Agenda Merdeka Menghadapi Pilihanraya Umum 2004
Oleh Ibn Sabah
Merasa Hebat Merdeka 46 Tahun: Awas!!!

Warga Asing Terus Mengundi Menangkan UMNO/BN Merdeka 46 tahun sudah dirayakan dan disambut besar-besar, ulang tahun BN 50 tahun juga dihiburkan, budget 2004 juga sudah dibentang dan hamparkan, segala-gala sudah diatur, tinggal teka-teki bila pilihan raya umum ke-11 buat rakyat memilih PM baru dilaksanakan. Tunggulah, bila Pak Lah naik kerusi PM yang semakin panas dan membahang itu. Pasti rakyat ada jawapan tersendiri. Rakyat tidak ingin lagi PM yang ditunjuk oleh telunjuk Mahathir, bosan dan meluat sudah rakyat menjadi hamba abdi kepada Mahathir dan kroni-kroninya dalam UMNO/BN 20 tahun lebih sudah cukup membosankan. Pak Lah akan umumkan tarikh pilihan raya itu. Harapnya bukan tarikh pilihan Mahathir. Biar Pak Lah sendiri pilih bersama jemaah menterinya kelak. Mungkin selepas Oktober dan mungkin tahun depan. Yang pasti pilihan raya akan diadakan dalam masa terdekat, dan semakin hampir.

Kata, Pak Lah yakin menang 100% di Sabah dan yakin BN terus berkuasa mengulang kata-kata bekas ketuanya. Tetapi, baru-baru ini ketuanya yang mahu berpencen itu merayu rakyat beri mandat besar kepada BN. Mandat besar lagi! Mandat yang sedia ada pun mereka tak terangkat. Cukup untuk UMNO/BN menang 10 kali pilihan raya kali ini rakyat sure pilih BA/PAS/KeADILan/PRM dan DAP.

Rakyat Malaysia, khususnya orang-orang Melayu UMNO/BN dan kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak telah diasuh didik oleh para pemimpin mereka yang berjiwa kecil berhati pengecut untuk sekadar berbangga dengan angka 46 tahun merdeka, kemudian disambut dengan acara-acara penuh hiburan yang mengkhayalkan sambil menjerit Merdeka! Merdeka! Merdeka!, mengarak bendera Jalur Gemilang terpanjang, terbesar... ter...ter... Rupanya rakya TERTIPU oleh retorika para pemimpin UMNO/BN selama 20 tahun lebih di bawah seorang piem yang akan berpencen Oktober ini.

Retorika bangunan besar, tinggi, dan apa segala yang berbunyi besar serupa bunyi TIN KOSONG. Benar kita telah membangun dari segi kebendaan sana-sini. Kalau dibandingkan dengan negara-negara seangkatan Malaysia. Apa lagi bila dibandingkan dengan negara sedang dibangunkan atau mundur macam Mali, Somalia dan lain-lain. Cuba dibandingkan dengan negara seperti Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina dan lain-lain, di mana kedudukan kita sebenarnya. Baru tahu dan sedar tinggi dan rendah kita. Kita tidak wajar ada satu kebolehan lalu mendabik dada mengaku hebat segala-gala. Inilah rupa wajah kepimpinan UMNO/BN hari ini. Tidak langsung disentuh sifat tawaduk yang dianjurkan oleh Islam.

Sekadar menjerit kita hebat, maju dan kuat atau sebagainya. Bolehlah!!! Tetapi, hakikatnya siapalah sebenarnya untuk sekadar mendabik dada akulah gagah, hebat dan tertinggi di dunia. Dijaja ke sana ke sini di serata pelosok dunia. Ini yang penulis nyatakan kita diasuh beretorika berlebihan. Jiwa riak, angkuh dan besar diri subur dalam benak hati para pemimpin UMNO/BN.

Bagus kita punya sifat berani. Berani berkata benar, berani menentang musuh, berani berbuat kebaikan dan berani yang disuruh agama. Bukan berani babi sondol-menyondol... berani buat salah, buat rasuah, berbohong, rompak wang rakyat bagi kepada anak bini dan kroni-kroni.

Kita Terlajak Memuji Seperti 'Masuk Bakul Angkat Sendiri'

Mengagung dan memuji pemimpin tanpa etika dan moral, sehingga pemimpin yang terang berbuat salah dalam kepimpinan membiarkan rasuah, jenayah, merompak harta rakyat, menyalahguna kuasa, membohongi rakyat, memperkayakan diri, anak beranak dan kroni-kroni dua tiga kerat, tetapi rakyat terus mengundi mereka setiap kali pilihan raya diadakan. Lebih 40 tahun kita merdeka... terutama 20 tahun di bawah seorang piem yang dipuja setengah mati oleh juak-juak dan ahli UMNO 2.7 juta. Kita sebenarnya tidak sedar telah diasuh untuk berkata 'Ya' dan 'Yes' kepada yang salah.

Betulkah bangsa kita gemar melakukan kesilapan dan mempertahankan kesilapan itu sampai berpuluh-puluh tahun lamanya. Sifat manusiakah itu. Manusia memang dicipta bersamanya sifat pelupa. Kerana itu, Allah telah menyebutkan dalam al-Quran perintah saling ingat-beringat sesama manusia. Dan sesungguhnya amalan ingat-mengingatkan itu amat bermanfaat kepada orang-orang beriman.

Rasuah Subur Dan Dibiakkan

Pengerusi JKKK rasuah, peon rasuah, polis rasuah, pejabat tanah rasuah, majlis daerah rasuah, pejabat daerah rasuah, pejabat pendaftaran rasuah, pejabat imigresen rasuah, pegawai JPJ rasuah, hospital/klinik rasuah, trafik rasuah, jabatan agama rasuah, imam rasuah, penyiasat rasuah, pendakwa rasuah, hakim rasuah, pengarah rasuah, pengurus rasuah, kontraktor rasuah, SPR rasuah, mahkamah rasuah, ADUN rasuah, Ahli Parlimen rasuah, YB rasuah, EXCO rasuah, menteri rasuah, timbalan menteri rasuah, setiausaha parlimen rasuah, menteri besar rasuah, perdana menteri rasuah, menteri kewangan rasuah... Ertinya seluruh sistem negara sudah berbudaya dengan amalan rasuah. Akhirnya, rakyat di kampung-kampung pun hidup dalam situasi itu, mereka sudah tidak boleh bezakan mana satu rasuah, yang mana subsidi, yang mana bantuan dan mana pula hak mereka?

Samalah keadaannya, bila rakyat juga tidak boleh membezakan mana satu wang rakyat/kerajaan dengan wang parti UMNO/BN. Sebab para pemimpin UMNO/BN selama ini telah mendidik rakyat wang/harta rakyat dan kerajaan ITULAH wang/harta UMNO/BN yang membuat sekolah, balai raya, jalanraya, putrajaya, makmal sains dan lain-lain.

Rakyat dibutakan mata oleh para pemimpin UMNO/BN dalam hal-hal sebegini asas. Rakyat tidak dijelaskan sebaiknya. Kerana itulah, UMNO/BN boleh terus berkuasa sehingga 40 tahun lebih, sekalipun mereka telah melakukan banyak kesalahan dan penyelewengan dalam pemerintahan mereka selama ini. Terlalu banyak contoh kesalahan dan penyelewengan para pemimpin UMNO/BN yang diketuai Dr Mahathir lakukan selama 20 tahun lebih dia menjadi seorang piem. Kes Perwaja berbillion juta wang rakyat lesap, kerugian MAS, BERNAS, Tabung Haji, Bank Bumiputera dimatikan kerana kerugian besar dan banyak lagi. Ini baru contoh dalam ekonomi. Dalam sistem pendidikan, pentadbiran, pengurusan, kehakiman dan SPR sebuah badan bebaspun dimasuki unsur-unsur tidak sihat. Inilah bila virus Mahathir merebak ke dalam sistem negara akan punahlah segala sistem yang baik.

KDN Dan Pengundi Hantu Warga Asing

Mari kita ambil contoh pengurusan Kementerian dalam Negeri yang dikuasai oleh Dr Mahathir sebegitu lama sebelum diambil alih oleh Pak Lah, dan sekejap Tan Sri Musa Hitam dulu sebelum ia dipecat datau diminta meletakkan jawatan TPM oleh Dr Mahathir. Orang tahu polis, ROS, Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri. Kes-kes dokumen penting rakyat Malaysia seperti IC, Pasport, Mykad, pemberian PR kepada warga asing dan lain-lain kes yang amat menyentuh hati nurani rakyat Malaysia. Bahkan boleh mengancam keselamatan rakyat serta kedaulatan negara boleh lepas ke tangan warga asing dengan cukup mudah, senang dipalsukan dan dijualbeli.

Warga asing dari Filipina, Indonesia, Pakistan dan lain-lain berpuluh-puluh ribu diberikan IC untuk maksud yang tidak dapat disembunyikan lagi oleh para pemimpin UMNO/BN. Sebagaimana pernah dinyatakan oleh Almarhum Dato' Fadzil Nor bahawa beliau mendapat maklumat di Kedah, pemimpin kerajaan negeri Kedah dalam satu taklimat kepada guru-guru di Kedah agar jangan terkejut bila berpuluh ribu orang Acheh akan dibawa masuk ke Kedah sewaktu hampir dengan pilihan raya tahun 1999 lalu, pihak sekolah di Kedah hendaklah membantu orang-orang Acheh yang dibawa masuk itu bila mereka mahu menghantar anak-anak mereka ke sekolah di Kedah. Almarhum Dato' Fadzil mempersoalkan apakah tujuan berpuluh ribu orang Acheh dibawa masuk ke Kedah ketika pilihan raya.

Malah, kata Dato' Fadzil beliau juga mendapat maklumat ada sindiket di jabatan kerajaan yang akan mengeluarkan kad pengenalan palsu untuk diberikan kepada warga asing untuk dijadikan pengundi-pengundi palsu dalam pilihan raya. Itu baru kes di Kedah, bagaimana di negeri lain Selangor, Johor, Melaka, Pahang dan lain-lain. (MGGP: Pengundi Yang Tidak Berhantu - Salah Siapa?)

Di Sabah, kes IC palsu, pengundi hantu dan memalsukan dokumen memang amat serius dan teruk. Di Sabah warga asing Filipina dan Indonesia adalah sumber terbesar pengundi palsu yang memenangkan UMNO/BN pada 1999. Zaman Berjaya/BN pun bergantung kepada warga asing Filipina + Indonesia + Pakistan sumber pengundi hantu. Bukan itu saja, dokumen pelarian perang yang diberikan kepada warga asing Filipina IMM13 juga dipalsukan. Dahsyat! kalau kita halusi perkara pemalsuan dokumen kerakyatan negara ini, pemberian cara borong IC dan dokumen lain kepada warga asing Filipina, Indonesia dan Pakistan di Sabah demi untuk menjayakan kerja jenayah para politikus UMNO/BN untuk menang pilihan raya dan berkuasa. Cukup membimbangkan rakyat Malaysia di Sabah.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini penulis turut tersentak, bila terbaca berita kes pergaduhan pekerja di Terengganu dua tahun lalu, kes rompakan bank, bunuh dan jenayah lain  dibeberapa bandar di Semenanjung yang pernah kita baca yang melibatkan orang Sabah. Pada tahun 70an dan 80an kes seumpama itu tidak pernah disebut tentang rakyat Sabah terlibat. Tetapi, hari ini orang Sabah sudah ada menjadi kaki gaduh, perompak dan membuat macam-macam jenayah di Semenanjung. Termasuk satu kes merompak yang melibatkan polis atau tentera dari Sabah setahun yang lalu, tak silap penulis. Dilaporkan mereka berasal dari Lahad Datu, Sabah.

Rakyat asli Sabah tidak mungkin terlibat sehingga sebanyak itu kes-kes jenayah. Bukan maksud penulis mahu memuji orang Sabah. Tetapi, di sini penulis ingin menarik perhatian seluruh rakyat Malaysia yang majmuk untuk kita menapis kebenaran laporan penjenayah orang Sabah melakukan jenayah di bandar-bandar di Semenanjung. Sambil kita meminta Kementerian Dalam Negeri, khususnya Jabatan Pendaftaran, Jabatan Imigresen dan Polis supaya lebih teliti dalam memberikan atau meluluskan dokumen kerakyatan Malaysia kepada warga asing terutama dari Sabah. Kerana, pelat orang Sabah dengan Indonesia dan Filipina di sebelah Tawau, Sempurna, Sandakan, Lahad Datu atau Pantai Timur Sabah hampir serupa. Namun, boleh dibezakan pertuturan mereka bila sudah lama bergaul dengan mereka.

Memang kalau baru sekali dua datang ke Sabah. Ramai orang Semenanjung akan terkeliru, kalau tidak tertipu dengan penduduk tempatan sebenar dengan warga asing atau PTI dari Indonesia dan Filipina di Sabah. Kalau warga asing Bangla dari Pakistan di Sabah tidak sukar dikenal. Seorang sahabat penulis menyatakan kepada penulis, TYT Yang Di Pertuan Negeri Sabah, Tun Ahmadshah dalam satu lawatannya ke jabatan kerajaan negeri tersentuh hati dan merasa bimbang dengan kegiatan mewarganegarakan warga asing di Sabah secara borong. Kalau TYT boleh tersentuh dan berasa bimbang. Mana sudah para pemimpin UMNO/BN Sabah yang saban tahun berteriak dan berarak membawa bendera Jalur Gemilang serata negeri, tiba-tiba ada segelintir pemimpin UMNO/BN jadi dalang melakukan jenayah memberi sokongan kepada agensi/jabatan kerajaan dalam kerja-kerja merakyatkan warga asing secara salah dan tidak mengikut undang-undang negara.

Keselamatan Rakyat dan Kedaulatan Negara Bakal Terancam???

Apakah ketua kampung, pengerusi JKKK di kampung-kampung sahaja dipersalahkan kerana memberikan sokongan kepada warga asing diberikan IC, tanah atau menduduki tanah kampung. Apakah pegawai kerajaan kumpulan A, pegawai Jabatan Pendaftaran, pegawai Jabatan Imigresen, pengarah JPN dan Imigresen sengaja membutakan mata mereka dari meneliti setiap permohonan yang dihantar ke JPN dan Imigresen, dan mungkin juga polis atau pegawai SPR turut bersekongkol sama dalam kerja yang boleh mengancam keselamatan rakyat dan kedaulatan negara. Datuk nenek kita pernah ceritakan kita kisah TUKANG KASUT JEPUN, di Sabah sekarang tukang kasut ramai  warga asing dari Filipina. Awas!!!

Bila isu ketidaktelusan Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen, Polis dan SPR tidak dapat diperbaiki. Atau mereka lebih senang dirasuah dan rela makan rasuah yang disogok oleh petualang-petualang negara, sehingga membelakangkan peraturan dan undang-undang. Tidak mustahil, rakyat Malaysia di Sabah khususnya akan menjadi seperti tikus mati kelaparan dalam gudang padi.

Isu IC palsu, IC dipalsukan, warga asing mudah dapat Mykad dengan mudah, pasport dengan senang dan pelbagai lagi ruang diberikan kepada warga asing Filipina, Indonesia, Pakistan, China, Afrika dan lain-lain untuk mereka dengan mudah memperolehi dokumen kerakyatan negara ini hanya dengan membawa sesampul surat berisi RM sekian atau disokong oleh petualang negara yang berkepentingan. Amat malang dan sangat mendukacitakan kita sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara ini.

Kita lebih rela menjual maruah, keselamatan, kedaulatan dan bangsa dengan cuma beberapa ringgit. Ketahuilah, anak cucu yang bakal kita tinggalkan akan menyumpah ayah dan datuk nenek mereka apabila kita mati nanti. Kerana, kita tidak amanah dalam menjalankan tanggungjawab negara.

Inilah budaya dan amalan salahlaku pemerintahan UMNO/BN yang berkembangbiak di zaman Mahathir mentadbir negara ini. Demi kuasa politik, mereka akan lakukan apa sahaja hatta kerja jenayah yang menancam keselamatan rakyat dan kedaulatan negara akan mereka lakukan. Mereka akan baruakan seluruh jentera kerajaan dan individu-individu yang berpengaruh yang telah mereka cucuk hidung selama ini. Tidak pelik! kes DS Anwar Ibrahim adalah petunjuk jelas betapa rosaknya sistem negara ini diperkuda dan diperkosakan oleh dua tiga kerat manusia yang berasa maha berkuasa. Mereka berasa kuasa dan wang ada ditangan.

Bila Pemimpin Buta Erti Dosa

Banyak perkara dalam kehidupan rakyat yang sudah mahu merdeka 46 tahun pada 31 Ogos ini. Mereka melakukan dan mengamalkan kesalahan yang berpanjangan dan terbiasa dalam berbuat salah sepanjang hayat. Dalam agama orang yang selalu membuat kesalahan dari segi agama walaupun kecil ia dikira satu perbuatan dosa atau dosa kecil. Sekalipun sekadar dosa kecil, bila ia berlarutan. Maka amalan itu akan menjatuhkan seseorang menjadi golongan fasik atau jahat pada pandangan agama Islam.

Apa lagi bila berbuat kesalahan besar yang dikira dosa besar dalam agama. Tentu beratlah akan ditanggung.

Banyak dan bercambah-cambah amalan salah rakyat Malaysia yang sudah merdeka sejak sekian lama yang menjadi tabiat atau keterbiasaan, mungkin sudah dijadikan budaya. Terutama dikalangan pimpinan politik Malaysia zaman Mahathir menjadi piem, 20 tahun lebih. Bayangkan 20 tahun kita diasuh didik mengamalkan rasuah. Dah sebati. Banyak sangat contoh amalan rasuah / sogokan / tumbuk rusuk dalam urusan di pejabat kerajaan. Contoh mudah yang selalu dibualkan rakyat; bila seorang rakyat mohon tanah di pejabat tanah terpaksa sogok/beri rasuah kepada kerani/pegawai tanah untuk uruskan tanah yang dipohon supaya mudah urusan, cepat dan pantas. Tanpa rasuah, susahlah urusan tanah/dapatkan geran tanah. Contoh lain, bila seorang kontraktor yang mahu dapatkan projek bina bangunan sekolah, makmal, bangunan pejabat, masjid, perumahan atau apa jua projek kerajaan. Kalau mahu dapat tender dan yakin dapat. Kena rasuah/sogok dulu pegawai yang pegang kuasa itu. Kalau tidak beri jaminan dapat 10 - 20 persen, kontraktor akan gigit jari. Orang lain akan dapat projek itu, iaitu mereka yang sanggup sogok/rasuah kepada pegawai berkenaan.

Seorang kontraktor yang ada hubungan keluarga dengan penulis. Beliau pernah menceritakan kepada penulis, katanya memang amalan rasuah/sogok-menyogok untuk dapatkan apa jua jenis projek menjadi-jadi di mana-mana. Pegawai pertama mahu, pegawai kedua mahu dan seterusnya pun mahu wang sogok atau istilah lain komisen. Tambahnya, susah juga mahu report. Sebab tiada bukti atau hitam putih, sekadar cakap mulut. Lagi pun katanya, kalau report pun kami yang susah. Susah sudah dapat projek. Mahu tak mahu katanya. Ikut saja rentak mereka. Maknanya amalan rasuah/sogokan itu semua orang tahu salah dan dari segi agama ia perbuatan dosa besar. Tetapi, menjadi satu amalan dan budaya dalam banyak sistem kerajaan, malah ia melarat dalam tindak-tanduk kita.

Letak Jawatan Beramai-ramai Untuk Selamatkan Negara dan Rakyat

Bila sudah para pemimpin UMNO/BN yang menerajui pemerintahan negara ini tidak berkemampuan lagi untuk memikul amanah besar rakyat. Kita minta mereka dengan rela hati letak jawatan dan serah kepada para pemimpin yang benar-benar berwibawa, amanah dan jujur menjalankan tugas yang diamanahkan rakyat.

Bila rasa malu meletakkan jawatan secara suka rela. Kembalikan kuasa rakyat yang kamu pinjam dari rakyat itu kembali semula kepada rakyat secara baik. Dengan mengamalkan demokrasi sebenar. Beri kebebasan rakyat memilih pemimpin yang baik yang akan memerintah negara ini secara demokratik, adil dan amanah. Jangan paksa, jangan ugut dan jangan rasuahkan rakyat untuk menyokong UMNO/BN.

Pengarah, pegawai, pengerusi SPR, Ketua Polis Negara, Ketua Hakim dan Peguam Negara yang tidak mampu melaksanakan tugas mereka dengan lebih baik dan beramanah. Kerana asyik dan lebih seronok menjadi barua UMNO/BN juga wajar berfikir semula. Apakah mereka  itu pengarah kepada UMNO/BN, pegawai pilihan raya UMNO/BN, pengerusi SPR UMNO/BN, Ketua Polis UMNO/BN, Ketua Hakim UMNO/BN atau peguam UMNO/BN. Ini harus mereka sedari. Bila mereka terasa jadi agen UMNO/BN, rakyat minta supaya mereka meletak jawatan untuk kerja sepenuh masa dalam parti UMNO/BN.

Ikutlah jejak ketua yang telah menghaprakkan dan membaruakan kamu selama ini. Kerana ketua haprak itu akan mempencenkan dirinya pada Oktober ini.

Kita dan rakyat hanya akan dapat dimerdekakan dan dibebaskan daripada budaya rasuah, salahlaku, perompakan harta rakyat secara licik oleh pimpinan UMNO/BN dan penyelewengan-penyelewengan yang tidak melihatkan ia ditangani dengan baik oleh pimpinan UMNO/BN. Rakyat hanya akan bebas dan merdeka daripada keadaan itu bila rakyat Malaysia memilih pimpinan baru daripada pimpinan BA/PAS/KeADILan/PRM, DAP dan parti-parti pembangkang yang sejiwa dan sehati dengan rakyat Malaysia yang cintakan keadilan, keamanan dan keselamatan dalam PRU ke 11 nanti.

SOKONG BA PAS/KEADILAN/PRM DAN DAP
RAKYAT MALAYSIA DILIMPAHI RAHMAT
RAKYAT BAKAL MENIKMATI MAKANAN LEBIH SEDAP
TOLAK UMNO/BN MAHATHIR PAKLAH MEREMPAT

DARI PERLIS HINGGA KE SABAH
BUMI MALAYSIA DISINARI BA/PAS/KEADILAN
UMNO/BN SEMAKIN GELABAH
RAKYAT MALAYSIA MENYOKONG DAP, PAS/KEADILAN

PM UMNO BERHENTI PENCEN
SIAPA PENGGANTI BERWIBAWA TENGAH DICARI
PM BA RAMAI BERKELAYAKAN HADI, SYED HUSIN, DS ANWAR
IBRAHIM MENANTI BELUM BERPENCEN
ITULAH PILIHAN RAKYAT MALAYSIA SENDIRI

Ibn Sabah,
24.9.2003M. (suntingan M@RHAEN)
Tapak Cerminan M@RHAEN https://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!