Merdeka: 46 Tahun Otak Masih Beku Terjajah?
Oleh Ibn Sabah
Merdeka: Satu Renungan Penulis...

Merdeka! Merdeka! Merdeka!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!! Begitulah kalimah itu dijeritkan pada tahun 1957 dulu sambil mengangat tangan ke udara di Padang Merdeka yang dikepalai oleh YAM Tuanku Abdul Rahman Al-Haj. Rakyat Malaysia yang masih kecil atau baru lahir pada tahun 1957 pasti tidak tahu apa-apa. Kecuali anak-anak muda yang sudah berumur 10 tahun ke atas, mereka akan merasai suasana itu. Tentu ayah, emak dan datuk nenek kita lebih merasakannya betapa nikmatnya sebuah kemerdekaan. Kini sedar dan tak sedar kita sudah merdeka 46 tahun pada 31 Ogos 2003 nanti.

Tetapi, sayang sejuta sayang merdeka itu hanya difahamkan dengan pengertian sempit bahawa kita merdeka kerana tidak lagi diperintah dan dijajah oleh penjajah British, Jepun, Portugis atau Belanda. Atau kerana kita dan bangsa kita sendiri telah menjadi pemerintah sejak 31 Ogos 1957 hingga sekarang. Dengan diketuai oleh empat orang ketua eksikutif atau empat orang PM dalam tempoh 46 merdeka itu.

Apakah sudah memadai dengan merdeka sekadar banyak atau lama dari segi bilangan angka tahun. Tetapi, kita masih diikat leher atau seluruh rakyat Malaysia dibelit leher mereka oleh kongkongan undang-undang peninggalan penjajah yang dinamakan Perlembagaan Malaysia itu. Orang semua tahu bahawa Perlembagaan Negara itu adalah bikinan tangan-tangan penjajah atau orang-orang penjajah yang mendapat asuhan daripada penjajah sendiri, kerana penjajah telah melantik beberapa orang kepercayaan mereka bagi menggubal satu undang-undang untuk Malaya yang dinamakan Suruhanjaya Ried yang dianggotai beberapa orang; iaitu seorang pengerusi: Lord Ried (UK), ahli-ahli sebanyak empat orang, iaitu: Sir Iver Jennings (UK), Sir William Metkell (Australia), B. Malik (India) dan Halim Abdul Hamid (Pakistan). Ke mana dan mengapa orang Melayu/Islam yang menjadi rakyat majoriti Malaya atau Malaysia tidak diambil menjadi anggota Suruhanjaya itu? Mungkin penjajah memberi alasan Malaya belum merdeka dan rakyatnya tidak layak?

Setelah merdeka kita masih juga memperbodohkan diri untuk tunduk separuh mati kepada Perlembagaan itu, tanpa berani untuk merubahnya supaya lebih serasi dengan rakyat Malaysia yang majmuk dan negara yang mengamal sistem demokrasi. Kemerdekaan disambut setiap tahun dan sudah 45 kali disambut tahun demi tahun. Tema tahun-tahun juga diubah-ubah ikut selera pemimpin yang berkuasa. Kenapa mereka tidak berfikir untuk menggubal Perlembagaan itu untuk disesuaikan dengan acuan bangsa yang sudah merdeka ini. Dalam perlembagaan Malaysia terdapat 14 bahagian dan setiap bahagian ada pecahan, bab, jadual atau perkara. Cuba kita amat-amati dalam Perlembagaan ini dalam Bahagian 1 perkara 4 (1) Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu.

Sebagai rakyat tidak begitu mahir dalam menafsir undang-undang. Namun, dapat melihat bagaimana Perlembagaan yang digubal oleh British menurut acuan mereka itu telah menjerat dan mengongkong kita hingga ke saat ini. Sampai ke hari ke 46 tahun merdeka kita masih tidak berani untuk merombak mana-mana kandungan Perlembagaan Malaysia yang dibuat oleh Suruhanjaya Ried itu yang terang-terang mengongkong jiwa, akal dan jatidiri bangsa Malaysia. Perlembagaan inilah mati-matian dipertahan oleh parti pemerintah UMNO/BN. Mungkin kerana keramat Perlembagaan inilah yang dapat memanjangkan hayat UMNO/BN sehingga hari ini sudah sepuluh kali pilihanraya UMNO/BN terus berkuasa di negara ini. Tapi tidak pernah terdetak dalam benak akal mereka untuk merubah Perlembagaan bikinan penjajah itu.

Di mana kewibawaan dan kedaulatan kita sebagai bangsa/rakyat Malaysia yang merdeka itu?

Ibn Sabah,
9.8.2003M. (suntingan M@RHAEN)
Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!