Hijrahnya Rakyat Malaysia
Oleh Insan Berguna

Beberapa bulan lalu IB menulis perihal isu yang asyik dibawa oleh mereka yang cuba memburukkan pemerintahan kerajaan PAS di Kelantan sebagai gagal membangun negeri tersebut hinggakan rakyatnya banyak yang berhijrah. (Hijrahnya Rakyat Kelantan Sejak Berzaman Lagi - https://marhaen0.tripod.com/mar_a_ib09.html, - maaf IB tak dapat cari url di laman lain)

Sekali lagi IB ingin menarik perhatian isu yang hampir sama cuma kini bukan perihal rakyat Kelantan dan bukan juga rakyat Terengganu tetapi rakyat Malaysia keseluruhannya.

Jika rakyat Kelantan dikatakan berhijrah kerana negeri itu mundur dan tiada peluang pekerjaan. Maka IB ingin bertanya bagaimana pula jika rakyat Malaysia yang berhijrah ke luar negara?

Apakah kerana meninggalkan Malaysia dan mencari kerja serta pengalaman di England maka Jimmy Choo kini berjaya mencipta namanya sebagai pereka fesyen kasut terkemuka di dunia itu boleh dikatakan sebab Malaysia mundur dan tidak dapat memberi peluang untuknya mencapai kejayaan untuknya?

Apakah Michelle Yeoh dapat mencapai taraf pelakon antarabangsa hingga dapat menjadi Bond Girl dalam siri 007 jika kekal hanya berlakon dalam drama RTM atau filem bikinan Yusuf Haslam?

Pereka fesyen Zang Toi hanya berjaya kerana meninggalkan Malaysia dan mencipta namanya di Amerika. Apakah nasibnya jika dia tidak bertindak nekad meninggalkan Malaysia mencari rezeki di negara orang.

Bukankah kerana berhijrah ke England maka ibu kepada kanak-kanak pintar Sufiah dapat memasukkan anaknya ke univerisiti terkemuka di peringkat umur yang lebih muda. Apakah mungkin Sufiah (dan adik-beradiknya) dapat menduduki peperiksaan lebih awal untuk UPSR, PMR mahupun SPM jika dia menetap di Malaysia? Sudah pasti tidak kerana sistem peperiksaan negara kita tidak membolehkan mengambil peperiksaan di bawah umur tertentu.

Bukankah Dato' Shake menjadi penyanyi popular kerana setelah berhijrah ke Perancis sebelum di kembali ke Tanah Air dan menjadi terkenal?

Saya yakin mereka yang disebut di atas tidak mungkin mencapai apa yang mereka kecapi sekarang jika mereka tidak berhijrah keluar dari Malaysia. Betapa teruknya pemerintahan kerajaan BN hinggakan rakyat Malaysia terpaksa meninggalkan negaranya untuk mencari kejayaan?

Bukankah kerajaan kini banyak membelanja wang yang besar bagi menarik balik ramai pakar dan expatriat yang telah berhijrah meninggalkan negara untuk bekerja dalam bidang elektronik dan ICT di Singapura, Taiwan dan juga Amerika.  Setahu IB, anak saudara Mahathir sendiri untuk sekian lama meninggalkan negara bekerja di San Jose California dengan sebuah syarikat IT terkemuka (mungkin dah balik akhir-akhir ini kerana e-mel IB kepada beliau kini tidak lagi dijawab sejak kebelakangan ini).

Pernah dalam tahun sekitar 1996/7 seorang kakitangan di bawah salah satu agensi Kementerian Sains dibayar gaji yang paling tinggi dalam sektor awam setelah beliau (pakar mikrocip yang telah lama berhijrah di luar negara) kembali berkhidmat untuk ICT di Malaysia. Malangnya dia tidak dapat lama kekal di bawah agensi itu.

Cuba tanya Pak Lah, selepas beliau tamat belajar dari Universiti Malaya bila masanya beliau tidak berhijrah meninggalkan negerinya Pulau Pinang.

Cuba tanya Najib, bila masanya beliau bekerja di Pahang, selain dari menjadi Menteri Besar untuk seketika. Bila masanya JJ berkhidmat di Pahang jauh sekali untuk mencari pekerjaan di kawasannya Rompin.

Usah bercakap perihal hijrahnya orang Kelantan, kerana orang Kedah, orang Johor dan orang lain-lain negeri yang sentiasa di bawah pemerintahan UMNO/BN/Perikatan telah lama berhijrah meninggalkan negeri mereka masing-masing. Sebab itulah kita dapati KL lenggang bila musim cuti balik kampung – penduduk KL adalah mereka yang berhijrah bukan sahaja dari negeri Kelantan.

Usahlah dibawa lagi cerita kerajaan PAS gagal membawa pembangunan dan tiadanya peluang pekerjaan yang menyebabkan rakyatnya berhijrah.

Sekian.
Ibrahim Baba
5 September, 2003


Tapak Cerminan M@RHAEN https://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!