Bila Rakyat Hidup Dalam Ketakutan
Oleh Ibn Sabah
Rakyat Hidup Dalam Ketakutan

Sejak kecil bangsa Melayu dan bumiputera hidup dalam ketakutan. Masa kecil mak ayah gertak anak-anak mereka dengan hantu, polis, orang jahat dan macam-macam lagi. Jadi si anak membesar dengan jiwa takut dan penakut. Bila ke sekolah ada pula guru (yang penakut) asuh murid menjadi penakut. Takut tanya guru, takut soal salah guru dan takut bermacam takut. Bila sudah besar panjang lepas sekolah menengah masuklah ke universiti/kolej dan maktab. Mereka yang bergelar mahasiswa-mahasiswi ini juga tidak lepas dari budaya gertak, mereka disambut dengan AUKU supaya jangan buka mulut. Tugas mahasiswa hanya belek buku dan cari ilmu. Bila ada mahasiswa/i yang bangun buka mulut mengkritik penguasa, lantaran amalan ketidakadilan pemerintah ke atas rakyat dan diri mereka. Mereka digertak dengan berbagai-bagai bentuk seperti biasiswa ditarik, akujanji, dipecat, dikenakan tindakan dan apa lagi...

Setelah keluar universiti pun, mereka tidak lepas dari alam ketakutan itu. Bila menjawat jawatan dalam perkhidmatan mereka sekali lagi diugut pelbagai akta, selain Perintah Am Kerajaan. Semua itu digunapakai oleh sang politik penguasa untuk terus mencengkamkan kuasa mereka ke atas rakyat marhaen. Pendek kata, hidup rakyat dalam ketakutan. Mahu buat ini takut. Mahu makan ini takut. Mahu minum yang ini takut. Mahu buka mulut takut. Mahu kritik pemimpin yang rasuah, menyeleweng dan salahguna kuasa takut. Mahu mengundi tukar pemimpinpun takut.

Kenapa rakyat menjadi penakut. Di mana akal, jiwa dan jati diri mereka sebagai rakyat merdeka yang mempunyai hak dalam negara demokrasi seperti Malaysia. Sampai hendak buka mulutpun kita tidak ada keberanian. Wajarkah ayah atau emak takut menegur atau memperbetulkan kesalahan anak-anak mereka yang memang berbuat salah. Atas alasan tidak mahu menyakiti hati anak. Atau sebaliknya si anak takut menegur kesilapan ayah dan emak mereka yang jelas kedua orang tua mereka itu benar berbuat salah. Menegur atau memperbetulkan kesilapan memang ada cara dan adab sopannya. Tetapi, bab salahlaku itu tidak boleh dibiarkan berterusan sehingga 22 tahun sehingga si anak atau si ayah/si ibu terbiasa berbuat salah sepanjang hayat, mungkin sampai mati mereka dalam dosa dan berbuat salah.

22 Tahun Hidup Rakyat Dalam ketakutan

Cerita datuk nenek kita tentang kisah menakutkan di zaman Jepun, zaman komunis, penjajahan British dan sebagainya. Cukup menakutkan bila digambarkan. Zaman itu sudah berlalu. Tetapi, putaran roda sejarah tidak mustahil akan berulang semula dalam bentuk lain mengikut peredaran zaman.

Ketakutan rakyat negara ini yang sudah merdeka lebih 45 tahun bukan takut kebuluran. Bukan juga takut dipancung samurai tentera Jepun atau muncung senapang tentera penjajah British. Tetapi, rakyat digertak dalam budaya takut yang diacuankan oleh sang penguasa yang gila kuasa. Rakyat di kampung digertak tidak akan diberi lampu letrik, jalan kampung, balai raya, biasiswa anak akan ditarik, yang ada lesen perniagaan kedai runcit diugut akan ditarik, bantuan susu, buku dan peralatan sekolah tidak akan diberi bila UMNO/BN kalah. Orang kampung yang tidak tahu membaca sekadar terima bulat-bulat berita TV 1, 2, 3 dan 7 macam biawak telan telur ayam bulat-bulat.

Digertak pula dengan Akta ISA, Akta Penerbitan dan Cetak, Akta Polis, Akta Rahsia Rasmi dan berbagai-bagai lagi. Belum masuk gertakan polis, FRU, SB, PGA dan tentera yang diperkudakan oleh politikus pengecut dan bankrap dalam sangkar UMNO/BN.

Angkara siapakah kita dan rakyat marhaen menjadi manusia penakut. Bila mulut-mulut besar pemimpin terbuka berkata buat itu ini, hatta melakukan yang salahpun rakyat turut. Pangkah calon UMNO/BN kaki rasuah, kaki betina, kaki judi, kaki pukul, kaki samseng, kaki rogol, kaki makan duit rakyat, kaki bantai balak dan pengampu mangkuk hayun. Rakyat di kampung yang tak tahu apa-apa pun taat setia PANGKAH JUGA. Sedar...sedar calon UMNO/BN yang dipangkah dan dimenangkan itu adalah perasuah/perogol/makan duit rakyat/perompak/penyamun tarbus/kaki judi/kaki perempuan/pelindung samseng.

Jadilah Rakyat Berani Kerana Benar

Nyahkan semua ketakutan itu selama kita berada di landasan benar, kebaikan dan menegak keadilan. UMNO/BN bukan tuhan. Mahathir bukan tuhan. Pak Lah bukan tuhan. Kalau Dr Ling Liong Sik dan Lim Ah Lek boleh turun kerusi penting dari terus menerajui MCA digantikan orang baru. Kenapa orang UMNO taksub sangat dengan dua orang pemimpin mereka Mahathir dan Pak Lah yang sudah tidak berstamina dari segi kepimpinan.

Orang UMNO/BN jangan takut kehilangan pemimpin. Pemimpin datang dan pergi. Pemimpin boleh ditukar ganti. Pemimpin juga boleh diturunkan oleh rakyat, apa lagi pemimpin itu jelas ketara banyak membawa bencana kepada rakyat dan negara. Makin lama jadi pemimpin semakin menjadi-jadi rasuah, pembaziran, penyelewengan, salahguna kuasa dan segala macam mungkarat terjadi di sana-sini. Sistem kehakiman diperkuda, SPR diperkuda, BPR diperkuda, RTM dicucuk hidung, polis diperkuda dan hampir keseluruhan jabatan kerajaan dijadikan pentas dan markas politik untuk menjaga orang-orang politik UMNO/BN. Terutama sekali hampir pilihanraya. Di Sabah, pada pemerhatian penulis sejak dulu jabatan kerajaan adalah markas orang-orang politik yang berkuasa di Sabah. Mereka akan memperkosa dan memperkudakan segala kesempatan atas jawatan menteri mereka dalam kerajaan. Apa lagi zaman UMNO/BN berkuasa di Sabah sekarang lebih teruk dan dahsyatnya mereka berkuda di atas jabatan-jabatan kerajaan.

Rakyat Malaysia yang cintakan keadilan, kerajaan yang telus dan bertanggungjawab dan mementingkan rakyat serta demokratik. Tidak ada masa panjang untuk kita memperbaiki keadaan ini, melainkan dalam pilihanraya ke 11 inilah masa terbaik bagi rakyat Malaysia merubah pucuk pimpinan negara. Kita tolak kepimpinan UMNO/BN yang ada sekarang dalam pilihanraya ke 11 nanti. Dan kita pilih kepimpinan baru dibawah BA/PAS/KeADILan dan DAP.

Teruskan perjuangan reformasi politik andai rakyat mahu Malaysia dan rakyat pelbagai kaum lebih selesa, adil dan demokratik di bawah kerajaan baru pimpinan BA/KeADILan/PAS dan DAP.

Berani kerana benar
berani untuk berubah
berani untuk keadilan
berani untuk demokrasi
berani untuk menegak kerajaan lebih baik
berani untuk memilih pemimpin lebih baik
berani untuk PANGKAH semua calon BA
PAS, KEADILAN, DAP dan pembangkang yang merestui BA
berani menolak UMNO/BN
berani nyahkan semua pemimpin rasuah/penyangak/penipu
berani nyahkan semua kroni-kroni sehati sejiwa mereka
berani tukar parti pemerintah dari UMNO/BN kepada
BA/PAS/KeADILan dan DAP

Ibnu Sabah,
6.8.2003M. (suntingan M@RHAEN)
Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!