoh akhlak mulia Rasulullah saw,
dengan selalu bersopan santun,
dengan bersabar, banyak-banyak bersabar,
dengan berkata cara tersusun,
dengan cara berhemah dan mengasihi,
dengan bersedia memaafkan perkara yang tidak disengajakan,
 
"Dan apabila mereka marah, suka pula memaafkan." (As-Syura: 37)
 
sikap memaafkan rakan seperjuangan yang lemah,
akan menimbulkan perasaan kasih sayang,
akan menimbulkan kemesraan di hati semua pihak,
akan menimbulkan akhlak yang mulia,
akan menimbulkan ikatan persaudaraan yang lebih kukuh dari sebelumnya,
akan menimbulkan ukhuwah Islamiyyah yang lebih kuat dari sebelumnya,
akan menimbulkan kesefahaman yang lebih teguh dari sebelumnya,
 
Di dalam perjuangan Islam, Kemenangan ISLAM adalah suatu yang pasti dan perlu diyakini oleh setiap Muslim.
Itu adalah janji ALLAH, dan ALLAH tidak memungkiri janjiNYA,
Sesuatu yang ALLAH takdirkan untuk kita, pasti akan dapat juga walaupun terpaksa melalui seribu halangan.
 
Al Fatihah...
 
Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad saw, ahli keluarga dan para sahabat Nabi sekeliannya,
 
"Ya ALLAH, Ya MU'MIN,
ENGKAU tetapkan iman kami,
ENGKAU berikan sekalian umat taufik dan hidayahMU ke arah memperjuangkan syariat Islam,
ENGKAU tambahkan golongan yang insaf dan mahu menerima perjuangan menegakkan syariat Islam,
ENGKAU tambahkan bilangan kami, sebagai umat yang komited, tidak mempermain-mainkan hidup ini dan bekerja bersunggguh-sungguh menegakkan syariat Islam,
ENGKAU tetapkan pendirian semua pemimpin, pejuang, pendokong dan penyokong perjuangan Islam untuk tetap bekerjasama memperjuangkan dan menegakkan syariat ISLAM,
ENGKAU tambahkan kebaikan iman, kebaikan akhlaq, kebaikan kaedah dan segala kebaikan kepada kami semua yang menyertai perjuangan Islam,
ENGKAU jadikan kami tetap memandang yang benar itu benar dan yang salah itu tetap salah,
ENGKAU jadikan kami tetap berada di jalan yang benar perjuangannya,
ENGKAU jadikan kami bertambah yakin dengan pertolongan MU, Ya ALLAH dan kemenangan tetap berada di pihak yang benar,
ENGKAU jadikan kami umat yang sentiasa mendampingi MU, mengingati MU, mengadu kepada MU dan memohon pertolongan dari MU, Ya ALLAH.
 
Ya ALLAH, Ya HAYYU,
ENGKAU hidupkan jiwa raga sekalian rakyat,
ENGKAU celikkan akal minda sekalian rakyat,
ENGKAU bangkitkan semangat juang sekalian rakyat,
ENGKAU tolongkan kami dan sekalian rakyat menegakkan kebenaran,
ENGKAU tolongkan kami dan sekalian rakyat menegakkan syariat Islam,
ENGKAU berikan hikmah, kesefahaman dan teguh pendirian sesama kami,
ENGKAU bela perjuangan kami mulai saat ini,
ENGKAU berikan hidayahMU kepada sekalian rakyat dan umat manusia,
ENGKAU bawalah sekalian rakyat menyokong kami kali ini,
ENGKAU mudahkan perjuangan ISLAM di seluruh dunia,
ENGKAU kecutkan dan takutkan hati mereka yang ingkar dan degil,
ENGKAU lemahkan dan gagalkan pihak mereka pula,
ENGKAU gantikan pula ketua-ketua mereka dan kesemua mereka
dengan pemimpin-pemimpin Islam dan orang Islam yang nyata lebih baik, Amiin Ya 'AZIIM.
 
Semoga ALLAH membantu kita memperjuangkan ISLAM, menegakkan syariat ISLAM dan membawa kesejahteraan kepada rakyat,
 
Amiin Ya ALLAH,
Amiin Ya WAHHAB, Amiin Ya WAHHAB, Amiin Ya WAHHAB, Amiin Ya WAHHAB, Amiin Ya WAHHAB, Amiin Ya WAHHAB, Amiin Ya WAHHAB,
Amiin Ya MUJIIB, Amiin Ya RABBAL 'AALAMIIN."
 
Wasallallahu'alal mursaliin wa 'ala alihi waashabihi ajmaiin,
walhamdulillahirabbil 'aalamiin."

Kiriman: I - 24.05.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat: 

Sertai Maillist M@RHAEN